PERMULAAN

0 0 0
                                        

“Sah,”

“Alhamdulillah,”

Wajah yang daripada tadi hanya menunduk, kian tertunduk sebaik mendengar perkataan demi perkataan yang dikeluarkan. Air mata yang daripada awal hanya bertakung di pelupuk mata terus mengalir membasahi wajahnya. Perasaan sebak yang daripada awal cuba disembunyikan akhirnya tewas.

Dalam pada sedang melayan perasaan, tubuhnya terasa dirangkul arah hadapan. Membuatkan wajahnya yang sudah basah dengan air mata terus berlaga dengan bahu orang yang merangkulnya. Yang dapat dipastikan, orang tersebut adalah lelaki.

“Maafkan ayah,” bisik seseorang. Tepat di tepi telinganya.

Mendengarkan itu makin deras air mata yang turun. Ya Allah, sesungguhnya dia benar-benar sebak. Mendengarkan suara ayahnya sahaja berjaya membuatkan air matanya semakin deras turun. Tanpa mempedulikan pandangan orang lain, terus tubuh si ayah dirangkul. Membalas rangkulan si ayah.

“Ehem... ayah pengantin perempuan, bagilah peluang pada pengantin lelaki. Kesian pengantin lelaki kita ni hah, termenung dia,” teguran daripada siapa entah, terus membuatkan pelukan anak-beranak itu terlerai.

“Oh iyalah...” air mata yang mengalir tadi terus dikesat sebelum memandang ke arah lelaki yang kini sudah sah menjadi suami kepada anak perempuan tunggalnya. “Maaflah, tak dapat kawal perasaan pula,” sahut Encik Suhaimi si ayah ingin menutup perasaan sebenarnya.

Sedangkan si dia, pengantin lelaki sekadar tersenyum ala kadar. Memang daripada tadi reaksinya hanya begitu. Kosong dan hambar. Sama seperti perasaannya. Pandangannya jatuh ke arah pengantin perempuan yang daripada tadi hanya menunduk. Sesekali dia nampak perempuan itu seperti sedang mengelap air mata yang masih jatuh.

“Hah pengantin lelaki, apa lagi. Cepat salam pengantin perempuan tu. Termenung pula dia,”

Spontan Naila, si pengantin perempuan mendongak. Dan waktu yang sama pandangannya berpaut pada pandangan si dia. Tajam dan dingin. Itu yang dirasakan oleh Naila untuk saat itu. Sejujurnya, ini baru kali kedua dia memandang wajah lelaki yang sudah sah bergelar suaminya. Pertama kali ketika lelaki itu datang meminang dan sekali gus bertunangan dengannya. Itu pun hanya pandang curi-curi. Selepas itu langsung mereka tidak bertemu. Dan Naila sendiri yakin yang lelaki itu pun bukannya ingat wajahnya bagaimana.

“Kenapalah hari ini pengantin lelaki dengan perempuannya banyak termenung. Kalau nak main tenung-tenung pun nantilah. Tunggu semua orang dah balik, hah nak tenung puas-puas pun boleh,”

Wajah Naila automatik berubah rona mendengar usikan begitu. Masakan tidak, masuk kali ini sudah kali ketiga mereka ditegur. Semuanya daripada orang yang sama. Daripada salah seorang makcik sebelah arwah ibunya.

Mendapat dorongan daripada orang lain, terus si dia duduk berhadapan dengan Naila. Bekas cincin yang dihulurkan, diambil lalu dikeluarkan cincinnya sebelum disarung ke jari manis Naila. Semuanya dilakukan cukup bersahaja. Dan apabila tiba giliran Naila hendak berbuat hal yang sama, entah kenapa perasaan gugupnya semakin menjadi. Dapat dirasakan yang tangannya terasa seram sejuk. Mungkin sahaja disebabkan ramai mata yang memandang dan beberapa daripadanya mengabdikan momen tersebut ke dalam kamera.

“Mama...” dan serentak semua mata memandang ke arah seorang kanak-kanak perempuan yang berlari ke arah mereka. Dan baru kali ini wajah si dia terukir dengan senyuman. Semuanya disebabkan kanak-kanak kecil itu.

Untuk Naila, dia tahu kehidupan baharunya bakal bermula pada detik itu. Detik di mana dia sudah sah bergelar isteri kepada seorang lelaki bernama Adi Hadif. Seorang Naila bukan hanya perlu menyandang status sebagai seorang isteri sebaliknya perlu menyandang status sebagai seorang mama untuk dua orang kanak-kanak lelaki perempuan di hadapannya kini.

‘Ya Allah, berikanlah aku kekuatan,’ bisik Naila apabila pandangannya jatuh kepada kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di sisi kanak-kanak perempuan tadi. Wajahnya jelas menunjukkan yang dirinya tidak diterima oleh mereka. Kecuali untuk si adik.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jan 19, 2023 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Love Me Where stories live. Discover now