"Ayla sibuk tak lepas ini? Mak Uda nak minta tolong hantar chicken kabsa ke rumah Aunty Azizah." Puan Hawa ulang semula soalannya.

"Aunty pernah cakap dengan Mak Uda kalau masak makanan Arab, bagi dia sikit. Ayla tolong Mak Uda bagi, ya nak. Beritahu aunty, Mak Uda kirim salam sekali. Ada masa Mak Uda jumpa aunty."

Terus laju degupan jantungnya bekerja ketika ini.

"Mak Uda ikut sekali," ajaknya. Taklah rasa segan jika dibawa Puan Hawa sekali bersamanya ke rumah Puan Azizah. Belum pergi lagi dia sudah membayangkan suasana di sana ketika bersemuka dengan wanita itu.

"Mana boleh, kan Tok Abah dengan Tok Umi datang. Tolonglah Mak Uda. Banyak kerja nak kena buat. Karang Tok Abah bising dengan Mak Uda."

"Yalah." Terus kaki melangkah ke tingkat atas untuk menukar pakaian.

"Kamu takut terserempak dengan bekas tunang kamu ke kat rumah tu?"

Ayla diam menyepi. Dia bukan takut, tapi lebih kepada mengelak untuk bersua muka. Cukuplah jumpa di Petronas dan supermarket. Dia tak nak jumpa lelaki itu lagi.


KAWASAN rumah dua tingkat itu dipandang lama oleh Ayla seraya melilau mencari sebuah kenderaan di dalam kawasan rumah tersebut. Nafas lega dihembus perlahan. Keluar saja dari perut kereta, kelihatan susuk tubuh seorang lelaki berusia sedang bersandar di sebuah kereta mewah berwarna hitam.

"Uncle," tegur Ayla sopan berserta segaris senyuman.

"Uncle nampak kereta Ayla tadi, itu yang uncle buka pagar."

"Terima kasih. Uncle buat apa kat luar?"

"Tengah buang masa," jawabnya dengan niat bergurau. Sudah lama tak bersembang, sedikit pun tiada rasa janggal apabila bertentang mata dengan wanita ini semula.

Ayla tersengih.

"Lama tak nampak Ayla, biasanya ibu saudara kamu yang datang sini."

"Oh, Mak Uda ada kat rumah, tak dapat datang sebab Tok Abah dengan Tok Umi datang melawat. Ini pun Mak Uda suruh Ayla bagi chicken kabsa dekat aunty, katanya aunty nak rasa masakan arab."

"Masuklah. Aunty memang ada kat dapur, tengah buat apa tah. Biasalah orang perempuan, ada je nak makan."

Kepala dianggukkan lalu rumah banglo dua tingkat itu dituju. Salam diberi serentak kaki kanan melangkah masuk ke dalam rumah tersebut. Belum jejak lagi ke dapur, tetapi hidungnya bau satu masakan yang membuatkan dirinya terliur kembali, padahal perut sudah kenyang.

"Assalamualaikum aunty."

Wanita itu menoleh ke belakang. "Lah, Ayla rupanya. Sinilah." Tangannya yang basah dilap pada kain bersih. Huluran salam wanita muda ini disambut, kemudian pandangannya jatuh pada beg makanan yang dipegang oleh Ayla.

"Sihat ke? Lama juga aunty tak nampak kamu."

"Sibuk kerja. Maaflah, Ayla tak dapat datang jumpa aunty. Asyik tak ada masa." Alasan. Padahal mengelak kerana takut bertentang mata dengan bekas tunangnya di rumah ini.

"Dah ada kerjaya sendiri. Mestilah sibuk, kan?"

Ayla tersenyum nipis. " kirim chicken kabsa. Nak bagi aunty rasa." Beg berisi makanan diserahkan kepada wanita di hadapannya ini.

"Mak Uda Ayla tadi ada call aunty, dia kata sekejap lagi Ayla hantar makanan ke sini. Buat susah-susah je, tapi bukan selalu menyusahkan, kan?" Giliran Puan Azizah bergurau dengannya. Bekas makanan dikeluarkan dari dalam beg kertas, serta-merta senyuman terhias di wajah tatkala melihat makanan di depan mata.

Secret Moon [TERBIT]Where stories live. Discover now