Tidak mahu tidak, terpaksa jugalah Husna mengalah. Siapa suruh setuju awal sangat?

Mata dipejam sesaat. 'Nasib baiklah Mia tiada disini. Kalau tidak, pasti dia ketawakan aku.' Bisik hati Husna. Nafas dihembus perlahan. Mata kembali dibuka, memandang manusia yang lalu-lalang di hadapan mereka. Jantung tak henti berdegup daripada tadi. Gugup benar.

Mak, tolong jangan tengok apa yang Husna nak buat sekarang.

Topi jerami bahagian hadapan ditarik sedikit ke bawah menutup muka. Kepala ditunduk.

"Ikan... ikan... murah..." Husna berbisik. Tak berani untuk menjerit seperti mana Lanun lakukan. Itupu mukanya sudah meruap menahan malu.

"Kau cakap apa? Jangan kata pembeli, aku pun tak dengar. Kuat sedikit." Selamba Lanun mengarahkan dia menguatkan suara.

Husna ketap bibir. Ish, nak kena betullah si Lanun ini!

Kepala dilanjutkan semula. Walaupun dia masih tak yakin, namun kena juga kuatkan semangat dan mencari keberanian di dalam diri. Kedua-dua belah tangannya digenggam dengan kuat. Baiklah, dia akan buktikan kepada Lanun yang dia boleh lakukan.

Nafas ditarik sedalam yang mungkin lalu...

"IKAN! IKAN! MURAH! BELI DUA PERCUMA SATU! MARI BELI!" Jerit Husna sekuat hatinya. Turun naik nafasnya setelah ayat itu berjaya juga dilemparkan. Dan saat terpandang ada mata-mata yang menoleh ke arahnya, terus Husna tekup kedua belah tangannya ke wajah. Biru muka saat ini.

Ya Allah, malunya! Malunya!

Makin panas hati ini apabila mendengar suara Lanun yang mengertawakan dia disebelah. Nampak benar lelaki itu sengaja hendak membulinya disini. Dia sudah lakukan apa yang Lanun suruh, tetapi mana? Mana pembeli? Kenapa tetap tiada orang datang singgah?

Husna ketap bibir. Sah! Dia telah ditipu.

"Kurang ajar awak, Lanun! Benci! Benci! Saya benci awak! Awak sengaja nak malukan saya!" Herdik Husna, siap menampar lengan Lanun berkali-kali hingga dia puas. Geram sungguh!

Namun lelaki itu tetap sahaja ketawa seolah-olah tidak menerima kesan apa-apa. Makin kuat ditampar, makin kuat juga dia ketawa. Ish, tak boleh jadi ni! Anak mata Husna melilau diatas meja yang penuh haiwan laut itu, salah satu ikan kembung diambil lalu dihalakan ke mulut Lanun yang masih ketawa.

"Eh, apa ni? Puih!" Lanun tersentak saat bibirnya terasa sejuk. Tahu-tahu sahaja muncung ikan sudah mencium mulutnya.  Pantas tangan Husna yang memegang ikan itu digenggam, ditahan daripada menyumbat ikan kembung itu masuk ke dalam mulut dia.

"Nak gelak sangatkan? Nah, makan ikan ni!"

"Kotorlah, Husna! Oh, kau nak main kasar dengan aku ek? Kau tunggu kejap..." sebelah tangan Lanun meraba-raba diatas meja penuh ikan itu. Terus dia mencapai seekor ikan tongkol yang berada berdekatannya lalu diacukan ke bibir Husna sama.

Maka mulalah perang lawan ikan diantara mereka berdua. Sedaya upaya Husna mengelak bibirnya daripada tersentuh muncung ikan itu, dan begitu juga dengan Lanun.  Nasib lah kalau masuk betul-betul. Dapat makan shashimi fresh dari laut.

Pergaduhan manja mereka menanamkan satu rasa dijiwa. Peliknya, ia membahagiakan. Tak pedulikan lagi ada mata-mata yang memandang kearah mereka. Malah pengunjung di pasar itu juga turut tersenyum melihat mereka berdua. Tidak pula ingin menyampuk atau cuba untuk hentikan.

"Dik, akak nak beli ikan." Tegur suara wanita tua yang berhenti di hadapan gerai mereka. Semerta menghentikan perbuatan Lanun dan Husna. Mereka terkaku sejenak. Mata berkelip memandang sesama sendiri.

Lupa sebentar niat mereka ke sini untuk jual ikan, bukan untuk main sumbat-sumbat ikan ke dalam mulut.  Terus Husna meletakkan ikan yang dipegang ke tepi, begitu juga dengan Lanun.

MR PIRATE [Complete]Where stories live. Discover now