MAWAR

By dearnovels

3.7K 62 1

Tajuk: MAWAR Penulis: ANIS AKHIR Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-47-9 POS PERCUMA ๐Ÿ€Untuk melanggan htt... More

BLURB
PROLOG
BAB 1
BAB 2
BAB 4
BAB 5
BAB 6
BAB 7
BAB 8
BAB 9

BAB 3

256 7 0
By dearnovels

BUNYI enjin kereta di halaman rumah menyebabkan Mawar berhenti memasak buat seketika. Dia terus ke depan pintu rumah apabila tetamu di luar tidak berhenti memberi salam.

"Assalamualaikum." Suara tetamu itu lagi, suara lelaki.

"Waalaikumusalam. Encik dan puan cari siapa ya?" tanya Mawar. Dia tidak mengenali dua figura di hadapannya ini.

"Kami nak berjumpa dengan Surti. Kami dah buat temu janji," jawab wanita yang berada di sebelah lelaki yang memberi salam tadi.

Barulah Mawar teringat akan tetamu yang diberitahu oleh Surti. "Marilah masuk dulu. Kak Surti ada di dalam bilik. Nanti saya panggil dia," ajak Mawar sambil mempelawa dua orang tetamu itu untuk duduk sementara dia memanggil Surti yang masih berada di dalam bilik.

Lelaki dan wanita itu mungkin berusia awal 30-an. Nampak masih muda tetapi wajah masing-masing kelihatan agak gundah. Mungkin ada masalah yang perlu mereka selesaikan bersama Surti nanti.

Mawar menghidangkan teh O panas bersama jemput-jemput.

"Jemput minum. Kejap nanti Kak Surti datang. Dia sibuk siapkan barang-barang dalam bilik," kata Mawar seraya duduk bertentangan dengan tetamunya itu.

Lelaki dan wanita itu hanya mengangguk kecil. Teh O panas dicicip perlahan. Mawar jadi buntu. Dia tidak tahu perkara apa yang perlu dia bualkan sekarang ini.

"Err... encik dan puan ni memang selalu datang sini ke?" tanya Mawar sekadar mengisi kesunyian.

"Tak, ni kali pertama kami datang sini. Lagipun, kami dapat tahu yang Surti ni pandai berubat. Sebab tu kami datang hari ni." Lelaki itu menjawab sambil menggenggam tangan wanita itu. Barangkali isterinya.

"Dari mana tahu yang Kak Surti pandai berubat." Sengaja Mawar cuba mengorek sedikit rahsia.

"Mawar! Panggilkan tetamu kita masuk ke dalam bilik." Belum sempat lelaki itu menjawab soalan Mawar, suara Surti memanggil membantutkan sesi perbualan itu tadi.

"Kak Surti dah panggil. Masuklah." Mawar menunjukkan arah ke bilik rahsia itu. Mawar hanya mengekor dengan lirikan matanya sahaja.

Mawar tidak mahu ambil peduli akan hal itu. Dia segera mengemas cawan-cawan dan pinggan lalu dibawa ke dapur.


CUACA tidak menunjukkan sebarang tanda mahu hujan. Angin lalu hanya datang sekejap-sekejap saja. Namun begitu, kain jemuran di ampaian tetap diangkat apabila sudah dipastikan semuanya sudah kering sepenuhnya. Mawar kumpulkan semua pakaian itu ke dalam bakul rotan sederhana besar. Hanya pakaiannya sahaja yang tersidai di situ.

Tidak nampak pula pakaian milik Surti. Mawar malas mahu mengambil tahu akan hal itu kerana dia lebih memikirkan di mana Surti berada sekarang. Sudah tiga hari mereka tidak bersua muka. Sungguh membimbangkan kerana Surti menghilang begitu sahaja.

Kali terakhir mereka berjumpa apabila datang sepasang suami isteri yang membuat rawatan bersama Surti tiga hari lepas. Kehilangan Surti itu membuatkan dia memikirkan perkara yang bukan-bukan. Dia teragak-agak mahu mencari Surti kerana dia tidak pasti di manakah sepatutnya dia mula mencari. Mawar semakin risau walaupun dia tahu bahawa Surti itu bukanlah budak kecil lagi. Kalau sesuatu perkara buruk terjadi bagaimana?

Pakaian tadi dilonggokkan di satu sudut di ruang tamu. Dia tidak berniat mahu melipat semua baju-baju itu buat masa ini. Mawar terduduk di sofa sambil tangannya ligat membetulkan kain batik arwah ibunya yang sedang dipakainya. Dia termenung jauh dan terus mencari idea di manakah harus dia mulakan pencarian untuk mencari Surti. Selalunya di manakah Surti selalu berada? Di dapur? Mana mungkin kerana selama ini Mawar sahajalah yang selalu ke sana. Di belakang rumah? Mungkin tidak, kerana buat apa Surti ada di sana. Mawar buntu. Dia terlalu risaukan keadaan wanita itu.

"Kak Surti ada pesan apa-apa ke sebelum ni? Atau aku yang terlepas pandang? Fikir Mawar fikir. Takkan aku tak ada idea langsung kut." Mawar menjadi bingung.

"Lepas laki bini tu datang, Kak Surti pergi dapur bersihkan barang-barang berubat. Lepas tu dia ke mana? Aduh sakit kepala aku fikir benda ni." Mawar membebel sendiri.

Tidak lama selepas itu, minda Mawar secara tiba-tiba teringatkan sesuatu. Matanya terus memandang ke arah bilik larangan itu. Mungkin Surti ada di dalam sana. Jarinya mengetuk perlahan pahanya sendiri beberapa kali. Menimbang baik buruk tindakannya itu membuatkan kakinya perlahan-lahan melangkah dan berdoa agar tidak ada perkara buruk yang akan berlaku.

Dia masih berkira-kira di hadapan bilik yang dia sendiri tidak pasti apakah yang ada di dalamnya. Apabila Mawar baru sahaja mahu memulas tombol pintu itu, tiba-tiba sahaja bahunya dicengkam kuat oleh seseorang. Mawar tergamam.

"Apa yang kau cuba buat ni?!" marah Surti.

"Saya tak buat apa-apa. Maafkan saya Kak Surti. Saya tak sengaja nak masuk ke dalam bilik ni. Saya cuma nak cari akak sebab dah tiga hari akak menghilang macam tu saja. Saya risau." Mawar jadi serba salah. Dia cepat-cepat beralih dari bilik itu.

"Sudah. Akak tak nak dengar alasan apa pun. Pergi masuk ke dalam bilik kamu. Ingat! Ini peringatan terakhir buat kamu. Jangan ulangi lagi kesilapan ni. Faham!" tegas Surti.

"Maafkan Mawar Kak Surti," bisik Mawar perlahan dan melangkah masuk ke dalam biliknya.


MAWAR mengurung diri di dalam bilik beberapa jam selepas dimarahi oleh Surti. Dia takut mahu berdepan dengan wanita itu. Dia menjadi gerun apabila teringatkan wajah Surti yang merah padam kerana menahan marah. Lain betul perwatakan Surti jika dia di dalam keadaan sebegitu rupa.

Perasaan bersalah masih bersarang di dalam diri Mawar. Dia bimbang jika Surti sudah hilang kepercayaan terhadap dirinya. Lebih menakutkan jika Surti menghalaunya keluar dari rumah itu. Ke mana dia mahu merempat nanti? Malangnya nasib si Mawar.

Mawar tidak bentah untuk terus berdiam diri. Dia nekad untuk memohon maaf sekali lagi. Dia segera keluar dari biliknya. Dia mencari Surti di ruang tamu tetapi tidak kelihatan Surti di situ. Matanya melilau mencari kelibat Surti dan akhirnya Mawar ternampak Surti yang sedang sibuk membaca surat khabar di pangkin rumah, Mawar cuba memberanikan diri untuk menegur Surti.

Mudah-mudahan Kak Surti tak marah aku lagi, doa Mawar dalam hati.

"Kak Surti, saya nak minta maaf pasal tadi"

Surti memandang sekilas ke arahnya sebelum meneguk air kosong yang ada di atas meja kopi di hadapannya.

"Sudahlah, Mawar. Akak dah maafkan kamu. Akak pun nak minta maaf juga sebab marahkan kamu dan tak bagi tahu kamu ke mana Kak Surti pergi selama ni."

"Terima kasih Kak Surti sebab sudi maafkan Mawar." lega Mawar.

"Akak, kalau saya nak tanya sesuatu boleh tak?" Mawar teragak-agak mahu bertanya.

"Boleh, nak tanya apa?" balas Surti lembut.

"Sebenarnya akak ke mana?"

"Tak ke mana-mana pun. Akak cuma ke kota carikan ramuan untuk ubatkan pesakit akak yang datang hari tu," jawab Surti ringkas sahaja.

"Oh... lamanya." Hairan juga Mawar dibuatnya.

"Akak menginap dua tiga hari dekat rumah kawan akak. Maaflah akak terlupa nak bagi tahu kamu. Selalunya kalau akak keluar cari barang untuk berubat memang ambil masa lama sikit."

Mawar terangguk-angguk mendengar penjelasan daripada Surti.

"Seronok jadi akak. Berdikari, cantik, boleh ubatkan orang lagi. Apa rahsia akak?" Mawar betul-betul ikhlas menyuarakan pertanyaannya.

"Apa yang seronoknya jadi Kak Surti? Kamu ni tak tahu atau buat-buat tak tahu. Takkan kamu tak pernah dengar apa yang orang kampung hebohkan. Kena maki, caci dengan orang kampung adalah. Lagipun bagi akak semua tu tak penting, yang penting hati kita yang mahukan sesuatu benda kita boleh dapat kalau kita betul-betul nak."

"Boleh saya jadi macam Kak Surti?" Mawar cuba menawarkan diri sendiri.

"Kamu berani nak buat apa yang akak buat? Dah cukup kuat nak jadi macam akak? Ibu kamu sendiri takut nak buat apa yang akak buat."

"Kenapa ibu takut? Bahaya ke?"

"Banyak benda yang harus kamu lakukan selepas itu. Terlalu banyak risiko. Tidak semudah yang kamu sangkakan." Surti berkata sambil memandang tepat ke arah Mawar untuk menunjukkan kata-katanya tadi adalah benar dan tulus.

"Kalau Mawar nak cuba?" Mawar belum berputus asa memujuk.

"Kenapa kamu tiba-tiba berminat?"

"Tak ada salahnya kalau saya nak cuba. Saya tengok Kak Surti boleh saja hidup sendiri macam ni. Ramai orang cakap Kak Surti bukan orang yang baik-baik. Tapi, akak macam tak kisah pun dengan semua tu. Akak dahlah cantik, muda. Lagipun saya sudah tidak ada sesiapa selepas ni kalau Kak Surti tinggalkan saya seorang diri nanti," kata Mawar dengan nada perlahan.

Surti bagaikan tidak percaya dengan kata-kata Mawar tadi. Dia tersenyum dengan keyakinan yang ada dalam diri Mawar. Tidak seperti ibu Mawar yang sentiasa menasihatinya agar tidak lagi melakukan perkara-perkara yang selalu Surti lakukan demi mendapatkan apa yang dihajati.

"Akak tiba-tiba teringatkan arwah ibu kamu. Akak tak percaya yang dia dah pergi buat selamanya. Tetapi akak yakin setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Tengoklah sekarang, kamu ada di sini sebagai pengganti. Terubat sikit rindu akak dekat dia."

Surti memeluk kuat anak kawan baiknya. Dia benar-benar percaya inilah takdir yang sudah ditentukan oleh Yang Maha Berkuasa. Mawar membalas pelukan itu dengan hati yang senang.

"Hujung minggu nanti ikut akak ke hutan. Kita cari ayam hutan. Dekat pasar tak ada yang segar-segar."

"Nak masak kari ayam ke kak?"

"Bukan, ayam hutan tu nanti jadi bahan utama dalam proses upacara kita nanti. Kamu kata nak jadi macam akak."

Mawar seakan-akan faham akan maksud Surti itu lalu kedua-duanya tersenyum penuh makna. Mawar menjadi tidak sabar menunggu hari itu. Dia bakal menjadi seorang gadis yang kebal, digeruni dan menjadi seseorang yang dia tidak pernah terfikir sebelum ini.

Ibu, Mawar tidak takut lagi jika bersendiri suatu hari nanti. Mawar berbisik dalam hatinya yang mula bertukar warna menjadi hitam.

Continue Reading

You'll Also Like

47.1K 1.5K 8
ููŽุชุงู‡ ู‚ูˆูŠุฉ ูˆ ู„ูƒูู† ุงู„ู‚ุฏุฑ ุฃู‚ูˆู‰ ู…ูู†ู‡ุง ุบุฏุฑุช ู…ูู† ุงู‚ุฑุจ ุงู„ู†ุงุณ ุŒ ุชุนุฐุจุช ูˆ ุถู„ู…ุช ู…ูู† ุงุดุจุงู‡ ุงู„ุฑูุฌุงู„ ูƒุงู†ุช ุชุญุจ ู„ูƒู† ุทุนู†ุช ูุฏุฎู„ ุฑุฌุงู„ ุขุฎุฑ ุฑุบู…ุง ุนูู†ู‡ุง ู‡ู„ ุณุชู‚ุน ููŠ ุงู„ุญูุจ...
55.3K 7.3K 78
"Se refiere a la belleza de corta duraciรณn de la flor de cerezo" โ•ฐโ”€โ”€โžข Advertencias โœง โž โ. Omegaverse < SLOW BURN โž โ. Todoroki Bottom! โž โ. Smu...
165K 6.9K 84
A girl whom I thought as my best friend standing before me with a knife to kill me. She stabbed the knife onto my chest and told me "He will not like...
6.9K 408 6
"๐˜ฟ๐™ค๐™ฃ'๐™ฉ ๐™ฉ๐™ค ๐™ฉ๐™๐™ž๐™จ ๐™ฅ๐™ก๐™ฏ , ๐™„ ๐™–๐™ข ๐™จ๐™ค๐™ง๐™ง๐™ฎ" She cried but her ๐™จ๐™ฉ๐™š๐™ฅ ๐™ข๐™ค๐™ฉ๐™๐™š๐™ง didn't show any mercy and beat her from ๐™„๐™ง๐™ค๐™ฃ ๐™ง๐™ค๐™™...