Bab 7

1.2K 21 0
                                    

Malam itu, Jimin sukar melelapkan mata. Walaupun mungkin dia sedikit lelah dan kepenatan menempa besi sehari suntuk, tapi matanya belum salah melihat orang. Dia pasti itu memang Hanim... Tapi siapa lelaki misteri yang berjalan berpimpin tangan dengan Hanim?

Sungguh, saat kereta Perodua Kelisanya berhenti di lampu isyarat, menunggu lampu bertukar ke hijau, pandangannya kaku. Dunianya berhenti berputar seketika sebelum dikejutkan dengan bunyi hon kereta di belakangnya. Jimin terus memandu. Dia tiba-tiba teringatkan sesuatu. Ya... Dia inginkan kepastian. Jimin berpatah balik ke tempat tadi, namun hampa! Tiada lagi kelibat pasangan itu. Jimin cuba memujuk hati sendiri, dia percaya yang Hanim masih setia. Walaupun berkali-kali cuba meyakinkan diri sendiri, jauh dalam sudut hati, Jimin sembunyikan kerisauan yang ada.

"Bukan saya tak mahu kahwin, tapi mak lebih suka kalau saya kerja dulu. Saya pun muda lagi. Nak berbakti kepada famili." Hanim mula memberi alasan tatkala Jimin menyuarakan hasrat hati.

"Hari tu awak juga cakap yang mak dah bising-bising. Tanya bila kita nak kahwin? Bila saya dah cukup duit, ini pula alasan."

Jimin mula menunjukkan reaksi kurang senang dengan jawapan daripada Hanim.

"Susah sangat ke nak faham? Saya nak kerja dulu. Kalau awak rasa susah sangat nak faham famili saya, kita putus sajalah. Senang!"

Jimin mula hilang sabar. Sikit-sikit minta putus. Jimin menarik nafas dalam. Dia cuba bersabar demi hubungan ini.

"Okey. Saya minta maaf. Kita tak payah cakap soal ni lagi... Kita pergi makan dulu nak? Saya lapar ni," cadang Jimin. Dari tadi perutnya berkeroncong minta diisi. Hanim masih diam.

"Saya nak balik la... Penat." Hanim berpaling wajah ke arah lain. Lantas Jimin mencapai tangan Hanim lalu digenggam kemas. Hanim masih membisu dan genggaman tadi terus dileraikan. Hanim terus menapak ke kereta Perodua Kelisa. Jimin hanya mengekori langkah Hanim. Apa sudah jadi?

"Jadi tak nak tengok wayang? Atau kita..."

"Saya nak balik. Awak tengoklah sorang-sorang." Hanim terus memotong percakapan Jimin.

Jimin hanya mengangguk sahaja. Hanim sekarang emosinya tak stabil, jadi tiada guna pujukan atau rayuan. Hanim akan kembali okey bila sampai masa. Selalu sekejap saja, malam nanti Hanim pasti telefon dia untuk melepaskan kerinduan dalam hati. Jimin menelan air liur. Lapar sangat!

LIMA hari berlalu, belum ada tanda-tanda Hanim dah okey. Panggilan Jimin langsung tidak diangkat. Hisyam membuka televisyen dan menghulurkan remote kepada Jimin. Melihat reaksi teman serumah yang termenung jauh membuatkan Hisyam beralih tempat duduk. Bahaya! Tak lain tak bukan, mesti soal cinta. Bercinta apanya kalau lagi banyak bertikam lidah sesama sendiri?

"Aku tak faham dengan Hanim sekarang. Betul-betul tak faham." Tiba-tiba Jimin bersuara.

"Cakap dengan aku ke?" Hisyam ingin kepastian.

"Dengan hang la, bodoh... Takkan sembang dengan penyu."

Hisyam sengih menayang gigi yang putih tersusun elok.

"Aku ajak kahwin kut. Tapi dia punya angin tu lain macam. Dia sembur aku bertalu-talu. Jenuh aku tepis."

"Sejak bila?" Pertanyaan Hisyam mematikan lamunan Jimin. Matanya tertancap ke skrin televisyen.

"Sejak kita balik dari offshore. Dia dah lain sangat. Asal aku silap cakap sikit, dia minta putus. Bukan sekali dua tau, banyak kali sangat dah."

"Aku no comment... Kau lebih kenal dia, kan?"

"Sebab kenal sangatlah aku kata dia dah berubah sekarang. Dia punya seronok kalau kami berdating tu, dah tak nampak. Asyik nak balik awal. Tak pun, sibuk layan handphone dia dari aku." Jimin mendengus geram.

"Dia ada orang lain ke?" Jimin bertanya kepada Hisyam.

"Kau rasa?" Soalan dibalas dengan soalan. Jimin mencebik. Menyesal buka cerita dengan member sebelah. Jimin bingkas bangun dari sofa. Kepalanya terasa berat tiba-tiba. Kalau boleh tidur sekejap pun jadilah... Dapat juga ketenangan jiwa.

Single Terlalu Lama!Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang