Dari tempat menunggu, Nuh melihat pintu utama rumah beratap biru itu dikuak dari dalam. Terserlah wajah Nia di sebalik pintu dan turut kelihatan juga dibelakangnya ada 3 orang jejaka yang tidak kurang hebat tampannya.

Nia tersenyum lebar sambil mengangguk bila salah seorang dari mereka berkata sesuatu kepadanya. Nuh memerhati lagi. Dia perasan salah seorang dari mereka bertiga itulah lelaki yang dia nampak sedang makan tengahari bersama Nia tempoh hari. Nuh menolak pintu kereta dan mendekati Nia dan kumpulannya di situ.

"Ehemm.." Nuh berdeham, sekadar memberitahu tentang kewujudannya.

Seperti yang dia inginkan, mereka berempat menoleh kepadanya. Nuh tersenyum sebelum merapati mereka berempat, sengaja berdiri rapat dengan Nia. Tidak dia pedulikan muka kepelikkan Nia yang memandangnya.

Haruslah Nia pelik, sebelum ini banyak kali jugalah Nia mengajaknya dengan Luqman berkenalan dengan rakan kumpulannya tapi dia yang sombong, tak nak. Tapi lain pula jadinya kali ini.

"Emm... hai abang Nuh. Mana abang Luq?" Nia mematikan situasi yang dirasakan agak canggung. Bukannya dia tak perasan macam mana raut wajah seorang demi seorang bila Nuh tiba-tiba muncul dan berdiri di sisinya.

"Emm, ni Nia kenalkan ahli kumpulan violet. Abang Zam, abang Bai dan ini, abang Zaen. Abang Zam, abang Bai dan abang Zain, ni abang Nuh. Anak angkat abah." Sambung Nia setelah tiada balasan dari Nuh tentang keberadaan Luqman.

Masing-masing berjabat tangan. Bila tiba giliran Nuh bersatu dengan tangan Zaen Haidar, agak lama tangan itu berpaut disitu. Nia yang ada ditengah-tengah pandang dua jejaka itu bergilir-gilir.

"Abang Nuh..." seru Nia.

Nuh merenggangkan pautan tangannya. Begitu juga dengan Zaen Haidar. Masing-masing membisu sambil menjatuhkan tangan. Mata tidak terlepas dari bersabung.

"Dah habis practice untuk hari ni?" tanya Nuh kepada Nia sekadar berbasi-basa.

Padahal bukannya Nuh tidak tahu tepat jam 6.30 petang, maka berakhirlah sesi latihan Nia. Lebih dari jam itu, abah minta Nia duduk di rumah sahaja. Malam, waktu untuk Nia ulangkaji pelajaran. Itu syarat abahnya. Nak tak nak ahli kumpulan itu harus bersetuju dengan syarat Tuan Ahmad Zakri. Yang penting bagi mereka, Nia boleh ikut serta dalam kumpulan mereka.

"Dah. Mana abang Luq?" Nia sekali lagi bertanya keberadaan Luqman. Dia tak selesa berdua dengan Nuh. Itu point utamanya.

"Dia busy sikit. Jadi abang datang sorang. Tak ada masalah kan?"

Nia cuma menggeleng tapi hatinya mula berkata-kata.

'Abang? Hanya 'abang'? Okay, pelik kuasa dua mamat k-pop ni!'

"Bila competition tu?" tanya Nuh, beralih kepada ketiga-tiga lelaki di hadapannya.

"Lusa. Doakan kami ya? Nia dah berusaha keras nak menang dalam pertandingan tu," jawab Zaen mewakili yang lain sambil tersenyum mesra kepada Nia.

Nuh sempat lihat senyuman Zaen itu. Dan dia juga sempat lihat reaksi Nia yang tersimpul malu bila Zaen berkata begitu. Hatinya berdetik ada sesuatu di antara mereka berdua. Nuh senyum senget, dengan reaksi malu-malu kucing Nia.

"Hishh mana ada abang Zaen. Setiap orang dah berusaha dengan sebaik mungkin untuk sampai ke tahap ni. Nia cuma backup je kalau ada berlaku apa-apa." Nia merendah diri, sangkal dakwaan Zaen.

"Mana ada backupnya. Nia kena ada. Kalau Nia tak ada, tak menjadi semua band kita tau. Nia kan satu-satunya bunga dalam band kita ni. Macam boys over flower."

Nia ketawa kecil. Nuh jongket kening pandang Nia, otaknya blank sekejap.

"Boys over flower? Oh... faham-faham." Nuh sambung kemudian. Sedikit lambat menangkap maksud Zaen itu.

NJ. Ini Kisah Kita. Où les histoires vivent. Découvrez maintenant