FALAH | Serunai Maut ✔

By Leena_syiha

859K 113K 15.6K

Seluruh dunia digemparkan dengan kematian beramai-ramai di sebuah feri mewah yang berlabuh di Pulau Jengka. ... More

Pengumuman
Prolog
| Linda | 1
| Linda | 2
| Linda | 3
Serunai Maut | Henry | 4
Serunai Maut | Henry | 5
Serunai Maut | Henry | 6
Serunai Maut | Henry | 7
Serunai Maut | Henry | 8
Serunai Maut | Falah | 9
Serunai Maut | Iman | 10
Serunai Maut | Falah | 11
Serunai Maut | Falah | 12
Serunai Maut | Falah | 13
Serunai Maut | Henry | 14
Serunai Maut | Henry | 15
Serunai Maut | Falah | 16
Serunai Maut | Falah | 17
Serunai Maut | Falah | 18
Serunai Maut | Falah | 19
Serunai Maut | Falah | 20
| Henry | 21
| Falah | 22
| Falah | 23
| Falah | 24
| Iman | 25
| Nuna | 26
| Falah | 27
| Falah | 28
| Tok penghulu | 29
| Razak | 30
| Falah | 31
| Mona | 32
| Jibt | 33
| Nyai | 34
| Mona | 35
| Falah | 36
| Falah | 37
| Falah | 38
| Linda | 39
| Falah | 40
| Gimbaran | 41
| Andika | 42
| Kevin | 43
| Tok penghulu | 44
| Bunga | 45
| Nuna | 46
| Linda | 47
| Falah | 48
| Anjana | 49
| Bunga | 50
| Falah | 51
| Nuna | 53
| Embun | 54
| Linda | 55
| Henry | 56
| Falah | 57
Epilog
Sambungan Serunai Maut

| Falah | 52

11.3K 1.7K 112
By Leena_syiha

NUNA diikat pada sebatang kayu, menghadap betul-betul pada api. Dari tadi dia menggeletar ketakutan apabila bahang api semakin menyakitkan tubuhnya. Beberapa ekor manusia kera berkeliaran di sekelilingnya, menjaganya dari terlepas. Dia hanyalah budak kecil yang tak bersalah. Kenapa dia perlu menghadap semua ini?

Nuna mencebik bibir, menahan tangis. Dia takut.

Ketika itu tidak semena rambutnya dijambak dari atas lalu dicengkam kuat sehingga dia terjerit lantas menangis teresak-esak kerana sakit. Dia dapat lihat Bunga sedang berdiri di belakangnya. Wajah wanita itu penuh kegelapan. Tangisan Nuna makin menjadi-jadi.

"Nenek.. Shakit." Nuna mengadu. Berderai air matanya dalam keadaan terdongak sebegini. Akar rambutnya bagai hendak tercabut dari kepala.

"Menangis lebih kuat." Bunga mengarah. Dikuatkan lagi cengkaman rambut budak kecil itu.

Nuna mengikut arahan tanpa bantahan. Terus menangis meraung. Dia betul-betul sakit.

"Kuat lagi. Kuat sampai Falah dengar." Bunga berbisik di telinga Nuna. Cengkaman di kepala Nuna dikuatkan sehingga sudah tercabut beberapa helai rambut budak kecil itu. Nuna menjerit kesakitan, air matanya sudah penat untuk turun. Kepalanya bagai hendak tercabut terus dari tempat asal.

Kemudian beberapa lama, Bunga melepaskan rambut Nuna dan menolak kepala Nuna kasar. Nuna tersedu-sedu. Masih menangis kesakitan. Urat kepalanya terasa berdenyut. Seluruh tubuhnya menggigil.

"Pacik.." Dia memanggil perlahan. Merintih kesakitan.

"Pacik.. Nuna shakit." Nuna pun menangis teresak-esak.

Bunga yang melihat tersenyum puas.

"Bakar budak ini." Bunga mengarah pada dua manusia kera di sebelah. Mendengarkan arahan itu, dua manusia kera itu terus membuka ikatan pada Nuna. Lalu menarik tubuh Nuna menuju api. Nuna makin menangis apabila mengetahui nasibnya nanti.

"Tak mahu! Nuna tak mahu!!" Nuna meronta-ronta ketakutan. Esakannya menggila apabila dirinya didekatkan ada api.

"Atuk!! Nenek!! Pacik!!" Dia menjerit semua nama dalam ketakutan. Mengharapkan akan ada yang membantunya sekarang.

"Allah!! Tolong Nuna Ya Allah!!" Dia menjeritkan kata-kata itu apabila bahang api semakin menjilat tubuh, air matanya menderas di pipi comotnya. Ketika ini dia hanya mampu pasrah kerana dia tahu Allah akan tolong dia. Dia percaya cakap Pacik bahawa Allah Maha Hebat.

Bunga hanya menonton semua itu tanpa perasaan. Hatinya kosong tika ini. Walaupun dia seakan dapat melihat dari keadaan Nuna itu bayangan Nyai dan Mona sewaktu dibakar hidup-hidup, tetap rasanya kosong. Apabila melihat Nuna menjerit dengan tubuh menggigil hebat, semua itu seakan angin lalu untuknya. Hatinya telah lama mati.

Tidak semena, ketika Nuna hampir sahaja dimasukkan ke dalam api dalam keadaan dipapah dua manusia kera – Bunga terdengar satu bunyi yang sangat halus menjengah pendengarannya sebelum dia dapati dua manusia kera tadi terseret ke tanah. Nuna serta-merta jatuh terduduk dalam keadaan menggigil ketakutan.

Bunga tidak terkejut sebaik melihat pada konco-konconya itu ditebak anak panah. Malah bibirnya boleh pula tersenyum tajam. Manusia kera lain terus memekik riuh menandakan ada bahaya datang. Sibuk menghunus senjata 'mereka' ke atas.

Nuna sudah berhenti menangis, namun masih tersedu-sedu. Tidak sempat dia berbuat apa, tubuhnya diangkat manusia kera yang lain. Dia hanya pasrah untuk diangkat ke dalam api. Dia sudah penat menangis. Namun sekali lagi manusia kera itu juga ditebak anak panah lalu membuatkan tubuh kecilnya terjatuh ke tanah, tetapi belum sempat tubuhnya mencium tanah satu tangan kekar terlebih dahulu menyambut tubuhnya dan mereka berguling sekali bersama-sama.

Suasana mula hiruk-pikuk dengan jeritan dan teriakan manusia kera.

Kerana kini di tengah mereka ialah Henry yang sedang memeluk Nuna bersama lembing yang terhunus, wajah lelaki itu bengis. Nuna hanya bersembunyi di balik tubuh Henry. Tubuh kecil itu menggeletar.

Lalu ketika itu juga terdengar hentakan kasut pada belakang sana, apabila mereka berpaling – kedapatan di situ Falah yang baru sahaja turun dari salah satu pohon tinggi. Di tangan lelaki yang digeruni itu terdapat busur panah yang buat manusia kera itu serta-merta terundur. Tahulah mereka Falah punca tiga rakan mereka mati.

Tidak semena kedengaran seseorang menepuk tangan penuh sarkastik. Semua manusia kera serta-merta tunduk dari terus terpegun dengan kemunculan Henry dan Falah.

"Wah.. kemunculan yang hebat." Bunga tersenyum tajam pada Falah. "Aku kagum." Pujinya dengan cebikan bibir.

Falah memandang Bunga serius, sebelum terdengar dia menghela nafas.

"Kenapa sanggup kau berbuat begini Bunga? Kanak-kanak yang tiada kaitan dengan masalah ini, kau libatkannya sebegitu sekali!?" Dan Falah benar-benar marah kali ini.

Bunga tersenyum. Matanya memandang Nuna. Kelihatannya kanak-kanak itu sudah terkulai dalam pangkuan Henry. Tidak sedarkan diri kerana terlampau terkejut dengan segala perkara yang berlaku. Henry tampak cuba menahan sabar.

"Kau marah?" Bunga bertanya kembali.

"Demi Allah, ini satu kezaliman! Nuna tak bersalah pun dengan kisah silammu, kenapa hendak bakar dia?!"

"Kerana dia ada kaitan dengan kau." Bunga menjawab. Kali ini tanpa senyuman. "Kau sayangkan dia bukan?" Bunga menjongket kening.

Falah menggenggam busur panah erat.

"Kerana kau sayangkan dia, maka aku hendak hancurkan dia. Supaya kau juga dapat rasa bagaimana sakitnya hati aku bila melihat anak kesayangan aku dibakar di depan mata aku!!" Bunga menempelak kuat.

"Lalu kau dapat apa dari semua ini?" Falah cuba mengatur nafas.

"Kepuasan hati." Bunga menjawab selamba.

Falah terdiam. Terpancar kekecewaan di wajah itu. Dan kerana riak itu, Bunga jadi makin benci pada Falah. Kenapa Falah perlu merasa kecewa padanya?!

"Abang, bawa Nuna pergi dari sini." Falah bersuara tanpa memandang Henry.

Henry mengangguk. Namun baru sahaja dia hendak melangkah pergi, seekor kera berupa manusia terlebih dahulu menyerangnya membawa pedang pendek. Ketika itu sebatang anak panah meluncur laju ke arah manusia kera itu, lalu membuatkan manusia jelmaan kera itu terpelanting jauh. Melihatkan keadaan itu manusia kera lain terus berlari ke arah Henry serentak. Menghunus senjata 'mereka'. Henry terundur setapak dengan serangan mendadak itu. Dia agak sukar bergerak kerana Nuna dalam dukungannya.

Falah di belakang tidak menunggu lama, tiga batang anak panah ditebak sekaligus lalu tepat mengena sasaran. Tiga manusia kera tumbang. Falah memanah lagi namun ketika itu dia pun diserang manusia kera lain. Dia pantas menggerakkan tulang empat keratnya mengelak terkaman manusia jelmaan kera itu. Berguling menjauhi 'mereka' semua, berlutut di tanah. Dia mencucuh mata panah dengan api di situ, dengan anak panah yang berapi itu dia memanah dua ekor manusia kera sekaligus. Terus terjerit dua ekor itu dek api menelan tubuh mereka.

Serangan kedua Falah sambut dengan seni tempurnya, tidak lagi menggunakan anak panahnya. Mana-mana manusia kera yang cuba menyerangnya dilibas dengan busur panah sehingga terpelanting jauh ke sana. Namun banyak keadaan dia lebih banyak mengelak kerana dia sendiri tidak mahu menyakitkan kera-kera itu.

"Falah!!" Henry memanggil dari arah sana, dia pun dalam keadaan sukar. Bertubi-tubi serangan dari manusia kera yang seolah tidak berkurang itu. Dia terpaksa menggunakan hanya tangan kiri untuk melawan setiap serangan. Nuna pula kerap hampir terjatuh apabila serangan terlalu mengejutkan.

Falah melompat tinggi ke arah Henry sehingga akhirnya dia berjaya berdiri di sebelah abang iparnya itu, nafasnya sudah cungap. Penat melawan makhluk hodoh belum pun reda, kini mereka perlu berlawan dengan kera jadian pula. Busur panah dan batang anak panah Falah terpaksa gunakan sebagai pedangnya, dilibas setiap kera berupa manusia itu dengan sepenuh kepantasan. Tubuh mereka saling berlanggar apabila kera-kera itu berhenti menyerang. Manusia kera itu hanya mengelilingi Falah dan Henry, menunggu sahaja peluang untuk menyerang.

"Nuna macamana?" Falah bertanya seraya menguatkan pegangan pada busur panahnya. Ketika itu dia rasa cecair suam seakan mengalir di celah tapak tangannya. Apabila dia melihat, rupanya bahunya sudah terluka dengan serangan manusia kera tadi. Dia endahkan dahulu. Cuba mengatur nafas.

"Okay, cuma dia pengsan. Rasanya dia penat sangat." Henry menjawab yakin. Dia dapat rasa dada Nuna masih bergerak dan itu sudah cukup buat dia lega.

Falah angguk. Wajahnya serius. Sebenarnya dia masih terkejut dengan Nuna yang rupanya masih hidup. Tidak pernah walau sekali terlintas dalam fikirannya bahawa Nuna sebenarnya belum mati. Rupanya Bunga telah menggunakan muslihatnya untuk melemahkan Falah.

Falah pantas mencari Bunga. Wanita sihir itu sedang memandang sahaja perkelahian itu dengan wajah kosong.

"Falah, kita kena buat apa sekarang?" Henry bertanya, tangannya sudah mula lenguh dek mendukung Nuna terlalu lama.

"Falah akan kosongkan tempat, abang perlu pergi dari sini."

"Tapi Falah—"

"Jangan risaukan tentang Falah. Abang kena bawa Nuna pergi."

Henry mengetap gigi. Dia tak suka keadaan ini. Terpaksa meninggalkan Falah bersendirian.

Falah tidak menunggu lama, dengan pantas dia menyerang manusia kera itu. Bagai ribut, serangan itu merombak manusia kera itu sehingga mereka terpelanting.

"Sekarang abang!" Jerit Falah kuat.

Henry pun tidak menunggu lama terus membuka langkah berlari dari situ. Memeluk Nuna dengan sekuatnya meninggalkan Falah di belakang. Hanya Tuhan mengetahui betapa serba salah Henry tika itu kerana meninggalkan Falah berseorang. Henry terus berlari meredah belukar, tidak mengendahkan luka-luka di tubuhnya. Apa dia tahu hanyalah hendak menyelamatkan Nuna dari Bunga. Dia perlu membawa Nuna ke tempat perlawanan asal tadi. Sekurangnya di sana ramai orang akan membantunya.



"SIAPA budak ini?!" Ketua sangat terkejut saat melihat Henry muncul bersama seorang kanak-kanak yang sudah tidak sedarkan diri.

Nampaknya suasana di sini sudah reda, makhluk-makhluk hodoh itu sudah berjaya dikalahkan oleh tentera Anjana semuanya. Makhluk-makhluk itu bergelimpangan di atas pepasir, bercampur dengan Anjana yang syahid. Kelihatan beberapa Anjana yang masih selamat sibuk mengumpulkan rakan mereka yang terkorban.

"Adik angkat kami." Henry baringkan di atas satu tikar yang seorang pasukan perubatan sediakan. Nuna sudah sepenuhnya tidak sedarkan diri.

"Rawat dia." Henry bangkit dengan nafas mengah. Bayangkan dia berlari tanpa henti menuju ke sini, jika berlari sendirian tak apalah juga, ini dia terpaksa gendong kanak-kanak yang beratnya bukan main-main.

"Mika, kau pun cedera." Ketua menegur apabila melihat darah di beberapa anggota Henry. Henry tersedar, turut memandang kecederaannya di badannya. Tadi dia tidak merasakan apa-apa sakit, bila Ketua menegur barulah dia rasa sakit.

"Biar saya rawat tuan." Seorang pasukan perubatan menawarkan diri. Namun Henry mengangkat tangan, menolak untuk dirawat. Fikirannya terarah pada Falah tika ini.

"Ketua, kita perlu bantu Falah." Henry memandang Ketua.

"Ya, aku baru ingin bertanya ke mana Falah." Ketua mengerutkan wajah, dia sangat risau apabila tidak mendapati Falah dan Henry di mana-mana. Berbagai sangkaan buruk datang dalam kepalanya.

"Falah sedang berhadapan dengan Bunga." Serius Henry menjawab.

Semua yang mendengar terkedu.



BUNGA terkedu. Pemandangan di hadapan sangat buat dia tidak terkata. Sehingga tanpa sedar tangannya menggeletar. Satu rasa menembak dadanya. Gerun.

Di hadapannya ialah Falah yang sedang termengah-mengah kerana baru menyelesaikan semua manusia kera, anak panahnya di dalam karung sudah habis. Tangannya penuh dengan darah lawan.

Kini yang tinggal hanyalah Bunga yang berdiri tegak menatap semua ini dengan perasaan yang berkecamuk. Dia dapat lihat dari cahaya api yang dia pasang, Falah mencabut satu persatu anak panah dari manusia kera yang sudah mati. Dimasukkan semula ke dalam karung. Wajah Falah kosong, tidak berperisa. Bagai jiwanya juga kosong dalam melakukan semua ini.

"Aku tidak suka membunuh makhluk yang tidak bersalah." Falah bersuara ketika mencabut anak panah dari salah satu kera di situ. "Tapi kau memaksa aku, Bunga." Falah mengangkat wajah pada Bunga. Matanya berair di hujung.

Bunga tergamam.

"Adakah ini jalan terbaik untuk kau bahagia?" Falah menatap Bunga.

Bunga tidak mampu berkata apa-apa. Lidahnya bagai kelu.

"Kenapa perlu membunuh? Kenapa perlu membalas dendam?" Falah melangkah mendekati Bunga. Melintas di sebelah api yang masih menyala terang. Membuatkan wajah Falah makin jelas pada pandangan Bunga.

"Kerana.." Bunga cuba tersenyum tajam. Dia tak mudah kalah. "..ini cara aku bahagia." Jawabnya sinis.

"Maka bahagia ini salah." Falah membalas.

"Kenapa kau perlu peduli?" Bunga mengetap gigi.

"Kerana aku juga ingin melihat kau bahagia." Falah menjawab.

"Kenapa kau sibuk mahu lihat aku bahagia!?" Bunga berang.

"Kerana kau berhak dengan kebahagiaan itu!!" Falah membalas tegas.

Jawapan itu buat Bunga terkelu.

"Kerana semua manusia berhak bahagia! Tapi kau pilih jalan yang salah!"

"Kau tak perlu mengajar aku mana yang betul mana yang salah! Aku tidak mahu tahu!! Aku cuma mahu membunuh kau!!" Bunga tidak semena menerkam Falah, lantas mereka berguling bersama. Bunga hendak mencakar wajah Falah namun entah kenapa pergerakannya tersekat oleh sesuatu. Matanya terbelalak.

Falah menggunakan peluang itu dengan melonjakkan tubuh sekaligus membuatkan Bunga terjatuh ke tanah, Bunga cepat bangkit lalu kembali menyerang Falah. Kukunya mencuar ganas hendak merobek wajah Falah.

Falah mengelak setiap kali serangan itu menuju wajahnya. Kali ini dia dapat lihat, Bunga tidak lagi dalam susuk wanita jelita, namun muncul dalam susuk wanita yang sangat hodoh. Seperti binatang yang berkuku tajam dan bergigi taring. Wajah itu penuh kegelapan dan kehitaman.

Akhir sekali Falah meloncat ke sebatang pokok di situ, mendarat di dahan lalu memanah Bunga dari atas sini. Bibirnya dari tadi mengucap ayat suci alquran sebagai pelindung diri. Dia dapat rasa sesuatu yang dari alam kegelapan pada Bunga. Dan sebaik-baik pelindung dari semua itu ialah Allah.

"Iyyaka na'budu Wa iyyaka nasta'in." Ayat itu dibaca berulang kali tanpa rasa lelah. Mungkin kerana itulah Bunga tidak dapat menyentuhnya.

Bunga menjerit seperti binatang yang sedang mengamuk apabila sebatang anak panah Falah terkena pehanya. Namun anak panah itu langsung tidak lut untuknya, maka dia cabut dan terus menerkam Falah. Falah melompat turun dari dahan pokok lalu berguling ke tanah melembutkan pendaratannya. Sebaik elok melutut, beberapa anak panah dilepaskan. Pastinya diiringi basmallah. Bunga mengelak dengan cantik dari semua serangan Falah, terus menerkam Falah.

Ketika itu, mungkin kerana tidak bersedia – kuku Bunga berjaya merobek peha Falah. Falah menjerit sekaligus bacaannya terhenti dan pertahanannya menjadi lemah. Lantas Bunga tidak menyia-nyiakan peluang itu, terus merobek lagi peha Falah sehingga membuatkan Falah terduduk ke tanah.

Bunga tersenyum puas dengan kecundangnya Falah, kukunya yang dilumuri darah Falah dijilat. Meraikan kejayaannya kerana berjaya melukakan Falah.

Falah kesakitan. Pehanya mengalami sakit yang teramat sangat sehingga ke tulang hitam. Dia sedar, kuku Bunga bukan sekadar kuku. Seluruh tubuh wanita itu memang dipenuhi sihir hitam.

"Hrmm.. sudah kalah?" Bunga tergelak. Tak percaya Falah akan mudah kecundang begini. Dia kemudian mencengkam rambut Falah dan mendongakkan lelaki itu ke arahnya. Falah sudah tercungap-cungap. Menatapnya dengan wajah menahan kesakitan.

"Sakit ke?" Bunga gembira melihat Falah sakit. Dia tidak mahu membunuh lagi Falah, dia nak Falah menderita dahulu. Maka dia pun mencakar lagi peha kanan Falah sehingga Falah terjerit kuat.

"Ohh maafkan patik, sakit ya?" Bunga mencebik sedih. Cengkaman pada rambut Falah dikuatkan sehingga Falah makin sukar bernafas.

Bunga akhirnya melepaskan cengkaman itu bila terasa membosankan, Falah serta-merta terjatuh ke tanah. Cuba mengawal nafas. Air liurnya tidak dapat ditelan dengan baik.

"Bersedia untuk persembahan aku, Falah." Bunga berdiri beberapa langkah dari Falah. Falah dengan bersusah payah menatap Bunga. Dia dapat lihat Bunga keluarkan sesuatu dari belakang tubuh.

Serunai.

Falah terpejam mata. Pehanya makin berdenyut. Ya Allah..

"Ia akan membunuh seluruh manusia di pulau ini." Bunga memberitahu. "Termasuk kau." Bunga tergelak suka.

Falah bergetar bibir menahan sakit. Dia perlu lakukan sesuatu. Demi Allah dia perlu lakukan sesuatu.

"Tidak mengapa, ianya hanya sakit yang sementara. Kalian semua akan menikmati alunan ini kemudian akan mati dengan tenang. Jadi ianya tidaklah terlalu sakit." Bunga bersedia meletakkan serunai itu di bibirnya.

"Bunga.." Tidak semena Falah memanggil.

Wajah Bunga berubah. Bibirnya diketap serta-merta.

"Sebelum kau meniup serunai itu.." Falah cuba bangkit, nafasnya mengah dan wajahnya mula pucat apabila darah terlalu banyak keluar dari pehanya.

"Boleh aku bertanya satu soalan?" Falah berjaya berdiri. Ketika ini dia dapat merasakan seluruh tubuhnya bagai melumpuh. Tahulah dia yang bisa sihir itu sudah perlahan-lahan memakan dirinya.

Bunga menegangkan wajah. "Tanyalah.." Dia kembali menjatuhkan serunai.

Falah tersenyum lemah. "Adakah kau yakin akan disukai tuhan kau selepas ini?" Soal Falah perlahan.

Bunga terdiam.

"Adakah kau pasti, selepas kau berjaya mematikan seluruh manusia di Pulau Jengka ini, Jibt akan lebih menyayangi kau?" Soalnya lebih jelas.

Bunga rasa dadanya sesak sebaik mendengar soalan itu.

"Atau kau rasa kau akan dapat hidupkan kembali Mona dan Nyai dengan sebab kau membunuh beratus jiwa yang tak bersalah?" Falah semakin pucat.

"Apa.." Falah cuba menahan diri dari jatuh. "..yang kau dapat dalam semua ini melainkan kepuasan hati?"

Bunga tidak menjawab soalan itu. Hanya senyap membisu. Falah pula semakin lemah.

"Jawablah, Bunga. Bukankah sudah dua ratus tahun kau menjadi hamba pada Jibt. Apa kau dapat?"

"Diam." Bunga menderam.

"Tuhan aku, tuhan kita semua, Allah.." Falah cuba berkata-kata biarpun bibirnya makin kering. "..menjanjikan bahagia jika aku mentaatiNya."

"Dia menjanjikan ketenangan apabila aku mengikut segala perintahNya."

Bunga menekup telinga bila kata-kata Falah bagai bergema di fikirannya.

"Allah Maha Penyayang! Dia akan menyayangi setiap hamba-Nya yang berusaha menuju-Nya!" Nafas Falah makin sempit.

"Maka apa yang Jibt mampu berikan pada ka—" Tidak sempat Falah menghabiskan ayatnya, sedetak nafas tubuhnya disambar satu susuk membuatkan dia terus terseret ke tanah. Kepalanya terhentak kuat sehingga membuatkan pandangannya berpinar.

"Kau tak layak berkata begitu," Satu nafas hangat menghembus wajah Falah. Dan saat pandangan Falah jelas, dia serta-merta melihat seraut wajah lelaki penuh kegelapan.

Jibt.

"Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam." Spontan Falah mengucap isti'azah.

Jibt terus menampar wajah Falah demi medengar ucapan itu. Falah terteleng ke tepi. Hujung bibirnya pecah.

"Kau hanya manusia hina. Yang diperbuat dari tanah liat yang busuk." Jibt mencengkam wajah Falah sehingga Falah kembali memandangnya. Wajah Falah sudah pucat lesi bagai kertas putih. Seluarnya pula sudah lencun dengan darah sendiri. Luka yang Bunga hasilkan tadi bukan sebarangan luka.

"Kau tak layak menghina makhluk dari api seperti aku." Jibt melepaskan wajah Falah kasar. Lalu bangkit dari menindih lelaki manusia itu. Matanya memandang hina pada Falah. Falah sudah terduduk dalam keadaan terbatuk-batuk. Tubuhnya makin lemah.

Jibt berjalan menghampiri Bunga yang masih terkaku.

"Apa lagi yang kau tunggu? Abaikan manusia hina itu. Tiupkan sahaja serunai kau." Jibt bersuara tajam. Dia menyepak kera yang menghalang laluannya. Bunga pantas mengangkat serunai itu ke bibirnya, tanpa sedar tangannya menggeletar dalam melakukan kerja ini. Ada sesuatu yang buat dia rasa tidak yakin.

"Hari ini," Jibt menghadap Falah penuh angkuh. Dia tersenyum tajam. "Dunia akan melihat kemusnahan Pulau Jengka. Semua akan mati dengan penuh misteri. Kisah serunai maut akan berleluasa ke seluruh dunia. Semua akan mengagungkan penjaga serunai maut. Dan pastinya Tuanku Azazil akan berbangga dengan aku." Angan-angan Jibt sangat tinggi.

"Dan kau tidak mampu melakukan apa-apa sekarang. Katakan, sekarang siapa yang akan membantu kau untuk menghentikan semua ini? Di mana Tuhan yang kau agungkan sangat tu? Kenapa Dia biarkan kau lemah sebegini?" Jibt tersenyum menghina.

Falah cuba menenangkan nafasnya. Ketika itu dadanya sangat sempit. Tubuhnya menggeletar bagai sedang berperang dengan sakaratul maut.

"Tiupkan serunai kau Bunga. Buktikan pada Falah yang tuhannya hanya lemah. Buktikan pada semua manusia yang akulah yang berkuasa di dunia ini!" Jibt mendepa tangan dengan senyuman puas.

Lalu kerana taatkan perintah Jibt, Bunga pun meniup serunainya. Alunan merdu lagi sayu mula kedengaran serata angkasa. Jibt tersenyum penuh angkuh. Hari ini dia ingin akhiri segalanya. Dia mahu bina kerajaan baru yang lebih kuat kepercayaannya pada Serunai Maut, yang pasti tidak wujud lagi Falah yang akan mengganggu kerajaannya.

"Ma ji'tum bihi ssihr," Tidak semena terdengar suara serak mencelah bunyi serunai itu. Serta-merta Jibt memandang Falah. Suara itu dari Falah.

"Innallah sayubtiluh, inna Llah la yuslihu amalal mufsidin." Falah mengangkat pandangan penuh keyakinan pada Jibt.

Ayat itu ialah ayat ke 81 dari Surah Yunus, yang diajar oleh gurunya untuk dibaca saat sihir berlaku di hadapan mata. Kerana ayat ini digunakan oleh Nabi Musa saat berlawan dengan tukang-tukang sihir. Dan ayat ini bermaksud,

Apa yang kalian bawa hanyalah sihir. Allah akan menghapuskannya. Sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan berterusan kerja orang yang melakukan kerosakan.

Dengan keyakinan yang tinggi kepada Tuhan semesta alam, dia mengulang ayat tersebut. Mengulang dan terus mengulang walau tekaknya terasa perit dengan darah yang bila-bila masa sahaja menunggu masa untuk diledakkan. Mengulang bagai hendak sahaja dia gempakan alam ini dengan kalimah arab tersebut.

Yang pasti Jibt sendiri terkedu saat mendengar bacaan itu. Bunga jadi hilang tumpuan. Tiba-tiba sahaja tangannya menggigil kuat. Alunannya jadi sumbang. Dia cuba untuk salurkan sepenuh tumpuannya pada serunai tersebut namun dia tidak mampu. Kerana apabila dia mendengar bacaan yang Falah ulang berkali-kali itu, dirinya jadi tidak keruan. Bagai ada sesuatu yang memaksa dia untuk menghentikan tiupannya.

Falah terus mengulang ayat tersebut. Tanpa putus asa. Tanpa penat dan lelah. Kerana dia yakin, dengan izin Allah ayat ini akan memberi kesan untuk sihir.

Jibt yang melihatkan keadaan di sini mula berubah, terus menerkam Falah namun dia sendiri tidak mampu menggerakkan tubuhnya. Seolah ada tangan yang menyekat tubuhnya.

Dan ketika itulah, beberapa batang anak panah muncul dari balik pepohon dan terus menebak tepat ke tubuh Bunga sehingga wanita itu terus tumbang. Serunai di tangannya patah dua. Beberapa batang anak panah juga menebak ke arah Jibt namun Jibt lebih cekap mengelak. Henry muncul dari balik api dan terus melembing Jibt, Jibt terkejut dengan kemunculan itu. Akibatnya tubuhnya dirodok lembing Henry. Jeritannya memekik ke seluruh hutan. Muncul lebih ramai Anjana menyerang kawasan itu.

Ketika itulah Falah tumbang terus ke tanah, tubuhnya sangat lemah kerana kehilangan terlalu banyak darah. Nafasnya makin semput. Lidahnya masih mengucap ayat tadi namun perlahan-lahan lidahnya menjadi kelu.

"Pancung kepala mereka berdua!"

Falah terdengar jeritan Henry mengarah orang lain. Suasana sekeliling dapat dirasakan hiruk-pikuk namun Falah sudah tidak dengar apa-apa. Seluruh tubuhnya mula kebas. Nafasnya menjadi pendek-pendek. Telinganya berdengung.

"Falah!"

Sayup-sayup Falah mendengar suara Henry sebelum terasa tubuhnya diterpa seseorang. Malah dia dapat merasakan begitu ramai menerpanya.

"Ya Allah Falah!!"

Falah tidak tahu apa yang terjadi. Kerana tika ini dia berasa sangat penat. Dia cuma mahu tidur. Lalu bibirnya bergerak mengucap syahadah seperti biasa yang dia lakukan sebelum tidur. Dengan nafas yang terluah panjang, akhirnya dia terlena kepenatan.

"Falah!! Bangun!!"

"Falah!!"

Continue Reading

You'll Also Like

1M 42.6K 72
Dhiya tidak pernah menyangka perasaannya terhadap Kasyaf akan sedalam itu. Sedangkan Kasyaf milik sahabatnya sendiri, Medina. "Kalau aku nak kahwin d...
396K 34.4K 56
Series 1 Keseronokkan jalan cerita tidak bergantung pada nilai pembacanya, tetapi pada si penulisnya. Dia bukan sesiapa, Dia tiada agama, Dia dahagak...
1.7M 13.6K 11
<2nd Novel> Highest Ranking- #1inAction(23/2/2021) [Completed] Known as Healing Love. "Di saat awak tahu siapa diri saya yang sebenarnya, yo...
14.1K 1.9K 43
Hanya dengan mengingat Allah hati akan menjadi tenang.