Bab 14

2.6K 76 0
                                    

Pagi baru bermula lagi dan sangat cerah. Aku dengar ada suara burung-burung yang bernyanyi riang. Menjadikan suasana sepi hujung kampung tidak begitu terasa.

Malam tadi aku tidur dengan nyenyak. Tak sedar apa-apa hingga ke subuh. Letih punya pasal mengemas stor. Mahu sediakan ruang untuk barang-barang Lias.

Sepatutnya satu bahagian bengkel untuk Lias dan satu bahagian untuk aku tetapi disebabkan aku selesa tidur di sini, aku fikir biarlah satu bahagian dijadikan bilik tidur. Mana tahu aku malas balik rumah.

Alhamdulillah. Tiada apa-apa yang berlaku. Semuanya dipermudahkan.

Awal pagi memang tiada sebarang kerja. Aku akan membantu Lias mengutip telur-telur itik memandang dia sibuk di pasar pagi.

Elok aku buka pintu, tergantung bekas makanan berhampiran tiang. Segera aku ambil. Ini mesti Lias letak. Takut sangat share partner dia kelaparan. Terima kasihlah. Sayang juga dia pada aku. Aku pun akan berusaha untuk sayang dia.

Lepas habiskan nasi goreng, aku hidupkan enjin motosikal dan bergerak menuju ke reban itik Lias. Rupa-rupanya Cik Da sudah ada di situ.

"Assalamualaikum." Aku beri salam.

"Waalaikumussalam." Cik Da jawab sambil pandang aku.

"Dah makan nasi goreng? Mak cik gantung di depan pintu aje. Nak kejut Yah takut ganggu Yah tengah tidur."

La, Cik Da ke yang letak? Aku ingatkan anak dia.

"Dah habis pun. Terima kasih, Cik Da. Sedap sangat." Malunya. Bakal mak mentua yang bersusah payah hantar sarapan. Sepatutnya bakal menantu yang kena ambil hati bakal mak mentua. Dalam kes aku, terbalik pula.

"Nasi goreng biasa saja pun."

"Biasa pun sedap." Aku mula kutip telur itik. Lias buat reban kecil tepi bendang milik Cik Da. Tak besar mana tapi mampu menampung lebih kurang 100 ekor itik.

"Lias ada cerita apa-apa kat mak cik ke?"

"Cerita apa?"

"Mana tau dia marah saya tidur kat bengkel."

"Pasal tu. Memang dia ada bagi tahu mak cik. Maaf, mak cik tak dapat temankan Yah sebab mak cik sakit kepala malam tadi. Darah tinggi agaknya."

"Eh, tak apa, mak cik. Saya tak kesah. Cuma nampak Lias macam susah hati saja."

"Mestilah dia susah hati. Mak cik pun bimbang juga. Yah tinggal sorang-sorang kat situ."

"Maaf sebab dah buat Cik Da dengan Lias susah hati."

Cik Da tak balas. Pasti dia tak tahu nak cakap apa. Cakap lebih-lebih karang sah buat aku sentap. Mesti Cik Da ingat aku degil dan kuat merajuk. Tak boleh silap sikit nanti aku mulalah merajuk.

"Bukan saja-saja nak tidur kat bengkel. Tak tahan sangat dengan Abang Kamil."

"Mak cik faham."

Kami sambung kutip telur itik.

"Terima kasih, Yah..."

Terhenti tangan dari ambil telur dan pandang wajah Cik Da. Kenapa Cik Da cakap terima kasih tiba-tiba? Mungkin sebab aku tolong kutip telur itik kut.

"Tak ada apalah, Cik Da. Pagi ni memang tak ada kerja sangat. Lepas zuhur nanti baru ada kerja. Apa salahnya tolong Lias sikit-sikit. Lias pun banyak tolong saya selama ni."

Tak lama lagi akan jadi suami isteri. Berat sama-sama kami pikul. Lias tak berkira, mana boleh aku pula yang nak berkira.

"Bukan pasal tu. Terima kasih sebab Yah sudi terima Lias. Dah lama mak cik nak cakap. Tapi mak cik segan. Yalah, Lias tu kerja tak tetap. Siapa yang berani buat suami? Yah saja yang mahu terima dia."

Cik Yah Dan Encik LiasWhere stories live. Discover now