BAB 8

123 5 0
                                    

DOKTOR KAMARUL memandu kereta membelah kepekatan malam. Jalan raya pada malam ini terasa sunyi membuatkan pergerakan keretanya lancar tanpa sebarang gangguan. Setelah hampir setengah jam memandu, Doktor Kamarul tiba di Hospital Putra.

"Assalamualaikum doktor," sapa pengawal keselamatan di kaunter utama lobi hospital kala melihat kelibat doktor muda itu.

Doktor Kamarul menjawab sambil tersenyum. Dia kemudian meneruskan langkahnya ke lif lobi. Butang naik ke atas ditekan.

Kting!

Tak sampai seminit menunggu, pintu lif terbuka. Kelihatan seorang perempuan berambut panjang berdiri tegak di dalam lif itu. Dia memakai baju kuning cair bercop hospital. Menunjukkan bahawa dia adalah seorang pesakit.

Doktor Kamarul menanti seketika, menunggu untuk memberi laluan jika wanita itu hendak keluar. Namun, wanita di dalam lif itu sedikit pun tidak bergerak. Sebelum pintu lif tertutup, Doktor Kamarul cepat-cepat melangkah masuk.

Butang nombor empat ditekan. Aras di mana pejabatnya terletak. Selepas menekan butang itu, Doktor Kamarul kembali mengundur ke belakang. Serentak dia teringat akan penemannya di dalam lif itu.

"Err, cik nak pergi wad mana?" soal Doktor Kamarul.

Perempuan itu diam tidak menyahut. Seketika kemudian baru dia bersuara.

"Tingkat lapan," jawab wanita itu dengan suara serak. Sedikit pun dia tidak bergerak mahupun memandang Doktor Kamarul.

Tanpa banyak bertanya, Doktor Kamarul menekan butang lapan di dinding lif bersebelahan pintu. Ketika lif sedang naik, Doktor Kamarul menjeling memerhatikan pesakit di sebelahnya. Rambut wanita itu panjang, kusut, seolah-olah tidak pernah bersikat. Kulitnya kelihatan pucat. Badannya pula kurus kering menampakkan urat-urat biru pada tangannya.

Hmm, staff nurse manalah yang jaga pesakit ni. Tak terurus betul! katanya dalam hati.

Doktor Kamarul menjeling pula tag nama pesakit yang ada pada tangan wanita itu. Dengan menyebut dalam hati, Doktor Kamarul membaca nama pesakit tersebut.

Hmm, tak familiar, desis hati kecil doktor muda itu.

Doktor Kamarul tiba-tiba berasa hairan. Rasa macam lambat pula lif itu hendak sampai ke tingkat empat. Dilihat skrin nombor yang memaparkan aras yang sedang dinaiki lif tersebut.

Apa? Dah tingkat lima? Kenapa tak berhenti kat tingkat empat dulu? Rosak ke? Haisy! Masalah betul! bebel Doktor Kamarul dalam hati.

Buat seketika, dia membebel-bebel akan pengurusan hospital ini. Selalu juga lif-lif di hospital ini membuat masalah. Entah dibuat maintenance ataupun tidak, dia pun tidak pasti. Asyik rosak saja.

Sudahnya, Doktor Kamarul terpaksa menemani wanita itu naik ke wadnya di tingkat lapan.

Eh, sekejap! Tingkat lapan? Mana ada wad di tingkat lapan! Tingkat lapan, bukan ke...

Kting!

Belum sempat Doktor Kamarul berkalih kepada wanita di sebelahnya itu, lif berbunyi menandakan mereka sudah sampai ke tingkat lapan.

Ketika pintu terbuka, wanita itu melangkah perlahan-lahan keluar dari lif tersebut. Sedikit pun dia tidak menghiraukan apa yang ada di sekelilingnya.

Doktor Kamarul mula berasa tidak sedap hati. Dia mencari-cari sesuatu di luar lif. Ketika dia ternampak papan tanda arah yang ada di luar lif, serta-merta meremang bulu romanya. Papan tanda itu hanya menunjukkan arah ke satu tempat sahaja.

Bilik mayat!

Jantung Doktor Kamarul berdegup kencang dengan sendirinya. Peluh jantan mula merenik di dahi. Wanita tadi pula masih berjalan perlahan-lahan menjauhi lif tersebut.

TUMPANGWhere stories live. Discover now