BAB 4

147 6 0
                                    

TELEFON pintar yang berada dalam mod senyap di atas meja bergetar menandakan ada panggilan masuk. Bunyi getaran dari peranti itu membuatkan tidur Doktor Kamarul terganggu. Namun, kerana penat akibat seharian bertugas hari ini membuatkan dia terpaksa mengabaikan gangguan itu.

Brrr!

Sekali lagi bunyi itu kedengaran mengisi suasana sunyi dalam bilik peribadi doktor pakar itu. Kali ini, Doktor Kamarul tidak lagi mampu untuk menepis gangguan itu. Dengan mata yang terpisat-pisat, dia bangun dari sofa dan terhuyung-hayang berjalan menghampiri meja kerjanya. Telefon pintarnya dicapai lalu ditekan butang jawab tanpa melihat siapa pemanggil yang mengganggu tidurnya itu.

"Helo..." Lemah kedengaran suara Doktor Kamarul menjawab.

"Dok... doktor. Tolong saya doktor..."

Muka Doktor Kamarul berkerut serta-merta mendengar nada suara wanita yang bercakap dari telefon pintarnya itu. Keluh-kesah seolah-olah menghadapi masalah besar.

"Emm, siapa yang bercakap ni?" tanya Doktor Kamarul tenang.

"Saya Sarah, doktor. To... tolong saya, doktor..."

Doktor Kamarul memejamkan mata sambil menjengah semula kotak memorinya. Cuba mengingati mana-mana kenalannya yang bernama Sarah. Sesaat kemudian, dia membuka mata seolah-olah mendapat jawapan yang dia kehendaki.

"Sarah isteri Encik Hafizi?"

"Ya, doktor. Saya Sarah, isteri Hafizi."

Serta-merta mata Doktor Kamarul menjadi segar-bugar. Fikirannya terus terbayangkan Hafizi, Sarah dan anak kecil mereka dan sudah semestinya pesakit tua yang telah lama terbaring koma dalam jagaannya yang bernama Kasman.

"Ya, Sarah. Kenapa? Apa yang terjadi?"

Pertanyaan doktor muda itu membuatkan tangisan Sarah semakin menjadi-jadi.

"Aa... ayah, doktor. Aa... ayah..."

"Pak Cik Kasman? Kenapa? Apa yang jadi kepada ayah awak?"

"Ayah dah tak ada!"

Doktor Kamarul tergamam. Berita itu sangat-sangat mengejutkan dirinya.

"Innalillahiwainnailaihirajiu'n."

KERETA Honda City milik Doktor Kamarul meluncur laju membelah kepekatan malam. Selepas solat maghrib tadi, dia terus bersiap menuju ke rumah kediaman milik Hafizi dan Sarah. Langsung tidak difikirkan akan perkara lain. Walaupun perutnya sedang berkeroncong kelaparan, dia memilih untuk tidak membuang masa mencari makanan bagi melapik perutnya. Dia tidak mampu menepis kegusaran yang melanda hatinya saat ini setelah mendapat panggilan telefon daripada Sarah pada petang tadi. Segala yang diceritakan oleh Sarah masih terngiang-ngiang di telinganya.

"Ayah dah meninggal awal pagi tadi doktor," kata Sarah.

Pernyataan wanita itu membuatkan Doktor Kamarul terdiam sebentar. Dia cuba mengawal hatinya untuk tidak menerima berita sebegitu secara membuta tuli.

"Awak pasti ke Sarah? Awak dah periksa ke nadi ayah awak? Dah pastikan yang memang dia sudah tidak bernafas?" soal Doktor Kamarul bersungguh.

Dia seakan-akan tidak dapat menerima kenyataan yang disampaikan oleh Sarah kepadanya. Manakan tidak, sepanjang berminggu-minggu Kasman berada dalam jagaannya, tidak sekali-kali pun lelaki tua itu menunjukkan sebarang masalah kesihatan. Malah, sehingga ke saat akhir dia hendak dibawa pulang anaknya sehari lepas pun keadaannya masih stabil.

"Betul, doktor. Saya pasti ayah dah meninggal se... sebab..."

"Sebab?"

"Sebab mayat ayah dah reput dan berulat, doktor," jelas Sarah sedih.

TUMPANGWhere stories live. Discover now