3: KECEWA

1.6K 13 0
                                    


PANJUL keluar dari kereta terkocoh-kocoh berlari anak, pintu bahagian penumpang perlu dibukankan olehnya. Tetapi, nampaknya dia tidak perlu sesusah itu. "Eh, Yaz dah keluar? Baru Pakcik Jul nak bukakan," katanya.

Tersenyum Yazid. "Ala, nak susah-susah bukakan pintu untuk Yaz buat apa, Pakcik Jul? Yaz bukannya putera raja." Bapa saudaranya dihampiri setelah menutup pintu.

"Memanglah bukan putera raja. Tapi Yazkan anak buah kesayangan Pakcik Jul. Excited gila Pakcik Jul bila Yaz balik ni, tau." Panjul lalu beralih ke bot belakang untuk membawa keluar barang-barang milik Yazid.

"Pakcik Jul, tak payahlah susah-susah. Yaz boleh bawa sendiri."

"Tak apa, Pakcik Jul tengah ada kat sini ni Pakcik Jul tolonglah apa yang patut. Kejap lagi Pakcik Jul nak ke rumah Pak Ngah Arsyad pulak. Majlis si Ikha tu kan dah dekat. Bolehlah Pakcik Jul bantu-bantu diorang. Pak Ngah tu dahla tak berapa sihat."

"Majlis Ikha?" Yazid bertanya.

"Iya! Ikha tu dah nak bertunang. Yaz tak tahu ke?"

Riak wajah Yazid tiba-tiba hilang. Buat beberapa saat dia terpaku hilang kata-kata.

"Pakcik Jul. Yaz nak ikut boleh?" bicaranya.

"Nak ikut ke rumah Pak Ngah?"

Yazid hanya menjawapnya dengan anggukan laju.

"Oh, boleh je. Mesti Pak Ngah suka tengok Yaz dah balik."

"Kalau macam tu jomlah, Pakcik Jul. Tunggu apa lagi?"

"Eh, takkan secepat itu? Kalau iyapun pergilah jumpa mama Yaz dulu. Papa Yaz tak ada, outstation ke Sabah seminggu." Pelik si Panjul melihat keterburu-buruan Yazid yang tidak sabar-sabar mahu ke rumah Cikgu Arsyad. Sampai tak menyempat nak masuk ke rumah orang tuanya sendiri.

"Betul cakap Pakcik Jul tu, Yaz. Kalau iyapun marilah masuk dulu. Tak rindu mama ke?" Jamilah muncul di pintu lalu melangkah menghampiri tempat anaknya.

"Ma!" Barulah Yazid mengurungkan niatnya mahu terus bergerak. Syurga paling utamanya telah menghampiri. Dialah yang perlu didahulukan dalam hal apapun.

"Mama apa khabar?" Tangan wanita itu dicium beberapa kali selesai melepaskan rindu dengan pelukan.

"Mama sihat, Yaz. Alhamdulillah! Papa je tak ada. Biasalah papa tu, busy memanjang. Marilah masuk, nanti kita pergi ke rumah Pak Ngah sama-sama," kata Jamilah. "Jul. Sudah tak payah angkat barang si Yaz tu. Biar dia angkat sendiri. Dia lelaki, kot! Mari masuk, kita minum sama-sama."

"Ala, alang-alang, Long. Biar jelah Jul angkat."

Maka dibiarkan saja Panjul meneruskan kerja apabila adik bongsunya itu berkeras mahu meneruskannya. Jamilah berasa simpati kadang-kadang terhadap si Panjul. Usia sudahpun mencecah 45 tahun, tetapi masih belum bertemu tambatan hati untuk membina rumahtangga. Sikap ringan tulangnya pula membuat dia dan juga Cikgu Arsyad amat menyayangi adik bongsu mereka itu.

Panjul juga sudah membeli rumah yang terletak di antara rumah Jamilah dan juga Cikgu Arsyad. Tujuannya supaya dia boleh berulang alik ke rumah kakak dan abangnya itu setiap kali diperlukan.

Sebab itu Yazid mahupun Zulaikha sangat rapat dan juga amat menghormati bapa saudara mereka itu.

***

BERSAMA Panjul dan juga mamanya, Yazid kini sedang menuju ke rumah Cikgu Arsyad. Petang itu juga mereka bertolak. Kebetulan letaknya tidaklah begitu jauh. Sekitar 15 minit sahaja dari kediaman mereka.

Dalam kiraan masa yang huraikan merekapun tiba dengan selamat. Hanya melalui jalan pekan yang tak begitu sesak, selanjutnya mereka terus tiba di kampung Zulaikha.

24 Hours Nightmare (SLOW UPDATE)Where stories live. Discover now