Usai meminta diri, kemudian Dato Idris dan Datin Khadijah berlalu pergi. Meninggalkan Husna bersama Mia dan Nathan.

"So, kita nak makan dekat mana?" Tanya Nathan, dia menoleh memandang Mia disisi. Menanti cadangan. Dia tukang pandu kereta sahaja, manakala si Mia pula merancang arah tuju mereka. Seminit juga Mia fikir tempat makan mana yang menarik. Dan apabila dia hendak bersuara, tiba-tiba deringan telefon pula yang menjadi penghalang.

Ish, telefon siapa pula yang berbunyi tu?

Kelam-kabut Nathan menyeluk tangan ke dalam poketnya apabila terasa ada getaran disitu. Telefon dikeluarkan. Jelas tertera nama Papa muncul diskrin. Sesaat keningnya berkerut, tertanya-tanya mengapa Tan Sri Raqib tiba-tiba hubungi dia pada waktu ini. Selalunya jika ada hal penting sahaja. Tak tunggu lama, Nathan langsung menolak butang hijau.

"Waalaikumsalam. Ya, pa kenapa?" Soal Nathan. Dia diam, mendengar bicara Tan Sri Raqib di dalam talian. Namun makin lama, riak wajahnya semakin berubah keruh. Adakalanya matanya terbeliak seolah-olah dapat berita mengejut.

Mia dan Husna yang tidak tahu apa-apa saling berpandangan sesama sendiri.  Mereka juga nampak ingin tahu apa yang sedang dibicarakan. Nampak macam serius sahaja.

"Baik, pa. Nanti Nathan booking tiket ke sana." Balas Nathan, segera mematikan talian. Kemudian, menoleh memandang Mia.

"Maaf, sayang. Saya perlu kemas beg dan booking tiket penerbangan ke Sabah. Papa baru beritahu yang abang saya kemalangan. Sekarang dia terlantar di hospital. Jadi, saya kena jenguk dia." Ujar Nathan, suaranya kedengaran bergetar kerana masih lagi terkejut dengan berita buruk yang disampaikan. Bahkan, jantungnya juga tak berhenti berdegup laju daripada tadi.

Mia turut terkejut. 

"Iya ke? Kalau macam itu tak apalah, saya akan pergi dengan Husna saja. Awak jaga diri ek."

Nathan angguk kepala. Telefon disimpan semula ke dalam poket seluar. Sekilas dia tunduk melihat jam yang mengelilingi pergelangan tangannya. Masih sempat jika dia kemaskan pakaian di rumah sebelum bertolak.

"Maaf tanya, abang Encik Nathan tu... kemalangan sebab apa?" Soal Husna, tiba-tiba ingin tahu. Malah dia rasa sedikit pelik. Bukankah Encik Nathan anak kepada Tan Sri Raqib? Dan apa yang baru didengar tadi ialah abang sulungnya terlibat dalam kemalangan. Persoalannya, siapa abang kepada Encik Nathan dan bila dia ditimpa kemalangan?

Tak tahulah kenapa muncul wajah Lanun difikiran Husna tika ini. Padahal, mereka bukannya asa kena-mengena.

Akan tetapi Nathan jongket bahu tanda tidak tahu. "Entahlah. Saya tak pasti. Tan Sri Raqib cuma cakap yang dia kemalangan. Dari ceritanya seolah-olah teruk. Daripada kepala sampai hujung kaki tercedera."

Husna terdiam. Sekali lagi, dia teringatkan Lanun. Tiba-tiba sahaja terbayangkan semula mimpi ngerinya pada malam itu. Disaat dia hanya mampu menjadi penonton semasa Lanun dipukul oleh lanun-lanun jahat itu. Seluruh tubuhnya lebam dan berdarah. Dari kepala hinggalah ke hujung kakinya, sehingga dia jadi lemah selemah-lemahnya kerana kekurangan banyak darah.

"By the way, sebelum saya pergi..." Nathan mengeluarkan dompetnya. Tangan kanan Mia ditarik sebelum dia meletakkan beberapa wang kertas bernilai seratus di atas telapak tangannya. 

Berkelip-kelip mata Mia saat ini. Wajah Nathan dipandang penuh tanda tanya.

"Guna duit itu untuk makan nanti. Saya belanja. Kalau tak cukup beritahu, nanti saya masukkan duit dalam akaun bank awak. Saya nak kena cepat.  Jadi saya minta diri dulu." Ujar Nathan dengan nada tergesa-gesa. Tanpa menunggu kata balas daripada Mia, dia terus berlari meninggalkan mereka berdua.

Mia masih lagi sesat. Duit ditangan dipandang. Banyak sangat ni. Tapi orang dah beri, kenalah guna sehabis baik. Dan-dan dia menyengih.

Lantas, Mia pusing memandang Husna. Wanita itu tampak diam daripada tadi seakan memikirkan sesuatu.

"Husna, kau okay tak tu?" Tegur Mia. Langsung mematikan lamunan Husna. 

"Aku okay." Ringkas dia membalas.

Mia tersenyum kecil.

"Kalau macam itu jomlah kita pergi makan. Aku bawa kau pergi makan tempat paling sedap. Kau pasti dah lama tak makan makanan sedap-sedap kan?" Kata Mia, tangan Husna terus ditarik sama-sama melangkah keluar daripada lapangan terbang itu.

"Makan apa pun aku tak kisah. Aku ikut saja." Ujar Husna.

Pelik.

Kening Mia berkerut. Betulkah apa yang dia baru dengar tadi? Puteri Husna, tidak kisah tempat makan mereka dimana sekalipun? Serupa ada sesuatu yang telah mengubah rakan baiknya. Namun, Mia tidak mahu fikir lebih-lebih. 

"Kalau macam itu kita makan dekat restoran siam nak tak?" Cadang Mia, sengajalah dia mahu uji sedikit. Kalau Husna terima, bermakna jelaslah Husna yang sekarang bukan yang cerewet dahulu.

Sekonyong-konyong bibir Husna mengulum senyuman. Kepala diangguk. 

"Aku ikut aje." Respon Husna.

Mia tergamam.








Maaf chapter sikit. Kalau esok free, saya update lagi.

MR PIRATE [Complete]Where stories live. Discover now