Bab 13

2.5K 79 0
                                    

Petang Sabtu, Abang Kamil sampai. Aku baru balik dari bengkel. Aku lihat muka Kak Norjie masam. Sah kena paksa balik kampung. Padan muka. Sekarang ni memang dah tak ada alasan untuk dia mengelak. Nak atau tidak, dia kena balik juga.

"Dulu Fizzy bagi tahu, kakak tak mahu balik kampung sebab rumah bau bangkai ikan. Sekarang tak ada masalah nak balik setiap minggu sebab semua kerja memproses ikan pekasam berpindah ke bengkel saya."

Aku labuh punggung di atas pangkin. Hilangkan lelah seketika. Aku tak rasa Abang Kamil balik semata-mata nak tengok mak dengan ayah. Kepala aku dah fikir benda lain. Muka Abang Kamil saja-saja nak balik? Memang tak la.

"Bukan jauh pun Kulim dengan Selinsing." Mak pula menyampuk.

Kak Norjie dan Abang Kamil diam tak bersuara. Bergaduh ke?

"Norjie, pergilah buat air. Minum petang. Buatlah pisang goreng. Dah ada yang masak." Mak keluarkan arahan.

Minggu lepas ayah ada tebang pisang yang ayah tanam di belakang rumah. Sedang sedap nak buat goreng. Selalu aku tukang goreng, mungkin mak tengok aku penat, jadi mak suruh Kak Norjie buat. Bukan selalu pun. Takkan itu pun tak boleh? Bila lagi nak tambah pahala.

Dengan wajah masam, Kak Norjie masuk ke dalam rumah. Dengan muka macam tu, jangan harap dapat pahala. Ingat boleh jadi mem besar agaknya? Jangan mimpilah. Aku pun dah penat tunjuk rajin.

"Mana Yah dapat duit beli tanah?" Soalan tu Abang Kamil tak tanya aku, tapi tanya pada mak. Jadi, aku biarkan mak yang jawab.

"Duit simpanan dia la."

"Mustahil banyak sangat sampai boleh tanah. Berapa sen sangat untung jual ikan pekasam." Aku rasa along ada beritahu pasal tanah tu. Masa dia nak balik Ipoh hari tu pun, along jelas-jelas tak puas hati. Mungkin sampai sekarang tak percaya.

"Eh, kamu lupa ke, Kamil? Masa kamu belajar dulu, duit hasil pekasam yang banyak membantu kamu. Satu sen pun Yah tak minta kamu bayar." Mak yang ungkit, aku tak sebut apa-apa pun.

Abang Kamil buat muka bodoh. Terkena batang hidung dia mula terkulat nak menjawab.

"Mana tahu kut mak jual tanah yang ada ke?" Kak Norjie menyampuk tiba-tiba. Tersentap aku sekejap. Jadi, mereka balik ni nak siasat dari mana aku dapat duit beli tanah la? Ke dah berpakat dengan along nak siasat aku habis-habisan? Adik-beradik jenis apa ni?

"Seorang menantu boleh pula sebut pasal tanah mentua? Tak pelik ke?" Aku menjawab juga sebab hati dah sakit. Ikutkan nak mengalah seperti selalu sebab tak nak bergaduh depan mak. Mana aci aku saja yang nak menjaga hubungan, sedangkan abang langsung tak fikir tentang semua tu. Sesedap mulut kata aku macam-macam.

"Kamu jangan kurang ajar sangat, Yah. Norjie berhak tanya kalau perkara tu betul." Seperti selalu, Abang Kamil akan bela Kak Norjie. Tu pasal makin keras kepala Kak Norjie. Tak boleh silap sikit.

"Untuk pengetahuan abang dan kakak, saya beli tanah Long Manap hasil duit simpanan saya dan separuhnya duit Lias. Puas hati sekarang? Malulah nak sentuh harta mak ayah."

"Fikir logik, takkan la banyak sangat hasil duit pekasam tu?" Kak Norjie masih tak nak mengaku kalah.

"Kak, duit cincin nikah kakak tu, duit saya tau. Jangan tak tahu." Terpaksa sebut bila hati aku dah sakit sangat.

"Apa?"

Abang Kamil nampak cuak.

"Bukan setakat cincin, duit majlis kahwin pun Yah ada bantu sama. Tiga ribu kan, Yah?" Mak pun sebut sama.

"Kenapa baru sekarang bagi tahu?" Kak Norjie nampak bengang.

"Sebab akak tak percaya saya ada duit simpanan. Tu, suami kesayangan akak tu, asal tak ada duit datang cari saya." Aku tunjuk muka Abang Kamil.

Cik Yah Dan Encik LiasWhere stories live. Discover now