02

7 1 1
                                    


Aku masih ingat lagi satu kampung kecoh dengan kisah Haji Muhammad ABC eksiden. Kisah ini jadi bualan di kedai kopi dan dijadikan bahan jenaka. Kisahnya tiga orang yang secara kebetulan bernama Haji Muhamad. Tok Ayah nama sebenarnya ialah Haji Muhamad, dia membonceng motor kawannya yang juga bernama Haji Muhamad. Mereka dalam perjalanan pulang dari menziarahi dan sembahyangkan jenazah orang meninggal di hujung kampung. Kemudian tiba-tiba motor yang ditunggangi mereka dilanggar oleh seorang lagi pakcik yang juga berkebetulan bernama Haji Muhamad, lalu terbabas dan masuk ke dalam bendang. Ketiga-tiga mereka dimasukkan ke hospital dan ditempatkan di dalam satu wad yang sama kerana mengalami kecederaan tetapi tidak lah begitu serius. Jadi para jururawat dan doktor merasa sedikit kesukaran kerana nama ketiga-tiga mereka sama. Oleh itu jururawat melabelkan mereka A, B dan C. Tok Ayah adalah Haji Muhamad A. Sejak kejadian itu orang memanggil Tok Ayah sebagai Haji Muhamad A.

Semasa Tok Ayah berada di hospital, abah membawa kami pergi melawat Tok Ayah . Pada waktu itu, kanak-kanak masih dibenarkan masuk melawat pada waktu yang dibenarkan melawat. Gembira kami kerana dapat melihat Tok Ayah dan dengan kata lain dapat keluar ke bandar. Aku dan adikku dibawa oleh abah dan umie untuk melawat Tok Ayah. Semasa aku dan adikku masuk ke wad dan ke katil Tok Ayah, aku merasakan seram sejuk dan tiba-tiba bulu romaku meremang. Masih segar di ingatan ku pada waktu itu aku melihat susuk tubuh seperti Tok Ayah berada di belakang Tok Ayah sedang merenungku. Sedangkan Tok Ayah sedang berbual-bual dengan abah dan umie. Lembaga itu memakai pakaian serba putih seperti orang Arab dengan kain menutup kepala. Mukanya bagaikan kosong kerana aku tidak nampak dengan jelas kerana ketakutan menguasai diri dari melihat makhluk itu.

Aku segera menutup mata dan mengajak abahku pulang. Adikku pula tiba-tiba buat hal nak membuang air kecil. Lalu umie membawa adik ke tandas wad yang berada di hujung sekali dalam wad itu. Aku tidak melepaskan peluang mengikut umie dan adikku sekali ke tandas. Semasa membuka pintu tandas, Umie terkejut kerana ada seorang lelaki yang berbadan besar dan hitam berada di dalam tandas sambil mencangkung. Umie cepat-cepat menutup pintu tandas dan menyuruh adik masuk ke tandas yang lain. Selesai membuang hajat, kami keluar dari tandas itu. Semasa berjalan balik ke katil  Tok Ayah, kami akan melalui kaunter jururawat yang berada di tengah-tengah laluan. Umie menegur jururawat yang berada di kaunter yang kebetulan kawan lama Umie dan Umie menceritakan kepadanya serta didengar oleh beberapa orang jururawat yang turut berada di situ mengenai lelaki besar di dalam tandas tersebut. Mereka saling berpandangan dan menyatakan kepada umie tiada pesakit atau staf wad itu seperti yang umie gambarkan. Jadi siapakah lelaki berbadan besar hitam itu?

Apabila Tok Ayah makin meningkat umurnya, isterinya iaitu ibu tiri kepada abah yang kami panggil Nek Som telah meninggal dunia kerana sakit asma. Selama ini, Nek Som lah yang menjaga makan minum dan pakai Tok Ayah, kini tinggallah Tok Ayah seorang diri di surau itu kerana adik bongsu abah yang kami panggil Paksu berkerja sebagai pemandu bas ekspress dan selalu tiada di rumah. Sekali sekala jika Paksu balik, dialah yang akan masak dan menghantar makanan dan minuman kepada Tok Ayah di surau. Demi kasih seorang anak kepada ayahnya, abahku dengan berbesar hati mengambil alih tugas itu. Setiap waktu pagi sebelum ke kedai, abah akan membeli sarapan dan menghantar kepada Tok Ayah di surau. Pada waktu tengahari pula, abah akan tinggalkan Umie sendirian di kedai kami dan pulang ke rumah untuk masak atau membeli makanan dan menghantar kepada Tok Ayah. Begitu juga pada sebelah petang dan malam sebelum magrib abah akan tetap menghantar makanan buat Tok Ayah di surau dengan ikhlasnya tanpa sekalipun aku mendengar abah mengadu penat atau lelah dengan berbuat sedemikian.  Bermulalah rutin abah dan kami pula menjaga makan minum Tok Ayah. Umie akan menjaga kedai sementara abah akan berulang alik menjaga makan minum Tok Ayah. Umie dan abah ada membuka kedai menjual kasut dan selipar yang tidak jauh dari kampung kami.  Jarak dalam 20 minit saja dari kampung kami.

Setiap kali ke surau untuk mengaji aku dapat perhatikan Tok Ayah semakin tidak larat. Kadangkala apabila aku dan adikku sampai, Tok Ayah sedang berbaring seperti ingin berehat sekejap. Tetapi apa yang menghairankan aku, setiap kali dia hampir tertidur, akan ada seolah-olah seseorang yang mengejutkannya supaya kekal terjaga dan tidak tidur. Tok Ayah seakan-akan terkejut dan terus terjaga dengan tiba-tiba. Ketika itu juga aku seolah-olah nampak baldi merah Tok Ayah bergoyang-goyang dan mengeluarkan bau seumpama bauan dari minyak Atar yang datang daripada Mekah. Aku tidak pasti samada itu hanya mainan perasaan ku sahaja atau betul-betul terjadi.

Lama kelamaan, keadaan Tok Ayah semakin kurang baik. Kesihatannya semakin merosot. Dia selalu berasa letih dan tidak bermaya. Setelah berbincang dengan Umie dan anak-anak, abahku membuat keputusan yang bakal merubah kehidupan kami sekeluarga berubah kepada 360 darjah. Abahku tidak mempunyai banyak pilihan kerana adik beradiknya yang lain semua menolak tidak sanggup untuk menjaga Tok Ayah. Ketika itu Paksu masih belum berkahwin tetapi kerana tugasnya sebagai pemandu bas ekspress, dia sering tiada di rumah dan kebajikan Tok Ayah akan terabai. Dengan kehadiran Tok Ayah di rumah kami,  kami merasakan amat tertekan kerana walaupun Tok Ayah tidak berapa sihat tetapi dia seolah-olah suka mengarah-ngarah dan menyuruh kami mengikut segala kata-katanya. Sekiranya kami membantah, dia akan mula marah-marah dan menenking sesiapa saja yang dia rasakan patut ditengking. Kehidupan kami tidak seperti dulu lagi. Apa yang kami buat selalu tidak kena dan tidak betul bagi Tok Ayah. Dia suka mengongkong apa saja yang kami lakukan. Sekiranya aku, kakak-kakakku dan juga adik bergurau senda bergelak ketawa, Tok Ayah akan terus tengking kami dan menyuruh kami diam. Dia tidak suka suasana bising. Kami terpaksa bercakap seolah-olah berbisik sesama sendiri supaya tidak dimarahi oleh Tok Ayah. Bertapa seksa menahan gelodak hati dan perasaan yang selama ini bebas berbuat apa saja,  bergelak ketawa sesama adik beradik,  bergurau senda dengan Umie dan abah,  tiba-tiba seperti berada di penjara tetapi di rumah sendiri. Kebiasaan selama ini telah menjadi halangan untuk kami.

Umie terutamanya berasa amat tertekan dan selalu bergaduh dengan abah kerana tidak tahan melayan karenah Tok Ayah yang bagiku agak melampau. Sejak Tok Ayah berada di rumah kami, dia akan memarahi sesiapa saja yang membuka dan menonton televisyen kerana baginya ia kerja yang sia-sia dan juga akan menganggunya untuk mengaji Quran atau membaca kitab. Dia suka mendesak untuk kami semua mengikut apa saja kehendak atau arahannya. Sekiranya sesiapa gagal mengikut kata-katanya dia akan menengking dan memarahi sehingga mengulang perkara yang sama satu hari suntuk. Kakak aku pernah dimarahi dan dimaki gara-gara membawa balik kawannya ke rumah dan kawannya juga turut dimarahi tidak ikut sembahyang berjemaah sekali kerana sebenarnya dia dalam keadaan uzur. Akhirnya kawan kakakku menangis dan terus lari balik ke rumahnya. Kakakku merasa amat malu dengan kawannya sehingga menangis malu dan merajuk untuk tinggal di asrama. Akhirnya kakakku tinggal di asrama sekolah yang jarak dalam 2 kilometer dari rumah kami. Puas hati Tok Ayah rasanya buat kakakku meninggalkan rumah. Umie merasa amat sedih dan selalu dalam keadaan tertekan. Umie  selalu menjadi mangsa kemarahan abah yang juga tertekan dengan Tok Ayah dan mereka selalu bergaduh. Abah sebenarnya tersepit antara ayahnya dengan isteri serta anak-anaknya. Aku tau kadangkala abah meluahkan kepadaku bahawa dia merasa sedikit menyesal kerana membawa Tok Ayah balik ke rumah kami, tetapi dia tiada pilihan lain. Terpaksa juga kami tempuhi keadaan itu untuk satu jangka masa yang kami sendiri tidak pasti.

Semenjak Tok Ayah ke rumah kami, aku selalu melihat perkara-perkara yang pelik. Beberapa kali aku melihat ada sekumpulan tujuh orang lelaki berpakaian putih berada di dalam bilik di belakang Tok Ayah semasa Tok Ayah sedang solat seolah-olah mengikut Tok Ayah solat. Kadangkala semasa Tok Ayah sedang tidur dia akan terus bingkas bangun dengan tiba-tiba seolah-olah ada yang mengejutnya secara tiba-tiba. Tok Ayah bercakap dengan seseorang tetapi aku tidak nampak pula dengan siapa dia bercakap. Kadangkala macam dalam keadaan marah, kadangkala baik saja. Baldi merah Tok Ayah tetap dibawa sekali ke rumah kami dan ditempatkan di dalam bilik yang Tok Ayah huni.

Pernah pada waktu malam ketika aku hendak ke tandas aku terpaksa melalui depan bilik Tok Ayah kerana tandas hanya bersebelahan dengan bilik Tok Ayah. Aku terdengar Tok Ayah berzikir tetapi bukan hanya suara Tok Ayah, ada lagi suara-suara lain yang mengikut Tok Ayah berzikir. Aku cuba mengintai dari sebalik pintu tetapi tidak ada sesiapa yang aku nampak. Bila aku ajukan soalan pada abahku tentang itu,  abah hanya berdiam diri dan menasihatiku supaya tidak terlalu memikirkan tentang itu. Abah menjelaskan tiada apa yang perlu dirisaukan. Betul ke begitu?

Bersambung....✌️

BADI TOK AYAHKde žijí příběhy. Začni objevovat