Bab 4

1K 25 0
                                    

"Aku tak sangka adik kau ni mekanik, Min," puji Norman.

Oshin yang berbaju kebaya pendek hanya tunduk menikmati makanan. Lapar betul perutnya. Seharian dia mengemas rumah bujang Sharimin di Bukit Katil. Kotornya macam rumah tak berpenghuni sepuluh tahun.

Lapar punya fasal, tak diambil tahu langsung inti pati perbualan Sharimin dengan kawan baiknya, Norman. Sejak Oshin masuk aje sekolah menengah, along dan Sharimin memang kawal siapa kawan-kawan Oshin. Siap ada peraturan lagi kat rumah Mak Cik Kiah nun.

Habis aje sekolah menengah, diingatkan semuanya kembali normal. Rupa-rupanya, along serahkan tanggungjawab mengekori buntutnya pada Sharimin. Itu yang Oshin menyampah sangat. Nak merasa ada kekasih tu, memang taklah.

"Itu yang dia belajar kat kolej, Man. Kalau dia tak tahu repair kereta juga, memang aku rebus nuts-nuts tu buat sup. Suruh dia minum," balas Sharimin.

Dalam diam, dia bangga dengan pencapaian Oshin. Kedegilan Oshin memperjuangkan apa yang diminati memang menampakkan hasil. Walau dihalang macam mana pun, Oshin tetap tegas dengan pendiriannya.

Buktinya, belum pun habis diploma, Oshin dah terpilih menjadi salah seorang krew sokongan pasukan kereta lumba GT untuk sebuah jenama terkemuka dunia kat Litar Sepang sana. Pengalaman tu telah menjadi tiket untuk dia mendapat tajaan melanjutkan pelajaran ke Munich, Jerman.

"Perempuan belajar repair kereta?"

Norman terkejut. Ini pertama kali dia mendengar dan melihat seorang gadis seperti Oshin memilih jurusan yang dimonopoli oleh orang lelaki. Dia tahu adik perempuan Sharimin belajar di kolej. Tapi tak tahulah belajar apa.

"Haah. Adik aku ni pelik sikit. Dia warisi kemahiran abah aku. Macam mana kau halang pun, dia tetap dengan keputusan nak sambung belajar dalam bidang automotif. Dan dia ada backup kuat. Pak ngah aku."

Norman pandang pada Oshin yang bereaksi selamba sedari tadi. Hati lelakinya tercuit juga. Manis!

Pandangan mata Sharimin yang menghantar isyarat 'jangan renung Oshin' buatkan dia terus sambung menyuap makanan. Bekas anak polis yang sangat protective ni, memang tak pernah berubah. Kedekut! Nak kenal Oshin pun tak boleh.

"Ya. Ya. Lupa pula aku. Thanks, bro. Kalau tak, rabak juga poket aku." Lega Norman bila masalah kereta dia yang tersadai tadi dah selesai.

"Laaa... Hal kecik aje, Man. Kau tu kan pengapit aku. Takkan aku nak biarkan kau kat tepi highway aje tadi? Lain kali, sibuk macam mana pun jangan lupa servis kereta. Benda basic aje pun," kata Sharimin. Mata menjeling pada Oshin di sebelah yang senyap aje sedari tadi. La, main games rupa-rupanya.

"Betul ke kereta Abang Man tu boleh gerak sampai Kuala, Shin?" soal Sharimin. Risau juga hatinya kalau kereta Norman meragam dalam perjalanan ke Kuala Sungai Baru esok pagi.

"Boleh aje. Esok sampai Kuala, orang bawa terus ke bengkel pak ngah kat sana tu. Suruh budak-budak tu repair. Kalau depa sibuk, orang sendiri yang repair. Sekejap aje tu," balas Oshin. Tumpuannya masih pada telefon di tangan.

Setakat karburetor bocor, tutup mata pun dia boleh betulkan. Cuma tadi dia malas nak kotorkan tangan. Lagipun peralatan tak ada.

Lega hati Sharimin mendengarnya. Dia memang dah buat rancangan nak turun ke laut dengan Norman lusa. Dah lama rancang. Mana tahu rezeki nak kahwin ni, dapat tangkap tiga empat kilo ikan buat lauk pengantin nanti.

"Assalamualaikum! Bakal pengantin. Biar betul ini Sharimin." Bahu Sharimin ditepuk-tepuk.

Sharimin yang terkejut, terus berdiri. Sapaan Adam buatkan hatinya melonjak gembira. Yalah, bertahun mereka tak bertemu muka. Mujurlah ada media sosial. Tahulah juga sikit-sikit perkembangan masing-masing.

"Adam. Zim. Tak sangka jumpa kau orang kat sini," kata Sharimin sambil berjabat tangan dengan Adam dan Hazim.

"Kau pun ada, Man?"

Ramah Adam menyapa. Mereka bersekolah menengah yang sama. Anak polis semua ni.

"Adalah. Wah, kau orang ni. Meh duduk sekali," ajak Norman.

Adam terus memandang Mashitah yang berdiri di sebelahnya. Kemudian pada Hazim yang buat muka tanpa riak macam biasa. Anggukan Mashitah buatkan Adam terus tersengih. Cantik!

"Kenalkan, kawan aku Shitah."

"Ooo... Ingatkan tunang kau tadi," sakat Sharimin.

Mashitah senyum sambil menarik kerusi di sebelah Oshin. Adam pula mengambil tempat di depan Mashitah. Manakala, Hazim melabuhkan duduk di sebelah Norman berdepan dengan Oshin.

"Hei, tahulah nak nikah. Takkan asyik berkepit aje," balas Adam. Dipandang pada Oshin yang menunduk, duduk di sebelah Sharimin.

"Bongok kau. Ni adik akulah. Oshin."

Hazim terbatuk kecil. Terkejut. Terus diangkat kepala memandang Oshin.

Ya Allah, lainnya muka anak Jepun gelap ni bila dah besar. Putih melepak macam Snow White.

Senyumlah BidadarikuWhere stories live. Discover now