Kunci

296 48 111
                                    

Tatkala bulan mengambang, akan lahirnya seorang puteri dari kayangan lalu dibawa turun ke Kota Bernalie untuk dijadikan pasangan seorang putera diraja.

Setelah puteri itu cukup berumur lapan belas tahun, akan berlakunya satu proses penyatuan dua jiwa di bawah restu dewa-dewa langit. Sekiranya mereka tidak dapat disatukan, Kota Bernalie akan ditimpa musibah seumur hidup dan akan menanggung sumpahan berdarah yang dilunaskan oleh para dewa.

Puteri Anastasia dilahirkan cukup sifat dan sempurna dari segala fizikalnya. Akan tetapi saat Puteri Anastasia baru berusia satu tahun, dia diculik oleh sekumpulan garuda berkaki manusia. Siapa lagi yang menawan sang garuda hitam di Kota Bernalie kalau bukan Ratalia si penyihir paling sakti di kota itu.

Kewujudannya satu misteri, tidak pernah diketahui asal usulnya disebabkan kuasa sihir dan magis yang digabungkan dengan mendapan sisa air liur naga putih terakhir di dunia.

Tanpa pengetahuan mereka, Ratalia menggunakan kuasa magis untuk mengaburi mata setiap penduduk di Kota Bernalie. Terdapat suatu tempat misteri di sebalik hutan tebal berwarna biru di belakang kota.

Kebiasaannya para pedagang sering melalui kawasan itu untuk pulang ke laut. Hutan tebal itu didiami oleh penduduk haiwan separa manusia. Hutan ini digelar Hutan Haimanus gara-gara penduduk mereka yang rata-rata mempunyai genetik campuran.

Puteri Anastasia dikurung di sebuah menara tinggi yang hanya diketahui oleh Ratalia si penyihir dan juga Fal, sang kucing bersayap yang senyap-senyap mengintai Ratalia sewaktu dia melakukan sihirnya.

"Anastasia sayang, kau tidak akan aku lepaskan sehinggalah kuasa kau berpindah mutlak kepadaku, melainkan seorang putera menjumpai kau dan mendapat rahsia kunci segala kunci yang akan membebaskan kau," Terngiang-ngiang lagi bicara Ratalia di minda Anastasia.

Dikurung bersendirian di menara ini bukanlah impiannya. Walau cuma sesaat, cukuplah jika dia dapat merasakan dunia luar.

"Fal, kan bagus kalau kau besar. Boleh bawa aku terbang, betul tak?" Ujar Anastasia, melentokkan kepalanya di jeriji tingkap. Tangannya membelai kepala Fal yang berbulu merah kebiruan.

"Anas, kau tahu kan keluargaku semuanya rendah. Dan kami hanya mempunyai sebelah sayap sempurna dan sebelah sayap lagi separa tangan manusia. Macam mana nak tampung kau?" Balas Fal, mata merah saganya merenung tepat ke anak mata Anastasia.

"Aku bosan Fal, enam belas tahun aku sudah mendiami menara ini. Aku ingin berjumpa puteraku Fal! Hari jadiku akan datang tidak lama lagi Fal. Tiga hari lagi," Anastasia menumbuk-numbuk jeriji besi itu sehingga tangannya merobek koyak dan berdarah.

Cecair putih pekat mengalir lalu menitik-nitik ke lantai menara itu. Fal menggelengkan kepala melihat Anastasia. Masuk kali ini sudah berjuta kali Anastasia mencederakan dirinya. Luka di tangan Anastasia mula menghilang dan kembali seperti sediakala.

"Kau seorang yang istimewa Anas, kau memiliki kuasa sakti yang tiada siapa mampu melawan kau. Aku yakin, kau boleh keluar dari sini dengan kuasa kau sendiri," Ujar Fal. Dia meloloskan dirinya melalui jeriji besi itu dan memeluk Anastasia yang terduduk lemah.

Selama ini Fal yang membocorkan segala rahsia tentang kelahiran Anastasia yang sebenar. Dimana terletaknya Kota Bernalie dan kisah-kisah sebenar di sebalik menara sumpahan ini. Fal merupakan penyampai segala-galanya kepada Anastasia sejak gadis itu dibawa ke menara itu.

Namun Fal tidak boleh menghebahkan berita Anastasia dikurung kerana dia juga telah disumpah saat kehadirannya terbongkar pada waktu kali kedua dia bertemu Anastasia di menara itu.

Pada mulanya Ratalia ingin membunuh Fal namun atas rayuan Anastasia, Fal dibebaskan tetapi mulutnya disumpah agar tidak bisa membocorkan rahsia keberadaan Anastasia.

Sapta ImajiWhere stories live. Discover now