Bab 6

1.3K 20 0
                                    

Pak Ucop kelihatan gusar melihat cuaca yang kian mendung. Tak boleh jadi ni, kalau hujan, nanti ramai yang tidak hadir. Kad jemputan pun dekat seribu keping diedar. Pak Ucop mundar-mandir.

"Hasnah, hang ambil baju yang selalu adik hang duk pakai tu. Bawa mai sini."

"Abah nak buat apa dengan baju Lia?" Hasnah, kakak sulung daripada empat beradik hairan dengan tingkah laku bapa sendiri. Mundar-mandir kalah macam tunggu bini nak bersalin.

"Buat sajalah... Abah takut hujan lebat. Nanti kasihan la kalau orang nak mai. Pula tu, lauk-pauk banyak ni." Pak Ucop menyuarakan kegusaran dalam minda.

"Ala, abah. Musim sekarang banyak kenduri... Bukan semua yang abah panggil tu akan datang," ujar Hasnah terus berlalu ke bilik pengantin.

"Lia... Tu, abah minta baju yang hang sayang sangat-sangat... Selalu hang pakai... Cepat." Aulia sedikit bingung dengan permintaan dari abahnya.

"Dalam almari, kak... Baju purple yang tergantung tu. Abah nak buat apa?"

Aulia yang sedang dimekap Abang Salleh hanya mampu menjeling melihat Hasnah.

"Macam kau tak kenal perangai abah... Masa akak kahwin dulu, mahu dilempar juga baju kesayangan akak di atas bumbung... Petua orang tua, hujan tak turun. Hahaha!"

Hasnah ketawa dan terus beredar. Abang Salleh tersenyum sumbing. Macam-macam!

Pak Ucop mengarahkan anak lelakinya Shukur untuk melemparkan baju ke atas bumbung. Kadang-kadang, petua orang tua boleh pakai, kadang tak boleh... Apa pun jangan terlalu percaya. Kuasa Tuhan mengatasi segalanya.

Jimin dan Sariah sampai awal. Jimin segak mengenakan jean dan kemeja biru tua. Lengan baju dilipat tiga suku menampakan ketampanan sisi lelakinya. Sesekali Jimin menguak rambut yang terjuntai di dahi. Dari segi penampilan, Jimin ada aura memikat. Kalau ada si gadis yang mencuba nasib, pengakhirannya tetap sama... Jimin tidak berminat.

"Anak dara yang hang duk tengok kelmarin tu, sepupu Aulia... Sebelah mak dia. Dah bertunang... Dengan polis kut!" Mek Badariah membuka cerita kepada Sariah yang dari tadi tidak sabar untuk tahu. Mendengar penjelasan itu, Sariah berasa kecewa. Melepas lagi!

Hoi, Shazrimin! Dah sampai masa wajib mandi bunga! Berat jodoh.

"Hmmm... Nak buat macam mana, bukan jodoh..." ujar Sariah memujuk hati sendiri.

"Ada jodoh tu... Lambat atau cepat saja. Aku tengok bukan tak segak cucu hang tu. Tapi itulah, entah-entah dia duk teringat lagi dengan yang dulu... Budak Hanim tu."

Sariah mendengus geram. Kenapa perlu petik nama Hanim sekarang? Panas punggungnya, rasa macam duduk di atas periuk gulai yang tengah dimasak. Isy, geram! Sampai sekarang telinga dengan lidahnya alergi dengan nama Hanim. Jangan sesekali sebut nama budak itu lagi.

"Huh! Budak itulah punca cucu aku jadi macam tu. Semua perempuan yang aku kenalkan dia tolak mentah-mentah. Sikit pun tak mahu tengok."

Sariah mula mengungkit kisah lama.

"Kalau dah sampai seru, Yah. Kahwinlah Jimin tu nanti. Bab jodoh dan mati ni bukan kita tahu." Sariah mengangguk mendengar nasihat daripada Mek. Dari jauh, Jimin leka melayan telefon. Anak gadis yang lalu-lalang di depannya langsung tidak menarik perhatiannya. Mereka berbisik-bisik dan sengaja ulang-alik tanpa sebab. Oh, Jimin! Bukalah mata... Pandang sekeliling, ramai lagi gadis sunti yang cantik boleh dibuat isteri.

Selesai sahaja majlis perkahwinan, Jimin terus balik berehat di rumah tok. Tengah hari tadi Hisyam menelefon untuk berbincang soal kerja. Mahu tidak mahu, awal pagi esok, Jimin kena pulang segera. Hisyam beritahu ada dua staf baru akan masuk untuk sertai pasukan kimpalan di bawah tanggungjawabnya. Sebagai welding inspector, memang tanggungjawab dia untuk membimbing staf baru supaya tidak timbul masalah lain ketika proses kerja mula berjalan. Harap-harap kali ini dia dapat pengimpal yang cekap. Dia dah bosan nak melatih dan tunjuk ajar.

"Ini kalau tok tahu, mesti marah ni." Jimin mundar-mandir di depan pintu utama. Apa pun, Jimin memang tak boleh lajak cuti. Nanti jadual kena susun semula lagi haru. Hmmm... Marah tok bukan lama mana sangat pun. Nama pun cucu kesayangan. Kerja sepertinya memerlukan komitmen yang cukup tinggi. Sekejap di laut dan sekejap lagi di darat. Masa tengah lakulah mesti sambar mana job yang ada. Buat harta banyak-banyak.

"Asyik-asyik alasan kerja... Tok ni kalau jadi buah hati hang, dah lama lari malam," sedas dua Sariah memerli cucunya. Jimin membuang ketawa. Alahai, lucu la. Takkan dengan cucu sendiri pun tok nak kecil hati?

"Kalau tak kerja, mana nak mai duit, tok... Kereta, rumah, bil itu ini... Semua pakai duit. Orang perempuan la ni pilih yang berduit dari yang handsome. Zaman la orang jantan kena poket tebal, tok," terang Jimin.

"Aku tahulah... Aku makan garam dulu. Kita jangan hidup berhambakan duit. Duit ni kalau bertimbun pun, tetap tak cukup. Sebab apa? Sebab hidup berhambakan duit dan bertuhankan nafsu." Nah! Bila tok mula berkata-kata. Jimin tersenyum kelat. Betul apa yang tok beritahu, tapi zaman sekarang begitulah kitarannya. Manusia dengan duit ibarat isi dengan kuku!

"Arwah tok wan dengan ayah hang tinggal harta dah, kan... Hang saja cucu yang aku ada. Kalau pak lang hang mati, aku pun mati... Semua tu jadi hak hang. Nak apa lagi?" Sariah termenung di tepi pintu.

"Itu harta pusaka... Cek pun nak kumpul harta hasil usaha titik peluh sendiri. Nanti senang anak bini cek," balasnya.

"Sebab itulah aku suruh hang menikah... Beranak pinak. Sampai bila hang nak ingat kat budak perempuan tu?" Tok mula mengungkit kisah lama yang tersimpan rapi. Lebih sedekad Jimin memendam rasa. Dia mula menggaru belakang tengkuk yang tak gatal.

"Isy... Ke situ pula. Mana ada, tok. Jimin dah lupa hal dulu tu." Jimin bersuara perlahan.

Itu cerita lama, buat sakit hati saja kalau dikenang. Kesakitan itu ambil masa lama untuk hilang. Pedih! Dia dah move on pun. Cuma sekarang hatinya masih kosong. Belum ada yang menambat hatinya. Kalau ada pun, baik dipendam saja kalau tau benda itu sah-sah satu dosa.

"Aku tak pernah lupa tau. Macam mana mak bapa budak tu mengata hang, hina kerja hang. Ni dalam hati aku ni, masih rasa sakit. Aku yang bela hang dari kecik..." Suara tok terketar-ketar.

Tiba-tiba malam ini bertukar jadi suasana penuh emosi. Jimin berjalan merapati tok dari belakang, melihat tok masih terdiam, Jimin memeluk dari belakang dan dagunya diletakkan di atas bahu orang tua itu. Hati orang tua itu sangat rapuh. Kadang-kadang Jimin merasakan kesakitan yang tok rasai lebih hebat daripadanya. Cubit paha kanan, yang kiri pun sibuk nak rasa sakit juga.

"Sabar, tok... Bukan Jimin tak mahu kahwin, tapi yang tok berkenan, Jimin tak berkenan. Tok bagi masa sikit. Jimin kahwin sebelum umur 50."

Tangan kanan tok singgah ke lengan kiri Jimin. Budak nakal macam Jimin memang patut dicubit sebagai habuan.

"Tok malas dah nak bagi tahu benda sama setiap tahun. Kalau ada calon, bawa balik jumpa tok." Jimin menyimpan senyuman. Calon apa kalau bayang pun tak nampak lagi. Dia pun sudah mula rasa selesa dan bebas bila tidak terikat dengan mana-mana perempuan. Lebih sepuluh tahun dia single, kalau nak mula balik sesuatu hubungan itu, dia sendiri tak yakin boleh hadap ke tidak kalau pasangan mengada-ada lebih.

Single Terlalu Lama!Where stories live. Discover now