BAB 2

178 9 0
                                    

DOKTOR KAMARUL khusyuk membaca case note milik Kasman. Dia menyelak satu per satu helaian kertas yang tercatat tentang rawatan dan perkembangan pesakit tua itu. Siapa sangka, Kasman boleh hidup sehingga umurnya mencecah angka hampir seratus tahun. Umur yang boleh dikatakan agak kritikal bagi mereka yang hidup pada masa sekarang. Entah apalah yang diamalkannya sehingga dia boleh bertahan sehingga ke umur seperti itu.

Doktor Kamarul teringat semula ketika Kasman dimasukkan ke wad 4A. Dia dihantar oleh jabatan kecemasan ke wad ini untuk diperiksa oleh Doktor Kamarul. Kasman dikatakan muntah darah ketika ditemui oleh seseorang di rumahnya. Darah berwarna hitam pekat. Namun, apabila dihantar ke bahagian kecemasan hospital, lelaki tua itu terus pengsan tidak sedarkan diri.

Rawatan awal mendapati dia langsung tidak mempunyai sebarang masalah walaupun dia disyaki mengalami pendarahan dalaman pada awalnya. Dan ternyata apabila diperiksa dan dijaga oleh Doktor Kamarul, dia sememangnya tidak mempunyai sebarang masalah. Cuma dia hanya tidak sedarkan diri seperti orang koma. Kerana itulah dia ditahan di wad 4A ini.

"Doktor!"

Doktor Kamarul tersentak. Berkecai lamunannya. Dia berkalih melihat pintu bilik isolasi 15. Kelihatan jururawat Irfan menjengukkan kepalanya dari luar bilik.

"Waris pesakit sudah sampai. Nak saya panggil masuk ke?" soal Irfan.

"Oh, dah sampai? Okey, okey. Panggil masuk ke sini."

Irfan mengangguk. Dia berlalu pergi melaksanakan arahan Doktor Kamarul. Beberapa saat kemudian, seorang lelaki bersama seorang wanita masuk ke bilik isolasi itu. Si wanita yang cantik itu mendukung anak kecil di pangkuannya.

"Assalamualaikum doktor. Saya Hafizi, anak Pak Cik Kasman, dan ini isteri saya Sarah," sapa Hafizi memperkenalkan diri.

Doktor Kamarul dan Hafizi bersalaman. Dia menatap wajah Hafizi yang kacak itu. Kemudian, dipandang pula Sarah yang berwajah manis di sebelah lelaki itu. Cantik! Nampak sepadan sekali pasangan itu. Sempat Doktor Kamarul menjeling anak kecil di pangkuan Sarah kala itu. Terus perasaan tidak senang bermain di hatinya.

"Waalaikumussalam. Saya Doktor Kamarul yang merawat ayah encik. Untuk mak... "

Perbualan Doktor Kamarul dan Hafizi terhenti oleh tangisan anak kecil dalam pangkuan Sarah. Entah kenapa tiba-tiba anak kecil itu seakan-akan meronta.

"Shhh, shhh. Kenapa ni sayang? Janganlah menangis," pujuk Sarah Karmila supaya anak kecil itu berhenti menangis. Namun, tangisannya semakin menjadi-jadi.

"Err, Puan Sarah bawa baby keluar dulu. Biar saya berbincang dengan suami puan. Di luar sana, di hujung wad ada bilik menunggu. Puan boleh menyusu di sana. Mungkin baby lapar ni," kata Doktor Kamarul membuat andaian.

"Oh, baik doktor. Maaf kerana mengganggu," balas Sarah.

"Sayang tunggu kat luar ya bang," bisik Sarah kepada Hafizi sebelum dia berlalu pergi.

Dua lelaki itu hanya memerhatikan Sarah keluar dari bilik isolasi itu. Setelah kelibat Sarah hilang daripada pandangan, barulah Doktor Kamarul kembali meneruskan bicaranya.

"Beginilah Encik Hafizi. Sebagai doktor, saya perlu menyatakan kebenaran kepada waris pesakit tanpa berselindung."

Kata-kata Doktor Kamarul membuatkan Hafizi berasa tidak sedap hati. Dia mula berasa gelabah.

"Kenapa doktor? Ayah saya menghidap penyakit kronik ke?" soal Hafizi bimbang.

"Eh, tidak, tidak. Bukan begitu, Encik Hafizi. Ayah encik langsung tidak menghidapi sebarang masalah. Cuma..."

TUMPANGWhere stories live. Discover now