"Iya, betul.  Dijah nak ambil alih. Kenapa abang asyik tanya soalan yang sama? Abang macam tak nak percayakan isteri sendiri aje?"

"Bukan macam itu, Dijah. Abang cuma... fikirkan Husna. Itukan jawatan dia, abang tak boleh sesuka hati turunkan pangkat tu kepada sesiapa. Kalau dia balik nanti..."

"Abang, hotel tukan masih hotel abang. Bukannya sepenuhnya milik Husna. Kenapa asyik nak utamakan dia sahaja? Dijah tahulah dia anak kandung abang, tapi tak perlulah nak jaga hati dia sangat. Abang pun tahukan Husna dengan saya macam mana? Kalau abang tunggu jawapan daripada dia memang sampai bila-bila dia akan cakap tidak!"

Datin Khadijah menghembus satu nafas. Sekejap tangannya naik memicit kepala. Dia perlu bersabar.

"Maaf. Dijah tak ada niat nak tinggikan suara. Kalau abang berat hati nak serahkan hotel tu kepada Dijah, tak mengapalah.  Dijah faham..." keluhnya lantas bangun dari tempat duduk. Sengaja dia tayang muka kelat sebelum berpaling arah. Tanpa menunggu balasan daripada suaminya, dia menyusun langkah ke tangga. Dengan harapan, dalam kiraan tiga pasti orang tua itu akan menyeru namanya untuk kembali.

Tak percaya?

Dia melambatkan langkah demi langkah. Dalam masa yang sama telinga dipasang luas-luas, bersedia menangkap suara suaminya.

Satu...

Dua...

Ti...

"Dijah." Dato Idris akhirnya bersuara.

Langkah Datin Khadijah automatik terpasung disitu. Dia tidak terus berpaling, namun tetap menanti bicara daripada sang suami. Dalam tak sedar, bibir mengoyak senyuman penuh sinis.
Senang sungguh lelaki itu diperdayakan dengan lakonan biasa-biasanya.

Dari belakang, dia mendengar seolah-olah Dato Idris sedang bangun daripada tempat duduk lalu mendekatinya. Bahu kanan disapa lembut. Datin Khadijah masih belum menoleh.

"Baiklah, Abang ikut cadangan Dijah." Kata Dato Idris.

Makin panjang senyuman dibibir isterinya mendengar kata-kata itu. Dan saat ini, barulah Datin Khadijah memusing ke belakang. Riak wajah turut berubah memainkan emosi.

"Terima kasih sebab percayakan, Dijah."











                      
                    USAI menceduk beberapa lauk masuk ke dalam mangkuk tingkat, Lanun langsung menutup lalu dibawa bersama keluar dari dapur. Anak mata Hazel itu mengerling ke sudut kiri, menangkap Husna yang duduk bersila di atas tikar sambil melantak nasi berlauk ayam bakar. Berselera sungguh wanita itu menjamahnya, sehingga licin pinggan kotor itu tanpa meninggalkan sebutir nasi sekalipun.

Bibirnya mencorek senyuman nipis. Tak tunggu lama, dia menapak menghampiri Husna bersama mangkuk tingkat ditangan. 

"Husna, aku tinggalkan kau sekejap bolehkan?" Soal Lanun. Mengalihkan pandangan Husna ke arahnya. Kepala wanita itu sedikit terdongak. Paha yang cuma tinggal tulang itu dijauhkan dari mulut.

Sekejap mata Husna turun ke arah mangkuk tingkat yang dipegang, kemudian kembali naik menatap wajah redup Lanun.

"Awak nak pergi mana?" Soalan berbalas soalan.  Dah macam isteri pula tanya suami hendak ke mana malam-malam buta begini? Ah, peduli apa? Dia mahu tahu juga. Siap bawa mangkuk tingkat lagi. Entah-entah nak pergi ke rumah anak dara orang.

Eh, kalau Lanun nak pergi ke situ sekalipun, apa hak dia untuk menghalang? Adalah sekelumit rasa cemburu muncul dihati apabila terfikirkan tentang itu.

"Aku nak pergi ke rumah Odu. Hantar makanan ni sekejap. Selepas itu terus balik. Tak lama pun. Tapi kau tak takut duduk sorang-sorang, kan?" Ujar Lanun,  malah menyoal lagi jika Husna takut atau tidak jika ditinggalkan seorang diri.  Dia pun risau juga untuk meninggalkan Husna seorang di rumah walaupun cuma untuk seketika.

MR PIRATE [Complete]Where stories live. Discover now