PROLOG

290 13 0
                                    

ENTAH mengapa, aku dapat rasakan renungan daripada seseorang, tapi untuk melihat siapa yang tenung, aku rasa gugup. Rasa berdebar tak sudah sampaikan aku keliru kerana tetamu yang ramai atau debaran kerana renungan yang menembusi kepalaku.

Kalaulah renungan itu peluru, sudah lama aku innalillahiwainnailaihirojiun. Tajam betul. Sudahlah rimas dengan tetamu yang padat, diri pula rasa seperti diperhati.

Apa, cantik sangat ke aku sampai makhluk Allah yang satu itu tenung aku sampai begitu sekali?

Macam perasan sangat saja aku ni. Entah-entah, yang tenung tu benda yang tak nampak dengan mata kasar. Ha, sudah. Itu lagi nauzubillahiminzalik. Minta dijauhkan!

"Fia, boleh ambilkan air mineral tak?" laung angah dari jauh.

Aku merengus lemah. Dia ingat aku pekerja kedai ke? Boleh minta macam itu?

Eh, pergilah ambil sendiri. Tuhan dah bagi nikmat tulang empat kerat. Elok dan sempurna ada dua tangan dan dua kaki. Ini tidak, buli adik saja tahu!

Tapi, tak pula aku muntahkan kata-kata itu kepadanya. Mahu kena luku kalau aku cakap semua itu depan mukanya.

"Mak su pun nak, Fia!"

"Pak lang nak juga."

"Ambilkan untuk pak ngah sekali ya."

Memanglah aku ni pelayan di majlis kenduri kahwin along ni kan. Semua orang boleh main oder saja nak apa.

Aku angguk sahaja. Lalu, kaki aku atur ke khemah di mana angah dan sepupu-sepupuku duduk.

Ada lelaki asing di situ.

Aku tahu dia bukan ahli keluarga kerana dia mengenakan baju Melayu ungu. Ahli keluarga kami semua sedondon, berpakaian serba krim atau kuning air.

Langkah terasa pincang, tapi tetap aku atur ke khemah pertama.

"Fia, nanti tolong isikan air basuh tangan ya, sayang. Mak nak jumpa kawan-kawan mak kejap," pesan mak.

Aku angguk sahaja. Tak angguk nanti kena marah dengan Puan Sri. Seram!


MEJA angah aku dekati dengan hati yang menggerutu.

"Nah," ucapku sambil berdiri menghadapnya.

Angah tayang senyum lebar, lalu mencapai dua botol air mineral.

"Bagi lagi dua kat pak lang dengan pak ngah," arahnya sambil menghulurkan satu lagi botol kepada mak su.

Aku hanya akur, berjalan ke meja pak cik-pak cik aku dengan sedikit canggung. Aku tak berapa rapat dengan pak cik atau mak cik saudara aku. Bagi aku, mereka buat aku rasa kekok. Tak selesa sebab mereka suka bercakap tak henti.

Lagipun, aku memang pendiam. Introvert.

"Terima kasih," ucap mereka serentak dan aku balas dengan senyuman janggal.

Kemudian, aku berlalu untuk membuat tugasan yang mak bagi. Isi air basuhan tangan. Okeylah, sekurang-kurangnya, mak tak suruh sambut tetamu.

Paip getah berwarna kuning aku tarik dari hujung laman rumah sampailah ke tempat basuhan tangan di bawah porch. Aku buka bekas air, lalu isinya dengan muka yang panas dek bahang matahari.

Ekor mataku menangkap susuk tubuh yang datang menghampiri.

Janganlah datang basuh tangan lagi. Aku baru nak isi ni! Jangan bagi aku pressure. Pergilah duduk dulu. Tambah makanan ke, pergi makan kambing golek ke. Jangan tunggu aku isi air! getusku dalam hati.

"Nak basuh tangan, boleh?" soalnya sambil berdiri dekat denganku.

Suara garau, nada lembut. Suara mamat poyo. Mat bunga. Wah, baru dengar suara, aku dah mula menghukum.

Keningku bertaut rapat, tapi kepala tetap aku angguk. Aku keluarkan paip getah itu dari bekas air untuk hulur kepadanya dan...

Mulutku terlopong. Dia hanya ketap bibir dengan muka pasrah. Aku terus lepaskan paip getah sambil memandang kesilapanku.

Lencun!

Seluarnya sudah lencun sebab aku terhulur paip ke arah seluarnya. Aduh! Ya Allah, apa nak buat ni? Sudahlah dia tetamu. Aku pergi mandikan kaki dia pula.

"Ya Allah... Aafia Darmia!" Suara mak yang mengaum buat aku semakin cuak.

Habis! Memang aku kena ganyang dengan mak nanti.

Aku panggung kepala untuk memandang mangsa kecuaianku. Mahu meminta maaf, tapi satu patah ayat pun tidak terkeluar dari mulut. Aku hanya merenung anak matanya sebelum bahuku dipukul kasar.

"Kenapa pergi siram tetamu kita? Habis lencun!" marah mak sambil menggosok semula bahu yang dipukul tadi.

"O-orang tak sengaja," gumamku perlahan, menunduk memandang kasut Converse hitam lelaki itu yang turut basah lencun.

"Maaflah ya. Anak mak cik ni cuai sikit. Mehlah, mak cik pinjamkan seluar Khai." Mak memohon maaf kepada tetamu itu.

"Eh, tak apa, mak cik. Saya tak kisah sebenarnya. Dia tak bersalah. Saya yang salah, buat dia terkejut. Itu yang dia tersiram saya," ujar lelaki itu.

Aku pejam mata seketika. Terharu dia sanggup membelaku, padahal aku yang salah.

"Eh, tak apa. Mak cik sarankan tukar aje seluar," kata mak lagi. Berkeras.

Bahuku dicuit.

"Pergi ambilkan tuala dan seluar dalam bilik angah," arah mak, tegas.

Aku angguk. Dapat aku rasakan lelaki itu membuntuti langkahku. Sempat aku dengar dia bersembang dengan along di tingkat bawah sebelum mengikut aku naik ke tingkat atas.

Tanganku menggamitnya supaya menunggu bersama budak-budak di tingkat bawah sementara aku mencari seluar dan tuala untuknya.

"Hmm? Nak suruh saya tunggu sini ke?" soal lelaki itu.

Dah tu, nak ikut aku masuk ke bilik? Eh, aku tanam kau hidup-hidup kalau kau ikut aku ke bilik!

"Okey aje tunggu sini. Pergilah cari apa yang patut. Cerita ni macam best aje. Eh, boleh duduk ke? Sofa leather, tak apa, kan? Nanti saya lap balik mana yang basah. Boleh, kan?" Bertalu-talu lelaki itu bersuara.

Aku hanya mengangguk, kemudian berlalu ke bilik untuk mencari tuala bersih. Usai mencapai tuala bersih, aku keluar dan masuk ke bilik angah pula untuk mencari seluar.

Lama aku menggali almari angah, tapi satu pun tak kena dengan baju Melayu ungunya. Akhirnya, aku mengeluarkan seluar jogger berwarna hitam.

Mana aku tahu saiz pinggang dia. Dibuatnya saiz angah dan dia berbeza, siapa yang kena cari seluar lain? Aku juga! Jadi, seluar jogger ini sahaja yang nampak sesuai.

Aku ketap bibir sebelum menapak keluar. Dalam paksa rela, aku mendekati lelaki itu yang sedang asyik menonton televisyen itu. Keningku bertaut bila melihat anak saudaraku, Sofea, duduk di sebelahnya. Bukan setakat duduk ya, siap peluk lengan!

Mata lelaki itu beralih, memandangku. Matanya melekat pada mataku sebelum dia larikan matanya kepada Sofea.

"Abang nak tukar seluar kejap, Sofi. Nanti abang datang balik," katanya dengan lembut.

Abang? Awak kategori pak cik sebenarnya. Tak layak dah jadi abang.

"Itu seluar untuk saya ke?" soalnya kepadaku.

Aku angguk sambil menghulurkannya. Dia menerima dengan senyuman manis.

Mata kami bertembung. Aku juga tidak dapat melarikan mataku daripada terus bertentangan dengannya. Seperti ada magnet yang sedang menarik mataku untuk terus memandang.

"Terima kasih, Aafia Darmia," ucapnya lembut.

Mata dia cantik. Hazel with a green fleek.

"Boleh masuk bilik mana ya?" soal lelaki itu lagi.

Aku tuding jari ke bilik angah. Dia senyum, menayangkan giginya yang tersusun cantik. Kemudian, menghilang di sebalik pintu bilik angah.

Kenapa muka aku tiba-tiba rasa panas?

PROFESSIONAL OVERTHINKERWhere stories live. Discover now