"Macam mana pula boleh ada anjing dekat tengah-tengah pulau ni? Shuhh! Shuhh!"

Alahai, halau anjing serupa halau ayam.

Tertelan air liur Husna tatkala melihat saiz tubuh anjing yang agak besar. Gigi taring yang tajam. Sekali gigit, pasti takkan lepas. Rasa-rasanya ia adalah baka German Shepherd. Berbulu coklat bercampur hitam ditubuh dan mukanya, telinga yang panjang dan mata hitam pekat kelihatan garang. 

"Grrrr!"

Anjing itu mengancing gigi tajamnya. Seolah-olah memberi amaran jika Husna berani melangkah keluar daripada rumah ini. Mungkin kaki cantiknya akan digigit.

Tak boleh!

Langsung Husna tarik kedua-dua belah kakinya rapat ke dada.

"Pergilah! Shuhh!"

Auk!

Anjing itu menyalak sekali lagi. Eh, dia faham ke apa aku cakap?

"Apa auk? Auk? Kalau kau berani gigit aku, jangan ingat aku tak berani gigit telinga kau juga!" Balas Husna, dingin.

Aduh, macam mana dia nak larikan diri kalau anjing itu langsung tidak bergerak daripada tempatnya? Nak baling tulang ayam pun, jangan mimpilah ada ayam ditengah pulau ini. Hendak kata ada objek berguna untuk dibaling, takkan dia hendak angkat almari kabinet itu? Itu bukan nak menghalau, tetapi membunuh...

"Ish, aku kata pergi! Pergilah!" Halau Husna. Malah anjing itu masih berkeras menyalak kepadanya.

"Bozo!"

Satu suara garau itu menegur. Sekelip mata anjing yang garang menyalak tadi berhenti. Kini dia duduk penuh sopan di hadapan tangga, siap menggoyang-goyangkan ekornya apabila melihat tuan mudanya sudah tiba membawa beberapa beg plastik.

Jatuh rahang Husna melihatnya.  Macam mana watak anjing garang itu boleh berubah 190 darjah? Siapa yang berani menjinakkan anjing sebesar itu? Terus pandangan Husna beralih ke arah lelaki berambut putih yang baru tiba di hadapan rumah.

Bibir terus mengetap. Dialah yang hentak leher aku tadi!

"Terima kasih tolong jaga dia. Ini untuk kau." Paha ayam dikeluarkan daripada salah satu beg plastik yang dibawanya, lalu diletakkan di atas tanah. Rantai pada leher anjing itu dibuka. 

"Ambil makanan tu, pigi makan sana." Arah Lanun.

Anjing itu serupa faham akan maksudnya. Paha ayam itu terus digigit lalu dibawa pergi. Setelah kelibatnya hilang, barulah lelaki itu mengalih pandangan memandang Husna yang masih terduduk di hadapan pintu.

"Kau patut keluar ikut tingkap kalau betul nak larikan diri." Ejeknya.

Panas pula telinga Husna mendengar. Tahulah cubaan melarikan dirinya gagal!

"Awak memang sengaja longgarkan rantai anjing tu, kan? Kalau dia gigit saya macam mana?!"

"Dia pun tahu manusia mana yang dia perlu gigit. Dia sengaja menyalak supaya kau takut nak dekati dia." Ujarnya.

Husna menjuih bibir. Yalah tu, cara anjing itu menyalak pun dia tahu yang sebenarnya hendak menyerang. Muka pun dah garang.

"Anjing mana tahu semua tu! Awak jangan nak menipu sayalah!"

"Bozo. Nama dia Bozo. Bozo tak macam anjing yang lain. Dia dah didik. Cuma akan menyerang kalau dia rasa kau adalah orang jahat." Ujarnya. Dan dengan selamba lelaki itu membuka seliparnya lalu melangkah masuk ke beranda rumah. Beberapa beg plastik berisi pakaian diletakkan disebelah Husna.

"Itu sahaja pakaian yang ada. Orang kampung dekat sini yang sedekahkan. Pakailah. Salin baju kau yang dah hapak tu." Ujarnya.

Husna terkesima. Hapak? Betulkah? Hujung baju ditarik ke hidung.  Ya Allah, busuknya! Pertama kali dirinya bau sehapak ini. Ah, itu semua tak penting. Kalau hapak sekalipun, dia takkan pakai pakaian yang telah digunakan. Bagaimana kalau ada bakteria? Nanti gatal seluruh tubuhnya yang sensitif ini.

"Saya tak nak!"

"Ikut kaulah. Yang busuk kau, bukan aku." Balasnya acuh tak acuh, lantas dia terus melangkah masuk ke dalam rumah. Membuka tingkap yang tertutup supaya ada udara yang masuk. Suasana rumah yang redup tadi pun bertukar cerah apabila cahaya matahari menembusinya.

Husna langsung bangun dari terus terduduk. Melangkah ke arah lelaki yang membelakanginya itu.

"Kenapa awak bawa saya ke sini? Saya dah kata, kan? Saya nak balik ke Ocean Resort!" Bentak Husna, geram.

"Duduklah dekat sini dulu. Nanti aku fikirkan cara nak bawa kau balik." Balasnya.

Husna menggeleng. "Saya tak nak! Saya tak nak duduk dekat tempat macam ini! Apa salahnya kalau balik sekarang? Ayah saya tu ada darah tinggi tahu tak? Kalau dia ingat saya dah mati nanti macam mana?"

"Baguslah kalau macam itu. Tak perlu aku bawa kau balik sampai bila-bila." Selamba dia berkata sambil menuju ke arah tilam yang terhampar dilantai. Dia duduk mencangkung. Melipat tilam itu membentuk segi empat lalu diletakkan dipenjuru dinding. Kemudian bantal ditepuk-tepuk sebelum disimpan ke tepi.

Aw, pengemas betul lelaki ni. Eh? Sekarang bukan masanya nak memuji!

"Apa maksud awak lebih bagus? Awak nak saya belajar hidup dekat tempat orang asli ni ke? Memang taklah! Saya tak suka tempat macam ni!" Bentak Husna, lagi.

Lelaki itu akhirnya berdiri. Memusing menghadap Husna. Ketinggiannya membuatkan wanita itu terpaksa mendongakkan kepala. Mata mereka saling bertentangan, mukanya pula langsung tak beriak senyuman. Baru kali ini Husna tidak berani meninggikan suara seperti tadi.

Takut pulak.

"Ini bukan kampung orang asli. Ini Kampung Tersorok. Kau kena duduk sini. Sampailah aku keluarkan perkataan, Kau. Boleh. Balik." Tekannya. Keras. Satu demi satu perkataan. Kalau tidak jelas juga, memang ada telinga yang bakal kena tarik.

Buat sejenak Husna telan air liur. Kesat. Pandangan lelaki itu buatkan dirinya terasa kecil untuk bersuara. Tanpa berkata apa lagi, lelaki itu kembali melangkah ke arah pintu yang terbuka luas.

Sampai sahaja di pintu, dia berhenti seketika. Menoleh memandang Husna yang masih lagi tercongok ditemoat yang sama.

"Kalau kau nak mandi, belakang rumah ni ada bilik air. Tuala, sabun, dengan pakaian semua ada dalam beg plastik tu. Cuma tudung sahaja yang tak ada."

Husna memusing ke belakang. Kalau tiada tudung, dia nak pakai apa?

"Tapi ada kain batik. Kau boleh tutup aurat kau dengan kain batik dulu sementara aku carikan tudung untuk kau nanti. Itupun kalau ada." Katanya, kemudian dia kembali menyambung langkah yang tergendala tadi. Entah hendak ke mana. Malas hendak ambil tahu. Hilang sahaja kelibatnya, Husna pun menuju ke arah beg plastik yang berada dilantai.

Dibuka untuk melihat isinya. Satu demi satu pakaian dibawa keluar. Ternganga mulut Husna setiap kali melihat baju yang diberi.

"T shirt aje?"

Haih, tak mengapalah. Janji ada juga pakaian hendak dipakai. Kemudian, dia membuka satu lagi beg plastik.  Katanya ada sabun.

Sekali lagi Husna ternganga.  Cuma sabun buku? Tak ada ke sabun berbentuk cecair? Husna mendengus. Kemudian kepala menoleh ke arah luar pintu, dari jauh dia lihat ada beberapa bot terdampar ditepi pasir. Mungkin orang kampung disini gunakannya semasa hendak menangkap ikan atau keluar masuk ke darat.

Sipi-sipi bibir Husna menyenget. Timbul pula idea gila dikepala. Yang pasti, idea gila itulah yang menarik. Inilah masanya dia membuat sesuatu
Yang tidak dijangka dek akalnya sendiri.
Lanun itu tidak boleh memaksanya untuk terus tinggal dikampung yang asing ini.

"Aku tetap akan keluar daripada sini nanti. Tunggulah!"

MR PIRATE [Complete]Where stories live. Discover now