Bab 13

758 12 0
                                    

"Tadi Mah sembang dengan Kiah. Katanya, esok dia turun Ayer Keroh. Duduk rumah Si Sharimin. Nak kumpul anak-beranak sebelum Oshin terbang."'

"Eh! Ajaklah datang rumah kita. Makan tengah hari ke. Makan malam ke."

"Dah. Esok Kiah datang makan tengah hari kat sini."

"Bagus tu. Mah nak masak apa esok?"

"Anak-anak semua ada ni, bang. Zim tu pun kata, malam ni lepas habis kerja dia sampai. Esok pergi kerja dari sini aje."

"Lauk kampunglah, Mah. Bakar ikan. Bakar ayam. Buat sambal udang petai. Masak lemak pucuk paku. Sambal belacan. Lawan dengan ulam-ulam. Terangkat."

Mak Mah angguk akur. Cakap fasal makan ni, Tok Brahim memang jaguh padankan menu. Kena pula tu dengan selera anak-anak. Bertambah masing-masing.

"Bang, bang. Saya ni berkenan sungguh dengan anak Si Kiah tu," cerita Mak Mah.

"Maksud Mah, anak Kiah Si Oshin itu?"

Tok Brahim menutup surat khabar yang dibacanya. Petang-petang ni bergosip dengan bini seronok juga. Lagi-lagi perihal anak dara Mak Cik Kiah. Kisah lucu Si Oshin tu lebih menarik daripada terus membaca perbalahan politik dalam surat khabar.

"Haaa... Si budak Oshin itulah. Dari sudut pandangan Mahlah kan bang, sesuai budak itu dengan Zim. Baik budi bahasa, berpelajaran, cantik dan kita kenal usul asal keluarganya. Pandai arwah Hassan dan Kiah didik anak gadisnya," puji Mak Mah.

"Betul kata Mah. Abang pun berkenan dengan budak Oshin ni. Tapi apa-apa pun, Mah kena tanya dulu dengan Zim. Dia setuju ke tidak?" cadang Tok Brahim.

"Mah ada dah tanya dia, bang. Abang tahu ajelah, apa jawapan dia. Ikut suka hati mak dengan abahlah. Sudah banyak kali Mah tanya dia. Itu sahaja yang dijawabnya. Jadi Mah fikir kali ini Mah nak pergi merisik dulu. Nak tunggu Zim tu, sampai ke tualah kita tak dapat menantu."

Tok Brahim diam berfikir. Memaksa anak-anak ikut keputusannya adalah satu yang tak wajar. Nak-nak pula, hal jodoh ni. Sebaik mungkin, biarlah calon tu disenangi sendiri oleh mereka.

"Biarlah saya pula yang cakap dengan dia. Urusan nikah kahwin ni, kita orang tua tidak boleh paksa. Kita cuma bagi cadangan dan beri nasihat. Biar dia yang buat keputusan. Eh, siapa pula yang datang tu, Mah?" Tok Brahim melihat ada kelibat kereta yang berhenti di hadapan pintu rumahnya.

"Panjang umur budak bertuah ni. Zim dah sampai," ucap Mak Mah.

Hazim manis muka mendapatkan mak abahnya yang sedang minum petang di laman rumah. Pasangan romantik sungguh, dari muda sampai ke tua kemesraan terpancar dari gerak-geri mak abahnya.

Duduk minum petang berdua sudah menjadi aktiviti yang tidak asing buat anak-anak. Itu petua keakraban orang tua kata Mak Mah apabila disoal anak-anak.

"Kereta kamu mana, Zim?"

"Zim ada urusan kat Hospital Melaka tadi, bah. Naik satu kereta aje dengan Adam. Dialah yang hantar tadi tu."

"Habis tu, kamu nak balik Terendak nanti macam mana?"

"Dengan Hadi esok subuh. Dia nak berkhemah di Pengkalan Balak dengan kawan-kawan kolej dia esok."

"Dia tak cakap dengan mak pun nak berkhemah di Pengkalan Balak sana tu," celah Mak Mah. Cukup tak suka bila anak-anak buat rancangan tak maklum padanya.

"Bukan dia aje, mak. Ada tiga empat orang lagi. Malam nanti kut dia cerita dengan mak. Tunggu semua kawan-kawan dia confirmkan dulu."

"Isyyy... Anak bongsu abang tu, tak lekat kat rumah langsung. Asyik merambu aje kerjanya," bebel Mak Mah.

Senyumlah BidadarikuWhere stories live. Discover now