Raf turut angguk kepala tanda setuju. Ya, satu dalam sejuta. Yang itulah yang dia mahukan.

Suasana menjadi sepi buat beberapa minit, tatkala anak mata Tan Sri Raqib terpandang hiasan mainan bot di atas meja kerjanya tiba-tiba sahaja muncul nama Husna di kepala. Spontan, dia teringat tentang cerita Zaim semalam. Patutkah dia beritahu kepada Raf?

"Oh, Lupa papa nak tanya. Husna macam mana? Dia sihat ke? Bila kamu nak bawa dia balik?" Soal Tan Sri Raqib, wajah Raf kembali dipandang.

"Nanti-nantilah Raf fikir bila masa yang sesuai." Jawabnya acuh tak acuh, ceh padahal dia sedang tunggu jawapan daripada Husna. Selagi perempuan itu tak berikan jawapan, dia takkan bawa Husna balik. Jiwanya takkan tenang.

Makin berlapis dahi Tan Sri Raqib mendengarnya. Kenapa pula nak simpan si Husna itu lama-lama di kampung? Ada sesuatu ke mereka berdua ni?

"Haih, kamu ni sengaja nak simpan dia dekat kampung tu sebab Lanun ke, sebab lain ni? Dah berhari-hari kamu sorok dia. Tak manis duduk rumah berdua-duaan dengan anak dara orang walaupun kamu tidur di luar sekalipun."

"Sebab itulah Raf ajak dia kahwin..." desis Raf, cukup untuk dia sahaja yang dengar.

"Kamu cakap apa?" Soal Tan Sri Raqib apabila dia kurang jelas mendengar. Dengan pantas Raf geleng kepala.

"Tak ada apa. Dia okay aje dekat sana. Papa jangan risaulah, tahulah anak papa ni jaga anak dara orang baik-baik."  Ujar Raf, lantas dia bangun daripada Sofa, menapak menuju ke pintu. Cermin mata yang terselit di tengah leher baju itu ditarik lalu dipakai.

"Kamu nak pergi mana pula tu? Takkan baru sampai dah nak balik?" Soal Tan Sri Raqib, terpinga-pinga. 

Pintu ditarik. Raf pusing ke belakang.

"Nak pergi kafe, bungkus makanan. Dia suka mi bandung." Balasnya, kemudian terus berlalu pergi.

Kelopak mata Tan Sri Raqib berkelip buat sesaat. Raf... bungkuskan makanan untuk seseorang? Dia tergamam.











            
                      OLEH kerana terlalu bosan duduk di rumah, Husna memilih untuk mengikut Orkid ke rumah Mak Cik Lily. Ambil masa 5 minit juga mereka berjalan kaki menuju ke sana. Katanya, ada kerja yang dia boleh tolong bantu untuk hilangkan rasa bosan daripada termenung tidak buat apa-apa. 

Apabila tiba di rumah Mak Cik Lily, dia lihat banyak kekabu di beranda rumah. Dan ada Odu yang membantu menyumbat kekabu ke dalam kain yang sudah terjahit kemas. Dan tatkala anak mata Husna melingas ke kiri, tersusun meninggi bantal-bantal yang sudah siap dimasukkan kekabu.

"Kenapa diam sija ko hari ini, Husna? Fikir tentang Lanun ka?" Tegur Orkid apabila dia menyedari Husna langsung tak menyampuk semasa mereka sedang berbual.

Husna sedikit tersentak. Dia tersengih kekok apabila lamunannya hilang. Manakala tangan masih bergerak menyumbang kekabu ke dalam sarung bantal bercorak bunga itu.

"Tak adalah. Mana ada saya fikirkan tentang dia." Jawab Husna, perlahan. Walhal, dalam fikirannya sekarang sudah penuh dengan nama Lanun sahaja. Nak pejam mata muncul wajah Lanun, nak makan juga begitu, nak sarung selipar pun dia terfikir tentang lelaki itu juga.

Ish, parah sungguh dia sekarang!

Ke mana agaknya si Lanun itu pergi? Pagi-pagi lagi sudah turun ke laut. Takkan dia pergi jumpa perempuan lain pula? Husna ketap bibir.

"Haahlah, daripada tadi Odu perasan. Husna senyap sija. Demam semalam masih belum surut ka? Kalo belum, balik dan rehat sija di rumah." Sampuk Odu.

Pantas Husna menggeleng menafikkannya. Dia dah sihat semasa bangun subuh tadi.

MR PIRATE [Complete]Where stories live. Discover now