Bab 6

2.4K 83 1
                                    

Lepas mandi, aku masuk bilik. Mahu melihat pesanan pekasam melalui online. Alhamdulillah, masih banyak pesanan yang masuk.

Telefon berbunyi. Aku ambil dan terpandang nama Wan di skrin. Apa mimpi dia telefon aku? Rasanya aku memang tak ada sebarang urusan dengan dia. Semuanya sudah selesai. Takkan nak pinjam duit lagi? Buat malu saja.

"Helo." Dia bersuara sebaik sahaja aku tolak tanda terima panggilan.

"Hah, kenapa telefon aku? Nak pinjam duit lagi?"

"Aku pun tak ingin duit kau tu. Busuk!"

Mak ai. Masa pinjam dulu tak busuk pun. Sekarang baru ingat busuk. Memang dia ni bodoh tak reti nak simpan sikit. Habis semua nak tayang.

"Busuk pun tetap bau duit."

"Eh, aku tak nak buang masa." Wan merungut. Macam aku pula telefon dia.

"Dah tau buang masa, kenapa telefon? Tak ke bodoh namanya tu?"

Ambil kau. Siapa suruh cari pasal dengan aku. Aku senyap-senyap datang kacau. Nanti putar belit kenyataan. Kata aku pula yang menggatal dengan dia. Bukan boleh percaya sangat dia ni.

"Kau nak bertunang dengan Lias?"

Ini memang mengejutkan. Telefon aku semata-mata nak tanya aku nak bertunang dengan Lias? Nampaknya berita ni dah sampai pada orang KL. Sah dalam grup WhatsApp geng sekolah sedang bercakap pasal aku dengan Lias.

"Sejak bila pula ambil berat tentang aku?"

"Aku tanya betul ke kau nak bertunang dengan Lias?" Nada suara Wan seperti berang dan bengang.

"Ya, memang betul. Aku nak bertunang dengan Lias tak lama lagi. Kenapa? Ada masalah ke?"

"Kau tahu kan Lias tu tak ada kerja tetap. Dia tu tak ada masa depan. Dengan lelaki tak guna tu kau nak kahwin?"

Wah! Ini memang betul-betul sudah melampau. Sesuka hati menghina bakal suami aku. Makan boleh sebarang makan bro, cakap jangan sebarang cakap.

"Walaupun dia lelaki tak guna, dia tak pernah pinjam duit aku. Sekarang ni siapa lelaki tak guna yang sebenarnya? Kau atau Lias?"

"Tolonglah, Yah. Jangan terima Lias. Aku takut hidup kau merempat nanti. Dia bukan lelaki yang sesuai untuk buat suami. Hidup kau akan susah nanti. Aku dah nampak memang Lias bukan calon suami yang sesuai buat kau."

Menyirap darah aku. Makin lancang mulut dia menghina Lias. Sejak bila pula Wan bermusuh dengan Lias? Seingat aku, mereka ni bercakap pun jarang. Wan dengan geng dia, sedangkan Lias bukan geng sesiapa. Lias buat haluan sendiri. Tak tahu kenapa mereka sisihkan Lias sampai macam tu sekali. Bukan Lias susahkan hidup sesiapa pun.

"Kau jangan bimbang. Aku yakin dengan Lias. Dia mampu beri aku makan. Tentang aku dengan Lias, itu urusan aku. Aku dah buat keputusan untuk terima Lias. Aku rasa aku tak perlu nak dengar pendapat orang tentang perkara ni."

Kalau boleh tengking, aku nak tengking saja. Nak hamburkan kemarahan aku, tapi ada faedah ke aku buat macam tu? Sekadar mahu memuaskan hati? Kalau mahu memuaskan hati, buat orang yang cuba menyakiti hati itu terasa sakit hati pula. Begitu caranya hendak membalas.

"Aku sayangkan Lias dan aku sudah jatuh cinta dengan Lias. Aku rasa dialah pilihan yang paling sesuai untuk aku. Kau jangan bimbang. Lias mampu membuatkan aku rasa bahagia. Dan dia sentiasa ada untuk aku."

Kalau Lias dengar, mahu pengsan dia. Bila masa pula aku jatuh cinta dengan Lias?

"Sejak bila kau jatuh cinta dengan Lias? Aku tak percaya kau boleh cinta dengan lelaki macam tu. Kau tak payah nak tipu aku."

"Aku tak tipu. Tipu pun bukan ada faedah pun."

"Aku tau kau dah terdesak sangat nak kahwin. Tu pasal kau main terima saja. Tolonglah, Yah. Jangan hancurkan masa depan kau."

"Yang kau bersungguh tak bagi aku terima Lias kenapa? Kau bermusuh dengan Lias?"

"Aku tak ada masalah dengan Lias. Baiklah, aku berterus terang sekarang dan aku harap kau tolak Lias. Aku masih sayangkan kau. Aku tak sanggup nak tengok masa depan kau hancur hanya kerana tersalah pilih."

Wan memang benar-benar buat lawak. Lawak bodoh. Teramat bodoh.

"Kau masih sayang aku? Bukan ke kau beritahu Lin yang aku terhegeh-hegeh nakkan kau? Macam mana pula kau kata kau masih sayang aku?"

Pelik ni. Takkan mulut kata benci, hati kata sayang? Yang mana satu betul? Mulut ke hati?

"Aku masih sayang kau, Yah. Sebab itu aku ambil berat tentang kau. Aku tak mahu tengok kau hidup menderita."

Masih sayang rupa-rupanya. Aku rasa lelaki memang ada penyakit hilang ingatan.

"Kalau kau masih sayang aku, kenapa kau kahwin dengan Lin?"

"Sebab Lin yang tergila-gilakan aku."

Aku tak tahu nak tepuk tangan ke nak rasa kasihan pada Lin. Pecah rahsia Lin tergilakan Wan.

"Kau boleh tolak Lin. Dan beritahu kau cintakan aku."

Makin seronok pula melayan lelaki tak guna seorang ini. Tapi jiwa kena kental. Sabar harus berada di paras paling tinggi. Nak layan bicara Wan jangan sampai keluarkan kata-kata kesat.

"Mak aku sukakan Lin berbanding kau. Mak aku pun paksa aku kahwin dengan Lin."

"Kenapa mak kau sukakan Lin?"

"Mak aku cakap Lin berpelajaran tinggi. Lin lebih pandai daripada kau. Sebab itu mak aku suruh aku pilih Lin."

Baru aku tahu ceritanya. Padan la mak Wan pandang aku pun tak nak. Sebab aku tak ada pelajaran.

"Pilihan mak kau tepat, Wan. Kau dengan mak kau memang pandai buat pilihan. Tapi kau jangan risau. Aku tak kecil hati. Aku tahu setiap kita berhak untuk memilih yang terbaik. Sama juga dengan aku. Aku juga berhak untuk memilih yang terbaik untuk hidup aku."

"Masalahnya, pilihan kau tu orang yang tak ada masa depan. Hidup kau bakal susah nanti. Tolonglah dengar cakap aku."

Sibuk pula risaukan tentang masa depan aku.

"Aku dah sedia untuk hadapi apa juga cabaran yang mendatang nanti. Aku akan kuat. Sepertimana kuatnya aku menghadapi saat kau nikah dengan Lin, aku akan kuat untuk apa juga yang bakal aku hadapi nanti. Terima kasih atas nasihat kau. Kejap lagi nak maghrib. Aku nak angkat kain kejap. Assalamualaikum."

Tak menunggu lebih lama lagi, aku terus tutup panggilan. Memang tak sangka Wan akan hubungi aku semata-mata nak beritahu aku pilihan aku salah.

Dan yang lebih menyakitkan hati aku, mak Wan juga terlibat sama dalam hal hubungan Wan dengan Lin. Baru aku tahu cerita sebenarnya.

Sabar, Yah. Ada hikmah di sebalik semua ni. Aku akan buktikan, aku mampu jadi manusia hebat walau hanya sekadar menjual ikan pekasam. Itu janji aku. 

Cik Yah Dan Encik LiasWhere stories live. Discover now