SAPTA ADHYASTA

By mynameismas

14.7K 2.1K 1.2K

Tatkala kemurnian jiwa manusia hilang dek dendam dan serakah maka perjanjian dengan Sang Terkutuk pasti akan... More

-1-
-2-
-3-
-4-
-5-
-6-
-7-
-8-
-9-
-10-
-11-
-12-
-13-
-14-
-15-
-16-
-17-
-18-
-19-
-20-
-21-
-22-
-23-
-24-
-25-
-26-
-27-
- 29-
-30-
-31-
-32-
-33-
-34-
- 35-
-36-
- 37-
-38-
-39-
-40-
- 41-
- 42-
-43-
-44-
-45-
-46-
-47-
-48-
-EPILOG-
-SEKAPUR SIRIH SEULAS PINANG-
-WALANG KESUMA-

-28-

274 42 26
By mynameismas

Keriut daun pintu yang ditutup semula membuatkan lelaki itu menoleh ke belakang.Seri Mastika dalam wujud seorang gadis bermata jeli nan menawan itu ditatapnya sekilas sebelum dia kembali menghadap ke arah jendela yang terbuka di hadapannya.

Mukim Rawa Jejawi senyap seperti biasa. Ada angin yang membawa haruman bunga liar dan sesekali mengelus helaian langsir putih yang tergantung pada bingkai tingkap.

Lelaki itu-Penghulu Rentaka- si penguasa mukim Rawa Jejawi sesekali melepaskan nafasnya yang berat.

" Berapa lama lagi Seri berniat menyembunyikan pemuda itu
di sini? "

Seri Mastika tidak meningkahi pertanyaan sang ayah tetapi sebaliknya mengeluarkan sebuah bekas berupa peti kayu daripada almari besar berhampiran pintu.

Penghulu Rentaka jelas tidak senang dengan tindakan Seri Mastika menculik pemuda tersebut namun dia juga sedar tidak ada apa-apa lagi yang boleh dilakukannya. Melihat sang anak menghiris butiran pinang dari dalam tepak sirih tembaga di hadapannya, Penghulu Rentaka tahu Seri Mastika sedang meracik ramuan pelupa dan akan diseduh untuk diberikan kepada Naufal.

Bukan sekadar seduhan biasa, ramuan tersebut juga diadun dengan cuca pengasih yang akan membuatkan pemuda itu lupa segala-galanya.

"Apa belum cukup kejadian
sebelum ini ?"

Seri Mastika masih tidak menyahut dan dalam masa yang sama tangannya tetap rancak meranjang bahan berupa akar-akar kayu dan daun kering lalu dimasukkan ke dalam sebuah bejana tanah liat.

" Gara-gara Seri menyembunyikan seorang pemuda lama dulu, seluruh perkampungan kita musnah dan kita terpaksa berpindah. "

" Seri tahu apa yang Seri lakukan, Bapak. "

" Tapi pemuda itu Naufal Hatta, Seri. Keturunan kepada salah seorang daripada lagenda Sapta Adhyasta. Malahan Seri melarikannya daripada kaum Nashibain."

" Apa masih belum jelaskah niat Seri pada mata Bapak? Seri melakukan segalanya supaya mereka dipersalahkan  atas kehilangan raga sukma pemuda tersebut! "

Penghulu Rentaka mengetap giginya kurang senang. Kali terakhir Seri Mastika membawa seseorang dari alam manusia lama dulu telah membuatkan seluruh permukiman mereka hancur hampir tidak bersisa digempur Ustaz Mustafa sehingga memaksa mereka berpindah ke Rawa Jejawi.

Jika Seri Mastika tidak berdegil dan menyerahkan sahaja pemuda itu tanpa berdolak-dalik, semua kejadian tersebut tidak akan berlaku.Dan kini, hal itulah yang mahu dielakkan oleh Penghulu Rentaka.

Ustaz Mustafa masih terbilang mujur jika dibandingkan dengan para pemegang Sapta Adhyasta yang kisah mereka sudah melang-buana di alam sebelah.Mereka ada sesuatu yang membuatkan hampir tidak ada sesiapa pun di alam sebelah yang tidak mengenali mereka.

Mumbala, si manusia andalan yang memperolehi kekuatan dari alam sebelah sahaja boleh takhluk dan dikalahkan ratusan tahun silam. Dan kini tahu-tahu sahaja salah seorang daripada keturunan yang dihormati oleh kaum atas dan digeruni oleh kaum bawah itu disembunyikan di dalam permukiman mereka di Rawa Jejawi!

Selama ini Penghulu Rentaka tidak pernah mahu mengambil tahu kebiasaan anaknya itu. Bukan tidak pernah Seri Mastika menyembunyikan para pemancing yang tidak sengaja menemui Rawa Jejawi. Aturan alam mereka jelas. Menjalani hidup masing-masing tetapi manusia ada kalanya suka melampaui batas dan garis yang telah ditetapkan.

Manusia yang menemui Rawa Jejawi kadangkala melakukan sesuatu yang menyinggung para penduduk permukiman sehingga mengakibatkan mereka menerima padahnya. Hanya sahaja perlakuan para warga permukiman  sebatas menjelmakan diri menjadi susuk yang menggerunkan tetapi tidak ada yang bertindak berani seperti Seri Mustika sehingga nekad menyembunyikan manusia dari alam kasar kerana masing-masing arif natijah yang bakal mereka hadapi.

" Lepaskan sahajalah pemuda itu, Seri. Bermusuhan dengan Al-Attas dan Mumbala bukan sesuatu yang kita mahukan ketika ini.Atau sebenarnya Seri ingkar lagi pada peringatan Bapak?"

Seri Mastika yang masih meracik ramuan pelupa itu menoleh sebentar lalu kembali memicit jari tangannya bagi membolehkan titisan darahnya menitik ke dalam bejana tanah liat tersebut. 

" Kalau benar kenapa? "

" Seri, apa sudah habiskah anak muda dalam kalangan kaum kita untuk dipertimbangkan menjadi calon suami? Wujud kita berbeza anakku. Ingat itu! "

Habis akal juga Penghulu Rentaka menasihatkan anaknya itu tetapi Seri Mastika tetap sahaja tidak perduli. Dia tahu Seri Mastika memang sudah lama menaruh hati kepada anak muda itu dan besar keyakinan Penghulu Rentaka alasan yang dikatakan oleh Seri Mastika pada awal tadi hanya lapik kepada niatnya yang sebenar.

Sudah tentu Penghulu Rentaka tahu bagaimana anaknya itu berjumpa dengan Naufal secara kebetulan lama dulu ketika pemuda itu bersama rakan-rakan karibnya berkelah di sebuah kawasan air terjun yang hampir dengan perkampungan Penghulu Kundang dan pada ketika itu dia dan Seri Mastika dalam masa yang sama mengunjungi permukiman tersebut.

Pada mereka, tidak ada yang mampu menafikan betapa para anak muda tersebut sememangnya memiliki paras rupa yang indah dan tidak ubah seperti bongkah tubuh yang bersinar-sinar.Hanya sahaja mudah atau sukar mereka didekati bergantung kepada perilaku mereka sendiri. Semakin jauh daripada cahaya, semakin tipis hijab mereka dan semakin mudahlah para manusia itu untuk didekati dan begitu pula sebaliknya.

Naufal antara anak muda dalam rombongan itu dan hampir tidak memiliki hijab sehingga membolehkan mereka melihatnya dengan mudah. Menghabiskan masa berlama-lama di tepi jeram, bersuka-ria malahan mengumbar kata dan memperlihatkan bidang tubuh sesuka hati. Manakan tidak para anak gadis di permukiman tersebut kama hatinya ,semara sukmanya dan hubah
raganya. Tidak terkecuali Seri Mastika sendiri.

Maka jika Seri Mastika tidak kelihatan di mana-mana, usah ditanya kerana kasmarannya membuatkan anak itu selalu lupa diri. Memerhatikan Naufal dari dekat, mengikutinya malahan bukan tidak pernah dia menyusup ke dalam jalur-jalur mimpi pemuda tersebut. Dan tatkala Naufal berada di alam mereka, mustahil untuk Seri Mastika menyia-nyiakan peluang keemasan begitu.

Penghulu Rentaka meligas ke arah pintu sekali lagi ketika mendengar gemertak lantai di bawah tapak kaki seseorang dan dalam masa yang sama Seri Mastika juga menoleh.

Wajah Naufal tersembul di antara daun pintu dan dengan pantas Seri Mastika menatap wajah ayahnya tajam seakan memberi peringatan. Menoleh semula kepada Naufal, roman wajah Seri Mastika yang tegang tidak suka mendadak sirna dan digantikan dengan bingkai senyum yang meleret manis.

" Kanda.. "

Jari-jemari lentik Seri Mastika menyambar lengan pemuda itu dan dipapahnya Naufal menuju ke tengah rumah.

" Bukankah dinda sudah mengatakan kepada kanda agar berehat sahaja di dalam kamar?  Panggil dinda jika kanda perlukan apa-apa. "

Tiap inci ruang tengah rumah tersebut diperhatikan dengan raut wajah bingung oleh Naufal. Sama seperti di dalam sana, perincian dan perhiasan ruang tengah rumah itu juga mirip sahaja. Langsir putih yang berkibar-kibar, jendela terbuka luas, perhiasan-perhiasan seperti gong dan talam tembaga di dinding lalu sayup suara kokokan ayam dari hujung halaman. Ada bau harum yang sejuk dan dingin dibawa sepoi angin dari daun jendela yang dibuka lebar.

Naufal mengheret langkah kakinya yang terasa berat dan kepala yang linglung entah mengapa. Walaupun kantuknya masih berat menggayuti kelopak mata tetapi ada satu suara yang sayup-sayup menyeru namanya membuatkan Naufal memaksa diri untuk bangun dari peraduan berupa katil bertiang empat itu.

" Kanda mahukan air? "

Seri Mastika melebarkan bingkai senyumnya seraya mencapai gelas dan bejana tembikar berbentuk labu sayung yang sedia terhidang di tengah rumah. Masih dalam keadaan bingung, Naufal mengangguk kerana tiba-tiba sahaja merasakan tekaknya payau dan kesat.

Melihat anggukan Naufal, Seri Mastika menuangkan isi bejana tembikar tembikar tersebut ke dalam gelas lalu menyuanya kepada pemuda itu. Naufal meraih gelas tetapi dalam masa yang sama merasakan ada mata yang sedang menatapnya tajam dan mencengkam.

Tubir cawan didekatkan ke mulut dan cairan yang manis dan dingin itu menuruni rengkung.Melihatnya Seri Mastika tersenyum lebih kembang.

" Mahu lagi? "

Berbinar sekali mata wanita tersebut seraya mengangkat bejana ke arah gelas di hadapan Naufal.Anggukan Naufal disambut dengan netra yang memancar sinar aneh.

Cawan dengan isi untuk kedua kalinya dibawa lagi ke arah mulut tetapi ada pintasan aneh membuatkan Naufal mengerdipkan matanya beberapa kali.

Bismilaahi  awallahu wa akhirahu

Dengan nama Allah pada setiap permulaannya dan pengakhirannya.

Binar senyum Seri Mastika hilang mendadak dan ketika itu jugalah Naufal terbatuk-batuk keras dan memuntahkan cairan hitam likat yang lantung dan kohong baunya dan dalam masa yang sama juga rumah limas bertiang tinggi itu bergegar seperti digoncang.

" Kanda.. "

Membola mata Seri Mastika apabila tangannya ditepis kasar oleh Naufal sementara wajah pemuda itu semakin bertambah pucat dan melilau ke segenap pelusuk rumah. Liar seperti lagak orang yang baru dikejutkan daripada mimpi dengan cara kasar dan paksa.

" Siapa kalian?? "

+                +              +

Continue Reading

You'll Also Like

1.6K 75 11
18 tahun dia hidup sebagai rakyat biasa. Dijaga dengan penuh kasih sayang oleh ibu dan bapanya. Namun semuanya berubah ketika dia menyambut hari jadi...
288K 282 8
"Kanopi apa pulak dekat luar tu?" -Thalia Hadira "Kenduri kahwin" -Fakhrul "amboi, takkan dah berumur pun masih nak kawin lain? Nak berapa orang iste...
138K 4.4K 30
Demi cinta, dia mengorbankan segala kebahagiaan diri dek trauma terhadap kisah pada masa silamnya. Tanpa ragu, tanpa gentar, tanpa diluah apa yang te...