BARU sahaja dia mahu membuka pagar untuk mengeluarkan kereta dari tempat parkir, masa itu jugalah kereta Faid Harraz muncul di depannya.
Dia menanti Faid Harraz keluar dari keretanya.
"Kau nak keluar?" Terus sahaja lelaki itu menyapanya.
"Ermmm..." jawabnya perlahan.
Faid Harraz melihat ke sekeliling. Seolah sedang mencari sesuatu.
"Cari apa?" soalnya.
"Keluar sorang?" soalannya dijawab dengan soalan juga.
"Tu la..." Jawabnya sambil menjatuhkan bahunya.
Sebenarnya, dia agak serba salah mahu meninggalkan rumah tika ini. Dia tahu, keadaan Mak Leha belum stabil. Dia risau untuk meninggalkan Mak Leha bersendiri.
Tapi, itulah. Semalam boleh pula dia tertekan nombor Daim Luqman semasa dia membaca semula perbualan mereka di aplikasi yang bewarna hijau itu.
Dia sudah cepat-cepat mematikan talian. Tapi, cepat juga Daim Luqman menghubunginya semula.
Keluhan terlepas apabila teringat akan kejadian lewat malam tadi itu.
"Aku nak kena jumpa Daim..." Terangkat kening Faid Luqman. Air mukanya juga berubah sedikit tika itu. Tapi, tidak lama apabila dia terus tayang giginya.
"Aku risau Mak Leha sorang, sebab tu aku tak bawa Daryna." Faid Harraz tersenyum nipis.
"Kau pergi la. Biar aku bawa Mak Leha dengan Daryna jalan-jalan." Terangkat keningnya.
"Serius la?" soalnya tidak percaya.
Faid Harraz sudah tertawa.
"Kau tak percaya aku?" soal lelaki itu sambil mencebik.
"Bukan macam tu. Tapi, tak susahkan kau ke nak layan Daryna lagi... Mak Leha lagi... " Dia teundukkan wajahnya.
Dia tidak mahu susahkan sesiapa. Andai kata Daim Luqman sudah tahu apa yang berlaku kepada Mak Leha, pasti awal-awal dia sudah memberi alasan apabila Daim Luqman ajak untuk bertemu.
"Daryna anak aku, remember?" soal Faid Harraz sambil mengangkat keningnya.
"Mak Leha tu pula, orang yang dah bersusah-payah didik anak aku, jaga kau... Kau rasa?" Dia diam.
Nak dikatakan apa lagi.
Daryna Haira itu memang anak kepada lelaki ini. Jika memang benar, Faid Harraz mahu mencurah kasih dan sayang kepada anaknya sendiri, semua itu sedikit pun tidak menjadi masalah buatnya.
Tapi, dia masih tidak betah melepaskan tanggungjawabnya kepada lelaki ini sepenuhnya. Biar apa pun hakikat hidup mereka, Daryna Haira itu tetap milik mutlaknya.
Dia sanggup berkongsi Daryna Haira dengan sesiapa sahaja pun yang mahu mencurah kasih kepada anak itu. Tapi, tetap saja hanya dia pemilik mutlak kepada anak itu.
Titik!
"Sementara kau pergi, biar aku jaga dorang. Aku tahu, kau risaukan Mak Leha, kan?" Dia lepas keluhan panjang.
"Dah la, tak payah nak serabut sangat. Pergi la settle hal kau dengan Daim."
Dia akur akhirnya.
Dia tahu, Faid Harraz memang boleh diharap. Cuma, dia yang terlalu banyak berfkir.
Setelah pintu rumah dibukakan untuk Faid Harraz, dia segera berlalu meninggalkan lelaki itu untuk menjaga dua nyawanya di rumah itu.
Kereta dipandu tenang. Hari ini, dia akan bertemu Daim Luqman. Dia nekad untuk meminta kata putus dari lelaki itu.
Biarlah kalau dia perlu menanggung rasa malu sekalipun. Biar!
Dia sudah lemas berterusan terikat begini. Dia mahukan satu kepastian. Supaya dia tidak teragak-agak maju mengatur hidupnya selepas ini.
Setelah kereta di parkir, dia berjeda seketika di dalam kereta. Nafas ditarik dalam-dalam.
Saat ini, paluan jantungnya sungguh laju berdetak sehingga terasa sesak nafasnya.
Dia cuba bertenang. Telefon pintarnya diambil. Lalu aplikasi bewarna hijau itu dia buka. Terus sahaja dia ke perbualannya bersama Daim Luqman.
Perbualan semalam di antara dia dan Daim Luqman, dia baca semula.
Call?
Berkerut wajahnya. Padahal last seen lelaki itu dah lama. Tak sangka pula lelaki itu terus online apabila dia tertekan ikon ganggang telefon itu.
Sorry, I tertekan.
Dia sertakan emoji muka serba-salah sekali.
Ada benda you nak cakap?
Dia kemam bibirnya.
Kalau ikutkan, memang banyak yang dia nak cakap. Tak, bukan cakap... dia nak tanya sebenarnya. Tapi...
Sorry I ganggu you.
Itu pulak yang yang ditaipnya.
Dia ketuk kepala sendiri mengenang kebodohannya itu.
Ermmm...
Dia muncungkan bibir.
Itu je Daim Luqman balas.
Dia tak faham sebenarnya maksud 'ermmm' lelaki itu.
Jadi dia biarkan sahaja tanpa membalas apa-apa.
Telefon pintarnya itu terus dicampak ke tepi. Sebal!
Entah hantu bodoh dari mana yang datang merasuk dirinya malam-malam begini.
Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Tanda mesej dari aplikasi hijau itu diterima. Laju telefon pintar yang sudah dibuang ke tepi tadi dikutip semula.
Bercahaya matanya apabila melihat pesanan daripada Daim Luqman yang diterimanya.
Dia kulum senyum.
Esok kita jumpa?
Lama dipandang pesanan tersebut.
Jumpa?
Daim Luqman nak jumpa?
Bibir bawah digigitnya.
Okey?
Mungkin kerana pesanan sudah bertukar bluetick tetapi masih tidak dibalas, Daim Luqman bertanya lagi kepadanya.
Dia serba-salah sebenarnya. Keadaan Mak Leha belum stabil. Tapi, hatinya kuat benar mahu bertemu Daim Luqman.
Macam mana ni?
Esok dekat cafe biasa. 10 pagi. I tunggu you.
Sudahnya, di sini dia hari ini. Kafe yang Daim Luqman maksudkan sudah berada di depan mata.
Perlahan diatur langkahnya. Dia nekad, inilah harinya.
Daim Luqman yang sudah menanti melambai kecil saat melihat dia melintasi pintu masuk kafe itu.
Terus sahaja kakinya melangkah laju menuju ke arah lelaki itu. Daim Luqman memberikan senyuman manis dan sudah bersedia menarik kerusi untuk dia duduki.
Manis!
Senyuman lelaki itu dibalas mesra sebelum duduknya dilabuhkan. Untuk seketika, dia seolah telah terlupa bahawa mereka sedang berada dalam satu fasa yang agak tegang ketika ini.
"Sihat?" soalan pertama daripada Daim Luqman untuknya.
"Alhamdulillah. You?" Lelaki itu mengangkat bahu sambil memberi isyarat supaya dia melihat sendiri keadaan lelaki itu.
"So?" Terangkat keningnya.
"So?" Dia ulang pertanyaan lelaki itu.
Lelaki itu mengusap belakang lehernya. Tingkahnya seolah sedang dalam keadaan resah.
"Okey, ada benda I nak tahu." Dia memulakan.
Terus Daim Luqman memberikan perhatian kepadanya.
"Kenapa Daim?" soalnya serius.
Lelaki itu pandang wajahnya. Bibirnya diketap.
"You nak tanya kenapa I minta tangguh?"
Dia menggeleng. Riak Daim Luqman terus berubah. Terkejut!
"I nak tahu, kenapa you tak nak cakap dengan I sendiri." Sayu suaranya tika ini.
Sungguh, dia memang berkecil hati.
"Ini hal kita, kan? Kenapa you tak nak cakap dengan I? Kenapa mesti cakap dengan mama dengan papa dulu?"
Dia tundukkan wajah. Tidak mahu melihat wajah Daim Luqman di hadapannya itu.
"I tak nak you tahu pun." Terus dia naik muka memandang Daim Luqman.
Lelaki ini tidak mahu dia tahu?
Biar betul?
"I tak layak untuk tahu ke, macam mana?" Jelas dia mendengar keluhan Daim Luqman.
"Bukan macam tu..." Perlahan suara lelaki itu.
"Dah tu?" Dia melipat tangan ke dada. Mata lelaki itu ditentang.
"I tak nak you terasa hati dengan I." Bertaut keningnya.
Tak faham!
"Dyan... tangguh, batal semua tu bukan keputusan I." Bertambah berkerut dahinya.
"Ikut hati I, sekarang juga I nak you jadi milik I yang sah." Tertelan air liurnya.
Makin pening ni!
Daim Luqman meraup wajahnya.
"Mummy ada syak pasal Daryna... so mummy nak I siasat... Tapi, I tak buat pun semua tu. Tiba-tiba you terus-terang..."
Riaknya berubah.
Mummy Daim Luqman ke yang tangguhkan?
"Dyan, I'm sorry. Seriusly, I tak ada niat nak mummy tahu. Tapi, tak sangka mummy upah orang untuk siasat. So, I jadi lost!"
Jatuh bahunya tika ini.
Daim Luqman itu merupakan jodoh pilihan orang tuanya.
Tapi dia?
Mummy Daim Luqman dah benci dia ke?
"So maknanya, mummy you tak nak I?" Daim Luqman mengeluh lagi.
"Dyan, I tengah pujuk mummy. I tengah usahakan supaya semuanya akan kembali macam biasa. Sebab tu dari batal, I lebih memilih untuk tangguh. I cuma nak masa supaya I boleh buat mummy lembut hati."
Dia tersenyum sinis.
"Tak pe Daim. I faham kalau mummy you tak boleh terima."
Ya, dia faham.
Dia rasa, dia la manusia yang paling faham akan situasi ini.
Bukan mudah untuk sesiapa menerima masa silamnya yang sudah terpalit noda itu.
Ah, kedua orang tuanya sendiri pun membuang dia dari keluarga! Jadi, harapan apa yang nak diletakkan kepada orang luar?
Maka, dia faham.
Faham sangat!
"I harap sangat you sanggup tunggu I. Tapi dalam masa yang sama I sedar, I tak boleh paksa you. You ada Faid. Faid pun sayang you, sayang Daryna..." Daim Luqman tertunduk.
Faid Harraz.
Dia sebenarnya tidak kisah mahu bersaing. Dengan sesiapa pun, dia tak kisah!
Tapi, bersaing dengan Faid Harraz... lelaki yang sudah punya anak bersama wanita yang dia cintai...
Entahlah!
"I nak you bahagia Dyan. Tak kira la dengan siapa pun you akan hidup bersama." Dyan Uqasha pandang lelaki itu.
Dia berdecit.
Daim Luqman pula kata nak dia bahagia?
Sebelum ini, Faid Harraz beria mengulang ayat mahu dia hidup bahagia jugak.
Apa, dorang berdua ni fikir dia nak hidup sengsara ke?
Pening la!
Malas la nak fikir!