BAB 3

46 1 0
                                    

"MANA anak kita, Indah? Dia tak keluar makan?" Ayah Hanni yang dikenali oleh orang kampung dengan gelaran Cikgu Rahman bertanya Puan Indah. Sebelum bersara ayahnya merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Pahang. Apabila bersara dia hanya melakukan kerja-kerja kebun di atas tanah yang diwarisi daripada orang tuanya. Ada beberapa bidang tanah yang sedang diusahakan oleh Cikgu Rahman. Tanah warisan itu telah ditanam dengan pelbagai jenis sayuran. Hasil jualan sayur-sayuran itulah yang digunakan untuk menampung keperluan keluarga. Wang pencen disimpan kerana hasil jualan sayur lebih daripada mencukupi untuk kegunaan mereka. "Susah nak cakap budak Hanni tu, bang. Makin hari semakin menjauhkan diri daripada Indah. Kadangkadang Indah rasa macam Hanni bencikan Indah." Sebak suara Puan Indah. Waktu itu Cikgu Rahman baru sahaja balik dari surau. Puan Indah pula sedang bersantai di ruang tamu. Bab3Ibunya tidak sedar Hanni sudah keluar daripada bilik. Dia berniat mahu ke dapur untuk mengisi perut yang lapar. Sejak pagi belum ada sebutir nasi pun yang masuk ke perutnya. Di sekolah siang tadi dia hanya minum secawan air koko. Itu pun setelah Zunaini memaksanya mengalas perut. Jawapan yang keluar daripada mulut ibunya membuat dia mematikan diri di tepi almari rias ruang tamu yang besar dan tinggi. Almari rias itu tidak jauh dari ruang rehat, tempat orang tuanya sedang berbual. Hanni mahu mencuri dengar apa yang orang tuanya sedang perbualkan. Agak berdebar juga bila menjadi seperti pencuri di dalam rumah sendiri. "Jangan macam tu, Indah. Bagi Hanni masa. Takkan dia membenci awak. Ermmm... Tapi entahlah. Saya ni pun kadang-kadang rasa pelik juga. Anak kita tu patuh budaknya. Apa yang saya suruh tak pernah dia bantah. Lebihlebih lagi kalau saya minta tolong di kebun. Laju aje." Pujian Cikgu Rahman amat menyenangkan Hanni. Sejuk hati bila mendengarnya. "Saya pun perasan, sikap Hanni agak berlainan bila berdepan dengan awak. Keras... Memberontak. Apa yang tak kena?" tokok Cikgu Rahman. Kali ini tidak enak didengar. Sayangnya Hanni tidak upaya mahu menidakkan. Memang begitulah realitinya. "Bang, semua ni sebab saya ke? Setiap hari saya tertanya-tanya hal yang satu ni." Puan Indah sebak. "Apa yang Indah cakap ni? Jangan ulang lagi. Abang tak suka. Jangan asyik menghukum diri sendiri. Abang tau apa Indah alami selama ni," tegas Cikgu Rahman. Perbualan kedua-dua orang tua Hanni membuat dia dipenuhi tanda-tanya. Apa agaknya yang ibunya maksudkan? Apa yang didengari menjadi tekanan baru. Hati meronta untuk menagih jawapan, namun dia bertahan. Dia tidak bersedia mendengar sebarang kemungkinan yang tidak menyenangkan. "Abang ingat lagi tak pesanan arwah mak sebelum mak meninggal dunia." Puan Indah bertanya. "Yang mana satu? Setahu saya arwah mak awak memang suka berpesan macam-macam. Setiap kali ke rumah kita, seribu satu macam pesanan ditinggalkan. Kadangkadang sampai nak lelap saya dibuatnya." Di hujung kata, Cikgu Rahman gelak kecil. "Saya serius ni, bang." Puan Indah tidak puas hati sikap suaminya. "Saya pun serius... Hehehe. Cuma abang terkenang arwah mak yang sanggup berjalan kaki daripada rumahnya ke rumah kita. Lasak betul arwahnya. Tak nak berambil, berhantar balik pun tak nak. Macam tenaga orang muda. Seingat saya, kedut mukanya pun tak ada." Ayah terus mengenang. "Itu cara mak exercise, bang. Tak ada siapa boleh lawan. Saya pun tak mampu. Seawal subuh arwah dah mandi air perigi. Pernah juga saya terdengar arwah membaca sesuatu, entah apa yang dibaca sebelum mandi." Puan Indah turut mengingati. "Berbalik pada apa saya kata tadi, bang... Mak kan ada pesan anak kita bukan hak kita berdua aje. Ada yang lain juga berhak ke atas anak kita. Bila saya minta kepastian apa yang mak maksudkan, mak diam. Kadang-kadang saya seram bang, bila teringatkan kata-kata arwah mak tu." Puan Indah mengenang kembali. Semua maklumat yang diluah oleh Puan Indah terakam ke dalam cip memori yang Allah kurniakan kepada Hanni. Dia akan menyimpan kesemua data sebaik mungkin. Tiba waktunya akan dinotakan ke dalam diari peribadi. Sejak kebelakangan ini Hanni tidak menyenangi diri sendiri. Dia mulai merasakan keganjilan-keganjilan dalam dirinya dengan lebih jelas. Berbeza dari tahun-tahun sebelumnya. Ketika itu sudah dirasakan pelbagai keganjilan, namun tidak sehebat sejak tiga tahun ini. "Tak tau pula saya pesanan yang tu. Rasanya awak pun tak pernah ceritakan pada saya. Pelik juga bunyinya." "Tak ada ke, bang? Awak dah lupa ni. Saya yakin saya pernah ceritakan hal ni." "Ingatan saya ni masih kuat Indah oi. Kalau awak ada cerita, mesti saya ingat." Seperti Puan Indah, Cikgu Rahman juga tetap dengan pendiriannya. "Apa benda semua ni? Pesanan arwah neneklah. Itulah, inilah. Tak boleh ke hidup ni aman aje? Tak payah ada hal yang pelik-pelik. Dah macam drama aje, bencilah macam ni." Emosi Hanni menggila semula. Mulai kecamuk. Jengkel dek selalu memikirkan perkara yang dia gagal untuk mencari jawapannya. Kalau boleh dia ingin sentiasa ceria seperti remaja lain. Mereka yang seusianya tidak perlu memberatkan fikiran dengan hal-hal yang seumpama itu. Apa perlunya orang tuanya menyingkap kisah lama hingga membuat hatinya kucar-kacir. Ahhh... Apa semua ini? Mereka tidak berniat mahu menceritakannya kepada Hanni. Hanya dia yang pasang telinga, mencuri dengar. Tetapi semua itu ada hikmahnya, setidak-tidaknya dia tahu apa yang dia tidak pernah tahu. "Perlu ke sampai pecah kepala memikirkan semua ni? Saya ni kalau boleh dah malas nak memberatkan fikiran bila dah bersara ni. Awak pun, tak payahlah banyak fikir. Sebab tu awak selalu kecamuk. Kan elok awak ikut saya ke kebun setiap hari. Takde lah terperap 24 jam kat rumah ni. Asyik memikirkan hal Si Hanni tu." Nasihat Cikgu Rahman masih kedengaran biar pun semakin perlahan. "Nak ke kebun macam mana, bang? Awak sendiri tahu, setiap kali saya ke kebun mesti ada yang tak kena berlaku. Macam berpenunggu pula tanah sebelah kebun sayur awak tu." "Haishhh, merepek! Penunggu apa pula? Awak ni kan. Suka sangat fikirkan hal yang buruk-buruk. "Entah lah, bang. Saya ni bercakap apa yang saya rasa," balas Puan Indah, lalu diam. Hanni yang mendengar tidak dapat bertahan di situ lagi. Kepalanya mula berdenyut sakit. Mungkin masuk angin akibat tidak menjamah makanan. Hendak ke dapur, tidak ada hati. Mahu terus mengintip, tidak mampu lagi. Dalam keadaan seperti itu hanya bilik tidur yang terbayang di mata. Digerakkan kepala ke penjuru almari. Memastikan orang tuanya tidak akan terlihat pergerakannya. Hanni tidak mahu mereka menghidu yang dia telah curi dengar. Dijengketkan kaki seperlahan mungkin. Kalau boleh dia juga enggan helaan nafasnya didengari. "Legaaa..." Begitulah perasaanya bila bilik tidur sudah di hadapan mata. Tidak membuang masa dia menerpa masuk. Lebih lega bila melihat katil kesayangannya. Sebelah kaki diangkat untuk naik ke katil antik bertiang tinggi. Diikuti sebelah kaki lagi. Duduk untuk beberapa minit sebelum tubuhnya dihempaskan ke atas tilam empuk. Tilam yang empuk beralun mengikut gerak tubuhnya. "Apa maksud ibu aku ni bukan cuma anak ibu ayah?" Selepas mendengar perbualan tadi sememangnya benak Hanni bergerak laju. Cuba mengimbas kembali apaapa saja perkara yang boleh dikaitkan dengan perkara itu. Memori tidak berupaya menyelongkar kesemua kisah lalu. Hampa. "Tidur lagi baik. Mana tau datang ilham dalam mimpi ke. Tak pun ilham datang masa tahajud nanti." Semenjak Hanni mengenal tikar sembahyang, perlahan-lahan Cikgu Rahman melatihnya bangkit di sepertiga malam. Pada mulanya memang terlalu sukar untuk membiasakan diri. Apa tidaknya, sedang lena diulit mimpi dia dikejutkan tanpa ada alasan untuk berkata tidak. Lamakelamaan dia merindui kebiasaan itu. Ya, dia akrab dengan tahajud. Keakraban itu ada ketika menjadi tanda-tanya. Mengapa dirinya yang saban sepertiga malam menyembah sujud kepada Pencipta, masih juga mengasari dan mencarik hati ibu. Dia benar-benar tidak gembira dengan keadaan itu. Bahkan ia menjadi tekanan yang besar dalam dirinya. "Sudahlah mata, pejamlah. Hati, berhentilah berbisik-bisik, aku letih. Bagi aku peluang melupakan semuanya untuk sementara." Hanni memujuk diri. Tubuh yang terlentang dikisar, mengereng ke kiri. "Astagfirullahaladzhim!" Daripada berbaring Hanni bingkas duduk. Nafas mencungap. Retina meregang. Terpana. Di hujung katil duduk seorang wanita. Dalam samar cahaya bilik, penglihatannya kurang jelas. Ditambah lagi dengan kondisi wanita itu yang menunduk. Kain kerudungnya menutupi wajah. Hanni ketakutan! Amat takut. Bagaikan mahu melompat turun dari katil. Otak bekerja keras mengarahkan agar melakukan tindakan itu. Anehnya ada penentangan arahan dari dalam diri. Melarangnya meninggalkan bilik itu. Tubuh yang ingkar arahan otak, bergerak mendekati wanita yang masih diam di situ. Dia mahu menangis, menjerit dan menyelamatkan diri, namun semua tidak terdaya dilakukan. Akhirnya semakin hampir hingga duduk bertatapan. "Siapa kau? Apa kau nak?" Hanni gementar. "Aku hanya mahu meliat bagaimana keadaanmu. Ternyata kamu gak bahagia di sini. Ketahuilah Hanni, di sini bukan tempatmu. Mahukah kamu mengikuti aku?" Suara parau itu membuat dada Hanni turun naik dengan kuat. Lantas dia berusaha menggerakkan tubuh untuk menjauhi wanita itu. Sia-sia sahaja. Kegagalan membuat ketakutannya berganda. "Ta... Tapi... Tapi... Si... Siapa kau?" Terasa bagai menelan suara sendiri. Teramat lirih. Pertanyaan yang tiada jawapan. Wanita itu membatu dan membisu. "Aku tanya siapa kau? Kau ni siapa? Siapa?" Sikap berdiam dirinya itu mendatangkan kemarahan Hanni. Kemarahan yang mengusir sebentar ketakutan. "Tengok sinilah!" herdik Hanni sekuat hati. Perlahan-lahan wanita itu menguak sedikit kerudungnya. Menatap tepat wajah Hanni. Tindakan itu membuat Hanni kewalahan. Perasaan takut bertandang semula. Di sebalik ketakutan, tangan Hanni pula begitu berani. Tanpa diarahkan oleh akal waras, kedua-dua tangannya menghampiri wajah wanita itu. Dia menguak kerudung wanita itu. Dengan samar cahaya sudah mencukupi untuk Hanni melihat wajah di hadapannya. Sebaik melihat wajah itu, pantas Hanni mendorong tubuh wanita itu ke belakang. "Hahhh... Hahhh... Hahhh... Hahhh..." Hanni tercungap-cungap. Apa tidaknya, wajah wanita itu saling tidak tumpah wajah ibunya sendiri. Jika dengan sekali pandang memang sukar untuk membezakan di antara keduanya. Mata Hanni membesar, terbelalak. Untuk beberapa saat dia gagal memalingkan wajah untuk tidak mahu melihat lagi. Wajah yang menyerupai ibunya itu membangkitkan aura yang begitu menyeramkan. "Hah! Ibu! Tolonggg!" jeritannya meledak bila wanita itu mahu menyentuh pipinya. "Syaitan! Kau syaitan! Pergi! Keluar! Keluarrr!" Jeritannya bagai histeria. Hanni menjerit semahumahunya. Perasaannya berbaur. Takut, marah dan kebingungan. Makhluk yang selalu mengganggunya masih berada di hadapannya. Sedikit pun tidak menghiraukan jeritan kuatnya. Hanni tidak dapat menerima keadaan itu. Dia mesti mengusir wanita itu. Bagaimana caranya? Wanita itu semakin rakus melakukan apa yang dimahukan. Tubuhnya dihampirkan ke tubuh Hanni. Sementara Hanni telah hilang upaya. Diam-diam dia berdoa meminta kepada Allah supaya jatuh pengsan saja. Sekurangkurang dia tidak perlu melihat apa-apa lagi. Doanya tidak terkabul. Wanita itu semakin hampir. Hanni mencungap. Ketakutan yang berkali ganda membuat mulutnya terbuka besar. Terlopong. Tidak semena-mena kepala wanita itu mengecil dan memanjang. Belum sempat Hanni mengerdip mata, wanita itu berubah menjadi seperti kabut. Memasuki mulut Hanni dengan mudah. Tidak lama kemudian dia dapat merasakan ada sesuatu yang bergerak-gerak, menyusur dalam urat darah. Tubuhnya berbahang tidak terkira. "Keluar kau syaitan! Keluar! Keluarlahhh... Aku minta kau keluarlah daripada badan aku." Hanni menangis semahunya. Jari telunjuk dijolok ke tekak, mengharapkan dia dapat memuntahkan wanita itu keluar daripada tubuhnya. Gagal! Hanni menghentak-hentak dada dengan buku lima supaya musuhnya kesakitan di dalam tubuhnya. Malang sekali yang sakit adalah dirinya sendiri. Gagal lagi! Hanni kelelahan. Hingga akhirnya dia terfikir mahu mati. Jika dia mati, wanita itu juga akan mati. "Erkkk... Erkkk... Erkkk..." Hanni mencekak leher dengan sekuat hatinya. Sehingga terjelir lidahnya. Menggelupur nafasnya. Tidak ubah seperti ikan yang tidak kecukupan air. Dia tidak peduli. Dia hanya mahu memisahkan wanita itu daripada dirinya. Cekakan yang kuat membuat dia kekurangan oksigen. Nafasnya mulai terputus-putus. Terasa azab. Sakit yang teramat. Kian lama, kiat tenat. "Hu... Hu... Hurghhh... Hahhh... Hahhh." Hanni tersentak diiringi nafas laju. Tubuhnya bermandi peluh. Basah gaun tidurnya. Berkali-kali istighfar diucapkan. Disusuli kalimah penuh kesyukuran kerana dia masih lagi bernyawa. Hanni ingin melaung, aku masih hidup! Ternyata mimpi yang baru dialaminya amat menakutkan. Seperti kejadian sebenar. Kesal sungguh dia kerana sebelum ketiduran tadi tidak sempat membaca doa tidur. Tidak diduga malam itu tidurnya begitu mudah. Sebaik mengereng ke kiri terus terlena. Mimpi ngeri itu mendatanginya dalam waktu yang pantas.

TANAHWhere stories live. Discover now