Will You Marry Me?

De Sella_Arsyilla85

170 5 4

Will you marry me? Berkali-kali dia membiarkan cinta pertamanya berlalu pergi. Kini dia nekad, peluang terakh... Mai multe

Prolog
Bab 1
Bab 2

Bab 3

37 1 2
De Sella_Arsyilla85

Will You Marry Me?

Bab 3

Sehelai kemeja putih tergantung di tepi tingkap. Sebentuk cincin belah rotan yang tersadai di atas permukaan meja kecil di tepi katil. Sekeping hati yang hancur lebur retak seribu. Di antara percaya dengan tidak, arahan papa memerangkap dirinya.

Ya, dulu dia bodoh. Jatuh cinta dengan rakan baik sendiri. Menganyam impian untuk menjadi isteri si jejaka sejak dia kecil lagi. Sangkanya dia akan berjaya menggapai impiannya apabila dia mendapat peluang.

Mindanya mula mengimbau kisah lama. Kenangan yang seharusnya dia hapuskan dari kotak ingatan.

Masih jelas di ingatan, suatu petang yang bersejarah. Sinar mentari yang menyinar terang memanah pepohonan yang merimbun. Di taman mini kesayangan mama. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Dia duduk di bangku kayu di samping Tuah yang berwajah muram.

"Aku tak fahamlah Ti. Kenapa Alia reject aku macam tu je..." Keluh Tuah dengan nada sedih umpama kucing kematian anak lagaknya. Wajahnya tertunduk memandang hujung kaki di celah-celah rumput pendek yang mula menghijau itu.

Sekeping hati si gadis mula berubah rentak. Turut rasa bersimpati dengan kisah cinta monyet si Tuah, teman rapatnya itu. Dia menyelak rambut paras bahunya ke belakang. Mengengsot rapat ke sisi Tuah. Dicuit bahu Tuah dengan hujung jari.

Tuah menoleh dengan pandangan berkaca-kaca. Hati si gadis mula porak-peranda. Dia menepuk bahu sendiri, menghantar isyarat bahawa bahunya ada untuk Tuah melepaskan kesedihan.

Namun, pelawaan kecil si gadis ditolak oleh Tuah. "Aku lelaki Ti. Aku mana boleh sedih macam ni." ujar Tuah perlahan. Pura-pura kuat di depan Tiara.

"Tuah, buat apa nak malu. Aku kan ada. Aku tahu semua rahsia kau kot." Si gadis memang insan paling rapat yang mengenali sikap dan fi'il Tuah. Ramai orang ingat mereka berdua bercinta. Tapi hakikatnya, hanya dia yang bertepuk sebelah tangan. Si Tuah hanya menganggap dirinya sebagai rakan karib tempat mengadu nasib bergelak ketawa bersama-sama.

Di hati Tuah, terukir nama Alia, Mira dan juga Maysara. Tiada nama Tiara Kasih seperti diharapkannya.

"Huh. Aku tahu Ti. Kau sorang saja yang tahu pasal aku. Faham perasaan aku." Bibir Tuah bergetar, umpama menahan tangis. Tapi tiada titisan air mata yang keluar. Hanya air jernih bertakung di kelopak matanya.

Nafas Tiara rasa cukup singkat. Dia memang tahu perasaan Tuah yang tergila-gilakan Alia. Tapi sebagai seorang remaja perempuan, dia juga menyimpan seribu satu rasa istimewa. Semuanya khas untuk seorang lelaki bernama Tuah. Rasa kasihnya menggebu-gebu.

Timbul idea gila. Mungkinkah ada peluang untuknya bersama dengan Tuah?

Dia merenung sisi muka Tuah yang tenggelam dalam perasaan sedih itu. Jantung Tiara berdetak kencang. Kalau dia tidak bertindak sekarang, dia mungkin akan terlepas peluang. Baru minggu lepas dia bergembira meraikan kejayaannya menamatkan zaman universiti. Bermakna, masa untuknya berada di samping Tuah akan semakin singkat.

Lelaki itu akan mula bekerja. Dia juga akan membawa haluan sendiri. Dia tidak boleh mengekor Tuah seperti mana dia mengekor Tuah di zaman sekolah dan juga universiti. Dia menggigit bibir bawah. Sedar masa tidak akan selalunya berpihak kepadanya lagi. Bagaimana kalau Tuah jatuh cinta dengan perempuan lain di tempat kerja? Memikirkan itu semua dia rasa cukup tertekan.

"Tuah...aku sebenarnya ada benda nak cakap dengan kau..." Tiara tarik nafas panjang-panjang. Dihembus keluar. Ini bukannya masa yang sesuai untuk meluah perasaan cintanya. Tapi dia terdesak.

"Apa dia..." Tuah masih memandang kosong beberapa ekor merpati putih yang sedang mematuk biji-bijian di celah-celah rumput.

Udara yang disedut rasa tidak sampai ke paru-parunya. Dada terasa sempit. Mulut kering kontang. Jari jemari bersatu sesama sendiri.

"Aku sebenarnya sukakan kau..." ujar Tiara dengan nada perlahan, tapi cukup jelas di pendengaran Tuah.

Sepi. Tuah tidak memberi reaksi sesaat dua sebelum dia ketawa lepas. "Haha. Aku tahu. Kita kan kawan. Kalau kau tak suka aku, mesti kau tak nak kawan dengan aku dah." Jelas dia tidak meletakkan sebarang makna dengan bicara Tiara sebentar tadi. Dia menggeleng kecil, tidak percaya. Sesaat dua tadi, dia hampir berfikir yang bukan-bukan.

"Tak...maksud aku..." Bicara Tiara terputus-putus. Mindanya kosong tiba-tiba. Gagal mencari kata-kata yang sesuai. Sekali lagi dia memandang sisi muka Tuah yang kacak itu. Sebenarnya ramai gadis yang tergila-gilakan Tuah. Tapi Tuah selalu jual mahal.

"Ti...aku balik dulu." Bagaikan dapat merasakan getar perasaan Tiara, si Tuah bingkas bangun. Dia sayangkan tali persahabatan yang tersimpul di antara dirinya dan Tiara.

Tuah mula melangkah meninggalkan si gadis yang termangu-mangu di kerusi. Bagaikan disedarkan sesuatu, Tiara bangkit berdiri. Dia menarik nafas panjang sebelum meluahkan isi hatinya.

"Tuah, aku cintakan kau!" Jerit Tiara agak kuat.
Langkah kaki Tuah terhenti. Terpaku di tengah-tengah taman mini, di belakang rumah banglo milik Che Ahmad. Angin bertiup kencang. Awan gelap bergerak menutupi langit.

"Tuah, aku cintakan kau." Senafas saja, Tiara mengulang kembali luahan hatinya. Dia menapak ke depan. Memerhati belakang Tuah yang turun naik itu. Tuah tidak memberi sebarang reaksi.

Bibir Tiara bergetar-getar menahan rasa. Dia tidak peduli. Dadanya rasa mahu pecah. "Will you marry me?"

Tegak cuping telinga Tuah di saat mendengar lamaran yang keluar dari mulut Tiara. Tergamam sesaat dua. Dia mengacip rahang. Kuat. Si Tiara umpama bersenda mengejek perasaan cintanya terhadap Alia. Kalau nak prank sekali pun, bab lamar melamar ni jangan dibuat main. Dia mendengus geram.

"Kau buang tabiat ke apa ni? Kenapa kau tiba-tiba lamar aku pulak?" Si pemuda berpaling memandang sinar mata Tiara yang berkaca-kaca.

"Aku tak kira. Kau kena nikah dengan aku jugak. Esok mama papa aku masuk meminang kau." Ujar Tiara dengan keberanian yang entah datang dari mana. Dia nekad. Sudah berkali-kali dia membiarkan cinta pertamanya terlepas dirembat orang. Kini, dia sanggup berbuat apa saja. Peluang terakhir untuknya meraih cinta Tuah tidak akan disia-siakannya.

Rahang Tuah bergerak-gerak. Tiada kata-kata yang terbentuk di minda. Dadanya masih rasa sakit ditolak oleh Alia sehingga dia merasakan segala tindak tanduk Tiara sekarang umpama memerli dirinya.

"Ti, kau jangan buat lawak bodoh macam ni. Kau memang sengaja nak sakitkan hati aku kan?" Bergetar nada suara Tuah menahan geram. Dipanah sinar mata Tiara dengan pandangan paling tajam.

Tapi Tiara sudah nekad. Impiannya untuk menjadi isteri Tuah perlu digapai.

"Aku tak bergurau, Tuah. I love you. Will you marry me?" Sekali lagi dia mengulang pertanyaannya.

Tuah terdiam. Tidak memberi sebarang jawapan. Kakinya mengorak langkah meninggalkan si Tiara yang masih menanti jawapan daripadanya.

Keberanian si gadis hampir hancur lebur. Titisan air matanya mula mengalir keluar dari tebingnya. Pandangannya bersabung dengan Mama Mia dan juga Che Ahmad. Tak sangka rupa-rupanya luahan cintanya tadi ada penonton setia. Dia telan air liur. Malu. Segan. Tapi dia perlu teruskan niat hati kecilnya.

Dia berjalan merapati kedua ibu-bapanya yang sedang berdiri di bawah gazebo. Nafas panjang ditarik perlahan, mengumpul keberanian. "Mama, papa...tolong pinangkan Tuah untuk Ti. Ti nak kahwin dengan Tuah."
"Hish, Ti. Tak pernah dibuat orang, keluarga perempuan pergi pinang orang lelaki. Kau ni dah buang tabiat ke apa?" teguran Mama Mia menghiris sekeping hati Tiara. Air matanya semakin laju menuruni pipi gebunya.

"Papa. Tolong Ti, pa. Ti cintakan Tuah. Ti nak nikah dengan Tuah. Tolong pinangkan dia untuk Ti papa." Dalam linangan air mata, dia menyusun tangan merayu-rayu memohon pengertian daripada papa pula. Che Ahmad terkaku bungkam. Hatinya bagai dilapah-lapah dengan pisau tajam. Sedih melihat tangisan Tiara yang tidak berpenghujung.

Tanpa sedar, pipi Tiara basah dengan air mata. Kenangan pahit yang terlakar di sejarah hidupnya kembali menghantui dirinya. Sehelai kemeja putih yang berayun lembut ditiup angin malam itu mengganggu perasaan Tiara.

Sementara itu, di balkoni rumahnya, si jejaka merenung tingkap bilik Tiara yang terbuka luas. Jelas kelihatan kemeja putihnya yang tergantung berayun lembut disapa angin malam. Terimbau kenangan sewaktu Tiara melamarnya dulu. Dia menghela nafas keras. Menyimpul bibir. Berharap agar keputusan yang dibuatnya itu adalah keputusan yang betul.

Continuă lectura

O să-ți placă și

1.8M 61.5K 47
1st story ♥️ Maira Sofea, seorang jururawat yang sangat disenangi oleh orang sekeliling..Ramai yang bercita-cita nak jadikan dia menantu tapi a...
56.9K 3.7K 48
" 𝐈 𝐰𝐢𝐬𝐡 𝐲𝐨𝐮'𝐝 𝐥𝐨𝐯𝐞 𝐦𝐞 𝐥𝐢𝐤𝐞 𝐭𝐡𝐞 𝐰𝐚𝐲 𝐈 𝐥𝐨𝐯𝐞 𝐲𝐨𝐮 " Beria? Ya, itulah Nayla Atheera. Jatuh cinta pada lelaki itu pa...
298K 14K 61
(Cerita pertama yang mengandungi banyak KESALAHAN) Tengku Ghibran Adrean X Haura Ameena Konflik tk berat,story jenis yang chill Tengku Ghibran Adrean...
933K 30.3K 62
Pertemuan yang tidak disengajakan antara Damian dan Kaisara telah merubah hidup mereka berdua. "Do i look like a murderer to you?" Soal Damian. "To...