BAB 4

51 1 0
                                    

KEESOKAN pagi sewaktu Puan Indah mengetuk pintu bilik, Hanni mematikan diri. Seluruh tubuh sakit-sakit. Perasaannya juga kurang enak. Hendak turun dari katil terasa malas. Seperti biasa, Puan Indah tidak berputus asa. Jalan penyelesaiannya dia gunakan kunci pendua. Hanni yang berbaring membelakangi pintu dapat menebak ketika ibunya melangkah masuk. Dia tidak mengendahkan. Niat hatinya mahu melayan mata. Berat benar pelupuk mata. Malam tadi selepas bermimpi buruk, dia sukar untuk menyambung tidurnya semula. "Hanni, bangkitlah. Pergi sekolah," gerak Puan Indah menggoyang tubuh Hanni. "Tak larat." Hanni menarik comforter menutupi wajah. "Cuba bawa mandi, mesti segar. Cepatlah, masih sempat kalau nak ke sekolah. Kalau tertinggal bas, ayah boleh hantar," pujuk ibunya. "Tak nak, bu. Hanni cuti. Pergi sekolah pun tak Bab4guna. Tak boleh belajar. Apa cikgu ajar semua tak boleh masuk." "Jangan malas, Hanni. Bulan ni aje dah tiga kali kamu tak ke sekolah. Tahun ni kan tahun penting untuk kamu. Pergi mandi, lepas mandi mesti segar. Nak ke sekolah pun tak rasa malas." Bingit telinga Hanni mendengar nasihat itu. Pada anggapannya, ibunya tidak berada di tempatnya bolehlah dia berkata begitu. Ibunya tidak tahu bagaimana sukarnya dia mahu fokus belajar. Memaksa diri untuk menghadam apa yang diajar. Di sekolah tidak ada ketenangan lagi. Semua pergerakannya seakan ada sahaja yang memerhati. Lebih parah lagi dia sentiasa diekori. Bayangkan bagaimana siksa untuknya melalui waktu-waktunya pada saban hari. "Tak sedap badan, bu." Dengan harapan Puan Indah akan faham. "Semalam elok aje. Malam tadi pun Hanni okey. Takkan tiba-tiba tak sihat?" Ibunya masih berusaha memujuk. Pujukan lembut itu tidak menyenangkan pendengaran Hanni. Ada sesuatu yang hendak meledak keluar, terhambur daripada dadanya yang tiba-tiba tidak teratur ritmanya. Dia cuba memekakkan telinga. Mahu mengabaikan pujukan ibunya. Dia juga berharap ibunya akan bosan memujuk. Pujukan itu tidak ubah seperti memujuk anak kecil yang baru mengenal alam persekolahan. Pujukan yang akhirnya menjadi satu paksaan. Hanni tercabar dengan tindakan ibunya. Hakikatnya dia tidak mahu bersikap begitu. Dia mahu menjadi seorang anak yang baik dan boleh dibanggakan. Sedih, dia sering tewas oleh bisikan jahat. "Bangkitlah, Hanni." Puan Indah menggoyang tubuhnya lagi. Kali ini agak keras. Dia bertindak begitu kerana Hanni masih berdegil tidak mahu ke sekolah. Hanni protes. Comforter ditarik dengan kasar lalu dilempar ke lantai. Matanya terjegil menantang wajah ibunya. Aliran darahnya menjadi panas. "Apa ni, bu? Kan Hanni dah kata Hanni tak sihat! Tak sedap badan! Kenapa ibu suka sangat paksa Hanni?" Hanni meninggikan suara. Tindakannya itu membuat ibunya terpempan. Dia hanya mampu menelan liur payau. Tangan Puan Indah yang tadi menyentuh kaki Hanni, ditarik cepat. Wanita itu undur. Wajahnya tegang. Ibu, Hanni... Maafkan Hanni, bu. Hanni tak berniat macam tu. Hanni sayang ibu, bisik Hanni yang masih berperang dengan sisi baik di dalam diri. Apa yang ada dalam hatinya begitu sukar untuk diluahkan. Seakan ada yang menyekat untuk menzahirkan. Hanni pilu melihat betapa sedih ibunya di atas perlakuannya yang kurang ajar. Dia terlalu ingin memujuk agar ibunya tidak bersedih, sayang ia hanya tinggal keinginan yang tidak tertunai. "Sampai hati Hanni buat ibu macam ni. Ibu cakap baik-baik tadi, kan?" Puan Indah tidak berpuas hati dengan tindakan Hanni. Berkerut-kerut dahinya menahan kemarahan. "Ibu kan yang suka paksa-paksa Hanni!" Hanni melenting lagi. Sedangkan dalam hati amat bertentangan dengan gerakan mulut. Hanni tertekan. Dia kecundang dalam mengawal pasang surut emosinya sendiri. Apatah lagi untuk mengendalikan kecamuk di dalam diri. Jika situasi seperti itu berlaku Hanni merasakan dirinya adalah anak yang tidak berguna. Anak durhaka! Puan Indah usap dada. Bibirnya bergerak-gerak dan bergetar. Masih ada yang mahu diluah. Hanni ingin mendengar apa lagi yang ibunya mahu bisingkan. Puan Indah membatalkan niat bila melihat wajah Hanni yang bengis. Hanni dihampiri. Pipinya mahu disentuh. Sebaik jari jemari ibunya sudah hampir, ditarik semula. Nafas dihela panjang. Ibunya mengisar tubuh lalu meninggalkannya begitu saja. Ibuuu, jangan pergi, bu. Peluklah Hanni, ibu. Hanni tak tau kenapa Hanni jadi macam ni. Ibuuu... rintih Hanni. Bisikan hatinya berlalu begitu sahaja. Aneh bukan? Hanni marah-marah bila berhadapan dengan ibu yang sangat menyayanginya. Sedangkan jauh di sudut hati, dia amat mendambakan sentuhan-sentuhan daripada seorang ibu. Selalu sahaja kemahuan itu bercampur aduk dengan kebencian. Sungguh, tiada kesakitan yang lebih sakit berbanding apa yang sedang dilaluinya. Hanni sama sekali tidak mengingini perkara itu berlaku. Sepemergian ibunya, Hanni berbaring semula. Lesu tubuh dan letih minda. Manik-manik jernih gugur membasahi cadar tilam. Buku lima dikepal sekuat hati. Genggaman sekuat tenaga itu membuat giginya berlaga. Buku limanya dilepaskan bertubi-tubi ke dada sendiri. Sakittt! Itu hukuman yang dikenakan ke atas diri sendiri yang telah menyakiti hati ibu. Kesakitan itu masih tidak memadai. Tidak dapat memuaskan hatinya. Pipi mulusnya pula ditampar berkali-kali. Ia membuat kulit wajahnya menjadi perit dan terasa menebal. Kebas. Apa yang dilakukan belum membuatnya puas. Kain cadar ditarik dan digigit kuat agar tidak ada yang mendengar jeritan yang mahu dilepaskannya. "Haaa..." Tidak tertahan rasa hati. Jeritan dan tangisan dihamburkan. Ruang dada harus dikosongkan. Dilepaskan semuanya. Dengan harapan ledakan itu akan membuatkannya lega. "Hanni!" Cikgu Rahman berdiri di muka pintu yang terbuka luas. Entah sejak bila dia memerhati perlakuan Hanni tanpa Hanni sedar. Cepat diseka air bening di pipinya. Kain cadar digunakan untuk mengeringkan wajah yang dibasahi air mata. Cikgu Rahman melangkah masuk dengan tenang. Melihat kemunculan ayahnya, hati Hanni menjadi lapang. "Apa yang ibu ceritakan pada ayah?" tanya Hanni tanpa berlengah. Dia mahu menyelidik adakah ibunya telah menceritakan tentang betapa buruk sikapnya. "Tak ada apa. Ibu minta ayah ke bilik Hanni. Tengok-tengokkan Hanni. Apa dah jadi sebenarnya?" Ayahnya balik bertanya. Hanni tidak pasti sama ada ayahnya berkata benar atau hanya ingin mengambil hatinya. Mustahil ibunya tidak menceritakan perkara yang sudah berlaku. Dia tidak mahu mendesak. Enggan membiarkan kecurigaan melunturkan kepercayaan kepada ayahnya. Hanni mengunci rapat mulutnya, tidak mahu bertanya lagi. "Hanni ponteng?" tanya ayahnya. Hanni mengangguk lemah. Bersedia untuk dimarahi. "Kalau cuti, ikut ayah ke kebun. Ambil udara segar. Takkan seharian kamu nak berbaring macam ni." Cikgu Rahman menyarankan. Dugaan Hanni jauh meleset. Ayahnya tidak marah. Malahan mengajaknya ke kebun. "Betul ke, ayah?" Hanni teruja. "Apa tak betulnya? Mandilah cepat, ayah tunggu. Sebelum ke kebun kita breakfast kat warung Mak Jiha." "Okey, ayah. Sep!" Hanni sua telapak tangan, disambut ayahnya dengan menepuk balas. Kebencian, kesedihan, kekesalan dan pelbagai perasaan buruk lagi hilang begitu sahaja. Seperti tiada apaapa yang berlaku. Tidak membuang masa, Hanni melompat turun dari katil. Menyelinap masuk ke bilik air untuk menyegarkan tubuh. Mandi sekadarnya. Tidak mahu ayah menunggu lama. Dalam waktu yang sama dia tidak sabarsabar lagi mahu ke kebun. Dia pernah menyimpan anganangan mahu menjadi pekebun seperti ayahnya. Malahan lebih berjaya lagi. Keringatnya tidak perlu dikerah dan diperah oleh orang lain. Bekerja sendiri dan hasilnya juga masuk ke simpanan sendiri. Seronoknya... Usai mandi Hanni bergegas keluar dari bilik. Dia menjengah ke sekitar rumah. Senyap. Ayahnya mungkin sedang menanti di bawah. Ibunya turut tidak kelihatan. Mustahil ibunya menyambung tidur di dalam bilik. Itu bukan kebiasaan orang tuanya. Hanni garu-garu belakang kepala. Hairan juga bila tidak melihat ibunya, dia resah. Apabila ibunya di hadapan mata, dia kurang senang. Jika tidak kelihatan, tercari-cari pula. Huh! Benci dengan perasaan yang sukar diurus! "Hanni nak tolong ayah berkebun, ya?" Tiba-tiba belakangnya disentuh. Spontan Hanni berpaling memandang. "Ibu!" Hanni benar-benar terkejut. Aneh! Dia yakin tadi tidak ada sesiapa di belakangnya. Jika ibunya baru sahaja datang sudah tentu dia dapat mendengar bunyi telapak kaki. Dia amat yakin ibunya muncul tiba-tiba. Di dalam kebingungan, ditatap lama wajah ibunya. Puan Indah melarik senyuman manis. Dia juga mengerdipkan mata dengan lembut. Hanni terkesima. Tidak seperti kebiasaannya, ketika itu wajah ibunya amat menyejukkan hatinya. Terasa bagai ada aliran yang dingin meresap ke sanubarinya. "Apa yang kamu terlopong macam tu? Macam tak pernah nampak ibu pula... Hehehe..." Puan Indah tertawa lirih. Hanni terkebil-kebil melihatnya. Ada yang mahu Hanni ajukan, namun mindanya tidak dapat berfikir. Kosong. Tenang. Lapang. Puan Indah mengusap pipi mulus Hanni. Kemudian menguak rambut yang terjuntai menutupi dahi. Ubun-ubun Hanni diusap lama. Hanni membiarkan sahaja. Damai hantinya bila diperlakukan seperti itu oleh ibunya. Selepas itu ibunya melingkarkan tangan kanan pada bahu Hanni. "Mari kita sarapan. Dah lama sangat kita tak bersarapan sama-sama," ajak Puan Indah. Tangan yang melingkar pada bahu didorong supaya Hanni bergerak. "Sarapan?" soal Hanni yang seperti telah dikawal mindanya. "Yalah, sarapan. Selepas Subuh ibu dah siapkan atas meja. Dah sejuk agaknya." Sambil mereka melangkah bersama. "Tak panggil ayah makan sama?" tanya Hanni. "Tak payahlah. Kita berdua aje." Permintaan Puan Indah ditunaikan dengan senang hati oleh Hanni. Mereka beriringan ke dapur. Setibanya di dapur Puan Indah membuka tudung saji. Benar kata ibunya, sudah tersedia sepinggan roti jala dan semangkuk kari ayam likat bercampur potongan kecil kentang. Semua itu makanan kegemaran Hanni. Hanni terliur sebaik melihat hidangan tersebut. Tidak berlengah dia menarik kerusi lalu duduk menghadap hidangan. Tiga gulung roti jala diambil lalu diletak ke dalam pinggan kecil. Kuah kari dicedok sedikit lalu dicurah ke atas roti jala. Hanni sudah tidak sabar mahu menggigit roti jala yang kekuningan warnanya. "Ibu tak makan sekali?" tanya Hanni yang melihat sejak tadi ibunya hanya tersenyum memandangnya. "Hanni makan dulu, sayang. Ibu pandang anak ibu makan dengan berselera pun ibu dah rasa kenyang. Makanlah sampai kenyang. Dah lama Hanni tak bersarapan pagi, kan?" "Baiklah, ibu." Habis tiga gulung roti jala, Puan Indah menambah dua gulung lagi. Hanni makan dengan lahap. Sedap sungguh roti jala dilawan dengan kari ayam likat bercampur potongan kentang. Puas makan, Puan Indah menuang secawan teh untuk Hanni. Hanni meneguk seteguk, seteguk. Sesudah kenyang dua beranak itu berbual-bual kosong. Suasana begitu ceria. Hanni kelihatan gembira. Sedang mereka asyik berbual kedengaran bunyi langkah kaki menuju ke arah mereka. Hanni memandang melihat siapa yang datang. "Eh! Ibu! I... I... Ibuuu..." Hanni benar-benar gugup. Lintang pukang degup jantung dan gemuruh tibatiba hatinya. Lemah longlai tubuhnya. Dia benar-benar kebingungan. "Hanni dah sarapan? Baguslah. Happy ibu tengok anak ibu makan pagi ni," sapa Puan Indah yang baru muncul. Selepas ditengking oleh Hanni, dia turun ke tanah untuk menyejukkan hatinya. Apabila sudah lega dia naik semula. Semangat Hanni seakan terbang. Tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Di hadapan matanya ada dua orang yang menyerupai ibunya. Langsung tiada perbezaan di antara mereka. Wajah, saiz tubuh dan pakaian, semuanya sama. Hanni melihat mereka silih berganti. Hendak gugur jantungnya. Sakit dadanya. Berdetak-detak irama denyutannya. Tubuhnya sudah mandi peluh. Puan Indah yang berdiri kelihatan cemas. Sama cemas dengan Puan Indah yang duduk di hadapannya. Kemudian masing-masing seolah-olah hendak meyakinkan bahawa diri mereka adalah ibu Hanni yang sebenarnya. Hanni benar-benar celaru. Buntu. "Hanni, kenapa?" Puan Indah yang berdiri menerpa ke arahnya. Puan Indah yang duduk juga bergegas mendekatinya. "Ke... Kenapa... Ada... Dua ibu?" Hanni mencungap. Ketakutan. Kalau boleh dia mahu menghaibkan diri supaya tidak perlu berhadapan dengan mereka. Malangnya dia tidak berupaya melakukannya. Hanni gigil. Gementar seluruh tubuhnya. Peluh dingin tidak segan mengalir. "Dua ibu? Apa Hanni cakap ni?" Puan Indah yang meluru daripada berdiri tadi bertanya. Wajahnya kehairanan. Juga penasaran. Dia tidak melihat sesiapa pun berada di meja makan, kecuali Hanni. "Ibu?" Hanni menuding ke arah Puan Indah yang bertanya. Puan Indah angguk-angguk. Kemudian dia menoleh pula untuk melihat Puan Indah yang melayannya bersarapan tadi. "Iii... Eh, tak ada! Aduh, apa dah jadi ni? Tadi dengan ibu... Yang ni pun ibu." Hanni mengomel sendiri dengan telunjuk menuding ke sana ke mari. "Hanni. Kenapa, sayang?" Sudah tentu Puan Indah cemas. Hanni mendakwa dia telah menemani Hanni bersarapan sedangkan dia baru naik ke rumah. Bagi Puan Indah, ia adalah satu hal yang tidak baik. Hanni seperti sudah terjejas akal warasnya. Sebagai ibu tentu sahaja dia merasakan perkembangan diri Hanni sangat tidak baik. "Ya Allah, pucatnya muka kamu ni, Hanni?" Ibunya semakin cemas bila melihat Hanni seperti seorang pesakit anemia kronik. Pucat lesi tidak bermaya. "Apa sebenarnya yang ibu nak daripada Hanni? Ibu tak kesiankan Hanni ke?" Dalam keadaan lemah Hanni masih mahu mempersalahkan ibunya atas apa yang telah berlaku. Luluh hati diperlakukan seperti itu oleh anaknya sendiri. Perlahan-lahan berusaha menyabarkan hati. Rasa kasih terhadap seorang anak mengatasi segala-galanya. Puan Indah berkorban lagi dengan mengenepikan perasaannya. "Jangan cakap macam tu, sayang. Ibu tak tahu apaapa. Bukan ibu yang nakkan semua ni jadi. Sudahlah, jangan cakap apa-apa lagi. Kamu nampak lemah. Mari ibu pimpin ke ruang tamu. Boleh baring atas sofa," pujuk Puan Indah. Disebabkan Hanni masih gigil, dia membiarkan ibunya memapah ke ruang tamu. Hanni cuba membuang ingatannya terhadap kejadian sebentar tadi. Dia berasa kurang selamat berada disamping ibunya, namun dia membiarkan tubuhnya dipapah. Sentuhan-sentuhan ibunya tidak mengizinkannya merasai ketenangan. Masih ada sisa ketakutan yang berbekas. Mana tahu yang sedang memapahnya juga bukan ibunya? Benak Hanni jadi sarat dan berat. "Baring sini." Sampai di hadapan sofa, Puan Indah mahu Hanni berbaring di situ. Hanni akur. Sebaik berbaring, pandangan menjadi kelam. Melayang. Sejak tadi peluh dingin masih merenik keluar. Matanya dipejam rapat. Emosi cuba dikawal. Beberapa minit kemudian Hanni tidak sedar lagi apa yang berlaku. Dia ketiduran seperti pengsan. Puan Indah membiarkan. Dengan tidur Hanni akan dapat merehatkan mindanya. Hanni ditinggalkan di ruang tamu. Puan Indah ke dapur semula untuk mengemas meja makan.

TANAHWhere stories live. Discover now