FALAH | Serunai Maut ✔

By Leena_syiha

858K 113K 15.6K

Seluruh dunia digemparkan dengan kematian beramai-ramai di sebuah feri mewah yang berlabuh di Pulau Jengka. ... More

Pengumuman
Prolog
| Linda | 1
| Linda | 2
| Linda | 3
Serunai Maut | Henry | 4
Serunai Maut | Henry | 5
Serunai Maut | Henry | 6
Serunai Maut | Henry | 7
Serunai Maut | Henry | 8
Serunai Maut | Falah | 9
Serunai Maut | Iman | 10
Serunai Maut | Falah | 11
Serunai Maut | Falah | 12
Serunai Maut | Falah | 13
Serunai Maut | Henry | 14
Serunai Maut | Henry | 15
Serunai Maut | Falah | 16
Serunai Maut | Falah | 17
Serunai Maut | Falah | 18
Serunai Maut | Falah | 19
Serunai Maut | Falah | 20
| Henry | 21
| Falah | 22
| Falah | 23
| Falah | 24
| Iman | 25
| Nuna | 26
| Falah | 27
| Falah | 28
| Tok penghulu | 29
| Razak | 30
| Falah | 31
| Mona | 32
| Jibt | 33
| Nyai | 34
| Mona | 35
| Falah | 36
| Falah | 37
| Falah | 38
| Linda | 39
| Falah | 40
| Gimbaran | 41
| Andika | 42
| Kevin | 43
| Tok penghulu | 44
| Bunga | 45
| Linda | 47
| Falah | 48
| Anjana | 49
| Bunga | 50
| Falah | 51
| Falah | 52
| Nuna | 53
| Embun | 54
| Linda | 55
| Henry | 56
| Falah | 57
Epilog
Sambungan Serunai Maut

| Nuna | 46

11.9K 1.6K 562
By Leena_syiha


"KETUA!" jeritan itu mengejutkan semua yang sedang mendengar cerita.

Terus Ketua Mukim berhenti bercerita. Memandang ke muka pintu, terjengul di situ susuk tubuh penduduk Anjana yang tercungap-cungap dengan muka pucat.

"Apa hal kamu?!" Ketua berdiri. Mengagak ada bahaya yang mampir.

Belum pun sempat penduduk itu berkata apa-apa, jeritan histeria dari luar sana memekak. Keadaan di luar hiruk-pikuk. Ramai perempuan bertempiaran lari.

Ketua Mukim keluar mendadak. Falah turut keluar, memandang serata mukim yang bagai baru diserang garuda.

"Kenapa--"

"AKU MAHU LINDA!!!"

Jeritan amukan kedengaran dari hujung sana. Mengejutkan semua yang mendengar. Falah tidak menunggu lama, terus berlari menuju ke sana. Henry dan Ketua turut ke sana. Iman disuruh Henry untuk menjaga Linda.

Sebaik sampai di situ, terlihat Tok penghulu sedang bergelut dengan beberapa orang pengawal. Anggun turut ada di situ. Turut menghunus senjatanya sekadar berjaga. Apabila ternampak Falah, mukanya berubah bengis. Kemudian dia menerpa Falah dan mencekak kolar baju Falah.

"Kau membawa bahaya untuk Anjana!" jeritnya betul-betul di depan muka Falah.

Falah menolak Anggun dari hadapannya. Langsung tidak mengendahkan Anggun yang berang. Anggun bergerak ke tepi dengan berbara. Henry yang melihat tersenyum sinis.

Tok Penghulu mengamuk bagai orang gila. Tetakan dari orang sekeliling bagai tidak lut. Falah dapat lihat mata itu kembali hitam. Dan luka di dada Tok penghulu seakan tiada.

Dia kembali dirasuk.

"BERI AKU LINDA!! AKU MAHU LINDA!!" Jeritnya pada semua di situ. Baru sahaja dia hendak menumbuk wajah seorang Anjana, satu tangan menyambar lengannya lalu sikunya dilipat sehingga dia mengerang kesakitan.

Selajur dia rebah ke tanah dalam pingkul kerana kesakitan. Sebelum ini dia sudah berkali diserang oleh pengawal di sekeliling namun semua itu tidak lut untuknya bagai tubuhnya kebal, tapi untuk serangan ini rasanya bagai menusuk saraf dan otak.

"Kenapa kau mahukan Linda?" Falah menegakkan tubuh. Memandang tajam pada susuk Tok penghulu yang sedang sedang berusaha bangkit. Langkahnya tatih bagai baru ditampar tangan gergasi.

Semua yang lain hanya memerhati. Tidak ingin masuk campur. Anggun yang tadinya marah sudah diam.

"Kenapa? Kau tak perlu tanya begitu Falah. Linda itu hamba aku. Aku cuma mahukan dia kembali." Tok penghulu tersenyum sinis. Suaranya kedengaran lain. Bagai suara lelaki bercampur suara perempuan.

"Linda hanyalah gadis yang bebas. Tidaklah dia hamba pada sesiapa. Kau telah berlaku zalim padanya Bunga. Hanya kerana kau rindukan anak kau, kau letakkan memori anak kau dalamnya. Kau buat dia lupa siapa dirinya. Kau jelmakan dari jelmaan kau seorang Nyai sebagai sebuah lakonan untuk dia. Kau patut hentikan semua ini Bunga."

Tok penghulu ketawa. "Kau sudah tahu cerita itu nampaknya Falah."

"Cerita ini sedih untuk aku dengar Bunga, tapi sayang kau telah tersalah jalan hanya kerana dihasut jin itu."

"Dia bukan jin!" Herdikan itu kasar. Wanita yang merasuk Tok penghulu mengamuk. "Dia tuhan aku!! Dia berikan aku bahagia!!"

"Tiada tuhan selain Allah!" Falah turut menaikkan suara. Bertegas.

"Kau fikir aku kisah?! Jika Tuhan itu benar ada, kenapa Dia tidak membantu aku tika aku diseksa Tuah?! Jika Dia benar ada kenapa Nyai dan Mona dibiarkan mati dibakar?!"

"Itu kerana ujian untuk kau, Bunga. Kau fikir menjadi manusia itu mudah? Kau fikir menjadi manusia hanya bahagia yang datang? Aku kehilangan bapa pada waktu yang aku sendiri tidak jangka. Aku kehilangan abang pada waktu aku sangat perlukannya. Maka adakah patut aku salahkan tuhan?! Malah itu adalah cara untuk tuhan memanggil aku menghadapNya selepas begitu lama aku lalai dariNya!"

"Berhenti membebel Falah! Berhenti! Aku benci mendengar semua itu!"

"Kau bunuh ramai manusia yang tidak bersalah! Kau bunuh Nuna yang tidak berdosa itu! Hanya kerana dendam kau pada Tuah! Adakah itu patut?!"

"Aku kata berhenti!"

"Dengan nama Allah, itu adalah kezaliman Bunga!"

"Berhenti!!" tanpa sempat sesiapa menghalang, parang yang terdampar di atas tanah diambil Tok penghulu lalu susuk itu menyerang Falah dengan penuh amukan.

Yang lain terjerit dan ada yang hendak membantu. Namun Falah lebih cekap. Sekilas nafas, pergelangan tangan ditangkap lalu dipulas sehingga terlucut parang dari pegangan. Lalu kakinya diangkat menyepak dua lutut Tok penghulu sehingga menghasilkan rasa ngilu lalu Tok penghulu menjauh. Namun itu hanya sekejap apabila Tok penghulu kembali menyerang dengan bengis. Sudah tidak peduli betisnya yang longlai.

Kenapa setiap serangan Falah sangat memberi kesan padanya?!

"Arghhh!!" Tok penghulu mengamuk. Menyerang membuta tuli. Dan Falah mengelak dan terus mengelak tanpa berbuat apa. Hanya berundur dan berundur sehingga sampai di tepi Anggun, dengan selamba dia mengambil tombak di tangan Anggun. Anggun tercengang.

Dengan cekap, Falah memutarkan tombak sekali dua sehingga menghasilkan angin. Tok penghulu yang mendekat diperhati penuh tajam. Sehinggalah Tok penghulu berada dekat dengannya, sendi-sendi Tok penghulu ditampar dengan tepi tombak.

Pelipat lutut, pinggang, bahu, siku, dan akhirnya sekali belakang tombak disentuh ke dada Tok penghulu perlahan. Dan ditulis sesuatu pada dada itu dalam tulisan terbalik.

Alif lam lam ha.

Tok penghulu terkaku tidak bergerak. Lidahnya kelu diperbuat begitu. Nafasnya jadi pendek. Dadanya mula rasa terbakar. Sedetik tubuhnya tumbang ke belakang bagai kayu reput apabila dadanya ditolak lembut oleh tombak.

Matanya terbeliak. Seluruh tubuhnya kaku. Tidak dapat bergerak walau seinci. Dia cuba berkata-kata namun tidak mampu.

Falah berikan tombak pada Anggun. Anggun menyambutnya, berpandangan dengan Henry yang tampak tersenyum puas dengan apa yang terjadi.

Falah mencangkung di sisi Tok penghulu. Lalu dia membaca ayat kursi bersama beberapa ayat lain. Ditiup pada wajah Tok penghulu. Sekejap sahaja Tok penghulu tertidur. Nafasnya cungap. Luka yang tertutup tadi kembali berdarah.

Falah bangkit semula. Memandang pada Ketua Mukim yang hanya menonton. "Ketua," panggilnya.

"Err ya?" Ketua masih terpinga-pinga.

"Izinkan kami untuk bermalam di sini buat semalaman, sebelum kami memulakan perjalanan esok." Falah tersenyum. Ada keringat di dahinya tanda dia penat.

"Baik Falah. Semestinya."


"ARGHH!!!"

Jeritan itu bergaung dahsyat serata gua ini. Menjadikan kelawar yang sedang bergayut lena di siling gua serta merta berterbangan keluar dijerkah jeritan itu. Malah burung-burung kecil yang tadinya bertenggek di pokok berdekatan segera terbang pergi sebaik jeritan itu bergema.

Sebenarnya fenomena ini sudah biasa di sekitar gua ini.

Nafas kasarnya tercungap-cungap. Bibirnya bergetar marah. Tangan mencengkam kepala tongkat dengan penuh sakit hati.

"Falah.." Suaranya menderam dalam halkum.

"Kenapa kau selalu dapat kalahkan aku?!!" Dan jeritan kembali bertempik.

"Kenapa kau selalu gagalkan rancangan aku!!?" Tongkat dilempar ke dinding gua. Terpelanting jauh.

"Kenapa!!??" Dia mengamuk bagai orang gila.

Hatinya sakit apabila kali ini pun Falah menang. Kali ini pun Falah berjaya menghilangkan sihirnya. Kali ini pun Falah berjaya menjatuhkan dia!

Dia bertempik sekuat hati. Jika Falah ada di depan matanya mahu sahaja dia cakar muka lelaki itu dengan kukunya yang tajam ini. Jika Falah ada depan matanya dia mahu robek dada lelaki itu kemudian mengunyah jantung lelaki itu sampai hancur!

"Itu kerana ujian untuk kau, Bunga. Kau fikir menjadi manusia itu mudah? Kau fikir menjadi manusia hanya bahagia yang datang? Aku kehilangan bapa pada waktu yang aku sendiri tidak jangka. Aku kehilangan abang pada waktu aku sangat perlukannya. Maka adakah patut aku salahkan tuhan?! Malah itu adalah cara untuk tuhan memanggil aku menghadapNya selepas begitu lama aku lalai dariNya!"

Suara Falah yang berdakwah padanya tadi bergema dalam ingatan. Membuatkan tempikannya semerta senyap. Tangannya menggeletar. Tidak semena dia ketawa. Ketawa terbahak-bahak bagai orang gila.

"Cara tuhan memanggil?!" Dan tawanya menjerit ke bumbung gua.

"Adakah itu cara tuhan kau memanggil hambanya!?" Dia terus ketawa.

"Dengan mendatangkan musibah?! Maka hamba manakah yang akan memandang dia?! Gila!" Dia mengejek-ngejek.

"Falah Falah.. Tuhan kau itu lemah, dia tak berdaya tolong aku waktu aku sedang susah. Kalau dia hebat sangat kenapa dia je tak bunuh Tuah?! Kenapa perlu aku yang bunuh?!" Dia ketawa meroyan.

"Cangan cakap begitu de-dekat Allah!" Tidak semena satu suara kecil menyampuk bicaranya.

Tawanya serta merta mati. Terus dia pandang susuk yang terikat di batu berdekatan. Matanya menajam merenung susuk itu. Nafasnya panas.

"Allah hebat! Allah buat langit dan laut! Allah hebat! Nenek tak buleh cakap masham tu!"

"Kau diam, budak!" Bunga bangkit berdiri. Terus menerpa kanak-kanak itu.

"Allah hebat se-sebab Allah bagi Nu-Nuna kenyang padahal ne-nenek tak bagi Nuna ma-makan! Allah he-hebat sebab.. Nuna tak dahaga lashung padahal ne-nenek tak bagi Nu-Nuna minum pun! Allah hebat!!" Tergagap kanak-kanak itu bicara apabila susuk wanita menakutkan itu mendekat.

Pipi Nuna dicengkam.

"Kau diam budak. Kau tak tahu apa-apa. Kau masih budak. Kau masih mentah!"

"Ta-tapi.. Nuna ada Allah!! Nenek a-ada shape?" Muka Nuna selamba walaupun pipinya sedang dicengkam kuku tajam milik Bunga.

"Kurang ajar!" Bunga mengamuk. Terus menampar muka kanak-kanak itu sampai berdarah tepi bibir Nuna.

Nuna terus menangis. "Aaahh! Shakitlah nenek!!" Jeritnya.

"Tahu pun sakit! Kau cakap banyak ingat aku tak sakit hati?! Kalau kau nak tahu sangat, siapa aku ada? Aku ada tuhan! Jibt itu tuhan aku! Dia bagi aku kuasa! Kau tahu apa?! Dasar budak!" Bunga menghempas nafas kasar. Jika ikutkan hatinya mahu sahaja dia lenyek budak ini sampai mati sekarang juga tapi mengingatkan rencana yang Jibt telah aturkan dengannya, terpaksa juga simpan budak kecil yang tak reti diam ini di sini. Bingit!

"Ka-kalau tuhan nenek hebat shangat, ketapa nenek tak boleh bunuh Nuna?!" Nuna dengan berani bertanya.

"Itu sebab aku tak nak bunuh kau budak!" Bunga sakit hati.

"Tapi mem-memang nenek nak bunuh Nu-Nuna shebenarnya kan? Tapi nenek tak boleh shebab Nuna a-ada Allah! Allah he-hebat!"

"AKU KATA DIAM!!!" Baru sahaja Bunga hendak mencekik budak itu satu tangan memegang lengannya. Walaupun pegangan itu hanya lembut namun tetap melumpuhkan pergerakannya. Terus dia jeda memandang ke tepi.

"Tak guna memarahi budak ini. Dia hanya habiskan tenaga kau." tangan Bunga ditarik dari Nuna.

Bunga serta merta menundukkan kepala sebaik mendapati susuk itu adalah lelaki serba kelabu.

Jibt. Lelaki yang beri dia kuasa.

Nuna diam memerhati. Hilang terus mulut kepohnya apabila lelaki serba kelabu itu menjelingnya tajam. Memang selalu begitu, bila dia cari gaduh dengan nenek Bunga mesti lepas tu pakcik kelabu ini datang dan leraikan. Nenek Bunga suka marah-marah tapi Nuna tak takut langsung dengan Nenek Bunga. Pakcik Kelabu ini pula tak suka marah, tapi Nuna takut dengannya. Sangat takut!

"Maafkan hamba tuanku." Bunga menunduk.

Lelaki serba kelabu itu berjalan ke pelantar atas. Menjauhi Nuna yang terikat di batu ini. Bunga segera mengikut dari belakang. Sempat menjeling tajam pada Nuna yang sedang mencebik menahan sakit kena tampar tadi. Sakitlah.

"Bagaimana Razak boleh kalah?" Jibt berhenti memanjat tangga ke pelantar atas. Dua tangan disimpan di belakang tubuh.

Bunga tergugup. "Falah mengalahkannya."

"Aku tanya, bagaimana Razak boleh kalah? Bukan aku tanya siapa yang mengalahkannya."

"Hamba tidak tahu, tuanku. Kuasa samawi yang ada padanya sangat kuat. Sekali-"

"Aku bertanya pada kau Bunga, apa sihir yang aku berikan masih tidak cukup? Kenapa Razak masih boleh dikalahkan?!" Dan Jibt menoleh dengan bengis.

Bunga berundur. "Hamba --"

"Aku tidak mahu dengar cerita tentang makhluk tuhan yang perasan hebat itu. Aku ingin tahu tentang kenapa Razak masih lemah sedangkan kau patut tahu persediaan apakah yang patut kau hidangkan pada Falah!" Setiap patah itu Jibt melangkah mendekati Bunga dan Bunga berundur.

"Kau tahu paras kehebatannya. Maka kenapa kau hidangkan hanya anak ayam yang lemah? Kenapa tidak kau hidangkan terus gajah gergasi untuk dia? Kau bodoh atau pengecut?!"

"Maafkan hamba tuanku.."

"Razak adalah boneka aku! Aku berikan dia pada kau bukan untuk dia dikalahkan tetapi untuk datangkan kejutan pada manusia busuk itu! Tapi kenapa harus boneka aku yang kalah!" kemarahan Jibt meruap bagai api.

"Di mana harus aku tanggung malu aku di hadapan kerajaan Azazil apabila aku pulang nanti dengan kekalahan ini!?"

"Maafkan hamba."

"Kemaafan kau tidak bernilai apa-apa dengan malu aku di hadapan Azazil nanti!"

Bunga terus melutut ketakutan. Badannya menggeletar. Nuna yang memerhati cepat-cepat mengecilkan tubuh dekat dengan batu.

"Aku selamatkan kau dari Tuah. Aku bantu kau balas dendam. Aku beri kau kuasa. Aku beri kau kerajaan sehingga seluruh Pulau Jengka menyeru-nyeru nama kau Mona penuh kegerunan. Tapi kenapa kekalahan menjadi balasan, Bunga?"

"Ti-tidak tuanku.." Bunga menggigil. Sudah lama dia tidak dimarahi begini. Dan setiap kali dimarahi setiap kali itulah dia rasa lebih baik dia mati.

"Kau minta dengan aku untuk biarkan Linda kerana kau mahu dia jadi anak kau, aku perkenankan. Kau mahu memorinya luput berganti memori anak kau, aku perkenankan. Kau mahu jelmaan kau menjadi Nyai untuk menjaga perempuan itu, aku perkenankan semua itu Bunga! Tapi bila aku menyuruh kau mengambil Linda kembali, kenapa kau tak mampu!?"

Bunga menangis di kaki Jibt. Ketakutan.

"Beritahu aku apa kau mahu sebenarnya Bunga!? Beritahu!"

"Aku mahu hidup bahagia Jibt! Aku cuma mahu hidup bahagia! Aku mahu berhenti membunuh manusia dengan serunai aku dan aku mahu hidup seperti biasa dengan Mona! Aku cuma mahu Linda kembali! Dia anak aku!" Permintaan seberapa purnama lalu diulang.

"Maka mana usaha kau untuk dapatkan kembali Linda!? Mana?! Setiap kali kau datangkan seseorang untuk dapatkan Linda kembali kenapa kau gagal!?"

"Aku tak tahu! Aku tak tahu kenapa Falah terlalu kuat sehingga aku tak mampu berbuat apa Jibt!"

Jibt terdiam. Bernafas kasar. Sakit hati bila dengar perkataan 'kuat' digandingkan dengan Falah.

"Aku cuba jelmakan seorang 'Falah' untuk merosakkan perjalanan mereka, tetap Falah mampu menghapuskannya. Aku jadikan Linda memarahi Falah, tetap semua itu tidak menjadi. Aku datangkan Razak untuk mengambil Linda.. Semua itu tidak menjadi! Aku sendiri tidak tahu mengapa!"

"Itu kerana kau kurang usaha Bunga." Jibt bersuara senada.

Tangisan Bunga terhenti.

"Kau tidak berusaha sepenuh jiwa kau untuk dapatkan kebahagiaan kau. Kau biarkan sahaja Falah mengambil Linda dari kau. Kau biarkan sahaja Falah merosakkan kembali 'Mona' kau telah cipta. Kau sanggup biarkan semua itu berlaku?!"

"Tidak.. Tidak." Bunga menggeleng lemah. Dia sayangkan Linda. Selama dia berada dalam diri Nyai, sewaktu dia pingkul kerana menggunakan sihir serunai itu - Linda menjaganya sepenuh kasih.

Memang itulah rancangannya.

Daripada di atas feri lagi dia sangat menyukai Linda, maka dia memberi peringatan pada gadis itu untuk mengawasi serunai maut. Kerana dia tahu rancangan sesetengah penumpang kapal itu yang sengaja ingin menyerunya. Kerana itulah saat serunai berbunyi, dia meminta Jibt menyelamatkan Linda. Dia mahu jasad Linda. Dia mahu Linda menggantikan anaknya yang mati. Maka dengan 'kuasa' Jibt, menggunakan sungai dan alam - memori Linda dihapuskan. Sedangkan waktu itu dia pingkul tak berbuat apa kerana kesan sihir serunai. Hanya mampu melihat semua itu.

Maka malam itu, lahirlah seorang Mona yang baru. Yang menyayangi Nyai lebih dari segalanya. Namun sayang, dia tidak ingat tentang bondanya. Kerana itu Bunga memilih untuk menjadi Nyai.

Entah berapa lama menjadi susuk itu, saat dia merasai kemaraan Falah bersama rakan-rakan yang lain, hatinya diserkup gerun. Cukuplah berkali-kali bisikan hati yang dia lontarkan pada Falah berjaya Falah tepis. Maka apatah lagi jika susuk dirinya bertemu Falah. Dia tidak bersedia dalam keadaannya lemah begini. Maka dia membuat tipu daya, menyuruh Linda mencarinya di Teluk Nyai. Sekaligus mendatangkan satu kebersamaan dalam tujuan Linda dan Falah untuk ke timur Pulau Jengka. Dengan sebab itu maka pasti Falah tidak akan syak apa-apa berkenaan Nyai mahupun Linda yang muncul dengan nama Mona itu. Apatah lagi Nyai didapati rentung di dalam bilik tidurnya sendiri seolah-olah Nyai juga mangsa. Dan pastinya semua itu mendatangkan kekeliruan untuk Falah bersama yang lain.

Namun rancangan rapi itu tidak berpanjangan. Apabila Falah terlebih dahulu membuka langkah sehinggalah akhirnya Bunga terpaksa membuka hijab antara gimbarannya dan Falah. Saat itulah Falah mengetahui begitu banyak rahsia.

Bunga tersalah langkah kerana kekuatan semawi Falah yang menyakitkan tubuhnya. Dan kerana rasa tercabar, diminta pada Jibt untuk menjelmakan gimbarannya menjadi Falah 'palsu'. Dan Falah 'sebenar' diletakkan dalam mayat rentung. Perjalanan itu hampir rosak namun Falah lebih pantas. Dibunuh gimbaran itu dengan panah kalimah Allah.

Dan hakikatnya tetap Falah lebih pantas dalam setiap rancangan yang dibuat.

Kerana itu dia sangat bencikan Falah.

Lebih dari segalanya.

"Maka kau perlu lebih usaha Bunga." Jibt menjatuhkan sebelah lutut di hadapan Bunga. Dagu Bunga diangkat kasar biar terdongak memandangnya. Bunga dengan terpaksa mengangkat wajah. Ada air mata menitis di pipi wanita itu.

"Kau patut tahu kelemahan Falah." Air mata Bunga diusap.

Bunga terketar bibir. Bukannya dia tidak rasa, setiap usapan itu membakar kulitnya. Sehingga jika dia tidak mengawal sebetulnya maka sarung tubuhnya ini akan menghancur begitu sahaja. Berganti susuk sebenarnya iaitu nenek tua renta.

"Budak itu," Pipi Bunga ditolak biar memandang Nuna.

Nuna di hujung sana terkejut bila dirinya dipandang.

"Dia kelemahan Falah. Kau lupa?"

Bunga terdiam merenung Nuna. Berfikir.

"Gunakan dia sebaliknya. Panggil segala bala tentera kau. Mulakan langkah sebelum Falah mendahului ke sini." Wajah Bunga ditolak. Bunga tersembam ke lantai.

"Aku tak mahu dengar lagi sebarang kekalahan." Dan Jibt melangkah tubuh Bunga tanpa perasaan sebelum menghilang dari balik asap kelabu yang busuk.

Meninggalkan Bunga yang terketar tubuh memikirkan segala rencana. Perlahan matanya naik merenung Nuna.

Nuna mengecilkan tubuh ketakutan.

Tidak semena Bunga tersenyum tajam.

Falah,

Peperangan baru sahaja bermula.

Continue Reading

You'll Also Like

191K 13.2K 72
Mengisahkan tentang seorang gadis yang bernama Adellea Zayra. Dia merupakan anak yatim piatu dan mengusahakan bisnes kecilnya. Dia seorang yang tegas...
3.5M 162K 61
Ini tak kelakar! ego seorang Nur Hani Syuhada tercalar kerana hadirnya manusia bernama Ahmad Irfan! Hani benci Irfan! tapi... dalam masa yang sama di...
14.1K 1.9K 43
Hanya dengan mengingat Allah hati akan menjadi tenang.
396K 34.4K 56
Series 1 Keseronokkan jalan cerita tidak bergantung pada nilai pembacanya, tetapi pada si penulisnya. Dia bukan sesiapa, Dia tiada agama, Dia dahagak...