"Saya datang sini nak berseronok. Bukan nak teringatkan hal yang dah lepas." Acuh tak acuh, Husna menjawab.

"Tapi mak tahu, Husna masih lagi marah pasal ikan goreng tu. Sebab itu mak ikut naik bot ni. Mak nak minta maaf dengan Husna." Ujar Datin Khadijah.

Husna tidak membalas apa-apa. Masih berpaling melihat ke arah pemandangan laut yang begitu luas.

"Tak mengapalah kalau Husna tak mahu minta maaf kepada mak. Biar mak yang minta maaf dengan Husna. Kali ini memang salah mak. Sepatutnya mak kena tahu apa yang Husna tak suka dan suka. Tapi nak buat macam manakan? Kita langsung tak pernah bercerita tentang itu."

Husna masih lagi diam.

"Apa kata mulai sekarang, kita berbaik? Jangan gaduh lagi demi ayah?"

"Apa sebenarnya yang mak cik nak daripada saya?" Terkacip-kacip gigi Husna, menoleh memandang Datin Khadijah dengan muka menahan geram. Antonasi suara sedaya upaya dikawal daripada meninggi. Cukup untuk mereka berdua sahaja yang mendengarnya.

Mata mereka saling berlaga.

"Mak tak nak apa-apa. Mak cuma nak kita jadi seperti keluarga yang lain. Kalau Husna masih lagi keras kepala, tidak mahu terima takdir... terpulanglah. Tapi mak tetap akan tunggu Husna terima mak walaupun benda tu ambil masa bertahun-tahun."
Ujar Datin Khadijah, penuh bersungguh-sungguh. Meyakinkan Husna bahawa dia tidak main-main lagi kali ini.

Tatkala Husna baru sahaja hendak membuka mulut,  bot yang membawa mereka kini semakin bergerak perlahan. Dan akhirnya berhenti ditengah-tengah pulau yang diberi nama Deep Ocean. Laut biru pekat yang kemungkinan kedalamannya 40 meter.

Mujurlah dia tiada  Thalassophobia, iaitu takut pada lautan yang dalam. Jika tidak pasti kakinya sudah menggeletar untuk cuba turun ke bawah.

Namun dalam masa yang sama, dia kagum melihat betapa dahsyatnya ciptaan Allah.  Mampu mencipta laut sedalam dan secantik ini. Kalau di dunia pun begini rupanya,  bagaimana di syurga kelak nanti. Pasti lebih memukau.

"Dekat sini Tuan Andikha kata sesuai untuk skuba diving. Tapi untuk yang tak ada lesen skuba, cukup berenang dekat atas sahaja. Kalau ada pelancong nanti,  memang kami akan bawa yang ambil pakej skuba datang ke sini. Sebab dalam sana, ada banyak binatang laut yang unik dan pelbagai jenis bentuk batu karang. Kalau ada rezeki, mungkin boleh jumpa anak jerung atau penyu. Tapi jangan risau, semuanya jinak. Tak ada kes makan manusia lagi." Ujar kapten bot itu. Memberi keterangan serba sedikit tentang Deep Ocean. Sempat lagi dia menyelit jenaka dihujung ayat.

Apa-apa pun, tetap kena berhati-hati dengan kawasan air laut. Bahaya boleh berada dimana-mana sahaja.

Sedangkan terangguk-angguk kepala Husna mendengarnya. 

"Dan ada satu kawasan lagi yang saya nak tunjuk." Katanya sebelum memandu bot itu menuju ke arah selatan. Lama juga. Dua puluh minit baru tiba di tempat itu sebelum bot diberhentikan.

Air lautnya nampak tenang. Jauh sedikit daripada kawasan Ocean Resort. Bukit-bukit kecil yang berada jauh pun tidak kelihatan. Seluruhnya cuma air laut.

"Dekat sini memang nampak tenang. Bahkan kawasan ni juga banyak hidupan laut yang lebih menarik. Tapi kawasan ni diberi nama Red Zone."

Mendengar perkataan Red zone, kepala Husna terus teralih ke arah kapten bot itu. Bahkan staff yang lain turut terkejut mendengar nama gelaran yang diberi. Bunyinya menakutkan.

"Kenapa Red zone?" Husna memberanikan diri untuk bertanya. 

"Tak pasti.  Tuan Andikha yang beri nama itu. Dan ini bukan kawasan untuk turunkan pelancong. Kita berhenti dekat sini pun sekejap sahaja sebab nak tunjuk. Takut-takut ada salah seorang dalam bot ni yang akan pergi sini. Tapi saya yakin, anda semua takkan beranikan?"

"Tuan Andikha tu siapa ya? Daripada tadi sebut nama dia?" Giliran Datin Khadijah pula bersuara.

"Andikha Rafael. Anak sulung Tan Sri Raqib. Dia dah lama duduk sini. Jadi dia lebih tahu kawasan mana yang elok dan tak elok. Sepatutnya hari ini dia join lawatan kita, tapi mungkin Tuan Andikha sibuk. Jadi dia tak dapat nak terangkan lebih lanjut kenapa tempat ni digelar Red zone."

"Apa akan jadi kalau kita turun ke sini juga?" Soal Husna. Tertanya-tanya.

Malah kapten bot itu menjongket bahu.

"Entah. Tapi yang pasti, bukan benda yang baik. Semua pemandu bot dah tahu tempat ni adalah larangan.  Jadi kalau ada salah seorang staff kami yang bawa anda ke sini, boleh laporkan kepada pihak Ocean Resort untuk diambil tindakan. Faham?"

"Faham..." balas mereka serentak.

"Baiklah, kalau dah faham kita akan bergerak ke lokasi seterusnya iaitu Ocean Park. Atau versi bahasa Melayunya taman lautan. Dekat situ banyak ikan-ikan jinak. Boleh bagi makan, kita ada sediakan roti. Dan boleh pegang.  Let's go!"

Maka bot mereka pun meluncur pergi daripada kawasan Red zone itu. Tatkala mata Husna masih lagi memerhati lokasi larangan. Entah mengapa hati ini rasa tak enak sejak berada disana. Rasa seolah-olah diperhatikan dari jarak jauh. Tapi tak mungkinlah, mana ada manusia yang lain disini selain mereka yang berada di dalam bot.

Ah, sudahlah. Tak perlu serabutkan kepala.  Dia mahu berenang bersama ikan sepuas-puasnya hari ini.

                     

MR PIRATE [Complete]Kde žijí příběhy. Začni objevovat