BAB 5

87 1 0
                                    

DUA jam ketiduran cukup untuk membuat Hanni sedikit segar. Terbuka sahaja pelupuk matanya orang pertama yang dicari adalah ibunya. Lega bila melihat ibunya sedang duduk menggubah jambangan bunga. Sebagai seorang anak, sudah tentu dia mengasihi ibunya. Hanni menggeliat untuk meregangkan otot-otot tubuh. "Dah bangun pun. Kalau belum puas tidur, sambung balik. Kumpul tenaga, esok boleh ke sekolah." Aduhhh, bosan sungguh bila ibunya menyebut tentang sekolah. "Dah tak ngantuk. Hanni nak ke kebun, tolong ayah." Sebelum Puan Indah bercakap banyak tentang sekolah, lebih baik Hanni beredar. Dia tidak mahu emosinya terusik lagi. Keadaan itu akan mendatangkan keburukan bukan sahaja kepada dirinya, bahkan ibunya akan turut terkena tempiasnya. Dia bingkas lalu meninggalkan ibunya termangu di situ. Puan Indah geleng tidak sudah melihat kerenah anak bongsunya itu. Bab5Langkah Hanni dipercepatkan. Menuruni anak tangga dengan laju. Dari jauh dia dapat melihat ayahnya sedang terbongkok-bongkok di tempat semaian tanaman cekur. Tidak sabar untuk Hanni menghidu aroma cekur yang wangi. Dia menyarung selipar lalu berlari-lari anak menuju ke kebun. Tanah kebun hanya bersebelahan dengan tapak rumah. Hanya dipisahkan oleh parit kecil di sekeliling kebun. Tanah yang begitu luas itu adalah tinggalan datuk Hanni. Sampai di tepi parit, Hanni melompati parit kecil itu dengan mudah. Sampai di tanah kebun sayuran, dia berlari-lari anak semula mendapatkan ayahnya. "Hmmm... Wanginya bau cekur ni." Hanni sudah berada di tapak tanaman cekur. Polybeg yang ditanam cekur disusun berderetderet. Daun hijau pekat menarik perhatian. Gigih benar Cikgu Rahman bercucuk tanam. Dengan hanya dua orang pekerja Indonesia, dia mampu menjaga kebun sayur-sayuran yang begitu luas dengan baik. Di kebun, Hanni amat tenang dan stabil. Lepas bebas. Dia berlari-lari di antara deretan tapak pelbagai jenis tanaman. Cikgu Rahman membiarkan saja gelagat Hanni. Penat berlari, akhirnya Hanni berhenti. Dia memerhati pokok-pokok cekur yang menyubur. Ia tidak ditanam begitu sahaja di atas tanah. Sebaliknya di dalam polibeg hitam bersaiz besar. Kaedah fertigasi yang digunakan amat memudahkan penjagaannya. Hanni ralit memerhati gerakgeri ayahnya yang memberi arahan kepada para pekerja. Selesai memberi tugasan, dia mendapatkan Hanni. "Untung ke ayah tanam cekur ni? Setahu Hanni macam tak banyak aje penggunaan cekur dalam masakan." "Itu sebab kamu tak pernah masak, mana nak taunya," balas Cikgu Rahman. "Hihi... Yalah ayah. Hanni ni, apalah yang taunya." Apabila ayah yang berkata begitu, sedikit pun tidak mengecilkan hati Hanni. Dia menganggapnya sebagai usikan. Hairannya bila Puan Indah yang mengusik, cepat saja bahang kepanasannya mendidih. "Kalau kamu nak tau, cekur tengah laris sekarang ni. Kan ada nasi goreng cekur yang sedang viral. Kamu tau tak, daun cekur ni harganya RM15 untuk jualan terus. Ubinya pula lebih mahal lagi, RM25 sekilo." Ilmu perkebunan Cikgu Rahman kongsikan. "Wahhh... Bestnya, ayah. Hebat tu," puji Hanni teruja. "Hebat tak hebatlah. Kamu tau tak satu polybeg boleh hasilkan cekur seberat 1.5kg. Cuba kira, kat kebun ayah ni ada 3000 polybeg berisi cekur." "Malaslah kira. Hanni bukan pandai Math pun. Asyik cukup-cukup makan jae." Hanni tiada hati mahu mengira, tapi dia yakin hasilnya memang lumayan. Itu baru cekur, belum lagi sayur-sayuran lain yang ayahnya tanam. Timun, Timun Jepun, petola, kacang panjang, terung dan cili. Semua itu sudah mencukupi untuk keperluan mereka sekeluarga. Dua orang kakaknya yang berada di menara gading ditanggung oleh hasil jualan sayursayuran. Bukan di situ sahaja tanah warisan ayahnya. Di kampung sebelah pun ada tanah kepunyaannya. Tanah itu sebahagiannya dipenuhi dengan pokok pisang, pokok buahbuahan dan pokok ubi. Sebahagiannya lagi, pokok jagung hidup dengan subur. Hanni jarang ke kebun di kampung sebelah kerana bersekolah. Kebun sayur letaknya di sebelah rumah. Hanya dengan berjalan kaki, dia sudah boleh menjejak kaki ke situ. "Ayah, kacang panjang tu dah boleh petik? Hanni nak petik." Bosan pula bila tidak berbuat apa-apa. "Apa pula tak bolehnya. Dah boleh petik setiap hari tu. Pergilah kalau nak petik, ayah nak tengok pokok-pokok cili." Tidak sabar-sabar Hanni dibuatnya. Dia berlari ke pondok tempat menyimpan perkakas kebun. Diambil sebuah kereta sorong hijau dan menolaknya dengan cepat. Kereta sorong itu dibawa ke batas-batas kacang panjang. Teruja melihat kacang panjang hijau dan segar. Tentu manis rasanya bila dimasak sebaik dipetik daripada pokoknya. Puan Indah selalu menggoreng kacang panjang bercampur udang. Ada ketikanya ia di masak lemak cili api berencah ikan bilis. Dimakan dengan nasi panas dan ikan masin buatan ibu. Hanni amat mengagumi kepakaran ibunya memasak. "Rumah siapa pula tu? Sejak bila ada kat situ?" Hanni dipenuhi tanda-tanya. Sewaktu Hanni leka menyelak pokok-pokok kacang, dia terpandang sebuah rumah kayu bertiang tinggi di seberang parit. Kawasan rumah itu amat suram. Suasananya jauh berbeza berbanding kebun sayur ayahnya yang terang benderang disinari cahaya matahari. Hanni gosok mata berkali-kali, mahu memastikan dia tidak tersalah pandang. Memang benar! Matanya tidak silap. Rumah itu memang benar-benar wujud. Di sekeliling rumah dipenuhi pokok kelapa. Terdapat pelepah-pelepah kering jatuh ke tanah. Terbiar berserakan di atas tanah. Daun-daun kecil turut memenuhi halaman rumah. Juga sudah mengering. Rumah itu seperti sudah terlalu lama ditinggalkan. Sama sekali tidak terurus. Hanni meninggalkan kereta sorong di celah-celah batas pokok kacang. Hatinya melonjak untuk melihat rumah itu lebih dekat lagi. "Setahu aku kat tepi parit ni tak ada rumah. Rumah siapa ni? Peliknya." Ligat benak Hanni memikirkan. "Eh, itu orang ke?" Kelihatan susuk tubuh bergerak laju daripada arah tangga dapur dan menghilang di belakang bilik air yang terletak di tepi rumah. "Hanni." Sedang Hanni terpinga, terdengar suara memanggil. Suara yang begitu asing pada pendengarannya. Gemuruh melanda lagi. Diperhati sekeliling bersama debaran kencang. Ternyata tiada sesiapa yang berada di sekitarnya. Ayahnya jauh di sebelah sana. Para pekerja pula entah di mana, tidak kelihatan. Tiba-tiba sorot mata Hanni terlihat seorang lelaki tua berdiri di hadapan rumah usang itu. Merenung Hanni dengan lama. Mereka berlaga pandang. Hanni jadi tidak menentu. Panas dingin, panas dingin. Kejung di situ. Sedang Hanni tidak menentu, lelaki itu menggamit sambil tersenyum. Berlumba-lumba romanya berdiri. Pantas dia pejamkan mata. Tidak mahu melihat lelaki tua itu lagi. Ditutup matanya sambil berkira-berkira mahu berlari selajunya mendapatkan ayahnya. Perkiraannya tidak menjadi. Belum berlari kakinya sudah ketar tidak keruan. Nafas terasa mengah. Bukan termengah kepenatan tapi dek ketakutan yang teramat. "Hanni!" "Ahhh..." Hanni menjerit semahunya bila bahunya disentuh. "Hanni, dah kenapa dengan kamu ni?" Cikgu Rahman kehairanan. "Ayah ni, terkejut Hanni. Nasib baik Hanni tak sakit jantung." Hanni urut dada. Lega bila yang muncul adalah ayahnya. "Isy, cakap bukan-bukan. Baru cuit dah terkejut." "Mestilah terkejut. Tau-tau ayah dah ada." "Apa pula. Dari tadi ayah perhati kamu. Apa buat sini? Puas ayah cari kamu. Kata nak petik kacang." "Ayah, sana tu rumah siapa?" "Mana?" tanya Cikgu Rahman. "Situ." tuding Hanni selepas mengilas tubuh menghadap rumah usang yang dilihatnya tadi. Hampa. Kebun di seberang parit hanya dipenuhi rumput liar dan sepahan dedaunan. Tidak kelihatan waima pondok kecil sekali pun. Terasa dirinya dipermainkan. Tapi oleh siapa? Hanni sebal dan jengkel. "Mana dia? Takkan hilang? Tadi ada, Hanni nampak! Betul, ayah." Beria-ia Hanni mahu meyakinkan ayahnya. "Sejak bila ada rumah kat situ? Kan ke semak je tu. Kamu ni mengigau ke apa?" Cikgu Rahman tidak menyenangi dakwaan Hanni. Ada-ada sahaja olahnya. Pening juga dia dibuatnya. Tidak hairanlah isterinya selalu bersedih dengan segala macam olah dan kerenah anak bongsu mereka itu. Hanni suka bercakap tentang sesuatu yang tidak nyata. Bukan tidak pernah Cikgu Rahman membawa Hanni menjalani rawatan di hospital. Sudah pun dilakukan. Doktor pakar mengesahkan hasil imbasan otak, otak Hanni dalam keadaan normal. Bukan itu sahaja, berubat dengan bomoh dan pawang pun sudah. Sayangnya Hanni tetap begitu. "Tapi tadi ada. Hanni yakin, ayah. Bukan saja rumah, ada seorang lelaki tua kat laman rumah tu. Orang tua tu lambai Hanni." Hanni bersungguh menjelaskan. Harapannya ayahnya akan mempercayai dakwaannya. "Sudahlah Hanni. Kalau pun betul ada, biarkan orang tua tu. Kita tak kacau dia, harap-harap dia pun tak akan kacau kita," minta Cikgu Rahman dengan nada yang datar. Kemudian melepaskan keluhan panjang. "Apa maksud ayah?" Hanni yang mengotot tetap merasakan ada yang tidak kena. Daripada kata-kata ayahnya seperti ada maksud yang terselindung. Selagi dia tidak memperolehi jawapan yang memuaskan hati, dia tidak mahu mendiamkan diri. "Ayah kata sudah, sudahlah. Dia tak kacau Hanni kan!" Kali ini oktaf Cikgu Rahman naik grafnya. Tindakan itu buat Hanni terdiam seketika. Dia tidak menyangka ayahnya yang merupakan seorang yang tenang, telah meninggikan suara. Tersentap juga Hanni dibuatnya. "Percaya Hanni ayah. Hanni tak bohong. Dia lambai Hanni tadi." Dasar seorang Hanni, diamnya sekejap cuma. Sudahnya usil juga mulutnya. Masih mahu meyakinkan ayahnya. "Sudah! Sudah! Ayah kata sudah, sudahlah." Cikgu Rahman menarik tangan Hanni untuk pergi dari situ. Mahu tidak mahu Hanni terpaksa akur. Hatinya berdongkol. Ayahnya jarang benar marah, sekali dia marah sudah cukup untuk mendiamkan Hanni. Hanni terpaksa mengunci mulut. Tidak berani lagi bertanya.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Feb 07, 2020 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

TANAHWhere stories live. Discover now