PROLOG

465 12 0
                                    

Tahun 1930-an

Kampung Indera Kayangan

BUNYI unggas berlagu melatari suasana. Diikuti hembusan angin yang sesekali melintasi pepohon besar, menimbulkan bunyi desir yang menyeramkan. Terkadang kedengaran pula sahutan-sahutan aneh, menandakan kawasan itu berpenghuni.

Di tengah rimba itu, kelihatan seorang lelaki sedang merangkak sambil mengheret sebelah kakinya bersama. Lebam kebiruan memenuhi segenap wajahnya. Mulutnya berlumuran darah yang hanyir. Badannya dipenuhi kesan luka hasil toresan dari senjata tajam. Setiap gerak daripada tubuhnya pula menimbulkan rasa sakit yang tak terkata.

Namun, diabaikan semua rasa itu. Dia memaksa dirinya untuk bangun berdiri. Setelah mampu menstabilkan diri, dia mula berjalan. Pergerakan kaki yang pada awalnya perlahan, kini mulai pantas. Lama-kelamaan dia mula berlari dengan sepenuh hati.

"Celaka engkau Damar!"

Bergema jeritan amarah lelaki itu memenuhi segenap ruang rimba.


SETELAH beberapa ketika berlari meredah semak samun hutan, dia akhirnya sampai ke destinasi yang dituju.

Kakinya longlai. Lututnya bergetar. Seakan-akan mahu rebah di situ juga kala melihat betapa porak-peranda rumahnya dikerjakan oleh orang-orang suruhan Damar.

"Sa... sayang!"

Dia teringatkan isteri kesayangannya yang ditinggalkan di rumah ketika dia keluar pagi tadi. Pantas kakinya melangkah mendaki anak tangga rumah yang separuh rosak. Dalam hatinya berdoa agar tidak ada apa-apa yang buruk berlaku.

Namun, anggapannya salah sama sekali. Hancur luluh hati lelaki itu kala melihat isteri yang dicintainya terbaring dalam keadaan mengaibkan di ruang depan rumah. Baju wanita itu koyak rabak. Perutnya yang membesar terdedah menampakkan putih kulitnya. Kain batik yang dipakai terselak ke atas mendedahkan keseluruhan bahagian bawah pinggang. Bahagian kemaluannya pula dipenuhi darah akibat 'dikerjakan' Damar dan orang-orangnya. Mukanya lebam di sana sini. Dua tangannya diikat pada tiang tengah rumah dalam keadaan menghala ke atas.

Rebah lutut lelaki itu ke lantai rumah. Terkunci mulutnya kerana perasaan terkejut yang amat. Hatinya cuba menidakkan apa yang sedang berlaku di hadapan matanya saat ini.

"Arghhh!" jerit lelaki itu penuh amarah.

Dalam keadaan bersujud, kepalanya dihentak-hentakkan ke lantai. Tangisnya mulai kedengaran dan semakin lama semakin kuat. Sayu sekali. Meratapi nasib yang menimpa diri saat ini.

"Aaa... abang..."

Kepala dipanggung. Terkejut mendengar suara isterinya yang disangkakan sudah hilang nyawa dikerjakan Damar tadi. Perlahan-lahan dia mengengsot menghampiri wanita itu. Ikatan pada tangan dilepaskan. Lalu dipangku kepala isterinya di riba.

"Ma... maafkan abang sayang. Abang bersalah," ratap lelaki itu penuh sesal sambil mengucup dahi isterinya yang dipenuhi darah. Andai dia tidak meninggalkan isterinya pagi tadi, pasti semua ini tidak akan berlaku.

"Aaa... abang. Se... selamatkan anak kita," kata wanita itu yang semakin lemah. Dia kehilangan terlalu banyak darah daripada tubuhnya, membuatkan kemungkinan untuk dia diselamatkan dan hidup adalah terlalu tipis. Namun, langsung tidak difikirkan tentang dirinya saat ini, hanya diutamakan akan bayinya yang sudah mencecah usia hampir sembilan bulan di dalam perut. Hanya menunggu saat untuk dilahirkan.

Perlahan-lahan, dengan tangan yang terketar-ketar, dia mencapai pisau yang digunakan Damar untuk menyeksa dan mengugutnya tadi. Lalu dihulurkan kepada suaminya. Diletakkan di telapak tangan lelaki itu.

"Se... selamatkan anak kita abang..."

Membulat mata lelaki itu dengan permintaan isterinya. Gila! Suami mana yang sanggup melakukan semua ini! Lelaki itu menggeleng-geleng sambil menangis teresak-esak. Dia buntu kala ini.

"To... tolong abang... tu... tunaikan permintaan... ter... terakhir ini... Se... selamatkan... anak kita," pinta wanita itu sambil memandang sayu wajah suaminya. Dia dapat merasakan bahawa nyawanya sudah berada di penghujung. Perlahan-lahan genggaman tangannya yang erat tadi mulai kendur, kemudian longlai bersama matanya yang terbeliak.

"Sa... sayang? Sayang!" panggil lelaki itu sambil menggoncang-goncang bahu isterinya. Namun, tiada sebarang balasan dan reaksi dari tubuh wanita itu yang sudah kaku menjadi mayat.

"Tidakkk!"

TUMPANGWhere stories live. Discover now