Baru sebentar tadi, doktor mengesahkan bahawa ayahnya telah meninggal dunia. Sekarang, dia hanya menunggu keputusan doktor mengenai ibunya pula.

Ya Allah, semoga baik-baik sahaja keputusannya. Dia sangat berharap semoga ibunya masih diberi kesempatan untuk hidup.

“Doktor kata apa?” Laju sahaja Hassan bertanya. Melihat keadaan Farah yang berduka cita, sudah pasti keputusan tidak berpihak kepada gadis itu.

Semuanya telah ditetapkan Allah SWT.

“Ayah aku dah tak ada...” tangis Farah membuatkan hati Hassan bertambah sayu.

Hassan mahu menenangkan Farah namun dirinya sendiri juga tidak tenang. Macam mana dia mahu memberikan semangat kepada gadis itu?

Sungguh, jiwanya saat ini seakan-akan pergi bersama-sama jasad ibu bapanya yang baru sahaja selesai dikebumikan. Hatinya merintih pilu melihat keadaan ibu bapanya.

Namun, saat dia terpandang jasad ibu bapanya yang mati dalam keadaan tersenyum, hatinya berasa lega sedikit. Sekurang-kurangnya, ibu bapanya sudah melihat taman-taman Syurga. Dia yang masih hidup perlu memimpin adik-adiknya supaya dapat bertemu semula dengan ibu bapanya di Syurga kelak.

“Innalillahi wainnailaihi roji’un. Ibu kau macam mana pula?” soal Hassan.

Menurut cerita Haji Tam sebentar tadi, hanya tempat duduk bahagian Puan Raudah sahaja yang tidak remuk. Ayahnya dan ayah Farah duduk bahagian hadapan manakala ibunya duduk di bahagian yang digilis lori.

“Ibu...”

“Keluarga Puan Raudah?” Doktor keluar dari wad ICU tersebut.

“Saya anak dia, doktor.”

“Boleh ikut saya ke bilik saya sekejap?”

Farah mengerling ke arah Hassan sebelum mengikut langkah doktor tersebut.

Hassan menyandar di kerusi berdekatan wad Puan Raudah berada. Jari-jemarinya disatukan, menunggu kehadiran Farah.

Farah tiba beberapa minit setelah itu. Apabila melihat raut wajah gadis itu yang sederhana ceria, barulah Hassan boleh mengukirkan senyuman.

“Ibu kau okay kan?”

“Ibu dah sedar!” Farah lantas mengucapkan syukur ke hadrat Illahi di dalam hatinya.

Tidak kira macam mana kondisi ibunya, dia tetap bersyukur kerana Allah masih memanjangkan umur ibunya.

“Alhamdulillah,” ucap Hassan pula.

“Ibu kena pindah wad dulu, baru kita boleh melawat. Eh, kau tak tukar baju lagi ni. Kenapa?” Baru Farah perasan, Hassan masih memakai baju seragam sekolah.

Baju Hassan juga mempunyai kesan comot seperti tanah. Hassan pergi ke mana tadi?

“Oh, aku dari tanah kubur.” Hassan memberitahu gadis itu. Senyuman cuba diukir walaupun payah.

Farah terdiam. Dia hampir terlupa bahawa ibu bapa Hassan juga terlibat dalam kemalangan itu.

Sebenarnya, boleh sahaja Farah mahu salahkan Hassan atas apa yang berlaku. Tapi, disebabkan dia masih ada pegangan agama, dia redha dengan ujian yang menimpa dirinya.

Hassan juga diuji. Malah, Hassan kehilangan kedua-dua orang tuanya. Farah masih memiliki ibu walaupun ibunya mengalami kecacatan lumpuh yang kekal.

“Farah, maafkan aku. Kalau parents aku tak bawa parents kau...”

“Hassan, apa maksud kau ni? Jangan minta maaf dengan aku. Parents kau pun terkorban. Kau mesti lagi sedih daripada aku. Dah lah Hassan, ini semua dugaan untuk kita.” Farah tidak sampai hati membiarkan Hassan berkelakuan begini.

Hassan bukan macam itu. Hassan seorang yang ceria, periang dan selalu menyakatnya. Hari ini, sikap Hassan seolah-olah lelaki asing di dalam hidupnya.

Hassan... berkali-kali sesal di dalam dirinya. Tidak sampai hati Farah mahu menyalahkan Hassan. Lelaki itu juga perlu menerima ketentuan Ilahi.

“Lagi 2 hari nak exam kan? Tak sangka macam ni nasib kita,” tutur Hassan sebelum membuang pandang ke arah laluan kosong untuk ke wad.

“Aku bersyukur sebab aku masih ada ibu. Tapi dalam masa yang sama, aku tetap sedih untuk kau. Aku tak boleh bayangkan kalau aku ada kat tempat kau. Maafkan parents aku, Hassan.” Kini, Farah pula yang memohon maaf. Dia berasa kasihan melihat keadaan Hassan kini.

Ya Allah, semoga temannya tetap tabah mengharungi ujian ini. Kalau dia yang berada di tempat Hassan, sudah pasti dia akan jatuh tersungkur.

“Eh, bukan salah parents kau. Ini semua dugaan untuk kita, Farah.”

“Ibu aku lumpuh. Mesti susah ibu nak pergi jual nasi lemak lepas ni, kan? Entah apalah nasib kami berdua lepas ni.” Farah tiba-tiba bersuara.

Bercakap mengenai masa hadapan, tiada sesiapa yang tahu akan hal tersebut.

“Tak apa, Farah. Aku boleh tolong kau dari segi kewangan. Aku tahu kau nak masuk Universiti Malaya kan? Aku akan pastikan kau berjaya!” suara Hassan kedengaran ceria sekali.

“Kau nak buat macam mana?” aju Farah.

“Lepas SPM, aku kerja. Aku boleh je nak kerja kat mana-mana. Aku tak kisah,” balas Hassan lagi.

Farah berkira-kira di dalam hati. Macam mana Hassan boleh setabah ini? Dia juga tidak henti-henti bersedih disebabkan kemalangan teruk yang menimpa keluarganya. Namun, Hassan masih mampu memikirkan masa hadapan.

“Aku janji, aku akan pastikan kau dan adik-adik aku berjaya!”

“Aku tunggu janji kau, Hassan.”

3 || Hanya akuWhere stories live. Discover now