BAB 2

70 2 0
                                    

SATU hal yang paling disukai oleh Hanni adalah ke sekolah. Sekolah bermakna dia lepas bebas daripada memikirkan tentang rumah. Juga tentang kejahatan di sekelilingnya yang dia sendiri tidak pasti apakah kejahatan itu. Isnin, hari pertama persekolahan pada setiap minggu dia akan bersemangat. Seawal pagi dia sudah mandi dan berpakaian selengkapnya. Hidangan pagi yang Puan Hanni sediakan tidak dijamah. Tidak berselera. Seperti biasa ibunya tidak mahu memaksa. Apa yang ada dalam fikiran Hanni hanyalah sekolah. Tubuhnya berada di rumah, namun hatinya tidak turut serta. Nafas dilepaskan keras. Bosan. Setiap pagi hanya ada dia dan ibunya. Pada waktu itu ayahnya masih berada di surau. "Kalau Hanni tak nak sarapan, apa kata bawa bekal? Banyak ibu goreng nasi. Tak habis nanti terbuang pula." Puan Indah menyentuh dagunya dengan lembut dan penuh keprihatinan. Arghhh! Sudahlah!' Sebaliknya diam-diam Hanni berontak. Menjerit Bab2hatinya. Sentuhan itu telah merangsang kemarahan. Emosi yang meledak tiba-tiba. Terasa mahu mengherdik ibunya. Aneh, bibirnya terlalu payah hendak meluah. Tertahan, juga tidak tega. Hanni bertempur dengan kemahuan dan keengganan sendiri. Sememangnya dia amat mendambakan sentuhan sebegitu. Malangnya seperti ada satu kuasa lain yang menghalang. Setiap kali pertarungan berlaku, Hanni akan tewas kepada kuasa yang ingin merenggangkan hubungan bersama ibunya. "Dah lambat ni. Takut tertinggal bas." Dikuis tangan Puan Indah. Tanpa Hanni melihat bagaimana kehampaan yang terpamer pada riak wajah seorang ibu. Jika Hanni melihat sebentar, sudah pasti dia akan dapat melihat kesedihannya. Sayangnya Hanni tidak melakukannya. Jauh sekali untuk memohon maaf biar pun ada perasaan bersalah yang terselit dalam hati. "Jangan ikut aku. Aku tak perlukan kau. Aku benci kau. Kau cuma menyusahkan hidup aku." Sambil memijak mata tangga dia bersuara perlahan. Puan Indah tidak mendengar amaran Hanni sebaik melihat kelibat hitam yang melintas lewat ekor matanya. Hanni beristighfar berulang kali, mahu membuang gemuruh. Berdetap hebat dadanya. Asalkan kelibat itu tidak menyusahkan, dia masih mampu mengawal diri. Perlahanlahan nafas kencang mengendur semula. Hanni hanya perlu berwaspada. Dia berjalan ke bawah rumah lalu menyorong keluar basikal yang tersandar pada tiang rumah. Punggung dilabuhkan di atas tempat duduk, basikal ditahan dengan sebelah kaki. Sebelah kaki lagi berpijak pedal basikal. "Hanni pergi, ibu." Masih tanpa menoleh. Berat benar Hanni mahu melakukan hal yang satu itu. "Hati-hati kayuh basikal tu." Seperti biasa Puan Indah berpesan. "Baik," sahut Hanni mula mengayuh dalam samar cahaya subuh. "Ermmm... kalau tak kenangkan anak, tak ada aku nak ambil berat. Benci sangat dia pada aku. Apalah salah aku pada dia? Makin lama makin banyak ragamnya." Puan Indah memandang jauh dengan hati hiba. Ada jurang pemisah yang amat dirasai. Dia tidak pasti di manakah silapnya yang membuat hubungan mereka menjadi dingin. Sudah puas dia berusaha mengambil hati Hanni, namun dipandang sepi. Sewaktu kecil, Hanni adalah anak yang manja. Apabila usianya kian meningkat, perubahan sikapnya mula ketara. Mudah marah-marah, perlakuannya selalu aneh dan suka mengasingkan diri. Melihat Hanni sudah jauh meninggalkan kawasan rumah, Puan Indah masuk ke rumah. "Allahuakbar! Apa tu? Benda tadi tu ikut aku lagi ke? Allah, penatnya aku macam ni." Kejutan buat Hanni ketika dia sedang berkayuh meninggalkan jalan masuk ke kawasan rumahnya. Matanya tidak salah pandang. Dia melihat sosok tubuh seorang lelaki yang berjalan laju seiring kayuhan basikalnya. Susuk tubuh itu tidak begitu jelas, tetapi ia ada. Hanni tidak berani melihatnya. Pandangan ditumpukan ke jalan kampung yang masih samar kerana Subuh masih muda. Kalau boleh dia mahu berteriak untuk menarik perhatian orang kampung. Sudah tentu mereka akan bergegas keluar sebaik mendengar jeritan. Malang, apa yang diingini tidak jadi kenyataan kerana Hanni gagal melakukannya. Mulutnya terkunci rapat. Hanni tidak keruan. "Aku tau kau syaitan. Aku pun tau kau tak berniat baik. Allah akan pelihara aku! Aku yakin." Di antara takut dan berani Hanni berusaha menguatkan hati. "Lindungi aku, Ya Allah." Dia terus mengayuh dengan dada dipenuhi debar. Hanni memaksa kakinya mengayuh dengan laju. Kalau tadi masih ada keberanian, kini semangat sudah separuh hilang. Melayang entah ke mana. Namun begitu dia tetap mengayuh. "Siapa kau? Siapa? Janganlah menakut-nakutkan aku?" Hanni separuh merayu. Entah merayu kepada siapa, dia tidak tahu. Apabila terdengar derap tapak kaki yang berlari sama laju dengan kayuhannya, Hanni longlai. Digagahi juga untuk terus berkayuh. Dadanya bagai dipalu, degup jantung menendang dinding dada. Rumah orang tuanya sudah jauh ditinggalkan. Sempadan tanah yang luas milik ayahnya hanya tinggal beberapa jengkal. Sebaik basikalnya melepasi sempadan kebun, bunyi larian lelaki yang mengekori juga hilang daripada pendengaran. Lingas matanya meliar untuk memastikan gangguan itu sudah benar-benar lenyap. "Alhamdulillah, Ya Allah. Alhamdulillah." Hanni lega bukan kepalang. Dia hanya hanya perlu meneruskan perjalanan ke pinggir kampung untuk menunggu bas sekolah. Bas itu akan membawanya ke sekolah di pekan yang jauhnya berbatu-batu daripada kampung. "Hoi, Hanni! Tunggu aku! Tunggulah aku!" Sebaik Hanni keluar dari perut bas dan menjejak kaki ke tanah, terdengar suara memanggil dari jauh. Mudah sahaja dia dapat mengecam suara yang sangat sinonim dengan dirinya itu. Dia sengaja memanjangkan langkah untuk berjalan dengan lebih laju lagi. Bibirnya tidak lekang dengan sengihan. Seronok dapat mengenakan sahabat baiknya. "Melampau dia ni! Stoplah mangkuk. Stop! Penat aku kejar kau tau. Dahlah kaki kau tu panjang macam kaki zirafah," omel suara di belakang. "Awww." Hanni berhenti sebaik satu benda keras mengenai belakangnya. "Kurang asam kau!" tempik Hanni. Dia mengisar tubuh lalu bercekak pinggang. "Kau main kasar, kan? Sakit tau. Kau baling aku dengan apa, hah?" sambungnya. "Nasiblah. Aku tak ada pilihan. Dah kau buat pekak, kan? Hahaha. Alah aku kutip buah apa entah kat sana tu tadi." Zunaini menyeringai suka. Hanni mengerling sebiji mangga muda di atas tanah. Buah mangga itu mungkin daripada pokok mangga yang ada di tepi padang bas. Ada sahaja tangan gatal yang suka memetik buah yang belum masak itu. Bukan untuk dimakan, tetapi dilempar-lempar begitu sahaja. Melihat rakan sekelas yang berkulit cerah dan berkening tebal itu, hati Hanni menjadi lapang. Dia sedikit pun tidak marah bila dibaling dengan mangga muda. Bahkan hal seperti itu yang menambah erat lagi persahabatan mereka. Mereka bukan sahaja merupakan rakan sekelas, bahkan di kelas mereka juga duduk di meja bersebelahan. Hanni tercegat menanti Zunaini. "Eh, Jun. Homework kau dah siap?" Sebaik Zunaini mendekati cepat Hanni bertanya. Zunaini adalah rakan yang sesuai untuk dia bertanyakan soalan itu. "Cettt, tak siap Math la tu. Nak tiru aku, ya? Teruk kau ni. Kau sedar tak, Hanni? Tahun ni tahun exam kita. Kalau memanjang kau tak siap homework, tiba masa exam nanti siapa kau nak tiru?" Seperti biasa Zunaini yang Hanni panggil Jun meleterinya. Kalah leteran ibu Hanni. "Baiklah, mak cik bawang. Kali ni aje aku copy, lain kali aku buat sendiri. Kau bagi tak ni?" "Tak boleh pakai kau ni, dah berapa kali kata tak akan tiru lagi. Tiru juga. Tirulahhh... Tiruuu." "Okeylah, okey. Tak bagi sudah." Hanni tarik muka. Zunaini ditinggalkan. Hanni berjalan laju tanpa menghiraukan panggilan Zunaini. Jam pada pergelangan tangan dilirik. Alamak! Sudah hampir 7.30 pagi. Waktu perhimpunan akan bermula dan kerja sekolah belum disiapkan. Dia tahu Zunaini akan mengejarnya kerana itu adalah habitnya yang amat Hanni sukai. Terasa dirinya amat bermakna buat seorang sahabat bernama Zunaini. "Hanni, perhimpunan nak mula. Cepat masuk kelas. Aku bagi kau copy jawapan Math. Cepat! Cepat!" Zunaini yang sudah menghampiri Hanni menyambar tangan Hanni agar cepat berlari masuk ke kelas. "Hahaha... Homework aku yang tak siap, kau yang nervous," kata Hanni sambil berlari. "Jangan nak gelak evil sangat. Aku cuma tak nak tengok kau kena denda." "Cakap ajelah kau sayang aku." Mereka sudah pun melangkah masuk ke pintu kelas. "Yalah. Mestilah sayang. Aku tau kau macam mana. Kau ni brutal tapi baik hati." Akui Zunaini bersahaja. Sudah tentu Hanni suka mendengarnya. Dia juga amat menyayangi Zunaini! Zunaini meletakkan beg sekolah di atas meja. Dengan gerakan tangan yang pantas dia menarik zip beg. Mengintai ke dalam beg dan mengambil buku latihan Matematik. Melihat Zunaini bersungguh mahu membantu, Hanni pun tergesa-gesa mengambil buku di dalam beg. Zunaini ligat menyelak muka surat lalu menghulurkan buku itu kepada Hanni. Hanni duduk lalu mengambilnya. Dia menyalin semua jawapan kerja rumah itu dalam keadaan kelam-kabut. "Assalamualaikum cik adik berdua. Dah tak reti nak ke perhimpunan, ya?" Sapaan tegas di muka pintu kelas mengejutkan mereka. Serentak mereka memandang ke arah pintu. Ketua pelajar berdiri dengan lagak sombong. Digerakkan telunjuk meminta dua sahabat itu keluar daripada kelas dengan secepat mungkin. Huh! Sombongnya. Meluat mereka melihatnya. Soalan Matematik yang masih belum berjawab dikerling Hanni. Masih berbaki tiga soalan sahaja lagi. "Bang, abang pergi dulu ke perhimpunan, boleh? Nanti kami menyusul." Hanni tawar menawar. "Tak boleh! Siapa ketua pelajar sekolah ni sebenarnya? Saya ke awak? Sepatutnya kamu berdua dah berada di tempat perhimpunan lima minit lebih awal daripada waktu berhimpun." Tegas ketua pelajar yang bernama Ziyad. Bukan main berlagak lagi murid tingkatan enam atas itu. "Jomlah Hanni. Tak pasal-pasal nanti kena ambil nama pula. Aku dah serik kena denda berdiri kat depan perhimpunan." Zunaini mencuit lengan Hanni. Hanni berhenti menulis. Dia menyimpan semula buku latihan ke dalam beg. Zunaini melakukan hal yang sama. Sementara Hanni meletakkan beg di atas kerusi, Zunaini sudah bergegas keluar. Ziyad masih juga tegak di muka pintu. Rimas Hanni melihatnya. Dia berjalan dengan selamba. Tidak mahu berlari anak seperti Hanni. Tidak kesah lagi seandainya Ziyad mahu mencatat namanya dan dikenakan denda. Apa sangatlah yang akan dibebankan pada jasadnya jika dibandingkan dengan bebanan jiwanya. Dia sudah terbiasa berhadapan dengan hal yang menekan perasaan. "Hanni." Sampai saja di muka pintu, Ziyad berdiri betul-betul di tengah-tengah. Seakan-akan menghalang laluan. Hanni pandang wajahnya. Dia menghadiahkan senyuman. "Dah lambat ni ketua pelajar. Ke tepi sikit." Hanni minta laluan. "Hmmm... Sekejaplah. "Ehhh, tadi bukan main marah. Dah macam askar pencen bagi arahan aje." Hanni beri sindiran pedas. Sebaliknya Ziyad hanya ketawa. "Hanni... Sebenarnya. Errr, isy... Macam mana abang nak cakap, ya?" Ziyad nampak teragak-agak. Hanni jongketkan kening. Kerutkan muka dan tenung wajah Ziyad. "Tak reti cakap tak payahlah cakap. Hanni nak cepat ni. Karang ada orang ambil nama Hanni bagi kat cikgu disiplin." Malas hendak melayan ketua pelajar yang bajet suci itu. "Sekejaplah. Kejap aje." "Nak apa sebenarnya?" Hanni jegilkan mata sambil bercekak pinggang. Ziyad sengih lagi. "Abang suka Hanni. Abang..." Apa yang keluar daripada mulut Ziyad seterusnya timbul tenggelam pada pendengaran. Bebola mata Hanni bulat merenung ke hadapan. Mulutku terlopong, lantas nafas jadi kencang. Peluh mula mengintai. Di belakang Ziyad dia melihat susuk tubuh seorang wanita yang mahu mendorong tubuh Ziyad. Wajahnya kurang jelas dek terlindung sehelai kain batik Jawa yang dijadikan kerudung. Kain itu menutupi sebahagian wajah. Terasa ada aura yang menakutkan hadir bersamanya. Hanni mahu meminta Ziyad segera beredar dari situ. Dia melihat bibir Ziyad masih bergerak-gerak, seperti memperkatakan sesuatu yang dia tidak dengar lagi butir katanya. Sedangkan tangan wanita tua itu sudah begitu hampir menyentuh ke tubuh Ziyad. "Jangannn!" Termuntah juga jeritan sesudah Hanni berusaha untuk meluahkan. Setelah jeritan dilepaskan, dia berasa semput. Jeritan itu juga membuat gerakan tangan wanita yang mahu mendorong Ziyad, terhenti serta-merta. Bola mataku tertancap tepat ke arahnya. Wanita itu membongkok sedikit. Lantas menghadiahkan senyuman yang membuat semua roma Hanni tercacak. Hanya bibir wanita itu yang kelihatan, bahagian atas wajahnya masih terlindung. Usai memberi senyuman, dia menghilang. Lenyap daripada pandangan. Sesaat selepas itu terimbas pula sosok wanita yang berbeza. Kurang jelas namun agak kemas penampilannya. Pakaiannya seperti pakaian wanita Jawa berdarah keraton. Bagaikan pakaian puteri dahulu kala. Tidak berkerdip Hanni melihatnya. Wanita itu mempamer senyum sebelum menghilangkan diri. "Han... Hanni. Kenapa dengan awak? Maafkan abang kalau apa yang abang luahkan buat Hanni terkejut." Ketara riak kesal pada raut wajah Ziyad. Barulah Hanni mendengar semula suara Ziyad. Peluh yang membasahi wajahnya diseka dengan telapak tangan. Lemah tubuhnya. Ziyad jadi serba salah. Melihat keadaan Ziyad, Hanni mahu menjelaskan tentang apa yang telah berlaku. Sebaik dia membuka mulut, detik hatinya melarang keras. Mungkin Ziyad bukan orangnya yang perlu tahu apa yang telah berlaku. Tidak mungkin Ziyad akan memahaminya. Ziyad ditinggalkan. Hanni berjalan dengan gontai, mahu ke tempat perhimpunan. Terasa melayang tubuhnya. Allahu... Betapa sedihnya dia saat ini. Dia selalu mengharapkan sekolah akan menjadi tempat untuknya melupakan segala yang dialami sewaktu di rumah. Hampa. Ia tidak menjadi kenyataan. Kejahatan tetap mengekori. Dia mengimpikan alam persekolahannya dipenuhi kegembiraan. Tempat untuk menyimpan pelbagai kenangan manis yang akan menjadi kenang-kenangan di sepanjang usianya. Sebaliknya dia terpaksa menempuh sesuatu yang mahu menguasai seluruh ruang kehidupan. Tidak mengira di mana dia berada. Sakitnya perasaan! "Hanni!" Ziyad melaung. Spontan Hanni berhenti. Segera berpaling memandang dengan lemah. "Awak okey tak ni? Abang tengok awak jalan tak straight, ke tengah ke tepi." Ternyata dari tadi Ziyad memerhati aturan langkahnya. "Rasa nak pitam." Hanni balas perlahan. Wajahnya berpeluh-peluh. Ziyad yang berdiri di hadapannya, nampak berbalam. Sekali lagi Hanni melihat di belakang Ziyad imbasan tubuh wanita yang menyeramkan. Tidak seperti sebelumnya, ia hanya melintas tanpa melakukan apa-apa yang buruk kepada Ziyad. "Awak tak perlu ke perhimpunan. Abang akan bagi tahu cikgu, awak tak sihat. Abang bawa awak ke bilik guru, ya? Boleh berehat kat sana." Entah mengapa Hanni dapat merasakan getar suara Ziyad yang begitu bimbang. Ya, Ziyad dipenuhi cemas. Dalam keadaan yang lemah dia lempar senyuman pahit untuk Ziyad. Sedangkan dia sendiri tidak pasti untuk apa senyuman itu. "Hanni..." Hanya itu yang Hanni dengar. Pandangannya gelap. Dia tidak tahu apa yang berlaku selepas itu. Sedar sedar dia sedang terbaring di atas katil di bilik rehat guru. Ziyad dan guru kelas Hanni duduk di tepi katil. Mungkin sejak tadi mereka menemaninya. "Alhamdulillah awak dah sedar. Risau cikgu dibuatnya. Kamu tak perlu belajar hari ni. Nak cikgu hantar kamu balik?" tawar Cikgu Kudsiah. Hanni menggeleng laju, bertegas menolak. Dia mahu bersendiri tanpa keluarga. Mahu merehatkan fizikal dan mentalnya. Ketika itu rumah tidak menjadi pilihannya. Walaupun di sekolah dia sudah mula diganggu, dia tetap mahu di situ.

TANAHOù les histoires vivent. Découvrez maintenant