FALAH | Serunai Maut ✔

By Leena_syiha

858K 113K 15.6K

Seluruh dunia digemparkan dengan kematian beramai-ramai di sebuah feri mewah yang berlabuh di Pulau Jengka. ... More

Pengumuman
Prolog
| Linda | 1
| Linda | 2
| Linda | 3
Serunai Maut | Henry | 4
Serunai Maut | Henry | 5
Serunai Maut | Henry | 6
Serunai Maut | Henry | 7
Serunai Maut | Henry | 8
Serunai Maut | Falah | 9
Serunai Maut | Iman | 10
Serunai Maut | Falah | 11
Serunai Maut | Falah | 12
Serunai Maut | Falah | 13
Serunai Maut | Henry | 14
Serunai Maut | Henry | 15
Serunai Maut | Falah | 16
Serunai Maut | Falah | 17
Serunai Maut | Falah | 18
Serunai Maut | Falah | 19
Serunai Maut | Falah | 20
| Henry | 21
| Falah | 22
| Falah | 23
| Falah | 24
| Iman | 25
| Nuna | 26
| Falah | 27
| Falah | 28
| Tok penghulu | 29
| Razak | 30
| Falah | 31
| Mona | 32
| Jibt | 33
| Nyai | 34
| Mona | 35
| Falah | 36
| Falah | 37
| Falah | 38
| Linda | 39
| Falah | 40
| Gimbaran | 41
| Andika | 42
| Kevin | 43
| Tok penghulu | 44
| Bunga | 45
| Nuna | 46
| Linda | 47
| Falah | 48
| Anjana | 49
| Bunga | 50
| Falah | 51
| Falah | 52
| Nuna | 53
| Embun | 54
| Henry | 56
| Falah | 57
Epilog
Sambungan Serunai Maut

| Linda | 55

12.9K 1.9K 550
By Leena_syiha

TIDAK pernah Falah sangka, dalam beberapa hari menetap di Kampung Hamparan – seorang demi seorang mula datang ke masjid ini untuk memeluk agama islam. Tanpa apa-apa penyampaian dari Falah pun, tetap berturut-turut penduduk datang bertanyakan Falah tentang Allah. Ada juga yang bertanya apa sebenarnya yang terjadi sehingga sumpah Serunai Maut boleh hilang. Dan akhirnya tetap membawa kepada satu kalimah, kalimah syahadah.

Henry dan Iman juga jadi tidak menang tangan membantu Falah, mengajar penduduk yang sudah memeluk islam solat dan membaca rukun qauli. Linda juga mengajar, dialah yang paling semangat mengajar kanak-kanak yang turut berminat. Dalam tiga hari berada di Kampung Hamparan ini, mereka begitu gigih mengajar penduduk muslim segala ajaran islam. Dan dalam waktu itulah juga bertambah saudara mereka. Dan setiap kali itu jugalah, Falah akan menjatuhkan dahi ke bumi mengucap syukur pada Yang Esa.

Sungguh, ini hanyalah kurniaan dari Allah.

Apabila Pak Tamoi, Santi dan Takir juga datang hendak memeluk agama Islam – hanya Tuhan tahu betapa gembiranya Falah menyambut mereka. memeluk Pak Tamoi dan Takir seolah saudara yang sudah rapat lama.

Apatah lagi apabila Tok Penghulu membawa keluarganya untuk turut memeluk islam, semua terharu menyambut keluarga itu. Hatta Iman sendiri sebak apabila melihat Mak Embun menjadi saudari islamnya.

Maka, Jumaat itu – semua penduduk islam telah berkumpul pada waktu zohor untuk solat Jumaat. Falah menjadi guru mengajar mereka satu persatu cara solat Jumaat. Khutbah juga dibuat oleh Falah.

Siapa sangka, Masjid Miftahul Iman ini akhirnya bersinar dalam keimanan. Hampir lima puluh orang muslimin dan muslimat memenuhi ruangan masjid, khusyuk mendengar khutbah Falah. Pastinya isi khutbah Falah untuk Jumaat pertama mereka ini ialah berkenaan iman dan akidah. Berkali-kali Falah menekankan tentang ketauhidan dan juga pegangan agama. Tidak lupa juga, Falah menceritakan tentang betapa besarnya kasih sayang Allah pada para hamba-Nya. Betapa luas rahmat-Nya untuk sekalian hamba. Sehingga akhirnya dengan semata-mata rahmat-Nya, Dia telah memilih penduduk pulau ini menjadi hamba-Nya yang beriman.

Khutbah Falah sangat menyentuh hati para penduduk, sehingga ada yang menangis demi mendengarnya. Ketika Falah berkongsi kisah syurga dan neraka, juga kisah Rasulullah dan para sahabat – air mata jadi sangat mudah berderai di pipi. Sehingga esakan di antara jemaah mula kedengaran. Para wanita juga tidak ketinggalan, turut menangis mendengar pengorbanan-pengorbanan kekasih Allah yang disanjungi, Muhammad s.a.w.

Solat jumaat kemudian didirikan. Ketika mereka mendengar alunan alquran dari Falah, makin ramai pula yang menangis apabila Falah juga menangis. Falah tidak dapat menahan sebak apabila membaca lima ayat terakhir surah Al-Maidah. Berkenaan perbualan Nabi Isa dengan Allah di akhirat nanti. Kerana terdapat dalam lima ayat itu, ayat tentang kata-kata Nabi Isa yang membuatkan hati Falah sayu.

'Jika Engkau mengazab mereka maka mereka ialah hamba-hamba-Mu, dan jika Engkau mengampuni mereka maka sesungguhnya Engkau Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.' (Al-Ma'idah:118)

Kerana tangisan Falah itulah, semua jemaah menangis walaupun tidak memahami apakah maksud ayat itu. Malah mereka juga tidak faham kenapa Falah menangis. Hanya kerana lelaki yang mereka kagumi mengalirkan air mata, mereka jadi turut mengalirkan air mata.

Sedangkan Falah sendiri, dalam membaca ayat 118 ini ingatannya kuat terarah pada Bunga yang tidak sempat dia selamatkan dari jalan yang salah. Kini, hanya rahmat Allah akan menentukan pengakhiran wanita kasihan itu.

Selesai sembahyang, saat berdoa Falah dengan tangisan yang sama mengucapkan syukur pada Allah dalam semua nikmat yang Dia berikan ini. Nikmat iman ialah nikmat yang sangat agung. Apatah lagi apabila Allah menyebarkan nikmat ini pada hampir seluruh penduduk Pulau Jengka.

Di samping itu, Falah bersungguh-sungguh berdoa agar Allah menetapkan kaki-kaki mereka di atas jalan yang benar. Menjadikan mereka istiqamah di atas jalan keredhaan-Nya.

Ketika semua sudah usia bersalaman dengan Falah, dan beredar pulang ke rumah masing-masing – Henry datang mendekati adik iparnya itu. Dia nampak Falah seperti sedang mengelamun di tikar sejadah sendiri. Awalnya dia tidak mahu menganggu Falah, hanya membiarkan Falah tenang sendiri sementelah dia juga mendengar Falah menangis dalam rakaat kedua tadi. Pasti Falah ada sedihkan sesuatu tentang ayat quran.

Sejenak telefon Henry bergetar dalam poket, apabila dia meihat telefonnya itu – dia menarik nafas. Tidak dapat tidak, dia tahu dia perlu juga bercakap dengan Falah tentang perkara ini. Maka dia mendekati Falah, dalam tidak mahu dia terpaksa menganggu Falah.

Falah menyedari kehadirannya, mengulas senyuman nipis.

"Dato' Hussain panggil kita balik."

Wajah Falah berubah.

"Untuk kita bentangkan kes ini di sidang media." Henry menghabiskan ayatnya tadi. Wajahnya juga sugul. "Keluarga mangsa makin bising, sibuk nak saman jabatan penyiasatan sebab diorang fikir kita tak peduli tentang kes Miranda Gold tu." Henry menghela nafas seraya memeluk tubuh.

Falah menjatuhkan pandangan pada sejadah.

"Jadi semalam, Aiman call abang dan dia cakap yang kita kena balik sesegera mungkin. Untuk selesaikan semua kes ini sebelum keadaan jadi lebih teruk. Kita bukan berurusan dengan golongan biasa-biasa, mereka orang kaya, jutawan-jutawan dan ada juga kerabat diraja. Mereka sangat mudah nak saman kita."

Falah hanya senyap mendengar setiap bicara Henry, masih berfikir.

"Tapi abang masih fikir sebenarnya, macamana kita nak jelaskan pada keluarga mangsa semua yang tak logik itu? Serunai maut? Nenek Bunga? Jibt? Ada ke orang nak percaya?" Henry kerutkan wajah. Dia kemudian memandang Falah.

"Falah rasa?" Soalnya selepas tiga perenggan membebel sendiri.

"Lebih baik berterus-terang." Falah memberi pendapatnya. "Jika mereka tidak ingin terima, itu terserah pada mereka. Lagipun kematian keluarga mereka memang dalam bentuk misteri, maka tak hairan jika penyelesaiannya juga kedengaran mitos."

"Jadi Falah rasa, kita perlu jelaskan pada mereka yang ini gara-gara serunai maut?"

"Tidak perlu terlalu spesifik dalam menyebut Serunai Maut, cukup sebut bahawa di pulau ini mempunyai pantang-larang. Jelaskan tentang Andika dan Kevin yang cuba melanggar pantang larang. Falah yakin, perlahan-lahan mereka akan terima kalau cerita abang bersesuaian dengan apa yang berlaku. Cuma tidak boleh terlalu bercerita tentang pengembaraan tidak logik kita, nanti mereka lari sebab fikir abang baru lepas tengok cerita kartun." Sempat lagi Falah berseloroh. Henry tergelak kecil.

"Akal manusia tidak akan mampu terima perkara tidak logik. Kera berubah jadi manusia? Ini memang cerita Harry potter."

Mereka berdua tertawa dengan kata-kata Henry. Sejenak tawa Henry memudar, dia seperti tersedar sesuatu.

"Kenapa Falah cakap macam abang yang perlu buat sidang media nanti?" Henry berkerut dahi.

Falah tersenyum nipis. "Jawatan abang lebih tinggi. Abang paling layak jelaskan semua ini."

"Tapi Falah watak utama dalam penyiasatan ini bukan?" Henry tidak senang mendengarnya.

"Watak utama atau watak tambahan, itu tak penting. Penyampaian itu lebih penting. Kita perlu kumpulkan seberapa banyak bukti yang akan membantu penyiasatan nanti. Linda akan jadi saksi kesalahan Andika dan Kevin. Dan Linda juga boleh jadi saksi untuk kewujudan mitos serunai."

"Falah?" Henry sedar Falah seakan tidak menyebut dirinya.

"Falah ingin menetap di sini, masih banyak yang Falah perlu ajar pada mereka."

"No.." Henry berkerut tidak senang.

Falah tersenyum kelat. "Falah masih belum bersedia, abang. Harap abang faham keadaan Falah."

"Tapi semua itu sudah tiga tahun berlalu Falah. Bukan baru semalam, bukan baru tahun lepas. Dah tiga tahun! Lagipun Mama tak sengaja waktu tu. She's just.." Henry hilang kata bila hendak mengungkit kejadian tiga tahun lepas. Bibirnya diketap. "Mama tak sedar bila cakap semua tu. Falah patut tahu." Henry akhirnya menghela nafas. Sedikit kecewa dengan gejolak keluarganya ini.

"Mabuk akan menzahirkan apa yang ada dalam hati." Falah bersuara perlahan. "Mungkin itulah yang Mama simpan dari Falah selama ini." Falah tersenyum pahit.

Henry terkedu. Tidak terkata dengan kenyataan Falah.

"Tidak mengapa, abang. Satu hari nanti, Falah pasti balik semula. Bila sampai waktunya, Falah sendiri akan datang ke rumah Mama. Falah tetap akan balik walaupun Falah bukan anak Mama lagi." Falah senyum keruh untuk kenyataan terakhir. Dia kemudian bangkit dari duduknya, meninggalkan Henry yang tergamam dengan setiap patah Falah.

"TAK payah bajet alim lah!!" Badan Falah ditolak kasar.

"Mama!!" Iman menahan ibunya dari terus berkasar dengan Falah. Siapa sangka, malam ini Mama akan pulang dalam keadaan mabuk. Iman tidak pernah sangka Mama akan stress sampai macam ni.

"Kau.." Jari telunjuk tegak ke wajah Falah. . "..bukan anak aku."

Falah berwajah terluka. Henry dan Iman tergamam.

"Sejak kau berubah jadi begini, kau bukan anak aku. Aku tak kenal kau. Kau hanyalah orang jabatan agama yang menyemak dalam rumah aku. Yang selalu suruh aku dengan anak-anak aku solat entah apa.." Wanita itu ketawa sinis. Matanya sesekali tertutup dengan tubuh yang longlai.

"Jadi, keluar dari rumah aku. Orang syurga macam kau tak layak duduk dalam neraka." Mama tergelak lagi. Mabuk. "Hanya penghuni neraka macam aku je yang boleh duduk sini. Betul tak Nad?" Mama pandang Iman. Iman hanya senyap, bibirnya bergetar.

"Keluarlah.." Mama tunjuk pintu. Falah terkaku.

"Aku kata keluar!!!" Mama mengherdik kuat. "Berambus dari rumah aku!! Aku tak nak tengok muka kau yang bajet suci!!"

"Mama.." Mata Falah berserpih air. Hatinya benar-benar pedih.

"Keluar!!!!"

JAM 0800 pagi keesokannya, helikopter yang membawa pasukan penyiasatan tiba. Di antara yang datang juga Inspektor Halim dan Aiman, sebaik tiba mereka berpelukan sementelah lama tidak berjumpa.

Aiman paling seronok apabila berjumpa dengan Henry. Katanya dia rindukan bosnya. Kanak-kanak Pulau Jengka mula bermain sekitar jentera udara itu, kali pertama mereka dapat melihat helikopter di depan mata.

Linda terpaksa menjaga mereka dari mendekati jentera udara itu. Henry sempat berpesan padanya sebelum dia dan lain sibuk mengumpulkan bahan siasatan di kediaman Tok Penghulu. Walaupun sebenarnya sudah ada dua pengawal di situ yang menjaga, tetap Henry tidak percaya dengan kenakalan budak-budak kampung ini.

Sehingga tengahari, mereka sibuk benar menyiapkan kerja mereka. Falah juga turut membantu dalam siasatan kali ini, namun Henry sedar Falah banyak diam dari berbicara seperti biasa. Sesekali Falah ditangkap mengelamun sendirian apabila semua meminta pendapatnya. Falah tampak tidak fokus.

Jam empat petang, selesai mereka solat asar berjemaah. Tiba waktu untuk mereka pulang. Segala barang mereka telah masukkan ke dalam helikopter. Hanya tinggal sedikit lagi bekalan yang ditinggalkan kepada Falah. Semua maklum Falah tidak akan ikut sama, Falah memilih untuk terus tinggal di sini untuk menyebarkan ajaran islam pada saudara-saudara baru mereka. Masih banyak yang perlu Falah kongsikan dengan mereka.

Iman menjadi orang yang paling tidak berpuas hati sebaik mendengar keputusan Falah, berbakul bebelan dia berikan kepada Falah, namun masih tidak berani untuk membebel di depan Falah – hanya berani membebel di belakang. Dan mangsa yang perlu menadah bebelan itu pastinya Linda.

"Kenapalah tak nak balik? Kes ini diorang selesaikan sama-sama kut." Iman mendengus. Matanya tajam merenung Falah yang sedang berbual sesuatu dengan Henry di meja bawah pokok. Meja itu baru sahaja dipasang pagi tadi untuk dibentang kertas siasatan, lebih kurang lima belas meter dari kawasan helikopter. Henry yang menyuruh meja itu dibuka di situ.

"Abang Falah nak duduk dekat sini lagi," Linda membalas. Dia sedang sibuk mengira kelopak bunga semarak yang baru dia petik sebentar tadi. Tadi terlalu bosan menunggu semua membuat siasatan, dia sibuk bermain dengan budak-budak kampung. Hanya menemani mereka sementara yang lain sibuk.

"Abang Falah pun kata, Pulau Jengka masih perlukan didikan dan tunjuk ajar." Sambung Linda seraya mencampakkan bunga semarak yang sudah habis dikoyak satu persatu. Matanya kemudian jatuh pada Falah dan Henry di bawah pokok sana.

Sebaik melihat Falah, dia serta-merta menghela nafas.

"Kakak tak marah kalau dia tak nak balik sebab nak beri tunjuk ajar dekat orang sini, yang kakak marah sebab dia tak nak tolong kita nanti. Bayangkan, kita perlu menghadap hampir dua ratus keluarga korporat untuk menjelaskan tentang perkara mitos, ilmu sihir, ilmu hitam dan entah apa-apa lagi. Linda rasa diorang akan percaya ke?" Iman berkerut dahi.

"Linda faham, sebab Linda pun sedih bila Abang Falah tak nak ikut kita balik." Linda mencebik sedikit, kakinya terhayun menghentak batu yang dia sedang duduki.

Iman menjeling Linda, "Sori sikit, Linda sedih sebab kena berpisah dengan Falah, kakak marah sebab Falah tak nak tolong kita. Kita tak sama okay?"

Linda membesarkan matanya.

"Mana ada! Linda sedih bukan sebab kena ber-berpisah dengan Abang Falah!" Linda tergagap menafikan. Mukanya merah.

Iman mengajuk Linda, tak percaya. Linda yang geram terus mencubit lengan Iman. Iman cepat-cepat melarikan diri, hasilnya dua wanita itu berkejaran.

"Linda sedih sebab kena berpisah dengan cinta hati dia!!" Iman makin galak mengusik Linda. Berlari seraya ketawa kuat. Linda yang mendengar makin berbahang mukanya. Terus mengejar Iman.

"Kakak!!" Marahnya geram. Rasa macam nak cubit-cubit je mulut Iman.

Henry hanya menggeleng kepala memerhati gelagat dua wanita itu, kertas terakhir sudah siap dikepilkan. Diserahkan pada Falah di sebelah, sejenak Falah memasukkan kertas itu ke dalam fail keras yang bakal dibawa ke Kuala Lumpur.

Jeritan kecil Linda menarik perhatian Falah. Terus pandangan Falah tertala pada gadis itu, sedang Henry sudah awal-awal menghela nafas panjang menonton sketsa kejar-mengejar itu. Rupanya Linda tersembam ke tanah, wajahnya habis comot. Tercebik bibirnya bila Iman mentertawakan dia. Bukannya nak tolong dia.

"Falah tahu kan tentang Linda?" Tiba-tiba Henry bertanya. Kelihatannya tika itu Linda sudah bangun dibantu Iman.

Falah hanya senyap, memilih untuk diam dari berbicara tentang hati dan perasaan.

"Dia suka Falah, tapi dia fikir Falah hanya anggap dia seperti adik. So dia terpaksa pendam perasaan tu sendiri. Menyedihkan." Henry jatuh kasihan pada Linda. Gadis ceria itu telah jatuh cinta pada orang yang salah.

Macamlah Henry tak tahu, Falah bukan ada masa hendak fikir pasal wanita. Tengok sahajalah sekarang ini, Falah boleh pula sibukkan diri dengan mengemas sedangkan Henry sedang bercakap tentang ada perempuan meminatinya.

Sungguh, cinta Falah telah jatuh sepenuhnya pada Tuhan.

Henry menghela nafas. "Abang tahu Falah tak suka bila kita cakap topik ini, tapi abang perlu cakap. Linda pun adik abang." Henry menatap sisi wajah Falah.

"Falah paling kurang hargailah perasaan Linda." Nasihat Henry.

Falah hanya senyap, meneruskan kerjanya. Namun tingkahnya masih mendengar kata-kata Henry, bukan berkelakuan biadap seperti orang yang tidak peduli. Henry tahu Falah cuma tidak mahu memberi apa-apa balasan pada perbualan ini, bagi Falah diam itu lebih baik.

Ketika itulah pasukan penyiasatan datang bersama Tok penghulu dan keluarganya, waktu untuk mereka pulang sudah tiba.

Juruterbang sudah pun masuk ke dalam helikopter, sedia untuk menerbangkan jentera udara itu. Meihatkan itu kumpulan yang ingin pulang mula bergamitan dengan keluarga Tok Penghulu dan juga dengan Falah.

Iman dan Linda sebak sewaktu berpelukan dengan Mak Embun dan Nuna. Entah bila lagi mereka boleh bertemu.

Ketika Linda memeluk Nuna, banyak pula pesanan budak kecil itu pada Linda. Pesannya supaya jaga makan, jaga sembahyang, jaga aurat, jaga hati dan macam-macam lagi sampai Linda rasa dia sedang mendengar bebelan ibunya tika ini. Makin bertambah sayang hendak meninggalkan budak kecil ini.

Giliran Iman diberi nasihat oleh Nuna, Linda bangkit dari duduk. Mengangkat pandangan pada semua orang yang sedang galak mengucap kata pisah, sehinggalah pandangannya jatuh pada Falah.

Falah hanya tersenyum sewaktu bersalaman dengan Aiman dan Inspektor Halim, dua lelaki ini sangat banyak membantu dalam mengumpulkan bukti. Falah sempat berjanji untuk belanja dua lelaki ini makan jika dia pulang ke Kuala Lumpur nanti. Mendengarkan itu bersoraklah mereka. Lelaki yang mereka kagumkan hendak belanja makan, siapa sahaja yang akan menolak!

Linda yang memerhati hanya tersenyum hambar. Dari janji itu semua dapat tahu yang Falah memang akan pulang, cuma entah bila waktunya.

Henry yang mendengar janji Falah pada Halim dan Aiman terus menyibuk kerana Falah tidak janji pun nak ajak dia keluar makan nanti. Itu tidak adil! Semua ketawa terhibur dengan gelagat Henry yang jelas cemburu dengan Aiman dan Halim.

Abang Falah akan pulang. Namun, Linda tahu. Walaupun nanti Abang Falah balik, dia tetap tidak akan berjumpa lelaki itu. Siapalah dia dalam hidup Falah. Hanya seorang manusia yang wujud dalam salah satu muka surat hidup Falah. Dan pada helaian lain, kewujudannya akan hilang dan mungkin akan dilupakan.

Dia akan sibuk menguruskan syarikat Ezus dan Falah pasti sibuk dengan keluarganya. Tiada sebab untuk mereka bertemu. Maka Linda yakin, inilah pertemuan terakhir dia dan Falah. Tiada lagi selepas ini.

Lalu Linda pun masuk ke dalam helikopter dalam keadaan matanya mula berserpih air.

Sudah tidak peduli dengan perpisahan di luar, dia terus masuk dan duduk. Dan di situ dia menangis sendirian. Kerana dia sudah tidak sanggup untuk berada di luar dan melihat perpisahan itu dengan lebih lama.

Henry yang menyedari keadaan Linda serta-merta mengetap rahang, hatinya tidak enak melihat Linda sebegitu. Sepatutnya Linda ceria dan ketawa.

"Falah," Henry memanggil geram.

Falah memandang abang iparnya. Tangan naik meraup rambut yang ditiup angin pantai.

"You should say something to her." Henry bertegas kali ini. Falah serta-merta mengalihkan pandangan pada helikopter, terlihat di dalamnya Linda yang membelakangi mereka. Falah diam dengan wajah mendatar. Tidak memberi respon.

Ketika itu Iman datang mencelah mereka. "Kau memang tak nak balik?" Dia terus memberi soalan tanpa mengetahui bicara serius dua lelaki itu.

Falah tersenyum kecil menyambut soalan itu, "Insyaallah, nanti Falah balik. Tapi bukan sekarang."

Elok sahaja Falah menjawab soalan Iman. Henry di sebelah ternganga sendiri kerana diabaikan.

"Tapi kenapa? Apa salahnya kalau balik sekarang?"

"Falah dah kata kan," Henry menyampuk keras. Masih sakit hati dengan Falah."Dia tak nak balik sebab Pulau Jengka masih perlukan tunjuk ajar."

Iman mengeluh kuat. Dia kecewa sebenarnya bila Falah tak nak ikut sama. Dia tahu Falah belum sedia jumpa Mama, tapi tak patut Falah berlepas tangan dari sidang media nanti.

"Abang dan kakak boleh buat sidang media nanti tanpa Falah. Kalian lebih mahir." Pujuk Falah bila menyedari wajah tidak berpuas hati Iman.

"Cakap jelah kau tak nak jumpa Mama lagi, aku faham." Iman sedikit kecil hati. Matanya memandang ke lain, tidak mahu melihat muka Falah.

Falah senyap. Henry dan Iman juga senyap, sebelum terdengar panggilan untuk pulang. Tampaknya perpisahan ini sedikit dingin. Banyak hati yang terluka dengan keputusan Falah. Iman menghela nafas, sejurus itu dia bergerak pergi. Tidak bergamitan pun dengan Falah.

Henry tampak menarik nafas menahan sabar. Memandang Falah untuk kali terakhir. "Abang harap ini keputusan terbaik dari Falah." Ujarnya.

Falah tidak membalas, hanya menjatuhkan pandangan ke bawah.

"Abang pergi dulu," Henry membetulkan beg galas di belakang, bersedia untuk bergerak. Yang lain semua sudah masuk ke dalam helikopter, hanya tinggal dia yang belum.

"Linda.." Tidak semena Henry terdengar Falah menyebut nama Linda. Henry lekas berpaling semula pada adik iparnya itu. Kelihatan Falah sedang menarik nafas, cuba mengucapkan sesuatu berkenaan Linda.

"Katakan pada dia, Falah tak pernah menganggapnya sebagai adik." Falah langsung tidak memandang Henry.

"Falah memandang dia sebagai seorang wanita." Kali ini Falah menatap Henry. Pandangannya tembus ke mata Henry.

Henry tergamam.

"Jadi pesan padanya, jadilah wanita yang solehah. Semoga Allah berikan padanya suami yang soleh." Falah tersenyum mengucapkannya.

Henry akhirnya tersenyum sebaik mendengar pesanan itu. Tangannya dilaraskan pada dahi – memberi tabik hormat.

"Pesanan diterima Leftenan Falah."

Falah hanya tersenyum lebar dengan gelagat itu.

Dan petang itu, langit menyaksikan sebuah perpisahan lagi. Namun perpisahan ini tidak selama-lamanya, jika diizinkan Tuhan – mereka akan bertemu kembali di dunia ini.

Lagi dua bab sebelum epilog. Terima kasih untuk yang setia membaca ❤️

Continue Reading

You'll Also Like

472K 27.7K 57
Sebuah kisah cinta karya Sabrina Marrose. Yara Ameena Syed Attar Mula: 8/9/2023
636K 5.7K 8
𝐍𝐄𝐖 𝐕𝐄𝐑𝐒𝐈𝐎𝐍! [SLOW UPDATE] #1 𝓗𝓲𝓼 𝓢𝓮𝓻𝓲𝓮𝓼 𝙃𝙖𝙛𝙞𝙮 𝙇𝙪𝙩𝙛𝙖𝙣 | 𝘼𝙪𝙡𝙞𝙮𝙖 𝙇𝙪𝙛𝙮𝙖𝙖 Empat tahun Hafiy Lutfan memendam ras...
1M 38.6K 57
𝐔𝐧𝐝𝐞𝐫 𝐓𝐞𝐧𝐠𝐤𝐮 𝐒𝐞𝐫𝐢𝐞𝐬 𝐕𝐨𝐥 𝟐 𝐊𝐧𝐨𝐰𝐧 𝐀𝐬 𝐇𝐢𝐬 𝐏𝐫𝐞𝐜𝐢𝐨𝐮𝐬 𝐖𝐢𝐟𝐞 𝐓𝐞𝐧𝐠𝐤𝐮 𝐇𝐚𝐟𝐟𝐚𝐳 𝐃𝐚𝐢𝐲𝐚𝐧 | 𝐃𝐚𝐫𝐢𝐬𝐚...
1.7M 13.6K 11
<2nd Novel> Highest Ranking- #1inAction(23/2/2021) [Completed] Known as Healing Love. "Di saat awak tahu siapa diri saya yang sebenarnya, yo...