CLOSURE - DY FINALE (PUBLISHE...

By farihahiskandar

1.2K 17 0

Kisah dongeng kita Entah mengapa menjadi sepi Latarnya tanpa garisan Putih ataupun hitam Tanpa makna Kisah it... More

Epilog
1
2
3
5

4

198 3 0
By farihahiskandar


Cuaca agak mendung. Angin bertiup lembut. Hazman memilih duduk di bawah patio di halaman rumah bersama adiknya, Hazlan dan Hazran. Biarkan sahaja orang-orang tua berbincang dan ibunya pun ada untuk acara menyarung cincin nanti.

"Abang, nervous tak?" Hazran, yang paling muda bertanya kepada abang-abangnya.

Hazman dan Hazlan berpandangan.

"Kenapa tanya abang? Tanyalah angah." Hazman ketawa, geli hati apabila melihat muka Hazlan yang bertukar kemerah-merahan. Malu lah tu!

"Kenalah tanya dua-dua sekali. Bukan apa. Yang sorang, dah nak bertunang. Yang sorang lagi, kena tanya juga sebab al-maklumlah kan kena 'langkah bendul'. Nanti nak kena menjawab dengan para pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang ada kat dalam tu. Adik bertunang dulu kot. Yang abang sulung bila lagi," jawab Hazran sambil menahan gelak.

"Alah... apa yang nak nervous-nya. Belum ada jodoh. Nanti ada lah tu..." Hazman cuba menjawab dengan tenang walaupun dalam kepalanya sudah mula diterjah dengan wajah Nurjihan dan Dini silih berganti. Dia menghela nafasnya dalam.

Fikirnya, Hazlan dan Hazran tidak perasan akan perubahan pada raut wajahnya. Adik-adiknya semua tahu yang dia masih tidak dapat melupakan Nurjihan walaupun mulutnya mengeluarkan kata-kata yang menyanggah. Setiap kali nama Nurjihan terzahir, setiap kali itu Hazman menjadi sugul. Wajah itu seperti tattoo yang terpahat pada muka Hazman sejak lapan tahun tahun yang lalu.

"Abang Man nak tunggu apa lagi. Kasihan angah tengok Kak Dini tu. Dia dah ada kat depan mata abang sejak di universiti. Sabar betul dia dengan abang tau. Rasanya kalau perempuan lain dah lama 'bye bye' abang," kata Hazlan. "Tak kan abang masih tak boleh lupakan Kak Jihan lagi..." sambungnya lagi. Dia faham benar, abang sulungnya itu terluka. Tapi bukankah hidup perlu diteruskan juga? Bunga bukannya sekuntum. Dan yang ada menemani Abang Man sekarang, Kak Dini, tiada kurangnya pun baik dari segi rupa paras mahupun perangai. Cantik, lemah lembut dan sangat mengambil berat tentang Abang Man dan keluarga mereka.

Hazman hanya membatu. Enggan berkongsi apa yang tersimpul erat dalam hatinya. Bukannya dia tidak menghargai Noordini selama ini. Dia cuba, sumpah! Walau berat, walau pahit, dia sudah cuba dengan segala genap rasa yang ada dalam jiwanya. Pun begitu setiap kali pintu hatinya baru cuba terbuka, ia kembali terkatup.

Nurjihan, mengapa hati saya tidak dapat menerima yang 'kita' sudah berakhir?

Lamunannya terhenti di situ. Terganggu dek suara Usu yang memanggil angah naik ke rumah. Perbincangan sudah berakhir. Ibunya pun sudah menyarungkan cincin ke jari tunangan Hazlan. Si cantik manis kesayangan Hazlan, Alisya.

"Jom, Abang Man. Kita pergi bergambar sama- sama. Boleh ambil aura orang bertunang. Mana lah tahu kan..." Hazran mencuit bahu abangnya, Hazman. Macam biasa, kerjanya mengusik orang sahaja. "Kak Dini pun ada kat dalam tu. Kot lah Abang Man nak bergambar dengan dia..."

"Haish! Tak habis-habis mengusik abang ya. Siap kau, dik!" Hazman bingkas bangun dan terus acah-acah mengejar Hazran.

Hazlan sudah beberapa langkah jauh ke depan, sempat berpaling dan tersengih melihat abang dan adiknya bergurau. Semoga abang gembira sepertimana apa yang dia rasa sekarang. Berikan dia bahagia, ya Allah, doa Hazlan.

Sepanjang perjalanan majlis pertunangan Hazlan, Hazman tersenyum saja setiap kali ada yang bertanya bilakah gilirannya pula nak mengakhiri zaman bujang. Dini juga tidak terlepas daripada ditanya soalan itu selepas mereka yang ada di situ diberitahu yang dia adalah kawan Hazman. Tak kurang juga yang menghulurkan nasihat walaupun tanpa dipinta.

Yang abangnya bila lagi?

Calonnya dah ada ni, nak tunggu apa lagi...

Dua-dua dah kerja, molek sangatlah bina masjid cepat-cepat...

Banyak lagilah soalan yang keluar sehingga pening kepala Hazman nak menjawabnya. Semuanya punya nada yang sama. Kau dah tua, Hazman. Cepat kahwin! Mujur dia mampu mengawal emosi, tidak mengendahkan sangat pertanyaan yang berulang-ulang itu. Sebelum ke majlis itu, Hazman sudah membuat persediaan mental dan emosi. Kedua-duanya wajib stabil dan tidak lut untuk dicucuk.

Hari ini hari meraikan Hazlan dan Alisya. Noktah!

***

Sepanjang perjalanan pulang dari majlis pertunangan Hazlan, Hazman dan Dini hanya berdiam diri. Masing-masing melayan mendengar lagu-lagu yang berkumandang di corong radio dalam kereta. Hanya mereka berdua. Ibu dan Usu pulang bersama Hazlan dan Hazran.

"Nak balik terus atau ada nak singgah kat mana- mana?" Hazman bertanya. Dia sempat nampak kepala Dini terlentok sekejap ke kanan sekejap ke kiri. Bosan lah agaknya kerana asyik dengar lagu-lagu yang mendodoi sahaja yang menjadi pilihan DJ pada petang itu.

"Hrmm... Apa awak tanya tadi?" Suara Dini seperti orang mengantuk yang kepenatan dan kekenyangan.

"Saya tanya... nak balik ke atau ada nak pergi ke mana-mana? Tadi bukan awak cakap nak singgah mall, cari barang kan?"

Dini membetulkan letak duduk tudungnya. Kemudian dia mengeluarkan bedak kompak dan melihat refleksi wajahnya dalam cermin. Buntang matanya. Alamak! Tentu Hazman nampak muka dia yang tak terurus tadi. Terus dia berpaling, membelakangi Hazman. Cepat-cepat dia menyapu bedak pada mukanya dan mencalit sedikit gincu supaya hilang pucatnya.

"Awak dah kenapa pandang tingkap pulak?" soal Hazman. Pertanyaan tadi masih belum berjawab. Tiba-tiba sahaja tengok tingkap. Pelik juga perempuan ni, fikirnya. Kalau dia usik sikit, bagaimana reaksi Dini ya?

"Tengok elok-elok cermin tu. Ada air liur basi tadi meleleh sikit kat birai mulut tu..."

"What?" Dini menjerit kecil. Segera matanya tertancap pada cermin sisi kereta, memeriksa refleksi mukanya betul-betul. Tangannya mengeluarkan tisu dari dalam beg tangannya.

Hazman terhibur. Berdekah dia ketawa. Giliran Dini memandangnya pelik. Dia yang tertidur tadi habis tu kenapa Hazman pula yang bermimpi? Gelaknya bukan main lagi, seolah-olah kelakar benar gelagat Dini tadi.

Oh!

Hazman sudah lama tidak ketawa begitu. Secara tepatnya, Hazman sudah tidak ketawa besar begitu sejak lapan tahun lepas. Manisnya halwa telinga seperti menelan gulali. Secara jujurnya Dini sentiasa dibaluti rasa bersalah. Juga sejak lapan tahun yang lepas. Terlalu mengikut emosi, dia menghantar surat kepada Jihan. Pada masa itu dia marah sangat terhadap Jihan kerana padanya Jihan tidak menghargai Hazman.

Selfish! Dia tidak terfikir yang Jihan benar-benar memutuskan perhubungannya dengan Hazman semata-mata kerana surat yang dihantarnya. Cetek sangatkah sayang Jihan kepada Hazman? Langsung tidak ralat berpisah dengan Hazman. Kalau Jihan tengok Hazman sekarang, pasti dia menyesal tak sudah dengan apa yang dia buat. Tiada kata penamat. Hanya membisu sepi seperti layang- layang terputus talinya pergi ditiup angin tanpa pesan.

Kerana rasa bersalahnya terhadap Hazman, dengan apa yang dia dah buat, kerana itu dia masih di sini. Setia menemani Hazman sejak lapan tahun yang lalu. Dia berdoa dan berharap agar terbuka hati Hazman menerimanya sebagai pengganti Jihan. Paling tidak dia masih boleh menjaga Hazman.

"Awak tahu tak awak masih belum menjawab soalan saya..." Suara Hazman memecah kesunyian.

Dini mengambil masa sebentar sebelum menjawab soalan Hazman. Mood ber-shopping sudah ke laut. "Boleh kita mengopi kat SB tak? Tiba-tiba rasa nak pekena kafein pulak."

Hazman mengangguk. "Oh boleh sangat. Saya pun perlukan kopi ni." Lega betul dia kerana tidak perlu menemankan Dini membeli-belah. Tahu sahajalah fiil perempuan. Nak cari satu barang pun boleh berhabis masa berjam-jam. Tak sah kalau kaki tak lenguh atau lutut tak terasa nak tercabut semasa tawaf kedai. Itu pun belum tentu lagi jumpa barang yang dicari.

Hazman juga sudah buat keputusan. Keputusan yang paling penting dalam hidupnya. Sukar tetapi perlu.

Sejurus tiba ke kafe SB, Dini mohon ke tandas dahulu. Masih ada rasa ragu-ragu akan ketrampilannya selepas Hazman gelakkan dia tadi.

"Nak apa?" tanya Hazman sambil matanya tajam mengamati senarai 'drinks of the day' yang tercatat pada papan hijau di pintu masuk kafe.

Dini berhenti seketika, turut meneliti senarai yang sama. "Err... Mocha latte."

Hazman mengangguk. Dia terus menuju ke kaunter dan memesan minuman untuk dia dan Dini. "Satu mocha latte dan satu Americano ya. Dan dua donut." Alang-alang ada tawaran 'special of the day', apa salahnya dia cuba.

Hazman memilih meja di satu sudut, agak terpencil sedikit. Jauh dari sekumpulan pelajar-pelajar kolej yang sedang membuat perbincangan (mungkin... kerana riuhnya lain macam). Dia perlukan suasana yang tenang untuk berbual dengan Dini. Sebelum hatinya berbolak balik dan jadi tidak keruan. Dia mengharapkan kopi Americano dan sebiji donut dapat dijadikan sandaran ketika berhadapan dengan Dini.

Dini menghampiri meja dengan langkah yang lebih yakin. Tudung sudah tidak senget, mukanya berbedak rapi, bibir elok bercalit gincu. Semoga dia bersedia untuk menerima apa sahaja yang Hazman khabarkan kepadanya nanti.

"Wah! Donut..." seru Dini. Seingatnya dia hanya memesan segelas mocha latte tadi. Pun begitu, dia okey sahaja sebab dapat donut sekali. Yums! Rezeki jangan ditolak.

Hazman kelihatan tenang menghirup Americano yang masih panas berasap tu. Dini hanya perhatikan sahaja. Apa lah dalam fikiran Hazman pada waktu itu, nampak serius semacam. Tentu dah melecur lidah tu, fikir Dini. Dia tunduk sambil menopang dagu, membiarkan sahaja Hazman dengan kopi panasnya.

"Dini..."

"Ya?" Dini mengangkat muka. "Jom kahwin!"
Apa?

Ternganga mulut Dini. Dagunya seperti dah terjatuh ke atas riba, tak sempat ditahan kerana sikunya tiba-tiba tidak berfungsi. Dini membetulkan duduknya. Kali ini dia perlu menyandar supaya tiada apa yang tercampak lagi. Mug dan donut di atas meja. Check. Beg tangan di atas kerusi bersebelahan dengannya. Check. Matanya tertancap pada wajah Hazman. Kedua tangannya memeluk dadanya erat. Sekarang dia lebih bersedia.

"Jom kahwin..." ulang Hazman sekali lagi. Kali ini suaranya lebih jelas dan terang.

Perkataan yang selama ini paling ditunggu- tunggu Dini. Satu penantian yang kini terjawab. Beban yang selama ini hinggap di hatinya tiba-tiba terbang jauh melayang. Dadanya terasa ringan, tidak lagi rasa tersumbat.

"Tak nak."

Eh! Lain yang dia fikir lain yang terpacul keluar dari bibirnya. Dini menampar mulutnya, perlahan. 'Come on, Dini. Seriously?'

Hazman tajam memandangnya. Dia keliru. Dini menolak? Betulkah apa yang dia dengar tadi? Dia mengorek telinganya dengan jari telunjuk. Cuba memastikan yang pendengarannya masih elok.

"Kenapa?" soal Hazman, tercengang kehairanan. Bukankah itu yang yang Dini mahukan selama ini? Untuk menjadi suri hatinya. Canggung pula rasanya apabila Dini tidak mahu menerimanya sebagai suami.

Dini tersenyum. Dia mengambil sedikit masa sebelum menjawab pertanyaan Hazman. Dia tahu dia sedang menolak peluang yang baginya tidak akan ada kali keduanya. Pun begitu, dia berserah.

"Awak jangan salah faham. Saya memang sedang menunggu awak. Bukan setahun dua. Malah dah bertahun- tahun lamanya. Tetapi bukan begini dan pada saat ini. Saya yakin awak mengambil keputusan melamar saya kerana rasa tertekan, bukan? Tak mudah juga menghadap sedara mara tadi, kan? Semua bertanya soalan yang sama."

"Dini..." Hazman hilang kata-kata.

"Lagi pun, saya tak fikir awak dah 'over' Nurjihan. Hazman, saya kan..." Dini menelan air liurnya yang terasa seperti menyekat ruang kerongkongnya. "Tipu lah kalau saya tak gembira mendengar awak ajak saya kahwin. Rasa seperti orang mengantuk disorongkan bantal. Tetapi saya tak nak jadi nombor dua. Saya tak nak jadi bayang-bayang Jihan. Saya nak apabila awak melamar saya semula nanti... kalaulah... saya dan awak sama-sama yakin yang Nurjihan tidak lagi berada di antara kita dan awak benar- benar sudah dapat lupakan dia. Pada waktu itu saya akan jawab ya. Ini tentang 'lifetime commitment'. Bukannya untuk sebulan dua, bukannya untuk setahun dua juga."

Dia meneguk mocha latte yang suam dengan tangan yang masih menggeletar. "Sehingga saat itu tiba, kita buat apa yang kita buat sekarang. Jadi BFF..."

Wah!

Panjang lebar Dini berkata-kata. Dia tidak percaya yang dia akan memberi jawapan yang begitu. Ikhlas walaupun sebenarnya mencederakan hatinya sendiri. Dan dia masih tidak mampu menyuarakan yang dia menyebabkan Jihan menyepi dari hidup Hazman. Rasa takut membaluti perasaannya. Khuatir Hazman akan membuang dia jauh dari hidupnya sekiranya Hazman tahu apa yang sudah dia buat.

Shocked! Terkejut. Tergamam. Tertegun. Terkesiap. Tergemap. Habis sinonim muncul dalam otak Hazman bagi menggambarkan keadaannya pada masa itu. Dia langsung tidak faham. Bukankah dia sedang cuba nak 'move on' ni?

Argh! Giliran dia kena 'friendzone' pula kali ini. Padan muka aku, gerutu Hazman. Lapan tahun dia biarkan Dini berada di sebelahnya tetapi bukan bersamanya. Jadi pelik kah sekiranya Dini memulangkan paku buah keras kepadanya.

Hazman meneguk kopinya sehingga habis. "Kita dah semakin berumur, Dini. Keluarga awak pun tentu risaukan awak. Saya rasa sudah cukup lah saya menunggu Nurjihan. Masanya untuk saya tidak menoleh ke belakang lagi. Tetapi jika awak tak yakin, terpulanglah. Dan jika tiba-tiba pada suatu hari nanti awak ada pilihan lain, saya akan faham."

Dini hanya mengangguk. Dia sudah berfikir masak-masak. Ini satu keputusan yang matang, bukan mengikut emosi seperti semasa dia di universiti dahulu. Cuma... bilakah dia akan punya kekuatan memberitahu Hazman tentang suratnya kepada Jihan lapan tahun yang lalu. Dia takut dengan reaksi Hazman nanti. Amat takut!

"Jom saya hantar awak balik." Dini mengangguk lagi.

***

Rindu yang terjerat dalam perasaan yang begitu kosong ini ternyata milik dia. Perasaan yang begitu bermakna yang tidak terungkai dengan kata-kata.

Tuhan, aku rasa begitu malu sekali. Dalam lafaz zikir yang lemah dan tidak sempurna ini, masih aku bermohon kepada-Mu tanpa rasa jemu. Dalam tahajud, aku meminta ehsan-Mu.

Semoga lidahku terus basah menyebut kalam suci-Mu biarpun gagal. Mengasmakan nama-Mu sentiasa.

Aku terima takdir-Mu dengan segala apa yang aku ada, Ya Rabb.

Silau cahaya mentari pagi menyiram ruang biliknya membuatkan Hazman terjaga. Oh! Rupa-rupanya dia kembali tertidur usai solat subuh tadi. Dia bangkit, lantas duduk di birai katil. Jurnalnya tertutup rapat di atas meja tulis.

Dia masih ingat apa yang dia tulis semalam. Hazman menggeleng. Bagaimana dia boleh melamar Dini petang semalam. Mujur Dini menolak. Betul kata- kata Dini. Selagi bayang-bayang Nurjihan masih berada di antara mereka, mana mungkin dia dan Dini bisa bersatu. Sungguhlah tidak adil untuk Dini. Untuk dia juga. Kerana dia tidak akan mampu membahagiakan Dini. Itu pasti kerana setiap rindu yang terbuang, setiap luka yang tersisa, walau perit dia tetap yakin. Tuhan mendengar doanya. Pasti Dia akan menemukan mereka berdua. Dan pada ketika itu, dia akan terima segala jawaban yang tertulis untuknya. Pasrah dengan takdir ketentuan-Nya.

Pintu biliknya diketuk berulang kali. "Abang Man, mak suruh turun. Sarapan pagi dah siap," Usu memanggil Hazman dengan suara yang agak nyaring. Pagi-pagi lagi dia dah melontarkan suara dari dalam perut.

"Ya, kejap lagi abang turun. Abang nak mandi dulu, okey."

Perlahan dia bangkit dari katil dan melangkah masuk ke dalam bilik air. Berdiri di depan sinki dan menatap refleksi wajahnya dalam cermin. Matanya sedikit sembab. Segera dia basahkan dengan air yang dingin. Hazman berdoa supaya ibunya tidak perasan nanti. Dia pun belum bersedia untuk bercerita apa-apa tentang dia melamar Dini. Harapnya Dini pun tidak buka mulut.

Mana nak letak muka nanti. Sedikit sebanyak ego lelakinya tercalar juga. Kena reject buta-buta kot... Walaupun dia tidak mengharapkan jawapan yang positif. Lelaki tetap lelaki. Sedikit geram, dia memicit ubat gigi sehingga krim ubat gigi tersasar ke dinding.

Alamak! Hazman menepuk dahi dan terus ketawa. Dah kenapa jadi cemerkap begini. Mujur bukan di hadapan orang. Kalau tidak, malu juga lah.

Ha'aih!

Segera dia menyembur air ke dinding sambil menggosok krim ubat gigi dengan span. Ah! Nak suruh cuci dinding lah ni, pujuk hatinya.

Usai bersiap, terus Hazman berlari turun ke ruang makan. Dah tahu, pasti selepas ini dia terpaksa menahan telinga mendengar bebelan ibunya. Walaupun anak-anak sudah dewasa, ibu masih melayan mereka seperti budak- budak lagi. Semua mahu diambil tahu. Ibunya lebih kurang seperti wartawan juga. Hanya, anak-anaknya bukan artis atau selebriti. Mereka hanya artis popular di hati ibu sahaja.

"Ha! Turun pun. Ingatkan nak berkhemah lama- lama kat dalam bilik air tu..." perli Usu sebaik sahaja Hazman duduk. Hazman tersengih saja, malas nak melayan kerenah Usu. Panjang lagi dia mengusik nanti.

"Mana dua orang lagi? Masih tidur ke?"

"Dia yang bangun lambat, orang lain pula yang dia kata tidur," cebik Usu. "Abang Lan dah keluar. Ada urusan apa entah dengan Kak Lisya. Abang Yan dah gi jogging," sambungnya lagi.

"Ya lah... ya lah..." Hazman mengalah. "Mak dan Usu dah makan ke?"

"Kami tunggu kamu, abang. Lewat betul bangun hari ni..." Kening ibunya terjongket. Matanya tertancap tajam pada muka Hazman. "Sampai sembab mata tu..."

Ah! Jantung Hazman berdetup seketika apabila ibunya menyebut tentang matanya. Nampaknya usaha membasahkan mata dengan air yang sejuk tidak memberi kesan apa-apa. Mata tajam ibunya masih dapat mengesan walaupun berkaca mata. Apa pun tak boleh sorok dari dia, gerutu Hazman dalam hati.

"Terlelap selepas solat subuh tadi. Ingat nak mengaji tetapi badan abang penat sangat kot. Tak sangka terlajak tidur pula..."

Hazman menjamah nasi lemak spesial, air tangan ibunya. Rasa lemak yang cukup, bau daun pandan yang harum. Sambal tumis ikan bilis yang pekat dan pedas, kena sungguh dengan lidahnya. Kena pula makan dengan telur puyuh yang comel saiznya dan timun. Lengkap untuk tekak Hazman dan perutnya yang berdendang minta diisi. Sejak semalam dia tak makan, selepas kena reject dengan Dini.

Haish! Teruk betul ego tercalar tetapi pada masa yang sama rasa lega menggunung.

"Lan dan bertunang. Kamu bila lagi, abang? Masih nak menunggu Nurjihan?" Whoa! Ibunya melontar dart, tepat ke jantungnya.

"Mak...."

"Sekilas ikan dalam air, dah tahu jantan ataupun betina. Mak tahu kamu masih lagi tunggu Nurjihan. Tapi tunggu saja tak memadai, Man. Kamu dah cari dia betul- betul?"

Hazman yang baru saja nak menyuap nasi ke mulut, tergamam. Biar betul mak ni. Mesin scanner berjalan ke apa ni? Bagaimana dia mampu 'scan' perasaan orang sehingga ke ruang yang paling dalam?

"Bukan tunggu, mak. Cuma payah nak melupakan. Abang tak puas hati. Puas mencari silap abang tapi abang tak jumpa. Mesti ada sesuatu atau seseorang yang 'trigger' dia untuk putuskan hubungan dengan abang. Itu yang rasa ralat sangat tu..."

"Dah tanya Khairi? Haritu kan abang ada jumpa Khairi." Ibunya masih menembak soalan-soalan yang berkaitan dengan Nurjihan. Selama lapan tahun ini ibunya tidak pernah bertanya. Pernah beberapa kali, dia seperti ingin bertanya tetapi tak jadi. Mungkin kerana menghormati privasi Hazman. Mungkin dia hanya menunggu penjelasan Hazman. Tetapi nampaknya hari ini dia pun tidak dapat menahan diri. Akhirnya terpacul keluar juga persoalan yang selama ini terpendam dalam hati.

"Dah banyak kali tanya. Dan dah tanya pada Suria juga. Tak ada jawapan. Mereka semua tak tahu. Abang ada tanya Suria kot lah semasa kat Eau Claire Jihan ada pakwe baru. Suria cakap tak ada. Walaupun dia marahkan Jihan tapi dia ambil tahu juga dari jauh secara senyap- senyap. Tapi Jihan fokus belajar saja. Itu yang pelik tu..."

"Jadi abang memang tak tahu dia ada kat mana sekarang?" soal ibunya lagi.

Hazman mengangguk. "Abang pernah pergi cari kat rumah keluarga dia. Tapi mereka dah pindah. Jiran mereka kata pindah ke KL ni cuma abang tak pasti di mana. Bukan kecil KL ni, mak."

Ibunya menyedok sambal tumis ikan bilis ke dalam pinggan Hazman. "Makan lagi. Takkan nak telan nasi putih saja tu tanpa kuah. Bukan namanya nasi lemak macam tu..." Ibunya tersenyum. Dia tahu Hazman bersedih tapi takkan nak biarkan anaknya lapar.

Sedikit sebanyak majlis pertunangan Hazlan semalam mempengaruhi perasaan Hazman. Ditambah pula dengan soalan 'berperisa' daripada saudara mara yang hadir. Pasti Hazman sangat tertekan. Ibu mana yang tak risau melihatkan anaknya bersedih. Dan Hazman pula bukannya jenis yang cakap banyak. Sifatnya yang pendiam itu lagi merisaukan ibunya.

"Mak tengok Dini tu pun budak baik. Tabah dan sabar. Tak pernah nak komplen kat mak pasal abang tau. Mak okey saja kalau abang rasa dia boleh jadi calon isteri..."

Belum sempat ibunya menghabiskan ayat, Hazman mencelah. "Kalau mak ada kat tempat dia, mak nak tak jadi 'second choice'? Sedangkan mak tahu hati abang tak pernah lupakan Jihan. Mak tak risau ke abang tak akan sayang sepertimana abang sayangkan Jihan." Wajah ibunya ditatap lembut.

Ibunya terdiam. Apa lagi yang dia boleh lakukan. Berdoa dan terus berdoa supaya anaknya Hazman diberikan kebahagiaan. Asalkan dia masih ingat Tuhan, asalkan dia waras dan tidak depress. Asalkan dia kerja baik-baik. Asalkan dia tenang dan bahagia. Itu memadai untuknya. Dan jika Nurjihan itu benar-benar jodoh Hazman, semoga Allah permudahkan urusan mereka.

Hazman kembali menyuapkan makanannya dengan tenang. Lega ibunya tak tanya lebih-lebih. Mujur tidak sampai ke tahap dia terpaksa memberitahu yang lamarannya ditolak Dini. Malu tetap ada. Walaupun dengan ibunya, dia tetap malu.

***

Dua minggu berlalu, Hazman meneruskan rutin hariannya seperti biasa. Dia berusaha keras melupakan semua yang berlaku semasa hari pertunangan Hazlan. Cukuplah... walaupun terbeban dengan persoalan hati, dia masih mampu menutupnya kemas.

Telefon berdering. Suara Dini di hujung talian memberi salam. "Masih ingat saya tak? BFF awak?"

Hazman hanya tergelak. Sudah dua minggu tidak mendengar suara gadis ini. Selepas kejadian tempoh hari, masing-masing mendiamkan diri. Mencari ruang untuk bertenang supaya tidak ada rasa 'awkward' terhadap satu sama lain.

"Memori saya ada masalah sikit. Belum ganti bateri. Saya ada BFF ke?" Sengaja Hazman mengusik, cuba membuang rasa malu yang tiba-tiba muncul ke permukaan.

Aiseh! Sudah dua minggu dan malu itu masih belum betul-betul pergi. Malu yang amat degil! Kena sembur dengan cecair peluntur dulu gamaknya baru nak hilang.

"Hei!" Dini menjerit kecil. "Benci tau!"

"Eh! Kejap. Ya... ya... baru saya ingat. Saya ada BFF yang comel. Tapi dia kuat merajuk. Awak ke BFF tu?"

"Haish dia ni! Sorry lah lama tak call. Saya sibuk sediakan persiapan untuk presentation. Saya kena pergi ke Jakarta lusa, ikut bos." Cepat-cepat Dini menerangkan situasinya supaya Hazman lebih memahami. Walaupun Hazman tidak menyuarakan apa yang dia rasa, Dini tetap rasa bersalah. Kerana dia sudah termasuk dalam senarai yang menjadi salah satu penyebab hati Hazman galau.

"Dini, it's OK. Awak tak perlu minta maaf pun. Kalau ikutkan, saya pun bersalah juga tak call awak. Jangan risau sangat ya."

"Baiklah. Kita kira 0-0 ya," ujar Dini, lembut. Hazman tergelak kecil. Macam budak kecil pula dia ini cakap 0-0.

"OK, tutup kes. Ini kenapa telefon petang ni?"

"Lepas kerja nanti sibuk tak?"

"Hmm... Saya tak ada apa-apa plan karang. Ingat nak singgah pasar malam saja cari apa-apa yang nampak sedap untuk dinner. Kenapa?"

"Boleh tak temankan saya pergi mall. Nak cari barang sikit sebelum ke Jakarta. Nanti saya belanja makan malam, boleh?"

Hazman ingat nak mengusik Dini tetapi dia menukar fikirannya. Bimbang Dini akan merajuk. Dan dia bukannya jenis yang pandai memujuk. "Boleh..."

"Okey. Saya datang ambil awak. Tak apa kan tinggal kereta awak kat ofis tu. Dah selesai urusan kat mall nanti, saya hantar lah awak balik semula ke ofis."

"Baiklah cikpuan. Agak-agak berapa lama untuk awak sampai ke sini? Saya nak solat asar dulu..."

"Sebenarnya kan... saya dah ada kat kafe kat bawah ofis awak. Tadi saya minta Mira, my colleague turunkan saya kat sini. Kita kena pergi ke mall dengan kereta awak. Saya tak bawa kereta pun hari ni. Hihihi..."

"Seriously, Dini. Kalau saya tak masuk ofis harini, apa awak nak buat? Suka hati saja buat benda ad hoc macam ni," Hazman berleter. Menggeleng dia apabila mendengar kata-kata Dini.

"Hello Encik Hazman. Apa yang susahnya. Kalau awak tak ada, pandai-pandailah saya pergi sendiri ke mall tu. Tak pun saya balik rumah. Bukan isu besar pun. Haish!"

"Baiklah. Tunggu saja kat bawah. Saya solat kejap." Hazman pun malas nak bergaduh dengan Dini. Lebih kurang saja perangai dengan Jihan. Degil! Terdiam kejap. Tiba-tiba menjengah pula nama Jihan. Dia menghela nafas dalam-dalam lantas melangkah ke surau kecil di tingkat atas.

***

Dini merapatkan kedua telapak tangannya ke dada. "Terima kasih sudi temankan saya shopping walaupun terpaksa. So... nak makan apa? Awak tentu dah lapar, kan?" 

Walaupun kepenatan, Hazman hanya tersenyum. Selain daripada Usu, siapa lagi yang boleh dia manjakan. Sang BFF yang kuat merajuk ini lah juga yang dilayannya. Dan Suria. Pun begitu, dia jarang berjumpa dengan Suria kebelakangan ini. Semenjak dia 'break off' dengan Khairi. Seolah-olah mahu menyepi diri, tidak mahu diganggu. Kadang-kadang Hazman terfikir Suria sengaja mengelak dari berjumpa dengan Hazman. Tidak mahu disoal banyak tentang hubungannya dengan Khairi, mungkin.

"Nak belanja saya ya?" Hazman memandang ke sekeliling. Mengintai jika ada yang menarik perhatiannya. "Western, boleh? Tetiba lidah rasa nak jadi mat saleh pula..."

"Beres! Jom masuk Ponderosa. Saya dengar steak sedap kat situ."

Usai memesan makanan, Dini mengeluarkan barang-barang yang dia beli dan tunjukkan kepada Hazman. Dia menjelaskan satu persatu mengapa dia membeli barang-barang itu. Hazman hanya mendengar dengan separuh hati. Buat-buat melayan, bimbang kalau tak dilayan, merajuk pula.

"Sebelum saya terlupa, boleh tak nak minta tolong awak ambil saya kat airport nanti? Masa pergi, tak ada masalah. Saya pergi dengan bos. Lepas tu, balik bukan dengan dia. Dia nak sambung bercuti. Jadi saya balik dulu."

"Bagitahu tarikh dan masa. Kalau weekdays waktu kerja memang tak dapat nak tolong. Minggu ni ramai yang ambil cuti. Jadi sukar nak ambil time off," jelas Hazman.

"Sabtu, 9.30 malam. OK kan?" Dini berharap Hazman dapat membantu. Dia malas nak ambil kenderaan awam untuk pulang ke rumah kerana dia berhajat nak membeli-belah di Jakarta nanti. Bimbang barang banyak, payah nak heret naik bas atau tren. Dia risau nak ambil teksi walaupun dia selalu berlagak dengan Hazman tentang menjadi perempuan yang berdikari. Teksi akan menjadi pilihan yang terakhir apabila segala opsyen sudah tiada.

Hazman mengangguk perlahan. Bukannya dia ada apa-apa perancangan untuk hujung minggu ini. Nak berehat, dan kalau rajin ikut Hazran keluar jogging. Mak dah balik kampung. Usu ikut kawan-kawan pergi ke Cameron Highland. Hazlan, seperti biasa sibuk dengan Alisya buat survey untuk majlis perkahwinan mereka nanti.

Dini berasa lega. Bukannya dia selalu menyusahkan Hazman. Walaupun dia suka tetapi dia bukan jenis yang 'clingy'. Sekali-sekala menyusahkan BFF apa salahnya.

"Nah! Ini untuk awak."

"Apa ni?"

"Lilin wangi. Pasang malam-malam sebelum tidur. Bagi bilik bau wangi sikit. Dah tenang, boleh tidur lena," jawab Dini, bersahaja. "Yang putih susu tu vanilla, yang ungu lavender dan yang hijau tu bau epal."

Hazman menghidu lilin-lilin itu satu persatu. Belum sumbunya terbakar pun, lilin-lilin itu dah terbau wanginya. "Eh! Mana awak tahu saya tidur tak lena? Elok saja saya tidur hingga ke pagi," sanggah Hazman.

"Ada tengok diri sendiri tak dalam cermin?"

"Hari-hari pun tengok. Hensem macam biasa..." Selamba Hazman menjawab sambil membetulkan rambutnya yang jatuh hampir menutup keningnya. 

"Huh! Tak payah nak perasan sangat. Tahu lah awak tu pujaan ramai semasa waktu sekolah dan universiti dulu." Dini mencebik. Terkenang pula waktu dia terpaksa menahan perasaan apabila melihat ramai gadis yang tergila-gilakan Hazman. Tidak kurang juga yang cuba mencaras, cuba merampas keakraban Dini dan Hazman. "Tu... mata tu. Dah lebam hitam sekeliling. Macam mata beruang panda. Dah lah berbingkai hitam, sembab pulak tu!"

Hazman terdiam. Ini lagi seorang! Bukannya boleh nak sorok apa-apa daripada dia. Sama saja macam mak, bebel Hazman dalam hati. "Okeylah... okeylah... Lepas ni saya pasang lilin ni. Harapnya dapat mimpi yang indah-indah juga..."

'Mimpi jumpa Jihan, mungkin...' gerutu Dini. Dia menggeleng, cuba memadamkan apa yang terfikir di mindanya tadi. Dia memalingkan mukanya ke belakang, dengan harapan Hazman tak perasan yang dia tiba-tiba rasa cemburu. Argh! Dia lagi. Entah bila agaknya dia dapat hidup tenang tanpa dibayangi Nurjihan.

"Mana makanan kita ni? Dah lama rasanya. Kenapa tak sampai-sampai lagi?" Dini cuba menukar topik kepada perkara yang lebih selamat.

"Kejap lagi sampai lah tu..." balas Hazman. Dadanya terasa ketat tiba-tiba. Dia perlu keluar dari situ untuk seketika. Mungkin merecikkan air ke muka dapat membantu melegakan sedikit.

"Dini, saya nak ke tandas. Awak tunggu ya." Dia terus bangun berdiri dan mula melangkah keluar. Sekilas dia ternampak satu sosok tubuh yang dia kenal duduk selang beberapa meja dari tempat dia dan Dini duduk. Orang itu sedang berkata sesuatu kepada lelaki yang duduk di hadapannya.

Tidak dapat menahan diri, Hazman melangkah menghampiri meja itu. "Suria?"

Gadis itu berhenti berbicara lantas mendongak dan mukanya mempamerkan rasa terkejut. "Hazman?"

Lelaki yang duduk di hadapan Suria turut bersuara. Nadanya lebih tinggi daripada Suria. "Hazman?"

Pantas, Hazman memandang ke arah tuan empunya suara. Dia mengamati wajah yang berada di hadapannya dengan tajam. Wajah asing yang tiba-tiba kelihatan semakin familiar. "Adam?"

Hazman benar-benar keliru. Sejak bila Suria mula berjanji temu dengan Adam? Bagaimana dia bertemu dengan Adam? Kenapa Suria tidak pernah memberitahunya yang dia masih berhubung dengan Adam? Adakah Adam menjadi orang ketiga yang menyebabkan Suria dan Khairi 'broke up'.

Otaknya berselirat dengan soalan-soalan yang datang menerjah sekali gus. Haish! Kalau ya pun, bagilah masa untuk dia menarik nafas dulu. Hazman mengangkat kedua belah tangannya.

"Tunggu! Jangan pergi ke mana-mana. Sebentar lagi saya datang balik. Saya sangat perlu ke tandas dulu. You'd better stay where you are, Suria." Suara ala abang- abang terpacul keluar dari mulut Hazman.

Suria memandang tepat ke wajah Hazman. Poker face! Hazman tidak dapat menelah apa yang bermain di minda Suria. "OK!" Tegang kedengaran suara Suria.

Dan Hazman terus berlalu dari situ. 

***

Jihan termangu-mangu di ruang menunggu di lapangan terbang. Flight delay. Ada masalah teknikal, mengikut informasi yang dia dapat daripada staf penerbangan. Dia cuba selesaikan satu crossword puzzle yang mudah namun asyik gagal sahaja dari tadi. Hanya lima huruf. Tiga sudah ada jawapannya. Takkan itu pun tak dapat selesai, Jihan memarahi dirinya sendiri dalam hati. Sememangnya otak Jihan tidak fokus sejak dia mendapat berita tentang Hazman seminggu yang lepas. Hazman dah bertunang.

Bertunang.

Bertunang.

Berulang-ulang perkataan itu berputar dalam mindanya. 'Oh shut up!' Jihan memarahi dirinya sendiri.

Serba tak kena dibuatnya. Sehingga hari Izham pulang ke KL pun dia seperti berada di antara dua alam. Antara sedar dan tidak. Bagaikan seperti zombie. Mayat hidup. Bercakap apabila perlu sahaja. Itu pun dia memerlukan tenaga dalaman Naruto demi hanya untuk mengucapkan patah-patah perkataan.

Izham perasan akan perubahan yang berlaku pada Jihan, semenjak hari mereka tak jadi ke Blue Mountain. Hujan lebat itu hanya teduh pada lewat petang. Pun begitu dia masih ingin keluar bersama Jihan. Izham mengajak Jihan untuk makan malam bersamanya.

Jihan menerima jemputannya tetapi perlakuannya seperti sudah berubah 180 darjah. Tidak galak seperti biasa, tidak bercakap seperti biasa, malah wajahnya sembap dan muram. Izham mengagak ada sesuatu yang mendukacitakan Jihan tetapi dia enggan berkongsi rasa dengan Izham. Lantas Izham memilih untuk membiarkan sahaja Jihan melayan perasaan. Pada masa yang sama memastikan Jihan makan.

Izham ambil penerbangan lebih awal beberapa hari daripada Jihan. Dia perlu menghadiri mesyuarat dengan Dennis di Johor sehari selepas tiba di KL. Tetapi dia sudah berjanji dia akan mengambil Jihan di airport, jika sempat.

Jihan tidak mengharap. Dia lebih suka sebenarnya untuk bersendirian. Tetapi, disebabkan penerbangan lewat dari yang dijadualkan, mana lah tahu mungkin tengah malam baru dia tiba ke KL.

Tiba-tiba perutnya terasa berangin dan memulas. Perlahan Jihan mengurut kedua labu betisnya. Minyak angin yang sentiasa ada dalam begnya dikeluarkan. Beberapa titik minyak angin diteteskan ke telapak tangan. Secara sorok-sorok, dia memasukkan tangan ke dalam baju dan mengelus perutnya.

Purrrt!

Bukan main kuat dia terkentut kedengaran di telinganya sehingga dia terasa seperti semua orang di ruang menunggu dapat mendengar bunyi itu dengan jelas. Dia menutup mukanya dengan buku crossword puzzle. Malunya! Sehingga rona merah pada pipinya terasa seperti beransur hilang barulah dia mengangkat mukanya perlahan-lahan. Dia mengintai di sebalik buku puzzle, menoleh ke kiri dan ke kanan, mana lah tahu ada orang yang sedang ketawakannya.

Oh! Tak ramai pun orang di persekitaran itu. Dan semua pun seperti buat tak tahu sahaja. Mungkin dia saja yang perasan bunyi kentutnya tadi kuat. Jihan menarik nafas lega. Segera dia beredar dari situ, terus menuju ke kafe yang berdekatan. Dia baru sedar yang dia belum makan apa-apa lagi.

"A regular caffe latte and a croissant with butter, please..." Jihan memesan makanan selepas meneliti senarai makanan dan minuman yang tertera pada poster berhampiran dengan juruwang. Cukuplah untuk melapik perut. Nanti boleh makan lagi semasa dalam pesawat pulang ke KL.

Aroma latte yang begitu harum menusuk hidung mengaktifkan neuron dalam kepala Jihan. Tiba-tiba rasa lapar yang luar biasa hadir tanpa diduga. Croissant yang sudah dipanaskan kelihatan begitu menggiurkan. Jihan membelah dua croissant dan menyapu butter sehingga melimpah. Jihan makan dengan penuh khusyuk. Tanpa disedari croissant habis dalam sekelip mata dan dia masih rasa tak puas. Tanpa segan silu, Jihan memesan sebiji croissant lagi.

Wah! Dia tidak menyangka yang dia begitu lapar. Sementara menanti croissant dipanaskan dalam ketuhar, Jihan kembali ke tempat duduknya dan menelefon Izham.

Jihan baru memberi salam, Izham terus memotong cakapnya. "Eh! Belum naik flight?"

"Belum. Flight delay. I tak tahu jam berapa baru take off ni. You tak payah datang ambil I lah, Izham. I tak tahu pukul berapa sampai KL. I tak nak menyusahkan you. Buatnya tengah malam baru sampai, tak ke naya tu."

"Like I said before, I pun tak pasti I boleh ambil you ataupun tak. Bergantung kepada berapa lama dan berapa hari I kat Johor ni. Dennis nak pastikan semua selesai dengan baik dan teratur sebelum kami balik ke KL."

Siapa tak kenal dengan bos mereka, Dennis. Sangat professional. Sangat serius. Kalau pasal kerja, dia akan pastikan langsung tidak ada 'loose ends' supaya tidak ada isu di kemudian hari. Dia mesti akan pastikan semuanya lancar bagi memudahkan kerja staf-staf di bawah seliaannya. Sangat bertanggungjawab. Di luar waktu kerja, dia seorang yang 'sporting' dan mudah mesra.

"But make sure you let me know when you have landed OK. Supaya I tak risau," sambung Izham.

Ha'aih! Mengalahkan mak nenek, keluh Jihan dalam hati. Memesan saja kerjanya. Macamlah Jihan ni tak pandai jaga diri. "Kot I boleh minta tolong sesiapa ambilkan you, just in case I couldn't make it."

"Izham...." Jihan berdehem. "No worries, OK. I'll be fine. I've been travelling all over the world on my own. OK saja. Ini lagi lah pula. Nak balik KL saja kot. Tanah air sendiri. Tahulah I macam mana nak uruskan perjalanan balik."

Izham diam.

"Are you still there?" kata Jihan selepas tiada jawapan daripada Izham.

"Ya, am still here. OK, fine. If you said so. But I still want you to let me know as soon as you arrive, OK."

"Sure. Will do. OK, nak letak telefon dah ni. Nak sambung makan."

"See you soon. Bye," balas Izham.

Jihan termenung sejurus selepas bercakap dengan Izham. Apa sebenarnya yang sedang berlaku antara dia dan Izham. Mereka baru saja kenal antara satu sama lain secara lebih dekat di sini, di Sydney. Sewaktu di KL, jarang berselisih bahu walaupun bekerja dalam satu ofis yang sama. Izham banyak bekerja di luar ofis sementara Jihan duduk berakar di ofis. Sesekali sahaja apabila kerja menuntutnya keluar berjumpa clients untuk hal-hal mengumpul data baru lah dia keluar.

Jihan cuba memutar kembali kotak memorinya. Apakah mereka pernah bersapa sebelum ini, atau berbalas senyuman, atau paling tidak, mengangguk ketika berselisih bahu di pintu.

"Hmmm... ada ke?" Perlahan Jihan berbisik sambil jari-jarinya mengetik meja. Seingatnya, adalah nampak Izham dari jauh. Pernahlah terfikir, kacak juga mamat tu... Pun begitu tidak pernah terfikir yang mereka

akan bekerjasama dalam satu projek yang sama. Dalam diam, Izham mula singgah di hati Jihan.

Selama hampir sebulan mereka bekerja bersama, pintu hati Jihan mula berkuak sedikit. Malu-malu memberi laluan untuk Izham masuk. Sudah lapan tahun pintu besi itu terkatup rapat, mungkin ini sudah tiba masanya ia dibuka.

Sambil berfikir sambil mengangguk. Tapi, apa hal pula dia nak buka pintu hatinya untuk Izham? Izham tak ada cakap apa-apa pun. Jihan menampar pipinya. Wake up and smell the roses, Jihan. Jangan nak ter-overdose ubat perasan. Entah betul entah tidak Izham sukakan kau. Mana lah tahu, sebenarnya kau seorang sahaja yang syok sendiri.

Semua ini salah Hazman!

Sudah! Muncul balik mamat ni dalam fikirannya. Betul-betul tak senang duduk Jihan dibuatnya. Tetapi bukankah Hazman sudah bertunang? Dia dah move on pun. Mengapa tidak Nurjihan? Sudah berapa banyak liter air mata kau sudah tumpah kerana dia. Mungkin dia sedang bahagia sekarang. Mungkin dengan orang yang menghantar surat itu dahulu.

Bertahanlah wahai hati. Dulu kau yang mengambil keputusan mengundur diri. Dulu kau yang tak mahu mempertahankan hubungan kau dan Hazman. Kau mengalah. Kau yang melangkah pergi dan enggan menoleh ke belakang. Sudah lapan tahun kau menanggung beban hati ini. Cukuplah...

***

Resah. Entah bila agaknya mesyuarat ni nak habis. Lepas satu, satu... soalan yang dilontarkan clients. Payah sangat kah nak faham? Dia dan Dennis sudah menerangkan secara terperinci setiap item yang tertera dalam kertas cadangan itu.

Izham sudah hilang fokus sejak mendapat panggilan dari Jihan tadi. Dia rasa seperti nak rebus saja kertas presentation yang ada di atas meja itu. Kemudian bagi clients minum air rebusan itu. Mungkin dengan cara itu mereka lebih senang faham akan konsep survey yang diusulkan sejak semalam dan tidak akan bertanya soalan- soalan yang sama berulangkali.

Dia mahu segera kembali ke KL. Dia nak ambil Jihan di airport. Itu memang niatnya sejak dia balik dari Sydney tempoh hari. Dia dah plan, nak buat kejutan untuk Jihan tetapi nampaknya plan itu mungkin tak terzahir. Jika dia masih di JB sampai malam.

"Do you have anything else to add?" Pertanyaan Dennis membuatkan Izham terpinga-pinga seketika. Aduh! Perempuan bernama Nurjihan ini sudah menghuru- harakan dan membolak-balikkan hatinya yang selama ini tegar. Tidak pernah tunduk kepada sebarang perempuan. Nak kata dia seorang 'player', pun tidak juga kerana dia tidak ada sesiapa yang serius dalam hidupnya selepas Thir. Fokus utama adalah kerja, kerja dan kerja. Itu sahaja.

"No. All is good," Izham menjawab soalan Dennis dengan tenang. Sempat dia mengerling ke arah jam di dinding. Jarum jam menunjukkan waktu 5.30 petang.

Alamak!

Lega betul Izham apabila mesyuarat itu berakhir. Dennis mengajak dia pergi mengopi dengan clients. Dalam keadaan terdesak, dia terpaksa menolak pelawaan Dennis. Family emergency. Itu sahaja alasan yang dia mampu fikirkan pada saat itu. Mujur Dennis memberi pelepasan tanpa banyak soalan. Macam tahu-tahu saja bos ini kerana apabila Izham memberi alasan ada hal kecemasan, dia mempamerkan barisan giginya yang putih. Tersengih lebar.

Ah! Lantak dia lah. Yang penting, Izham perlu berkejar balik ke KL dengan kadar segera. Jihan tak update dia jam berapa dia akan tiba. Tentu kerana tidak mahu menyusahkannya.

"OK Nurjihan. I will come for you tonite. By hook or by crook I will be there..."

Dengan lafaz bismillah, Izham memecut laju meninggalkan bandaraya JB.

***

Dua orang pemuda tekun menghadap papan berkomputer yang menunjukkan jadual ketibaan penerbangan antarabangsa. Masing-masing berdiri sambil menyilang tangan di dada masing-masing, memerhatikan satu persatu nombor pesawat yang tertera pada papan itu.

"Oh! Banyak flight delay malam ni..." Yang berkaca mata bersungut.

Yang memakai jaket varsiti menyampuk, "Mungkin disebabkan hujan lebat sejak petang tadi. Khabarnya banyak pesawat tak boleh mendarat."

"Agaknya lah tu. Tunggu siapa?"

"Kawan. Dari Jakarta. Nombor pesawat dah ada tapi belum mendarat. Kau?"

"Samalah kita. Aku pun tunggu kawan juga fly dari Sydney. Nombor pesawat pun belum keluar lagi ni. Tadi dia cakap flight delay dari sana. Ada problem teknikal, katanya..."

"Oooh..."

"So sorry. Lupa pula. Aku Izham..." Dia menghulurkan tangan, berjabat salam. "By the way, nice jacket you have there..."

Hazman memegang bucu jaketnya. "Oh terima kasih. Kawan bagi." Dia tersenyum. "By the way, aku Hazree." Sejak dia mula bekerja, dia lebih suka menggunakan nama keduanya, Hazree apabila bertemu dengan orang yang tak dikenalinya. Tag nama di ofis pun tertera' Hazree'. Panggilan 'Hazman' hanya untuk mereka yang rapat dengannya saja.

Izham memandang ke sekeliling, cuba mencari port yang sesuai sementara menanti Jihan sampai. "Aku lapar lah. Tadi memandu terus dari JB, tak sempat nak singgah makan. Nak kejar masa, takut tak sempat sampai. Kau dah makan?"

"Belum juga ni. Lepas kerja terus berkejar ke mari. Takut terlambat. Nampaknya dah jadi terbalik pula. Kita pula yang menunggu." Hazman menggeleng sambil tersengih.

"Kalau tak kisah, jom makan sekali. Boring juga duduk sorang-sorang menunggu. Dah lah badan pun dah letih. Kalau ada kawan borak, tak lah mengantuk sangat," kata Izham.

"Boleh juga."

"Kau okey tak kalau kita pekena fast food saja. Lagipun BK tu dekat dengan balai ketibaan antarabangsa. Boleh nampak rasanya kalau kawan-kawan kita sampai."

Hazman mengangguk. "Asalkan ada kopi."

Lelaki dewasa memerlukan makanan yang 'portion' besar, sesuai dengan fizikal mereka. Suhu yang dingin, perut yang lapar. Satu justifikasi mengapa mereka memesan dua set besar whopper dan kentang goreng. Ditambah dengan sembilan ketul chicken tenders, satu onion ring besar dan dua cawan kopi panas.

"Tak apa, aku bayar." Izham mengeluarkan duit dari dompetnya. "Next time, your turn..." katanya lagi.

Hazman memandangnya sambil menjongketkan keningnya. "Next time?"

"Mana lah tahu, kot kita berjumpa lagi. Lagi pun KL ni bukannya besar. Bila-bila masa boleh terserempak, kan..."

"Bagi aku nombor telefon kau. Lain kali boleh ajak main badminton ke, bola ke..." ujar Hazman. "Nanti aku belanja kau pula."

"Hmmm... menarik. Boleh juga. Nanti aku bagi nombor aku lepas makan. Sekarang kita belasah dulu makanan ni. Lapar gila!"

Usai makan, Izham dan Hazman duduk menyandar kekenyangan. Hazman menggosok perutnya perlahan. Tak sangka yang dia begitu lapar sehingga licin makanannya. Lagipun dia ralit berborak dengan Izham, tak sedar kentang goreng dimakan tanpa henti sehingga habis.

"Seronok jadi konsultan ya. Banyak peluang berjalan ke luar negara."

"Bunyi saja yang seronok. Itu kerana aku dan tim kena jaga clients dari 11 negara, untuk area Asia Pasifik. Tapi tak ada maknanya nak berjalan bagai. Kerja saja memanjang. Nak bersiar-siar macam pelancong pun tak sempat," Izham bercerita.

"Aku pun jaga clients dari seluruh dunia tetapi duduk melanguk kat ofis saja. IT support, melancong secara maya saja lah. Melalui emel." Hazman ketawa. Iya lah... setiap pekerjaan itu ada kelebihan dan kekurangannya. Bunyi sama tetapi tak serupa.

Izham turut ketawa apabila mendengar penjelasan Hazman tentang kerjanya. "Tetapi kerja sebagai konsultan ni ada risikonya. Aku tengok kat ofis tu, ramai konsultan yang berkahwin, tetapi kecundang. Ada yang berpisah. Ada yang bercerai. Spouse tak boleh tahan. Waktu kerja yang tak menentu. Travel ke sana sini. Aku ni, pernah berkampung di ofis selama lebih daripada 24 jam semata-mata nak kejar deadline. Teruk kerja ni walaupun bunyinya glamor."

"So, kau dah kahwin ke belum?" Hazman saja bertanya. Mana lah tahu. Tetapi tiada sebarang cincin pun di jari Izham.

"Belum. Macam mana nak kahwin, girlfriend pun tak ada. Kau pula, dah kahwin?"

"Belum ada jodoh. Pernah lah ada girlfriend masa zaman sekolah dulu. Lepastu putus. Serik juga lah nak cari yang ganti..." Dah kenapa dia bercerita kepada Izham yang baru dia kenal lebih kurang setengah jam yang lepas? Hazman menepuk dahi, sedikit kesal kerana terbabas bercerita.

"Jadi siapa yang balik dari Jakarta ni? Bukan apa, aku agaklah tentu ini bukan kawan biasa sebab kau sanggup meredah hujan lebat datang ke airport..." Izham cuba memancing jawapan daripada Hazman.

Hazman tergelak. "BFF katanya..." Itu sahaja jawapannya. Kemudian dia bertanya soalan yang hampir sama kepada Izham. "Kau pula? Sanggup memecut dari JB untuk datang ke sini. Someone special?"

"To me, yes. Dia? Belum tahu lagi."

"Oh!" Itu sahaja yang terkeluar dari mulut Hazman.

"Sebentar ya. Aku nak pergi tengok dah sampai ke tak flight dia. Kalau belum, aku nak ke surau dulu. Belum solat isyak ni..." kata Hazman.

"Sama lah. Belum solat juga ni. Jom lah tengok sama-sama." Izham bingkas bangun dan melangkah seiring dengan Hazman.

"Dah sampai ke?" tanya Izham apabila melihat Hazman khusyuk meneliti jadual penerbangan.

"Belum. Kawan kau?"

Izham menggeleng. "Jom lah kita solat dulu. Kita doa banyak-banyak supaya kawan-kawan kita selamat mendarat nanti."

Hazman dan Izham beriringan berjalan ke surau sambil berbual-bual kecil. Sempat lagi bertukar-tukar nombor telefon antara satu sama lain.

"Kita ni macam dah ditakdirkan bertemu dan berkenalan malam ini. Kalau kau perempuan, tentu dah berjodoh kita ni..."

Gelak besar Izham apabila mendengar komen Hazman. Bagaimana dia boleh terfikir begitu, benar- benar di luar jangkaan Izham. "Oh okey. Hai! Saya Izham. Nice knowing you, Hazree..." Giliran dia pula berlawak, hasil kesinambungan kata-kata Hazman tadi. Hazman ketawa bagai nak pecah perut. Memang betul lah, mereka ini berjodoh untuk bersahabat. Baru pertama kali bertemu, berkenalan dan kini seperti sahabat yang serasi bersama.

Usai bersolat dan berdoa, Izham terlebih dahulu bergegas ke balai ketibaan antarabangsa. Hazman singgah di kedai serbaneka membeli gula-gula getah. Nak buat hilang mengantuk, katanya.

Izham menunggu dengan sabar. Pesawat yang membawa Jihan sudah mendarat dengan selamat. Sebenarnya Izham agak teruja dan berdebar nak bertemu Jihan semula. Baru empat hari tidak bertemu, dan dia dapat merasakan bibit-bibit rindu mula singgah di hatinya. Sedikit aneh tetapi nyaman. Dia tidak pernah merasakan perasaan yang sebegitu.

Orang ramai di bahagian depan pintu keluar penumpang, justeru Izham memilih untuk berdiri di sudut sahaja. Masih ada lagi niatnya nak membuat kejutan untuk Jihan. Menyorok, kemudian apabila Jihan dah dekat, dia akan sergah. Ha! Cadangnya begitulah...

Hazman pula memilih berdiri dan menyandar pada tiang, sedikit tersorok. Tak sangka dia rasa sepenat ini. Mungkin selepas Dini sampai, dia akan minta Dini memandu terlebih dahulu. Dapat tidur sekejap pun jadi lah.

Berbondong-bondong penumpang pesawat dari berbagai destinasi muncul dan pergi. Riuh juga lah suasana di sekeliling. Ada yang berpeluk, ada yang menangis (mungkin lama tak bertemu), pendek kata bermacam-macam gelagat yang membuatkan Hazman tersenyum. Bagaimana agaknya gelagat BFF dia nanti apabila tengok Hazman terpacak di situ. Dia dah pesan dia beli banyak barang semasa di Jakarta. Hazman mengagak tentu begnya dah beranak pinak.

Setelah lama menanti, akhirnya kelibat Dini muncul. Benar telahan Hazman. Satu troli besar penuh dengan beg-beg dan kotak. Pasti dah kena caj ekstra untuk bagasi tambahan itu. Hazman menggeleng. Once a shopaholic, always a shopaholic.

Mata Dini melilau mencari Hazman. Kemudian dia sengih setelah ternampak Hazman melambai ke arahnya. Hazman baru melangkah beberapa tapak ke depan, tiba- tiba ayunan langkahnya terhenti. Apakah matanya sedang mempermainkan perasaannya? Itu, sosok tubuh seorang gadis yang berjalan di belakang Dini. Menonong sambil kepalanya sedikit tunduk, dia hanya mengheret satu bagasi beroda bersaiz sederhana.

"Nurjihan..." Perlahan nama itu meniti di bibirnya. Meremang bulu romanya dan kedua telapak tangannya tiba-tiba sejuk. Betulkah itu Nurjihan?

Ketika Hazman terpempan dan terkedu, berdiri tegak seperti patung cendana terdengar satu laungan suara seorang lelaki dari arah bertentangan.

"Hi beautiful!" Gadis yang persis Nurjihan itu mengangkat mukanya dan menoleh ke arah tuan punya suara. Pada mulanya Hazman nampak muka gadis itu seperti keliru tetapi kemudian dia tersenyum lebar.

Ya Tuhan! Itu Nurjihan. Nurjihan. Nurjihan... Dambaan hatinya. Lututnya terasa lemah lantas dia tertunduk cuba menahan kakinya supaya tidak goyah. Seluruh perasaan yang terpendam sejak lapan tahun yang lalu untuk kesekian kalinya muncul ke permukaan. Segala rindu yang tak terlafaz... segala sayang yang tak terzahir...

Hazman mengumpul segala kekuatan yang dia ada, cuba bangkit dari tsunami perasaan yang membaluti dirinya pada saat itu. Tekad. Dia bertekad untuk berhadapan dengan gadis itu, jika benar dia Nurjihan.

Sebaik sahaja dia mengangkat mukanya, matanya tertancap pada sosok tubuh lelaki yang bersuara tadi. Dia sedang membantu Nurjihan menarik beg. Lebar senyumannya.

Izham!

Hazman beristighfar. Ulang dan ulang sehingga hatinya terasa sedikit kuat. Ujian apa kah ini, ya Allah yang Kau berikan kepada hamba-Mu ini? Perancangan-Mu ternyata hebat. Kau ketemukan aku dengan Izham, mengizinkan aku berkenalan dengan Izham. Dan penghujung cerita, kau munculkan Nurjihan yang tanpa sedar menjadi dambaan dua lelaki yang baru sahaja menjalin persahabatan.

Tanpa Hazman sedari, Dini sudah berdiri di sebelahnya. Trolinya ditinggalkan sebentar kerana dia panik apabila ternampak Hazman tiba-tiba tertunduk, tidak bergerak. Sakitkah dia?

"Hazman! Awak okey ke?" Nada suara Dini kedengaran sedikit nyaring. Dia membongkok untuk melihat Hazman dengan lebih jelas.

Hazman mengurut tengkuknya yang tegang. "Okey... saya okey." Cuba melontarkan senyuman kepada Dini. Hazman kemudiannya berdiri, sedikit terhoyong- hayang.

"Betul ke okey ni?" Dini mahukan kepastian.

"Ha, okey. Mana troli awak?"

"Itu..." Jari telunjuknya mengunjuk ke arah troli yang ditinggalkan tidak jauh dari tempat mereka berdiri.

"Jom balik. Tapi awak drive dulu ya," kata Hazman. "Nak rehat sekejap. Badan penat."

"Baiklah."

Sementara itu...

Nurjihan seperti tidak percaya apabila dia mendengar suara orang menjerit, "Hi beautiful!" Dan orang itu adalah Izham. Fikirnya Izham masih lagi di JB. Sengaja dia tidak update Izham sebagaimana yang dipinta Izham pagi tadi.

Nampak makin kacak pula mamat ni, fikirnya. Dia tersipu-sipu sambil mengatur langkah ke arah Izham. Baru beberapa hari tak berjumpa, adalah sedikit hatinya melompat-lompat kegirangan apabila terpandang wajah itu.

Alah, gatal kau, Jihan... gerutunya dalam hati. Huh! Ini semua salah Hazman!

"Penat ya?"

"Huh?" Jihan keliru.

"Penat campur terkejut?" Tambah lagi soalan Izham.

Jihan semakin tidak faham. Mengapa Izham bertanya begitu?

"Dari tadi tak bercakap. Berdiri saja kat situ. Penat sangat sampai tak larat nak angkat kaki dah. Lepas tu terkesima, mungkin, sebab nampak I yang kacak ini ada kat depan mata. Kan? Kan?"

Aik! Baru beberapa hari balik, dia dah pandai melawak. Mana dia belajar ilmu lawak ni?

"Banyaklah you punya kacak. Penat, ya. Terlampau amat. Terkesima, tak. Sikit-sikit saja terperanjat," jelas Jihan sambil mengukir senyuman.

"Well... I miss you." Selamba Izham membuat pengakuan terbuka. Tadinya, sewaktu berbual dengan teman yang baru dikenalinya, Hazman, dia sudah bernekad. Nak buat kejutan untuk Jihan. Bukan bawa jambangan bunga, bukan bawa hadiah tetapi bawa hatinya yang berbakul-bakul penuh dengan bunga-bunga beraneka jenis dan warna.

Berdetak jugalah jantung Jihan apabila Izham membuat pengakuan berani mati di khalayak begitu. Langsung dia tidak bersedia, terhoyong-hayang dibuat Izham. Seriously, do you have to be so bold?

Jihan memandang tepat ke arah Izham. Cuba menghadam kata-kata Izham secara serius. Tak nampak seperti dia mengacah-acah, cuba menguji Jihan. Nak jawab ke tak?

"Well, yeah. I miss you too..." Dia menjongket bahunya. "Not too much, though..."

Izham ketawa. "Better than nothing." Puas hati dia. Sekurang-kurangnya dia tidak bertepuk sebelah tangan tentang bahagian yang rindu itu. Dia lantas menarik beg Jihan. "Jom, saya hantar awak balik."

Mereka berjalan seiringan. Ketika berpaling, Jihan ternampak seorang lelaki sedang berlutut berhampiran tiang. Sedang mencari sesuatu di atas lantai, barangkali. Ataupun dia tak sihat, mungkin. Ada seorang gadis di sebelahnya, dan dia sedang menoleh ke arah Jihan. Mata mereka bertentangan. Jarak antara mereka tidaklah jauh benar. Hanya beberapa meter sahaja. Justeru, Jihan perasan gadis itu merenungnya agak tajam.

Pelik. Itu yang Jihan rasa. Dia tak kenal gadis itu. Mengapa pandang dia macam nak telan orang? Sempat dia merakam wajah itu dalam mindanya sambil dia menyemak kotak memorinya. Ya. Jihan tidak pernah kenal siapa gadis itu. Sekali lagi dia menjongketkan bahunya. Apa-apa lah. Aku tak kenal dia pun.

Dan Jihan pun berlalu pergi bersama Izham. 

***

Di dalam kereta, Hazman meminta Dini menaikkan suhu sedikit kerana dia kesejukan. Jaket varsiti pemberian Jihan itu dibutang sampai ke atas. Kedua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket jaket.

 "Nak demam kot. Tadi kena hujan semasa nak ke tempat parkir kereta kat ofis. Rasa sejuk semacam pula," ujar Hazman, cuba menjelaskan keadaan.

Dini hanya mengangguk. Dia cuba fokus memandu kerana hujan masih turun renyai-renyai. Keadaan jalanraya yang basah disirami sinaran lampu jalan agak menyilaukan matanya. Pun begitu, itu bukanlah satu masalah yang besar untuknya.

Ada lagi isu yang lebih besar yang membuatkan hatinya bergelodak. Dan dia tahu apa saja yang Hazman sedang alami pada waktu itu adalah dek kerana isu itu. Nurjihan.

Ya, dia terdengar suara Hazman menyebut nama Nurjihan berulang kali sejurus sebelum dia berlutut di lantai tadi. Walaupun hanya sebuah bisikan, namun di telinga Dini kedengaran amat jelas. Dan dia juga dapat melihat wajah kesayangan Hazman yang selama ini hanya bayang-bayang hitam dalam fikiran Dini.

Bayangan tanpa wajah itu rupa-rupanya adalah seorang gadis yang cantik, tak lokek dengan senyuman yang menawan. Walaupun tampak sedikit keletihan, tetap ayu wajahnya pada hemat Dini. Patutlah Hazman tidak dapat melupakan dia. Sudah lapan tahun berlalu namun dia tetap bertakhta dalam hati Hazman.

Dan tiba-tiba rasa cemburu yang sudah sekian lama dia pendamkan seperti meronta-ronta minta di lepaskan dari sangkar hatinya.

"Sabar, Dini, sabar. Mungkin itu bukan Nurjihan. Mungkin Hazman tersilap orang." Dini cuba memujuk hatinya. Dia menoleh ke arah Hazman. Kerusi dijatuhkan sedikit, supaya dia dapat baring. Nak tidur, katanya. Matanya terkatup rapat. Sebelah lengannya terletak di atas dahi.

Kasihan dia. Sebuah cerita cinta yang begitu membebankan untuk seorang Hazman. Cerita duka yang terpaksa dilalui sejak lapan tahun yang lalu, yang tergantung tiada noktah. Dan Dini tahu dia adalah puncanya. Punca segala kesakitan yang Hazman tanggung.

Air mata Dini menitis dan berjuraian membasahi pipinya. Sedaya upaya dia menahan esak agar Hazman tidak terjaga. Dia kesal dengan apa yang pernah dilakukannya. Namun dia takut untuk berterus terang. Takut kehilangan Hazman dalam hidupnya. Mampu kah dia hidup tanpa Hazman?

Sesungguhnya perancangan Tuhan itu amat hebat. Siapa kita untuk menidakkannya.

***

"Can we go for teh tarik first before you send me home?" Rindu pula Jihan nak membasah tekak di kedai mamak. Macam lah dah bertahun lama tinggalkan Malaysia lagaknya. Untuknya, seminggu pun dah cukup lama. Apatah lagi dah dua bulan.

"Sure, why not. Tadi tak berapa puas minum kopi kat BK. Gelas kecil saja," balas Izham.

Dari tadi dia tersenyum memanjang. Dalam hati ada taman, begitu. Iya lah, siapa tak seronok. Orang di sebelah cakap dia pun rindu Izham juga. Walaupun secotet. Secotet untuk Jihan, tetapi untuk Izham secotet itu ibarat sekawah bubur asyura.

"Oh dah makan lah ni ya. Baru ingat nak belanja you cheese nan dan ayam tandoori. Mak ai! Sedapnya..." Terkecur air liur apabila dia sendiri membayangkan dapat makan roti nan ber-cheese yang panas-panas. Ah! Rindu benar dia dengan kedai mamak.

"Dah flight you lambat. I makan lah dulu. I pecut all the way from JB, langsung tak berhenti makan. Takut terlepas your flight. Tapi... rasanya boleh masuk lagi kalau setakat cheese nan tu," balas Izham sambil mengusap perutnya perlahan-lahan.

"OK, good!"

Izham memandu kereta, meredah malam sambil menyanyi perlahan mengikut alunan lagu yang tersiar di radio. Sekali-sekala dia bersiul-siul kecil. Jihan pula kelihatan relaks, sekali-sekala, ikut Izham menyanyi lagu- lagu yang mana yang dia tahu. Menyanyi pun perlahan saja kerana dia tahu suaranya tidak lunak. Boleh lah sekadar untuk menghibur diri sendiri.

"Ada pilihan tak nak pergi mamak yang mana?"

"Mana-mana pun boleh asalkan tak melencong jauh dari laluan balik ke rumah. I tak nak susahkan you. Sure you penat gila."

"Eh! I okey saja. Dah dapat tengok ubat yang menghilangkan penat kat sebelah I ni. Penat tu dah lama 'go bye bye'," ujar Izham sambil tersengih. Jihan menoleh ke arah Izham. Dahinya berkerut. Amboi, seronoknya dia. Dan, oh ya... kacaknya dia....

Haish! Jihan menggeleng sambil menggosok- gosok kedua belah matanya. Sudahlah Izham dah bertukar perangai, yang dia pun ikut jadi sewel ni, apa hal?

Istighfar, Jihan, istighfar.

Izham memilih satu kedai mamak yang berhampiran tetapi di luar taman perumahan tempat Jihan tinggal. Nampak bersih dan selesa. Izham dan Jihan memilih untuk duduk di luar kedai. Tak mahu pakaian mereka nanti berbau makanan.

"Cheese nan dua, ayam tandoori dua. Teh tarik, gelas besar, kurang manis. Pun dua juga." Tenang saja Izham memesan makanan. Langsung tak bertanya kepada Jihan kerana dari perbualan tadi, Izham sudah tahu apa yang Jihan inginkan. Dia memesan benda yang sama kerana ia mudah. Tidak memerlukan masa yang panjang meneliti menu. Lagipun ini kedai mamak. Semua mamak pun sama saja makanannya.

Jihan membuntangkan matanya. "Wah! Hebat. Tak menyempat eh?"

"Tadi kan you dah bagitahu nak makan apa. Boleh nampak mata tu bersinar-sinar terpancar segala bulan dan bintang semasa you sebut nak minum teh tarik dan makan cheese nan. Walaupun dalam gelap. Lagipun I rasa you dah lapar sangat kan. Jadi I memudahkan kerja."

"Not complaining. Thank you..." Jihan tersengih.

Izham hairan juga mengapa dia masih lapar sedangkan tadi dia dah makan sebiji whopper dan sebekas besar kentang goreng. Mungkin kerana dapat melihat wajah cik kak yang manis di hadapannya sekarang membangkitkan rasa lapar.

"Sementara tunggu you tadi, I sempat berkenalan dengan seseorang..."

"Perempuan?" Jihan menjongket keningnya. Rasa ingin tahu menebal.

"No. A guy. A very nice guy. Dia pun sedang tunggu BFF dia balik dari Jakarta. Saya rasa BFF tu perempuan walaupun dia tak cakap secara terang-terangan. Dah alang-alang sama-sama menunggu, lepastu sama- sama lapar, kami pergi ke BK."

"Oh! Dah dapat kawan baru lah ni..."

"Hmmm.... Tapi tadi tak nampak pula kelibat Hazree semasa you sampai. Kalau tak, I dah perkenalkan you kat dia." Dia baru perasan yang dia tidak nampak Hazree tadi. Mungkin dia dah berjumpa dengan BFF dia semasa kalut orang tengah ramai tadi.

Jihan terdiam tetapi masih mengukir senyuman. Dia pernah kenal seseorang yang bernama seperti itu. Tetapi dia lebih suka orang memanggilnya Hazman. Dia mahu bertanya kepada Izham tentang perawakan Hazree tetapi dia memutuskan untuk memendamkan sahaja keinginan itu.

Argh! Tak mungkin dia. Ada berapa juta orang di Malaysia ini. Ada berapa ramai orang yang bernama Hazree. Berapa besar kah kemungkinan yang Hazree itu adalah Hazman? Seciput. Secoet. Mungkin lebih kecil daripada saiz tahi lalat di atas bibirnya.

Tiba-tiba dia teringat kepada lelaki yang berlutut di samping perempuan yang merenung tajam ke arahnya. Ada sesuatu yang 'familiar' pada lelaki itu. Apa ya?

Jihan menopang dagu, jari-jarinya mengetik perlahan pada pipinya. Cuba mencari jawapan.

"Amboi! Khusyuknya berfikir. Care to share?" Jihan terpisat-pisat. Alamak! Terkantoi pula.

"Tak ada apa-apa. Tengah fikir bila lah makanan nak sampai. Lapar!" Sengaja dia menepuk-nepuk perutnya sambil mengerutkan hidung. Betul, dia tak tipu. Jihan memang lapar.

Yang ditunggu akhirnya tiba. Semerbak aroma teh tarik dan nan cheese yang meleleh menusuk hidungnya. Akhirnya, rindu yang terasa terlunas jua. Jihan menikmati hidangan di depannya dengan penuh semangat. Izham yang memerhati ikut sama makan seperti Jihan. Seperti dah bertahun tak masuk kedai mamak.

"Ha! Jaket varsiti biru!" Tiba-tiba terpacul ayat itu keluar dari mulut Jihan. Itu lah yang mengganggunya sejak tadi. 'Something familiar' yang ada pada lelaki yang melutut di airport tadi. Jihan ternampak ada emblem B pada jaket itu. Sebiji sama dengan jaket yang dia hadiahkan kepada Hazman dulu. B stands for Blugold, maskot UWEC.

"Eh! How do you know?"

"Know what?"

"That's what Hazree was wearing earlier..."

Jihan terpempan. 

Continue Reading

You'll Also Like

566K 25.1K 117
The Many Dates of Indigo is now published as a Paperback, and E-book with W by Wattpad Books! As a Wattpad reader, you can access both the Wattpad Or...