CLOSURE - DY FINALE (PUBLISHE...

By farihahiskandar

1.2K 17 0

Kisah dongeng kita Entah mengapa menjadi sepi Latarnya tanpa garisan Putih ataupun hitam Tanpa makna Kisah it... More

Epilog
1
3
4
5

2

178 2 0
By farihahiskandar


"Abang Man, mak cakap pihak perempuan minta kita bawa tiga dulang hantaran semasa majlis bertunang nanti," kata Usu sambil menghidangkan sepinggan pisang goreng dan seteko air kopi untuk Hazman di ruang tamu.

Hazman baru pulang dari solat asar di surau berhampiran rumahnya. "Wah! Bagusnya adik abang. Seperti tahu saja abang dia ni lapar. Pisang nangka ke tu?" Dia mencabut kopiah di atas kepalanya lantas membetulkan rambutnya yang penyek dan tidak terurus.

"Iya lah, abang. Takkanlah Usu tak tahu apa kegemaran abang." Usu duduk di sebelah Hazman. Tangannya memegang remote control TV lantas menekan punat mencari siaran yang menayangkan cerita yang menarik minatnya. "Abang dengar tak apa Usu cakap tadi?"

"Hmmm..." Itu saja jawapannya. Mulutnya mengunyah pisang goreng yang masih panas. 

"Sedap!" komennya sambil tersenyum. Dia faham sangat mengapa Usu bertanya. Nak ikut sama lah tu pergi mencari barang- barang hantaran.

"Abang Man..." Panjang muncung Usu. Sudah mula ada tanda-tanda nak merajuk. Hazman suka menyakat adik bongsunya ini. Sudahlah bongsu, dia satu-satunya adik perempuan dalam keluarganya. Jadi, manjanya terlebih.

"Iya... abang dengar. Nanti abang telefon Kak Dini. Hal hantaran ini abang serahkan kepada orang perempuan. Abang jadi tukang bayar saja. Tak adalah pening kepala abang nanti." Sedar tak sedar sudah tiga keping pisang goreng ditelannya. Topik bertunang dan hantaran sentiasa buat dia 'nervous'. Kecut perut semacam. Makan adalah satu 'escapism' untuk dia bagi menghilangkan rasa celaru.

"Usu nak bagi cadangan, boleh tak?"

"Apa?"

"Salah satu hantaran tu kan, boleh tak kita letak coklat FR. Sedap sehingga menjilat jari. Usu rasa coklat itu sesuai dan cantik dijadikan hantaran. Tak perlu nak berhias-hias bagai. Balutan keemasan coklat itu saja sudah cantik," beria Usu memberi pendapat.

Hazman menuang air kopi ke dalam cawan dan tanpa mempedulikan yang kopi itu masih panas berasap, dia meneguknya cepat-cepat. Satu taktik supaya Usu tidak nampak air mukanya berubah. Lidah dan tekaknya terasa perit. Wah! Panas pun panaslah kopi. Aku dah tak ada cara lain nak mengelak.

"Abang nak masuk bilik kejap, nak tukar baju. Baru perasan abang masih berbaju Melayu." Tanpa menunggu jawapan Usu, segera dia mengambil kopiah di atas almari dan melangkah laju menaiki tangga menuju ke tingkat atas. Dia perlu menjauhkan diri dari Usu seketika. Dia perlukan masa untuk menenangkan hati. Jantungnya berdetap deras. Hatinya yang tercalar masih belum sembuh. Walaupun sudah lapan tahun berlalu.

Ingatannya masih belum kabur. Seperti baru semalam dia mengirimkan sebungkus FR melalui Khairi dan sekeping kad kepada Nurjihan.

'Siapa kata kita sudah berakhir?'

Masih jelas dalam ingatannya momen dia menulis kad itu. Harapannya menggunung kerana dia benar-benar sayangkan Nurjihan. Pun begitu, harapannya tidak berbalas. Dibiarkan tergantung sepi.

Nurjihan mengundur diri tanpa berita. Tanpa sebarang penjelasan. Suria dan Khairi tidak dapat membantunya walaupun mereka berada dekat dengan Nurjihan. Gadis itu, apabila datang sifat degilnya, tiada apa dan tiada siapa yang dapat menggugat pendiriannya.

'Apa khabar awak, Nurjihan? Di mana awak sekarang? Semoga awak baik-baik sahaja... Jaga diri tu. Jaga makan dan minum. Saya tahu, apabila awak stress, awak cuai.

Senyum dan ketawa terpancar bukan cerminan diri yang sebenar. Itulah saya sekarang tanpa awak. Cuba melindungi kabut yang menyelubungi hati sejak sekian lama. Kepura-puraan ini begitu menyesakkan tetapi saya perlu mengutamakan hati orang lain. Hati mak. Hati famili...'

Sejak berpisah dengan Nurjihan, Hazman menulis jurnal, merakam apa yang dia rasa. Terikut-ikut dengan habit Jihan menulis diari. Paling tidak, itu satu cara dia melepaskan rindunya kepada Jihan.

***

Sudah separuh hari berlalu, baru Hazman selesai menjawab berpuluh emel daripada pelanggan yang ada masalah teknikal dengan sistem. Penat juga jari-jarinya mengetik papan kunci komputer. Dia bangkit dari tempat duduknya lalu menyusun langkah longlai ke pantri. Bancuh coklat panas untuk mengisi perutnya. Ada rasa lapar tetapi dia tak lalu nak makan. Dua tiga hari ini mood makan ke laut.

Kebelakangan ini, semenjak Usu bercakap tentang hantaran kahwin, dia sering teringat kepada Nurjihan. Entah mengapa, rindu yang lama terpendam itu kian membuak-buak seperi lava volkano. Hanya menanti masa untuk dimuntah keluar.

Apakah ini? Adakah Nurjihan turut merasakan apa yang dia rasa pada saat dan waktu ini? Atau dia sudah pun 'move on'. Mungkin dia sudah ada pengganti. Iya lah, semudah dia mengambil keputusan memutuskan hubungan mereka. Mungkin...

Hazman kembali ke kubikel, ingin berehat seketika sebelum ke surau menunaikan solat zohor. Ada seseorang meninggalkan mesej untuknya dengan menampal 'sticky note' kuning. Amboi! Huruf besar semua. Penting mesej itu gamaknya.

'ADA ORANG NAK JUMPA KAT BAWAH. DIA TUNGGU KAT KAFE.'

Hazman segera melangkah menuju ke lif. Iya lah, apabila mendapat mesej huruf besar begitu, pasti maksudnya 'urgent'. Entah siapa gerangannya dan yang paling Hazman berharap, orang itu tidak datang membawa berita duka.

Bukan sekarang. Dia tidak bersedia. Hatinya sedang rapuh pada waktu itu.

Berlari Hazman masuk ke dalam kafe. Matanya melilau mencari sebarang wajah yang dia mungkin cam dan kenal di setiap inci ruang di situ. Dia ternampak seorang gadis sedang duduk membelakanginya di sudut kanan kedai itu. Sosok tubuhnya mengingatkan Hazman kepada seseorang. Nurjihan kah? Tapi, sudah 10 tahun dia tidak jumpa Nurjihan. Kali terakhir sewaktu Nurjihan datang ke rumahnya sebelum ke US dulu.

Jantungnya berdegup kencang. Peluh mula merecik pada seluruh anggota badannya. Hazman terasa kafe itu berbahang walaupun dia yakin alat pendingin udara elok berfungsi. Dia cuba menghela nafas dalam- dalam untuk cuba bertenang tetapi dadanya terasa ketat. Telinganya berdengung. Lututnya terasa lemah, seperti pada bila-bila masa sahaja dia boleh jatuh ke lantai.

Ya Tuhan! Aku terkena serangan jantung kah?

Tiba-tiba ada orang menepuk bahunya dari belakang. Hazman terhuyung-hayang, mencari mana-mana tiang yang terdekat. Dia perlu menyandar supaya tidak rebah ke lantai.

"Hey! Are you feeling alright?"

Hazman menoleh, mencari empunya suara. Dia kenal suara itu.

"Khairi?" Hazman hanya mampu berbisik, tidak ada tenaga untuk melontar suara. Wajah yang tadinya samar pada pandangan mata kian jelas.

"Yup. Yours truly..." Dia tersengih menayangkan lesung pipitnya yang menjadi punca kegilaan gadis-gadis, terutamanya Suria.

Hazman tiba-tiba teringat. Dia kemudiannya pantas mengalih pandangan ke arah sosok tubuh yang hampir menyebabkan dia pengsan. Dia masih di situ, tunduk ralit membaca buku. Seperti Nurjihan. Kemudian dia kembali memandang ke arah Khairi.

Khairi seperti memahami apa yang tersirat dalam hati Hazman. Pandangan matanya mencerminkan segalanya. Khairi bersimpati.

"No, that's not her. I'm sorry."

Hazman mengangguk kecil. Dia akur. Iya lah... mana mungkin Nurjihan ke sini sedangkan dia langsung tidak ambil tahu tentang Hazman.

"Sebenarnya aku singgah sekejap saja nak jumpa kau. Aku tahu kau sedang bekerja dan tak boleh berlama- lama di sini. Aku nak tahu kalau kau free malam ni," kata Khairi.

"Untuk kau, tentu saja boleh. Kau stop over berapa hari?"

"Tak... Aku tengah cuti ni. Ada hal sikit dengan abang aku. Lepas maghrib, insya Allah aku OK."

"Dah tahu sibuk, kenapa tak telefon saja. Bukannya kau tak ada nombor aku..." Matanya kembali melirik ke arah gadis bertudung biru tadi, yang nampaknya masih khusyuk membaca buku. Saja nak meyakinkan hati yang itu bukan Nurjihan.

Khairi menyorok senyumnya. Dia tahu benar Hazman masih belum berpaling rindunya terhadap Nurjihan. Dua orang kawan yang dia paling sayang. "I wanna surprise you. You had an episode just now. Thought you were going to faint. Feeling better now?"

Hazman mengangguk.

"Are you sure?" usul Khairi lagi, meminta kepastian. Nanti jatuh tergolek si Hazman, apa dia nak buat pula.

"Ya, aku okey." Hazman melihat jam di tangan. Sudah hampir jam dua petang. "Aku naik dulu, nak solat. Kita nak jumpa kat mana?"

"Aku datang ambil kau kat rumah. Aku sampai lepas isyak."

***

Tepat jam sembilan malam, Khairi tiba di hadapan rumah Hazman. Ada beberapa buah kereta parkir di situ, jadi Khairi hanya membunyikan hon sahaja. Fikirnya, tentu Hazman ada tetamu dan dia tidak mahu mengganggu. Pelik juga mengapa Hazman tak telefon dia untuk membatalkan rancangan mereka.

Hazman tergesa-gesa keluar. Tampak kemas dengan T Shirt dan seluar jeans. Dia membuka pintu kereta dan tersengih. Sempat memberi salam sebelum duduk di kerusi penumpang.

"Kau ada tetamu ke? Banyak kereta tu..." soal Khairi sebaik saja menjawab salam.

"Ala... Mak, adik beradik, kawan..." Bersahaja Hazman menjawab. "Dia orang dah tahu aku nak keluar dengan kau malam ni. Jadi, pandai-pandailah mereka sibukkan diri kat rumah tu."

"Ooo..." Itu sahaja jawapan Khairi. Malas dia nak tanya lebih-lebih sebab dia memang nak jumpa Hazman atas sebab yang sangat personal. Cutinya hanya berbaki dua hari dan ada banyak lagi yang dia perlu selesaikan. Terutamanya hal dia dan Suria.

"Ke mana kita?" Hazman bertanya setelah Khairi membatu, memandu seperti tidak ada arah tujuan. Sedang berdebat dalam kepala agaknya. Masalah yang sama, masalah perempuan. Suria sudah luahkan kepadanya sejak beberapa bulan lepas. Setiap hari, topik yang sama. Khairi, Khairi dan Khairi. Seperti Nurjihan, Suria juga ada masalah yang sama. 'Inferiority complex' tak bertempat dan yang paling susah nak diubah, D.E.G.I.L!

"Hei! Aku tanya ni. Ke mana kita? Aku lapar ni. Tadi aku tak makan tengah hari. Lepas tu kau datang buat aku nyaris sakit jantung. Aku lapar gila ni. Perut dah main lagu rock kapak dah ni..."

Khairi menoleh ke arah Hazman. Dia tersengih. "Boleh tak kita pergi cari tempat yang ada sup yang meletup-letup sedapnya? Lama betul aku tak pekena sup ekor. Masa sampai sini haritu, abang ajak pergi bercuti ke Pulau Perhentian Kecil. Sempat singgah KT dalam perjalanan balik. Merasa juga membaham nasi dagang, nasi minyak dan keropok lekor. Fuh! Puas hati dapat melepaskan rindu..."

"Wah! Jadi dah banyak harilah kau ada kat Malaysia. Dah nak habis cuti baru cari kawan ya..." Konon- kononnya merajuk lah tu. Pun begitu rasa lapar yang bergelodak berjaya membuang rajuk Hazman. "OK, kita pergi makan kat kedai tomyam tak jauh dari rumah aku ni. Sup ekor dia sedap. Kedai pun tak 'over crowded' sangat. Ada lah ruang untuk kita bersembang."

"OK. Lead the way, Encik Hazman. Sup ekor... here we come..." Sepanjang perjalanan ke kedai tomyam, Khairi bersiul kecil. Cuba melupakan apa yang bersarang dalam kepala untuk seketika. Isi perut bagi kenyang dulu, supaya mereka dapat berbincang dengan minda yang cukup bekalan oksigen.

Sup ekor, sambal udang petai, kailan ikan masin dan telur bungkus menjadi hidangan makan malam untuk dua orang pemuda yang kelaparan. Nasi putih tak cukup sepinggan seorang. Siap diminta nasi tambah. Masing- masing hanya meminta segelas air kosong seorang buat membasah tekak ketika makan.

Usai menjamu selera, masing-masing duduk menyandar kekenyangan. Kemudian dua-dua tersengih memandang satu sama lain. Licin! Licin segala makanan yang ada di atas meja itu. Yang tinggal hanya lah ketulan tulang ekor lembu, hirisan cili merah dan bawang putih yang tak hancur. Malah mangkuk sup langsung tak berkuah. Kalaulah tulang ekor itu lembut, harus itu pun digigit dan ditelan.

"Kau rasa jin atau raksasa apa yang rasuk kita tadi? Sapu bersih makanan yang ada ni!" seru Hazman sambil ketawa terkekek-kekek. Serius! Dia terperanjat sebenarnya. Sudah berapa lama dia tidak makan sebegitu rupa.

"Hantu raya. Aku rasa hantu raya. Tak pun orang minyak!" Khairi ikut melalut. Dia pun ikut sama-sama ketawa. Itu sajalah jenis hantu yang dia tahu. Oh! Ada lagi. Dracula dan vampire. Sempat lagi dia terfikir yang bukan-bukan.

"Kau nak pesan teh tarik tak? Sedap juga dapat pekena teh selepas makan ni..." cadang Hazman.

Khairi memeluk tubuh dengan kedua tangannya. "Sekejap lagi lah. Kenyang lagi ni..."

"OK," balas Hazman. "Kalau kau rasa dah bersedia, cerita lah apa yang kau nak cerita atau jika ada kau nak tanya aku apa-apa pasal Suria, kau tanyalah. Tak payah nak segan-segan."

Khairi akhirnya melepaskan satu keluhan, seolah- olah beban yang ditanggungnya sejak beberapa bulan ini bisa dilepaskan. Walaupun segala persoalan belum terjawab, sekurang-kurangnya dia sedang bertanya kepada orang yang betul. Hazman. Orang yang paling Suria percayakan pada ketika ini. Hazman pasti ada jawapannya.

"Selama ini aku dan Suria sentiasa berjauhan. Terpisah benua. Terpisah negara. Walaupun kami ada pergaduhan sebelum ini, elok saja diatasi. Biasalah LDR kan. Silap faham situ sikit, cemburu sana sikit, insecurity, etc etc... Tapi mengapa kali ini ia jadi satu isu yang besar sehingga kami perlu berpisah? I really don't understand. Have I done something wrong that cannot be forgiven?"

"Have you?" Saja Hazman menyakat. "No, I'm just kidding. Carry on..." Wah! Lama tak 'speaking mat saleh' dengan Khairi. Berbelit juga lidah orang Melayu yang tak pernah pergi oversea ni. Walaupun hanya sepatah dua perkataan, bunyinya pelik. Langsung tidak ada accent orang putih. 'Manglish', brother. Dan Hazman tersengih melayan otaknya berfikir.

"Aku dah ajak dia kahwin, Hazman. Aku serius sayangkan dia, sejak kita di maktab lagi. After all these years, she just had to do this. Dia ada orang lain ke?" Nah! Terkeluar juga prasangka dia terhadap Suria sejak enam bulan lepas. "Mana lah tahu... kita orang kan duduk jauh- jauh. Kot ada yang cuba-cuba dekat dengan dia. Lepas tu ambil kesempatan atas situasi kami. Dan berjaya..."

Hazman menggeleng. "Dan yang kat sini duk ingat kau yang ada orang lain sebab tu tak nak balik duduk Malaysia. Minah saleh ke, mak Arab ke..." Lebar sengihnya.

"Dia masih tak percayakan aku ke?" Khairi menepuk dahinya. Agak kuat juga sebab tepukan tadi meninggalkan tanda kemerahan pada dahinya.

"Eh Khairi. Kau tu untuk dia 'jejaka Melayu terakhir'. Cukup pakej. Tinggi, tampan, berkarisma dan sekarang, kerjaya pun bagus. Encik pilot yang 'perfect'! Apa yang dia nampak, berderet perempuan berbaris mencuba nasib mengambil tempat dia. Minah tu yang selama ini ada tahap keyakinan yang tinggi, dah jadi manusia menggelabah sepanjang masa. Risau memanjang sehingga sampai satu tahap dia tidak boleh bertahan lagi." Panjang Hazman berceramah. Khairi pula tekun menjadi pendengar yang setia.

"Dia mengalah dan lebih rela mengundur diri..." Khairi mencelah. "Sebiji macam Jihan. Mengaku kalah dengan bayang-bayang yang tak wujud."

Hazman dan Khairi, kedua-duanya senyap seketika. Masing-masing melayan perasaan. Berfikir tentang dua orang gadis yang penting dalam hidup mereka.

"Kau beruntung, Khairi. Kau masih ada peluang membetulkan keadaan. Pergi jumpa dia. Pergi jumpa mak ayah dia. Mereka perlu tahu yang kau serius tentang Suria. Selama ini mungkin mereka hanya dengar saja tentang kau tapi tak pernah jumpa kau. Tak berpeluang mengenali siapa itu Kapten Megat Izuddin Khairi." Hazman menyambung perbualan mereka, melontarkan pendapatnya. Terasa seperti abang-abang pula walaupun mereka sebaya.

"Lainlah aku ni," sambungnya lagi. "Dah terlambat. Dah lapan tahun berlalu. Tak tahu mana nak gagau cari dia. Entah-entah dah berkeluarga pun dia. Aku kena redho aku dah kehilangan dia..." Perlahan dia bersuara. Kesedihan kembali menyelimuti hatinya. Biarlah... yang dah lepas biarlah pergi. Mungkin sudah sampai masanya dia membuka pintu hatinya untuk orang lain. Yang selama lapan tahun ini setia menunggu. Yang sentiasa ada di sisinya di kala perlu.

Dia mengurut dadanya. Sakit. Pun begitu Hazman tahu tidak mungkin ada yang lebih sakit dan perit daripada mencuba untuk meyakinkan hati yang dia perlu meneruskan kehidupannya. Sedangkan dia tahu, dalam hati nan dalam, dia hanya mahukan Nurjihan.

Khairi mendengar keluhan Hazman. Perasaan bersalah datang tanpa diundang. Nak berterus terang tentang Nurjihan, dia sudah berjanji. Janji berdarah begitu, mengikut kata Jihan, yang kalau dikhianati, dia 'declare' putus saudara. Ini satu amanah yang dia sudah pegang selama lapan tahun. Satu cara untuk dia memastikan Nurjihan tidak hilang terus dari radar. Mungkin Suria tidak tahu. Mungkin Hazman tidak tahu. Tetapi dia tahu. Sekiranya apa-apa terjadi kepada Jihan, dia tahu.

Hazman tidak mahu berlama-lama di situ. Rasa malu juga terhadap Khairi kerana menunjukkan kelemahan dia tanpa sengaja. Nak meratap, balik ke rumah saja, Hazman. Memujuk dirinya sendiri. "Eh dah hampir tengah malam. Kita balik sekarang boleh ke? Entah adik-adik aku ada lagi ke tak kat rumah tu."

"Jom. Nanti aku nak tumpang toilet kat rumah kau ya."

Hazman mengangguk perlahan. Dia kemudiannya melangkah ke kereta sementara menunggu Khairi pergi membuat pembayaran.

Khairi mengekori Hazman masuk ke dalam rumah. Adik perempuan Hazman masih di ruang tamu bersama seorang gadis. Kedua mereka yang sedang khusyuk menyusun bunga mengangkat muka dan melontarkan senyuman kepada Hazman dan Khairi.

"Ha, baru balik. Dari tadi Kak Dini tunggu Abang Man."

Khairi memandang ke arah Hazman. Keningnya terjongket. Dini?

"Oh hai Abang Khairi. Long time no see. Wow! You so handsome lah, Kapten," kata Usu, cuba bercakap orang putih kerana dia tahu Abang Khairi ni selalu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Kak Suria cakap, mat saleh celup. Broken English pun tak mengapa, sekurang-kurangnya dia cuba. "Kak Dini, ni kawan Abang Man dari zaman mereka kat MRSM dulu lagi."

Dini mengangguk perlahan. Tangannya sedikit terketar. Khairi. MRSM. Dia menghela nafas dalam-dalam. Ini tentu kawan rapat Hazman yang girlfriend-nya, Suria, kawan rapat Nurjihan. Mengapa dia ada di sini malam ini? Menyampaikan berita tentang Nurjihan, mungkin. Kerana Hazman kelihatan sedikit gembira, berbanding sebelum ini.

"Abang nak ke tandas dulu. Nanti kita sambung bercakap ya..." Berlari-lari anak Khairi menuju ke dapur, mencari pintu tandas. Walaupun dia 'curious' dengan kehadiran Dini tetapi yang dahulu, kena dahulukan. Dah lega nanti, baru boleh berfikir dengan lebih jelas.

Apabila Khairi melangkah menghampiri ruang tamu, terdengar Usu berkata, "Kak Dini dah siapkan hantaran semua. Sebelah sini serba gold, sebelah sana serba silver. Abang Man OK tak dengan pilihan warna ni?"

Gementar tubuh Khairi. Apa ni tentang hantaran bagai? Tadi Hazman tak ada cerita apa-apa tentang hantaran. Ada sesiapa yang nak bertunang? Atau bernikah? Dia melangkah ke ruang tamu. Hazman duduk di sofa. Wajahnya pucat lesi seperti ternampak hantu. Matanya yang berkaca, tajam melihat salah satu hadiah hantaran yang tersusun di atas karpet.

Sekotak coklat FR yang terhias molek dengan riben-riben kecil berwarna gold bersulam krim! 

Continue Reading

You'll Also Like

570K 25.1K 117
The Many Dates of Indigo is now published as a Paperback, and E-book with W by Wattpad Books! As a Wattpad reader, you can access both the Wattpad Or...