Bab 7

873 20 1
                                    

Rumah kampung Mak Cik Kiah meriah meraikan majlis menyambut menantu dan sekali naik dengan majlis kesyukuran buat Oshin. Dekat enam buah kanopi terpacak di depan rumah.

Ramai sanak saudara dan kenalan rapat datang memeriahkan majlis. Lapang hati Mak Cik Kiah. Dua daripada tiga anaknya sudah menamatkan zaman bujang mereka. Tinggal si bongsu aje yang agak liat sikit jodohnya. Sama macam orangnya, degil yang amat.

"Ya Allah, tak sangka Tok Brahim dan Kak Mah datang juga ke kenduri Kiah ni," sambut Mak Cik Kiah sambil memeluk sakan kawan lama ketika arwah suaminya masih bertugas sebagai anggota polis di Kuala Lumpur dulu.

"Saya mesti datang. Bukan senang nak berkumpul macam ni. Dua dalam satulah ni. Sambil menziarahi boleh juga jumpa balik teman-teman lama yang dah pencen ni," jelas Tok Brahim. Sekadar tersenyum senang disambut mesra oleh tuan rumah.

"Ini Hazim, kan?" tanya Mak Cik Kiah.

Hazim angguk bersama senyum manis di bibir.

"Dah kacak mak cik tengok. Dulu kamu tu tak padan dengan gempal. Membuli orang aje kerja kamu. Samalah dengan Si Sharimin tu. Nauzubillah perangai masing-masing. Kerja kat mana sekarang?" Teruja Mak Cik Kiah melihat tertib Hazim bersama mak ayahnya.

"Tentera, mak cik."

"Alhamdulillah. Bagus tu. Mak cik suka sangat. Kerja gomen ni terjamin masa depan. Si along dan Sharimin tu, dah berbuih mulut mak cik ni suruh minta kerja gomen. Tak naknya mereka."

"Ni kata nak buat kenduri kesyukuran untuk yang bongsu tu. Dapat sambung belajar kat mana?" Mak Mah menyoal. Sedari tadi dicarinya kelibat anak bongsu Mak Cik Kiah. Tak nampak.

"Budak bertuah tu nak ke Jerman, kak."

"Bagus tu. Belajar apa?"

"Belajar fasal kereta macam arwah juga."

"Mana tak tumpahnya kuah kalau tak ke nasi, Kiah? Bagus tu."

"Mana budaknya? Ni, kalau berselisih bahu kat Melaka memang akak tak kenal. Rupa dia pun akak dah lupa."

Mak Mah menjeling pada Hazim. Mana tahu, dengan anak dara Mak Cik Kiah ni terbuka hati nak bernikah.

"Sama juga macam dulu, selekehnya. Tak lepas-lepas dengan selipar Jepun besar dia."

Ketawa semua dengar akan cerita lucu tentang kesukaan Oshin memakai selipar Jepun bersaiz besar dari kakinya.

"Mana dia?"

"Dia keluar pergi jemput kawan-kawan sekolah lama dulu yang sesat jalan. Apa-apa pun, jemput makan dulu Tok Brahim, Kak Mah, Hazim. Eh! Kejap. Anak Kak Mah yang lain tak datang ke?"

"Bila dah besar panjang, mana nak ikut sekali. Masing-masing buat hal sendiri. Si Hazim ni nasib baik Sharimin tu kawan dia masa sekolah dulu. Kalau tidak, dia pun susah nak ikut sekali," cerita Mak Mah.

Kenangan sewaktu duduk di kuarters polis dulu tiba-tiba mengimbau kembali. Hazim memang rapat dengan Sharimin sejak darjah satu lagi. Sampailah habis SPM. Lepas tu masing-masing dengan haluan sendiri.

"Mak, Zim kat meja sana. Tengok ada Adam dan yang lain duk berkumpul kat sana," ujar Hazim.

Tak nak berlama-lama dengan Mak Mah dan Tok Brahim yang nak bersembang panjang dengan kawan-kawan lama mereka. Habis semua mak nenek nostalgia kenakalannya masa kecik diungkit semula. Malu!

Hazim mengambil makanan dan terus duduk di sebelah Adam yang sedang rancak bersembang sambil menyuap makanan. Dengan si pengantin lelaki pun turut sama lepak di meja mereka.

Sharimin ni memang pengantin rock. Lepas majlis makan beradab selesai, dia terus melayan tetamu. Dia hanya duduk di pelamin untuk bergambar dengan tetamu aje. Bila dah berjumpa dengan kawan lama, memang riuh-rendah jadinya.

"Wahhh! Kau ni bro, laju aje." Teman lama mengusik Sharimin.

"Laju apanya pula? Aku baru nak berumah tangga. Kau orang tu yang dah beranak-pinak. Memang aku dah jauh ketinggalan berbanding kau orang."

"Aku suka konsep kau ni. Simple aje. Tapi meriah."

"Haah. Mulanya kami nak buat majlis sambut menantu aje. Lagi ringkas dari ni. Aku dan bini aku tak nak majlis yang sarat-sarat. Lepas tu, adik aku pula dapat tajaan untuk sambung belajar. Jadi mak aku cakap, kita buat kenduri kesyukuran untuk adik aku tu sekali. Tu yang jadi besar tu."

"Adik kau tu sambung belajar kat mana?"

"Jerman. Ikutkan kontraknya tiga tahun aje kat sana. Tapi, adik aku tu pelik sikit. Aku tak yakin tiga tahun aje dia kat sana. Spesies suka explore benda baru tu. Jadi tempoh masa tu masih terbuka luas."

"Sekejap aje dah besar adik kau tu, kan? Boleh pula Mak Cik Kiah tu lepaskan anak bongsu dia belajar sorang-sorang kat Jerman tu," sampuk Adam.

Hazim hanya diam sambil mendengar saja butir perbualan teman-temannya dengan Sharimin.

Dalam diam Sharimin kagum dengan Oshin yang tidak ghairah dan lemas dalam dunia remaja. Malah, Oshin lebih tahu arah tuju hidupnya. Sifat terlalu berdikari Oshin itulah yang selalu memeningkan kepala mereka sekeluarga.

"Adik aku tu degil. Terlalu mandiri kata orang. Dah selesai semua urusan, baru dia bagi tahu keluarga. Baru nak minta izin. Bila dah siap sign tu, payahlah nak dibatalkan. Nak tak nak, mak aku terpaksa redakan aje," cerita Sharimin perihal adiknya, Oshin.

"Mana dia? Last aku jumpa dia masa darjah empat dulu kut. Kalau tak salahlah. Lepas tu, kau orang dah pindah. Langsung tak ada cerita langsung."

Inilah cerita kalau bekas anak-anak polis berkumpul. Kalah cerita orang tua mereka yang bahagia dengan semangat kejiranan dan kekeluargaan yang erat sesama mereka dulu. Banyak aktiviti riadah yang dilakukan bersama selain gotong-royong dalam setiap keraian, moreh berbuka puasa di surau, bersukan dan macam-macam lagi.

"Entah. Sepatutnya dialah yang sibuk melayan tetamu, bukannya pengantin."

Mata Sharimin melilau mencari kelibat Oshin. Terlihat Oshin ketawa kegirangan dengan kawan-kawan lama sekolahnya.

"Shin! Shin!" laung Sharimin buatkan Oshin terus menoleh. Gamitan Sharimin buatkan Oshin terpaksa melangkah ke arahnya.

"Ya, bang."

"Meja ni dan meja sana tu semua kawan abang. Shin bagi dia orang semua door gift special tu ya," pinta Sharimin.

"Ya."

"Kau orang, kenalkan ni adik aku, Oshin. Shin kenal tak dia orang ni semua?"

Oshin hanya tersenyum bersama kepala digeleng perlahan. Memang dia dah tak cam sangat kawan-kawan Sharimin ni semua. Melainkan seorang aje. Itu rahsia.

Sharimin memperkenalkan sorang demi sorang pada Oshin yang hanya tunduk dan senyum aje.

"Aku kenalkan aje tau. At least kalau kau orang nampak Shin kat mana-mana, kau orang boleh terus call aku. Dan, kalau kau orang nak kenal rapat dengan adik aku ni, kau orang kena dapatkan kebenaran aku dulu." Selamba badak aje, memberi amaran keras pada kawan-kawannya.

Oshin terus mengutil lengan Sharimin. Tak suka betul dengan perangai tak semenggah si abang.

"Hitler! Dahlah. Daripada kena buli dengan Abang Min, baik orang layan kawan orang kat sana." Panjang muncung bibir Oshin tanda dia menahan geram campur meluat dengan fiil Sharimin.

Adam terus mencuit Hazim yang sedang melayan pencuci mulut sedari tadi.

"Dengar tak tu? Bakal abang ipar dah bagi warning," usik Adam berbisik pada Hazim.

"Bukan aku syok kat dia. Aku syok kat adik dia," balas Hazim selamba.

Panjang sengih Adam dengar pengakuan tak bertapis Hazim. 

Senyumlah BidadarikuWhere stories live. Discover now