SAPTA ADHYASTA

By mynameismas

14.7K 2.1K 1.2K

Tatkala kemurnian jiwa manusia hilang dek dendam dan serakah maka perjanjian dengan Sang Terkutuk pasti akan... More

-1-
-2-
-3-
-4-
-5-
-6-
-7-
-8-
-9-
-10-
-11-
-12-
-13-
-14-
-15-
-16-
-17-
-18-
-19-
-20-
-21-
-22-
-24-
-25-
-26-
-27-
-28-
- 29-
-30-
-31-
-32-
-33-
-34-
- 35-
-36-
- 37-
-38-
-39-
-40-
- 41-
- 42-
-43-
-44-
-45-
-46-
-47-
-48-
-EPILOG-
-SEKAPUR SIRIH SEULAS PINANG-
-WALANG KESUMA-

-23-

320 43 35
By mynameismas

Bunyi peluit ditiup saling tingkah bertingkah sehingga membuatkan mereka berpandangan sesama sendiri dan naluri Tun Indera juga Aduka  bertindak pantas.Berlari menghampiri Tun Fatimah dan Indah serta Naufal yang jelas tergamam dengan bunyi nyaring entah dari mana itu. Indah sudah melilit kain Cindai Raja ke pergelangan tangannya seraya memasang kuda-kuda dengan mata yang melilau pantas. Mencari sumber bunyi tersebut yang tiba-tiba sahaja muncul.

Sementara itu, gerombolan susuk tubuh berpakaian hitam tersebut meligas ke segenap arah apabila menyedari kemungkinan besar bunyi peluit itu adalah isyarat memanggil penduduk kampung untuk melancarkan serangan balas setelah kawasan permukiman mereka punah diserang. Dan ketika bunyi nyaring itu semakin kuat, hanya dengan satu anggukan baki tiga empat orang lelaki penyerang itu lari bercempera. Cemas dengan keadaan mendadak begitu.

Tanpa kelibat penyerang tersebut, mereka berlima masih tidak mengendurkan siaga masing-masing. Waima Naufal sekalipun mengacu potongan dahan seperti mengacu sebilah pedang.

" Indera. "

Satu suara menyeru nama Tun Indera setelah bunyi tiupan peluit yang nyaring itu berhenti dan serta-merta dua susuk tubuh muncul dari celah rimbunan pohon.

" Abu Zar.. "

Cengkaman kejap Indah pada helaian Cindai Raja longgar begitu sahaja tatkala Tun Indera saling berbalas dakapan dengan susuk tubuh yang baru muncul itu.

" Apa yang berlaku? "

" Ayahnda menghantar kita untuk menyambut Indera.Selebihnya kita bicarakan setelah tiba kelak "

Tun Indera menganggukkan kepala dan daripada gaya pemuda itu menepuk bahu Aduka, Indah yakin mereka saling mengenali antara satu sama lain.

" Bersegeralah kita. Paduka ayahnda sudah menunggu di Bukit Tunggal. "

Tanpa menunggu sebarang kata, Indah melilitkan selendang Cindai Raja ke pinggangnya lalu menyandang panah ke belakangnya. Mengikuti langkah Tun Fatimah dengan senyap.

" Abu Wassim. " toleh pemuda tersebut kepada rakannya " Khabarkan kepada paduka ayahnda. Kami akan sampai tengah hari esok"

Abu Wassim pemuda dengan kulit sedikit gelap dan berbahu tegap itu mengangguk tanpa banyak soal. Menyelinap semula ke dalam celah rimbunan pohon lalu hilang entah ke mana.

" Maafkan kami, Indah dan Naufal. " Tun Indera menoleh sekilas ke arah Indah lalu menepuk bahu Naufal perlahan " Ada hal tidak diduga berlaku maka kita terpaksa menapak lagi buat beberapa ketika. Mungkin terpaksa bermalam di dalam perjalanan nanti. "

Indah tidak menyahut sebaliknya hanya kelihatan Naufal yang mengangguk. Apabila Tun Fatimah kembali menyandang bungkusan pada bahunya dan Tun Indera mula mengorak langkah, ia sudah cukup bagi mengisyaratkan agar perjalanan mereka perlu diteruskan.

Tapak perkampungan yang sudah bertukar menjadi padang jarak padang tekukur itu ditinggalkan dengan hati yang bercampur-baur terutama sekali kepada Indah dan Naufal.

Perjalanan memang lebih mudah jika tanpa kami. Barangkali itu yang bermain di dalam fikiran Naufal kerana pemuda itu langsung tidak berkata apa-apa sepanjang perjalanan tersebut malahan langkah kakinya juga lebih besar daripada biasa. Jika hanya disertai oleh Aduka, Tun Indera dan Tun Fatimah-tidak sukar bagi mereka bertiga untuk sampai ke tempat tujuan seperti mana Abu Wasim namun Naufal mengerti dia dan Indah berbeza wujud. Maka sudah cukup bersyukur Tun Indera mahu sahaja melayani mereka dengan baik sehingga mereka terpaksa menempuh perjalanan yang tidak biasa.

Berada di permukiman Desa Kuning Gading buat beberapa ketika membuatkan Naufal mula menyedari bahawa ada sesuatu yang sangat serius sedang berlaku apatah lagi ia melibatkan dia dan Indah. Dia juga sedar sudah terlambat untuknya menarik diri daripada keadaan tersebut. Serangan susuk aneh sehingga hampir mengakibatkan nyawanya melayang menyebabkan dia tahu akan hal bahaya sedang berlegar dan mengintai mereka dalam senyap.

" Indah okey? "

Naufal melontarkan soalan kepada gadis tersebut yang sememangnya lebih banyak mendiamkan diri. Naufal tahu bukan tarafnya untuk merasa risau tentang Indah kerana nampak jelas yang dia mampu menjaga dirinya sendiri tetapi menyedari situasinya ketika itu tidak pun lebih baik berbanding Indah, sekurang-kurangnya pertanyaan begitu masih boleh dianggap imbalan terbaik sebagai tanda terima kasihnya kepada mereka kerana melindunginya.

Baginya, jika dia tidak mampu membantu mereka, cukuplah andai dia tidak menyusahkan. Menyedari situasi dirinya sendiri, kadang dia tidak faham mengapa dia diperlukan.Hendak dikatakan dia hebat dalam ilmu persilatan seperti Indah, jauh sekali. Punya karisma pemimpin seperti Tun Indera, jauh panggang dari api. Malahan sekuku pun tidak menghampiri terampil Aduka yang gagah dan tampan ataupun ketepatan panahan Tun Fatimah.

Dia?  Hanya seorang Muhammad Naufal Hatta si kaki bangku yang hanya tahu langkah silat hambur pasir dan mewarisi ilmu Tendangan Tanpa Bayang Mahaguru Wong Fei Hung daripada filem kungfu yang selalu ditontonnya di televisyen. Tidak lebih dan tidak kurang.

" Saya okey. " Indah melorek senyum sekilas " Naufal? "

" Baik-baik sahaja. Jangan risau."

Kepada Indah, tidak perlu diperjelaskan mengapa kejadian tersebut boleh berlaku di kawasan penempatan pinggir pantai itu kerana dia sudah cukup faham mereka sedang berurusan dengan kejahatan semacam apa.

Mumbala yang suatu ketika dahulu pernah dikenali sebagai Kasturi hampir pasti menjadi dalang kepada serangan tersebut sebagai usaha untuk menghalang mereka bertemu dengan penghulu Pulau Pauh Janggi. Malahan bagaimana mereka di serang oleh burung helang bermata merah itu bukan suatu hal yang mengejutkan andai ia juga didalangi oleh orang yang sama.

Dan menjelang malam sekali lagi mereka terpaksa tidur berbumbungkan cakerawala terbuka serta bersuluhkan bulan tua yang tegak di dada langit. Seperti biasa makan malam ringkas dikongsi bersama dalam jangkauan nyala api unggun yang kekuningan. Senyap seperti sepakat untuk menghemat tenaga,hanya Abu Zar yang sesekali bertanya kepada Tun Indera ataupun Aduka.

Derak-derak ranting kering yang diratah lidah api berselang-seli dengan bunyi serangga malam. Ada gugusan bintang yang mengerlip di dada langit. Mengenyit sang buana maya dan seluruh isinya dalam perguliran waktu yang ditandai dengan kedatangan angin semilir. Hendap menghendap di antara ranting pohon menghantar rasa dingin  sehingga memaksa Tun Indera beberapa kali menambahkan potongan-potongan dahan lalu disuguhkan ke dalam kobaran api yang meliang-liuk.

" Buah mengkudu lebat di pangkal,
Muatan sarat dalam perahu,
Hujan ribut dapat ku tangkal,
Resah gelisah siapa yang tahu. "

Tun Indera spontan menoleh ke arah sang sahabat yang sedang baring berbantalkan lengan yang melantun irama pantun seakan-akan menyinisnya kerana jelas sekali Abu Zar kedengaran tertawa kecil.

" Hebatnya seorang Abu Zar. Dalam masa begini masih sempat-sempatnya juga merakit pantun. "

" Mengapa kita merasakan kilatan mata Indera berlainan sekali?  Agaknya apakah hal yang meresahkan? "

" Abu Zar. "

" Waima perang sekalipun tidak akan mampu menahan mekarnya kuntum di tengah medan . Apatah lagi jika ia adalah Melati sang kembang yang harum nian."

Tun Indera tidak tahu bagaimana hendak meladeni gurau sang sahabat. Abu Zar tetap sahaja Abu Zar ibni Datuk Bijaya Diraja. Sahabat nakalnya yang punya selera gurau aneh yang sebenarnya menyenangkan jika bukan ditujukan kepadanya dalam keadaan seperti ketika begini.

" Jika Abu Zar masih punya banyak tenaga untuk mengusik kita, apa boleh tenaga itu digunakan untuk membantu kita menjaga unggun api daripada terpadam? "

Tawa canda Abu Zar membuatkan Tun Indera hanya menghela nafasnya yang terasa menyendat di pangkal dada. Sesekali dia menyorongkan potongan kayu ke dalam api lalu melayangkan pandangan ke arah unggun.

Atau lebih tepatnya kepada apa yang berada di seberang unggun api tersebut !

Malam semakin larut dalam detakan waktu yang semakin sunyi namun andai sahaja alam mampu menangkap gemuruh suara-suara hati seluruh penghuni jagat raya, di tempat itu sahaja pasti alam akan gegak- gempita dek rencam rasa yang bergulat dan cuba dibenamkan ke dalam logik akal dan pertimbangan waras.

" Apa kekanda masih belum mengantuk? " Suara Tun Fatimah yang datang mendekatinya membuyarkan selirat fikiran Tun Indera.

" Belum. Fatimah tidur sahaja. Kekanda akan melelapkan mata sebentar lagi apabila Aduka terjaga kelak. "

" Gerangan resah apa yang mengulit kekanda sehingga gagal melelapkan mata begini? "

" Sapta Adhyasta. Mampukah kita, Fatimah? "

Tun Fatimah ternyata tidak mampu menjawab pertanyaan sang abang sebaliknya dia pula yang menghembus nafasnya keluar dengan nada berat. Spontan penglihatannya tertuju ke arah Indah yang melelapkan mata dengan bersandar ke perdu sebatang pohon dalam keadaan duduk bersila dan berpeluk tubuh.Lalu kepada Naufal yang melingkar memeluk tangannya sendiri berhampiran unggun api.

Pasti. Hanya dengan izin dari yang
Maha Esa !

+              +             +

Continue Reading

You'll Also Like

1.1K 88 14
Highest - #1 protect - #1 lovehaterelationship [Sinopsis] Kehidupan Khaleeda Aufi yang sebatang kara membuatkan dirinya tidak berg...
Kampungku By

Fantasy

98.6K 501 8
Aktiviti Kemasyarakatan Dikampung Sangat Harmoni Dengan Kerjasama Penduduk Setempat Dalam Berbagai Perkara Yang Dilakukan Bersama-Sama Diatas Semanga...
3.2K 436 55
Bismillahirrahmanirrahim Mengandungi Himpunan kata-kata bijak dan penuh motivasi Sayyidina Ali r.a. (Gambar hanya hiasan).