BAHAGIAN 1

200 12 0
                                    

Safiyya menggeleng perlahan sambil memandang Uwais yang tertidur separa kebasahan di tempat duduk penumpang belakang melalui pantulan cermin pandang. Jiwanya digigit-gigit simpati melihat anak lelakinya itu kepenatan. Sebagaimana kecewanya Safiyya pada Haqim, hati kecil Uwais pasti diikat sekalung kecewa yang menggila. Alangkah terkilannya Safiyya apabila, Haqim ternyata lupa mengambil Uwais pulang dari kelas KAFAnya. Sebaik sahaja Safiyya menerima panggilan daripada Ustazah Khawlah, selaku guru kelas Uwais – memaklumkan bahawa sudah hampir sejam setengah dia menemani Uwais sendirian di pondok bas menantikan Haqim, Safiyya terus ambil keputusan pulang awal dari pejabatnya meredah dentam-dentum hujan di tanah Johor Bahru saat itu. Safiyya dihurung sayu berteman lelah.

Safiyya sedar. Ini bukan kali pertama Haqim terlupa mengambil Uwais pulang dari kelasnya. Sudah beberapa kali Uwais menangis saat diambil lewat oleh Safiyya. Hati siapa tidak dihurung sayu melihat anak itu yang sudah mula alah bisa tegal biasa? Tadi, Safiyya dapat membaca riak Uwais yang jelas terkilan namun barangkali dek ego lelakinya, Uwais hanya berdiam diri sehingga terlena sendiri.

Safiyya membelokkan stereng untuk kenderaannya mengisi ruang parkir di hadapan rumah agam milik Haqim. Dia cuba memujuk dirinya sendiri. Istighfar menemaninya buat sementara waktu kerana tidak mahu melenting di hadapan Haqim yang dia lihat mula menapak menghampiri Suzuki Swift putih miliknya.

"SubhanAllah, kesian anak Abi. Maaf Fiya, Abang betul-betul lupa nak ambil Uwais tadi. Leka uruskan Khadijah." Ujar Haqim saat dia menggendong Uwais masuk ke dalam rumah. Safiyya hanya tersenyum kelat. Khadijah Hawa. Sebaris nama yang acap kali terluncur keluar dari bibir Haqim sejak dua menjak ini.

Safiyya disapa senyuman yang dihadiahkan oleh Najah yang sedang duduk di ruang tamu bersama Khadijah dalam kendongannya. Alhamdulillah, setelah hampir dua belas tahun Haqim dan Najah berumah tangga, Allah mengurniakan seorang puteri penyeri rumah tangga mereka bernama Nurul Khadijah Hawa Binti Haqim Radzwan. Safiyya sekadar memulangkan sekuntum senyuman nipis. Dia penat. Bebanan perasaan dan kerja yang memberatkan anjung fikirannya hampir-hampir meruntuhkan mahligai warasnya. Dia hanya mahu membersihkan diri dan menutup mata buat seketika waktu.

"Fiya." Belum kakinya sempat mendaki separuh tangga, Haqim menegurnya dari tingkat pertama.

"Abang minta maaf. Abang betul-betul terlupa. Aba-"

"Tak apalah Abang. Fiya faham. Lagipun ini bukan kali pertama. Cuma anak abang tu; nanti tak apa, biar Fiya pujukkan untuk abang. Fiya naik dulu ya Abang." Safiyya laju mendaki anak tangga utama rumah agam itu.

Haqim terdiam. Dia sedar, ucapan Safiyya tadi berbaur kecewa dan kecil hati. Tipulah jika dia tidak dapat menangkap butir-butir bicara bersalut cemburu yang dituturkan oleh isteri keduanya itu. Sungguh dia terlupa langsung untuk menjemput Uwais pulang dari kelas KAFA petang tadi. Khadijah tiba-tiba meragam sejak pulang dari rumah pengasuhnya. Terlalu ralit melayan Khadijah tanpa sedikitpun menjenguk masa sehinggalah Safiyya menelefonnya tadi.

-

Safiyya melangkah masuk ke dalam bilik Uwais. Dia mengukir senyum melihat anakandanya itu lena berselimut mimpi. Dia duduk di birai katil mengusap-usap ubun-ubun kepala Uwais yang mencecah 5 tahun kini. Safiyya menahan tangis. Dia tahu Uwais bukan darah daging Haqim. Bukan salah Uwais menjadi anak tiri Haqim. Sebesar apakah tembok yang mula terbina antara Uwais dan ayah tirinya sehingga dia dilayan seakan orang luar di rumah ini? Anak kecil itu sedikit terganggu dek gangguan Ibunya sebelum datang Haqim menepuk-nepuk punggung Uwais mendodoikan anak kecil itu.

Safiyya berdehem perlahan. Dia bangkit berkira-kira ingin keluar dari bilik Uwais sebelum Haqim memagut pergelangan tangannya.

"Abang nak cakap sikit boleh?" Safiyya sekadar mengangguk. Bibirnya dia kunci rapi. Barangkali dek sisa terkilan yang mula membentuk hamparan dalam hatinya. Dia keluar dahulu diikuti Haqim yang lantas menutup pintu bilik anak bujangnya.

ESKAPISME 2 | SHORT STORYWhere stories live. Discover now