Penampakan di Hujung Tandas

7 0 0
                                        

Kehidupan sebagai pelajar tingkatan 1 di asrama kebanyakan waktunya mengikut rutin dan peraturan asrama itu sendiri. Keluar asrama 6:50 pagi, sarapan dan terus ke tapak perhimpunan. Setelah seharian di kawasan sekolah, kehidupan pada waktu malam di asrama pun bermula. Usai bacaan al-Mulk, tibalah masa untuk light off. 

Sebelum light off, aku dan seorang rakan ke tandas untuk melakukan rutin sebelum tidur; menggosok gigi, membasuh muka, mengambil wudhu'. Malam itu tidak ada apa-apa yang pelik, semuanya tampak biasa sahaja.

Pap! 

Terkelu kami berdua di depan cermin tandas, tiba-tiba saja semua blok di asrama blacked out! 

"Terkejut aku, nasiblah ada lampu jalan oren ni. Kau tunggu aku tau, aku nak siap dah basuh muka ni," sambil cepat-cepat tanganku mencuci keseluruhan muka. Sambil-sambil itu juga mataku melilau ke luar tandas. Rakanku di sinki sebelah mengangguk laju sambil dia juga menggosok gigi dengan pantas.

Mujur saja ketika asrama blacked out, tandas yang berada di bahagian depan sekali di koridor berdekatan dengan jalan utama. Jadi, kami yang berada di tingkat 4 selaras saja dengan lampu jalan yang memancarkan cahaya orennya itu. Samar-samar juga lampunya tetapi memadai untuk kami sekadar membasuh muka dan menggosok gigi itu.

Tandas di asrama itu luas, ada 8 tandas, 8 shower room, satu kolah, dua depa tempat membasuh baju dan 4 sinki berserta cermin yang besar, cukup luas untuk melihat sehingga ke hujung tandas. Tiba-tiba, bulu roma tengkuk berdiri tegak, seram sejuk jadinya. Aku melihat Jalita di sebelah sudah mula mencuci muka. Kemudian, pandanganku teralih ke luar tandas.

Entah mengapa keadaan menjadi senyap sunyi, adakah disebabkan blacked out ini semua orang terus masuk dorm dan terus tidur? Telingaku hanya mendengar bunyi air di sinki dan bunyi Jalita menggerakkan laju jari-jemarinya menonyoh muka.

"Ita, cepat sikit weh, tiba-tiba rasa seram sejuk pula ni," sambil aku mengemas-ngemas barang dalam bakul mandian. 

"Jap, jap, nak siap dah."

Entah mengapa juga, aku melihat muka di cermin dan pandanganku terus terpandang satu susuk di hujung tandas. Hah! Apa benda tu? bentakku dalam hati.

Cepat-cepat aku mengalihkan pandangan ke luar tandas. Aku melihat cermin sekali lagi dengan sekali lalu kerana tiba-tiba saja aku berasa ingin melihat semula, jelas sekali penampakan yang tinggi itu, dibaluti kain putih lusuh yang sedang menatap kami berdua!

"Ita!" aku menjerit sekuat hati lalu merentap tangannya, cepat-cepat aku menariknya berlari ke luar tandas terus masuk ke dalam dorm. 

"Weh, kenapa? Aku tak siap kemas lagi barang aku," ujar Ita yang tercungap-cungap kerana berlari tadi. Mukanya tampak keliru sekali. "Kenapa? Kau nampak hantu ke?" tanyanya lagi.

"Shhh, jangan sebut. Aku takutlah, aku nampak jelas sangat tadi," bisikku. Berombak dadaku dek bernafas laju. 

"Takpe Ita, esok pagi je lah kau kemas barang kau, tak payah pergilan tandas tu, black out lagi ni," pujukku, risau benar kalau nak ke tandas lagi. Rakan-rakan dorm yang lain mula pelik dengan kami yang cakap berbisik-bisik itu. 

Keesokan paginya, barulah aku mula bercerita kepada rakan-rakan dorm yang lain tentang kejadian malam tadi. Tinggi, lusuh, buruk dan terlampau menyeramkan! Ah, kenapalah aku boleh nampak?

Cerita Seram AsramaStories to obsess over. Discover now