FALAH | Serunai Maut ✔

By Leena_syiha

858K 113K 15.6K

Seluruh dunia digemparkan dengan kematian beramai-ramai di sebuah feri mewah yang berlabuh di Pulau Jengka. ... More

Pengumuman
Prolog
| Linda | 1
| Linda | 2
| Linda | 3
Serunai Maut | Henry | 4
Serunai Maut | Henry | 5
Serunai Maut | Henry | 6
Serunai Maut | Henry | 7
Serunai Maut | Henry | 8
Serunai Maut | Falah | 9
Serunai Maut | Iman | 10
Serunai Maut | Falah | 11
Serunai Maut | Falah | 12
Serunai Maut | Falah | 13
Serunai Maut | Henry | 14
Serunai Maut | Henry | 15
Serunai Maut | Falah | 16
Serunai Maut | Falah | 17
Serunai Maut | Falah | 18
Serunai Maut | Falah | 19
Serunai Maut | Falah | 20
| Henry | 21
| Falah | 22
| Falah | 23
| Falah | 24
| Iman | 25
| Nuna | 26
| Falah | 27
| Falah | 28
| Tok penghulu | 29
| Razak | 30
| Falah | 31
| Mona | 32
| Jibt | 33
| Mona | 35
| Falah | 36
| Falah | 37
| Falah | 38
| Linda | 39
| Falah | 40
| Gimbaran | 41
| Andika | 42
| Kevin | 43
| Tok penghulu | 44
| Bunga | 45
| Nuna | 46
| Linda | 47
| Falah | 48
| Anjana | 49
| Bunga | 50
| Falah | 51
| Falah | 52
| Nuna | 53
| Embun | 54
| Linda | 55
| Henry | 56
| Falah | 57
Epilog
Sambungan Serunai Maut

| Nyai | 34

12.1K 1.7K 102
By Leena_syiha

NENEKNYA ialah seorang yang sangat penyayang. Dari kecil menjaganya dengan penuh kasih sayang dan prihatin. Tidak pernah walau sekali mengabaikannya di dalam hutan ini. Makan minum pakainya semuanya disempurnakan neneknya dengan lengkap, dijahit semua pakaiannya dengan penuh ketekunan dan kekemasan.

Dan dari kecil juga dia dididik untuk menjadi berani hidup di hutan ini, setiap hari neneknya akan mengajaknya keluar untuk memburu. Dia masih ingat waktu itu umurnya baru tujuh tahun dan neneknya yang waktu itu masih gagah telah mengajarnya melontar lembing. Masih jelas di ingatannya, binatang pertama yang mereka berjaya tangkap bersama ialah rusa. Dan dengan rusa itu mereka telah makan kenyang selama enam malam lamanya. Kejayaannya dibangga-banggakan neneknya begitu sekali. Selepas itulah dia mula menjadi berani, keluar berseorangan sahaja ke hutan mencari buah-buahan yang tidak beracun. Berseronok bersama binatang jinak. Memburu binatang itu dan binatang ini. Namun hanya satu dia tidak diizinkan yaitu mandi di sungai dan sehingga sekarang dia tidak pernah lagi mandi di sungai berdekatan itu. Neneknya melarang untuk mandi di situ.

Sehinggalah kini dia sudah menjadi seorang gadis dewasa, yang mampu berdikari dengan sendirinya, menjadi penyara hidup sejak neneknya sering sakit-sakit. Tiada tempat bergantung melainkan diri sendiri untuk mencari makan dan sebagainya.

Namun sayangnya pada Nyai tak pernah pudar, malah semakin kerap Nyai sakit semakin dia rasa sedih dan sayu melihat keadaan Nyainya itu setiap hari.

Tidak pernah walau sekali dia merasakan Nyai ialah beban untuknya, malah baginya Nyai ialah anugerah. Anugerah untuk dia jaga.

"Mona,"

Dia menoleh lantas tersenyum. Raga yang dia sedang anyam diletak tepi seketika. Dia turun dari pangkin lalu menghampiri Nyai yang berdiri di muka pintu rumah.

"Kenapa Nyai mahu keluar? Bukan Mona sudah kata berdiam dalam rumah sahajalah. Di luar terik sekali surianya." Mona membantu neneknya memakai selipar. Dua lengan tua itu dipimpin agar tidak jatuh. Entah kenapa sejak dua menjak ini neneknya selalu lemah-lemah dan tidak larat. Sebarang kerja tidak mampu dibuat Nyai. Tidak dapat tidak dialah yang akan menganyam raga untuk diisi ikan dan juga keluar memburu.

Nyai tersenyum lemah, berjalan perlahan menuju pangkin. Mona setia memimpin sehinggalah neneknya selamat duduk di atas pangkin. Nyai menghela nafas panjang-panjang. Kedengaran merengkungi pernafasan tuanya. Mona turut duduk di pangkin, kembali menyambung menganyam raga.

Sesekali dia mengerling pada Nyai yang tampak merenung jauh ke dalam hutan. Mata jernih itu terkebil-kebil menatap ke dalam semak samun itu.

"Apakah yang sedang difikirkan Nyai?" Mona menyibuk hendak tahu.

Nyai senyum memandang Mona. Senyumannya sangat manis.

"Mona tidak bosan berada di sini? Tidak terasa ingin keluar dari hutan ini?" Nyai membuka soalan yang selama ini dia pendam seorang diri sahaja. Matanya bening menatap Mona.

Mona terdiam. Jarinya berhenti menganyam.

"Nyai.." Dia bersuara penat. "Apa Nyai cakap ini?" Mona jatuhkan bahunya. Raga diletak atas riba sekejap.

"Nyai kasihan sama Mona. Mona berhak hidup bebas di luar sana, seperti anak muda lain."

Mona menggeleng. "Nyai, inilah hidup Mona. Ada Nyai, ada hutan, ikan, rusa dan semua ini. Kalau Mona keluar dari semua ini, Mona boleh mati. Jadi Mona tak akan sesekali keluar."

Wajah Nyai bertukar redup. "Tapi bukankah Mona juga berhak hidup bebas?"

"Bebas bagaimana Nyai? Adakah sekarang Mona tidak bebas? Mona bebas Nyai! Mona bebas ke mana sahaja yang Mona mahu! Mona bahagia dengan keadaan Mona sekarang."

"Mona." Nyai tampak kesedihan.

"Sudahlah Nyai, jangan cakap apa-apa lagi. Mona cuma mahu Nyai tahu, Mona bahagia di sini." Mona langsung tidak memandang neneknya, buat-buat ralit dengan raga di tangan. Dia tak suka bila Nyai bangkitkan isu kebebasannya sebagai gadis biasa. Apa selama dua puluh tahun dia tinggal di sini dia tidak bahagia?

"Mona dengar dahulu bicara Nyai."

Mona berhenti menganyam apabila terasa pipinya disentuh tangan tua milik Nyai. Nyai memaksanya mengangkat muka. Mona perlahan megangkat muka. Dilihat Nyai sudah menangis. Wajah berkedut itu bertambah pucat apabila dihiasi air mata.

"Nyai.." Mona mula serba salah.

"Mona dengar baik-baik apa yang Nyai ingin bicara ini."

Mona terdiam.

"Satu waktu nanti Nyai tetap akan pergi.." Nyai mulakan bicara.

Mona ketap bibir mendengar ayat itu.

"Nyai sudah tua, Mona. Nyai sudah tidak lama."

"Nyai.." Mona hendak menangis.

Nyai menggeleng bersama senyuman. "Jangan sedih. Jadi perempuan yang kuat. Mona kuat bukan?"

Mona tidak sedar bilakah matanya penuh dengan air.

"Ingat pesanan Nyai baik-baik,"

Air mata Mona jatuh. Hatinya sayu.

"Jika satu hari nanti kamu pulang dari hutan dan kamu dapati Nyai sudah tiada, jangan lemah."

Mona menunduk, menangis perlahan. Tidak sanggup rasanya dia untuk membayangkan situasi itu.

Nyai tetap mengusap pipi cucunya, sesekali air mata kesayangannya itu dilap dengan jemari tuanya.

"Ketika itu jadi kuat dan berdikari, jangan sesekali lemah dan rapuh. Mona perlu keluar dari rumah ini dan mulakan perjalanan"

Mona mengangkat wajah yang sudah basah itu, menatap neneknya. Pesanan Nyai menarik perhatiannya.

"Perjalanan yang sebelum ini Nyai tangguhkan, kamu perlu sambung."

Air mata Mona mengering. "Perjalanan apa Nyai?"

Nyai berwajah serius. "Perjalanan menuju timur."

"Ada apa di timur?" Mona berkerut.

"Di sana terletaknya sebuah teluk, Teluk Nyai namanya."

"Nyai?" Mona terkebil pantas.

Nyai tersenyum. "Ya, Teluk Nyai. Nyai bermaksud nenek. Tidak khusus pada Nyai di hadapan kamu ini sahaja. Semua wanita tua berhak mendapat nama itu." Nyai berseloroh.

Mona tersengih cuma. Hilang sekejap sedihnya. Ya benar bukan Nyai itu khusus pada neneknya sahaja.

"Kamu tahu apa ada di sana?" Nyai kembali serius.

Wajah Mona berubah. " Apa ada di sana?"

"Sebuah kerajaan."

Mona jeda.

"Kerajaan yang dimiliki seorang wanita yang sangat hebat. Namun sangat kejam. Dia membunuh ramai orang."

Mona berkerut seriau. "Kenapa Mona tidak pernah tahu pun kisah ini?"

"Kerana Nyai tidak mahu hidup kamu terganggu dengan kewujudan kerajaan itu. Nyai mahu kamu hidup dengan aman."

Mona terharu.

"Jadi kamu perlu sambung perjalanan Nyai, pergi ke sana."

"Untuk apa Nyai?" Mona kecut perut.

"Untuk membalas dendam."

"Huh?"

"Wanita itu, dia telah membunuh kedua orang tuamu."

Mata Mona membesar. "Aa..apa? Tapi sebelum ini Nyai kata mereka terbunuh dek serangan gajah hutan.."

"Nyai berbohong." Jujur Nyai katakan.

Mona tergamam.

"Nyai tidak mahu kamu terus berfikir tentangnya. Tapi kini kamu harus memikirkannya. Tanggungjawab ini jadi milik kamu. Kamu perlu cari perempuan jahat itu dan balas dendam."

"Bagaimana Mona ingin membalas dendam?" Suara Mona bergetar.

Nyai beraut sedih. "Dua orang tuamu dijumpai dalam keadaan rentung tanpa api yang membakarnya, maka kamu juga perlu membakar tubuhnya nanti."

Mona dapat merasakan perutnya memulas. Mendengar perkataan bakar sahaja sudah buat dia tertelan liur.

"Mona tahu kenapa kita tidak boleh menyalakan api yang terang pada waktu malam?"

Mona angguk. "Nyai pernah beritahu bahawa pulau ini tidak mengizinkan cahaya yang terang pada waktu malam bukan?"

"Benar, namun hakikatnya yang melarang daripada memasang cahaya yang terang itu ialah wanita itu. Dia sangat bencikan cahaya. Kerana itu sesiapa yang memasang cahaya maka akan terdengar bunyi serunainya lalu tubuhnya akan terbakar secara perlahan-lahan, dan itulah yang terjadi pada kedua orang tuamu."

Mona mengepal tangan. Hatinya perit membayangkan semua itu. Jahatnya perempuan itu.

"Perempuan itu punya serunai yang sangat hebat, berhati-hati dengan bunyi serunainya. Dengan serunai itu dia membunuh dan melunaskan amarahnya."

Nyai menghela nafas berat. Dua tangan Mona dipegang. Menyalurkan kekuatan.

"Mona perlu cari dia, cari dia di Teluk Nyai dan lunaskan dendam keluarga kita."

Mona terdiam menatap mata neneknya. Dia tidak yakin dengan dirinya. Dia tidak hebat. Bagaimana orang selemah dia hendak kalahkan seorang perempuan yang memiliki sebuah kerajaan?

"Nyai merayu pada Mona. Buat demi Nyai, Bonda dan Bapa."

Mona menghela nafas. Perlahan dia tersenyum.

"Mona akan cuba, Nyai."

Nyai tersenyum juga lantas mengusap kepala Mona. Sayangnya pada cucunya melimpah ruah.

SUDAH tiga jam berlalu, dan Mona tetap duduk di situ. Membatu di sisi neneknya. Seolah tidak mahu berganjak ke mana-mana. Mukanya beku. Hanya berbekas sedikit air mata yang sudah surut sejak sejam lalu.

Hakikatnya gadis itu benar-benar mengalami kejutan tak terhingga atas apa yang terjadi. Sehingga apa yang dia mampu lakukan hanyalah terduduk di sini tanpa mempedulikan sesiapa.

Entah untuk kali ke berapa, Iman berulang alik memasuki rumah untuk menjenguk keadaan Mona. Jam sudah menunjukkan pukul 0130 pagi namun perasaan kantuk mereka bertiga tidak berbaki walau sedikit atas apa yang telah terjadi.

"Macamana?" Henry bertanya sebaik sahaja Iman keluar dari rumah. Falah yang baru selesai solat malam mengangkat wajah. Masa senggang ini dia gunakan sebaiknya untuk melakukan ibadah itu. Henry pula menyertainya hanya pada dua rakaat pertama kemudian abang iparnya itu lebih gemar membuat kerja sendiri.

Iman menarik nafas dalam-dalam kemudian menghembuskanya. "Still macam tu." balasnya seraya mendekati Henry dan Falah yang duduk bersebelahan itu. Duduk dilabuhkan.

Henry menghela nafas. Dahi diurut seketika. "Apa kita nak buat sekarang? Takkan nak tunggu sampai berjam-jam lagi?" Pandangannya jatuh pada Falah.

Falah membalas pandangan abang iparnya. Diam sejenak. Iman turut menunggu bicara Falah.

"Apa cadangan abang?" Falah mengembalikan soalan pada Henry. Tadi dia yang mengesyorkan supaya menunggu Mona sehingga gadis itu bertenang tapi sehingga sekarang gadis itu tidak tenang-tenang. Entah sampai bila Mona akan duduk di tepi mayat itu.

"Kita.." Henry tampak berfikir. Iman dan Falah menunggu serius.

"..tidur?" sambungnya seraya mengangkat kening sebelah.

Terus Falah dan Iman tertawa dengan cadangan itu.

"Apa benda you ni? Adoilah.." Iman tergeleng kepala.

Henry tak faham. "Tak, masalahnya sekarang ni tengah malam kan? Jadi mestilah kita kena tidur."

"Memanglah kita perlu tidur tapi you pun tahu situasi sekarang. Mona belum lagi elok, mayat Nyai pun belum diuruskan. You ni asyik nak tidur je."

"Dah mengantuk mestilah tidur, takkan nak masak nasi pulak." Sempat lagi Henry loyar buruk.

Iman naikkan mata ke atas. Dalam situasi tegang macam ini pun Henry sempat lagi buat lawak bodohnya.

"Kita perlu tunggu Mona selesai tenangkan diri, lepas itu kita kena siasat mayat Nyai itu. Bukan Falah sudah kata pada abang tadi?" Falah akhirnya menyampuk.

Iman terangguk-angguk. "Haa betul tu, Bukan Falah Sudah Kata tadi 'abang'?" Iman mengajuk bicara Falah sekaligus memerli Henry.

Falah tersenyum lucu manakala Henry tayang muka penat.

"Daripada you mengeluh macam tu baiknya you solat tahajud ke macam Falah, berfaedah sikit." Iman sudah bangun dari duduknya. Menepuk sedikit belakang bajunya yang berhabuk.

"Kata dekat orang.." Henry mencebik.

"Yalah, sebab I nak kena pantau Mona. Jadi I tak boleh solat. Dahlah I masuk dulu, nak pergi jumpa Mona. Mana tahu dia dah okay, boleh sembang."

Henry kecilkan mata memandang Iman yang sudah pun melangkah ke pintu rumah. Tak berpuas hati.

Falah yang memerhati tidak dapat menahan senyuman. Ada sahaja perkara yang hendak dibahaskan oleh pasangan suami isteri ini.

IMAN memerhati dari tepi pintu. Wajah manis Mona ditatap lama.

Tampak kusam dan tak bermaya. Mata bening itu menatap sayu mayat neneknya. Namun Iman sedar ada kemarahan dalam mata itu. Dan kerana pintasan kemarahan itulah Iman masih tidak berani menegur.

Namun dia tetap kena menyedarkan Mona dari kesedihan, kerana apabila Mona sudah elok - perkara pertama yang Iman akan minta dari gadis itu ialah hendak memeriksa jasad rentung Nyai itu.

Jasad itu sangat berharga untuk mereka. Ianya ialah satu titik utama dalam sebuah penyiasatan. Apabila melihat mayat Nyai ini sama seperti mayat-mayat di Feri Miranda Gold, maka sememangnya dia dan Henry terus berhasrat teguh untuk memeriksa mayat ini.

Adakah sama strukturnya seperti mayat-mayat di Miranda Gold?

Jika sama, maka mereka telah bertemu dengan sesuatu yang berharga dalam kertas siasatan ini.

Namun hingga sekarang, Iman masih teragak-agak hendak menegur. Mona masih baru dikenalinya sebentar tadi. Jadi dia tidak berani untuk menegur lebih-lebih.

Iman memejam mata sejenak. Mengambil kekuatan sebaiknya sebelum melangkah masuk ke dalam bilik yang berbau hamis itu. Bau mayat yang dibakar. Sangat sangat busuk. Sehingga Iman spontan menelan liur kelat sebaik terhidu bau ini, tapi mayat dan seorang penyiasat seperti dia hakikatnya sudah sebati.

Dia melangkah perlahan menghampiri Mona, sehinggalah dia berdiri di sisi gadis itu - dia melabuhkan cangkung. Bertinggung di sisi Mona yang bersimpuh penuh kesedihan itu.

"Mona.." teragak-agak tangannya naik mengusap belakang Mona.

Mona tampak tersentak sedikit. Perlahan dia menoleh pada Iman. Bibirnya pucat membeku.

"Kakak.." suara seraknya keluar. Mata jernihnya menatap sayu wajah Iman.

Iman mengelus rambut panjang Mona agar tidak menyerabutkan wajah gadis itu. Perasaan simpati mengalir. "Mona baik-baik saja kan?"

Mona terdiam. Menatap dalam-dalam wajah Iman. Kemudian sejenak dia menundukkan wajah.

"Kenapa kakak masih ada di sini? Bukankah kakak sepatutnya meneruskan perjalanan bersama teman-teman kakak?" Soalnya dengan nada sedih.

"Kami tak sanggup tinggalkan Mona sendirian begini." Iman berkata jujur.

Tidak semena bibir Mona tercebik. Kemudian disambung dengan esakan. Gadis itu tiba-tiba menangis.

"Eh Mona, kenapa ni?" Iman cemas.

"Ti.. Tiada siapa pernah kasihankan saya selain Nyai.. Kakak dan rakan-rakan ialah orang pertama." Mona menangis tersedu-sedu.

Iman tidak terkata. Spontan tangannya naik memeluk bahu Mona. Digosok-gosok bahu gadis itu dengan maksud memujuk.

"Saya sangat sayangkan Nyai kakak. Nyai jaga saya dari kecil. Tapi kenapa dia tinggalkan saya.." Mona kesedihan teramat.

"Mona jangan sedih begini. Nyai pasti tidak suka jika melihat Mona lemah begini." Iman berterusan memujuk.

Tangisan Mona serta merta surut. Dia lekas mengelap air mata di pipi. Tubuhnya dijarakkan dari Iman. Matanya jatuh pada mayat Nyai di hadapannya.

"Benar, Nyai tidak suka melihat saya lemah. Nyai berpesan agar saya terus kuat walau apa pun yang terjadi." Ujarnya masih tersedu-sedu.

Iman terangguk-angguk. Mengiyakan sahaja kata-kata Mona.

Mona membersihkan mukanya dengan hujung lengan bajunya, segala cecair dikesat tanpa rasa jijik. Apa dia mahu hanyalah kesan tangisan tadi sudah tidak berbaki, hanya tinggal wajahnya yang sembap sahaja.

Dia kemudian menarik nafas dalam-dalam. "Baiklah.." nafas dihembus. "Mona akan tunaikan permintaan Nyai. Mona akan sambung perjalanan Nyai. Mona berjanji Mona akan cari dia sampai dapat." Mona meneguhkan jiwanya. Berkata keras dalam nada seraknya.

Iman yang mendengar berkerut pelik.

"Mencari siapa Mona?" Ayat itu menarik perhatiannya.

Mona memandang Iman. Wajahnya tegas. "Mencari orang yang membunuh kedua orang tua saya dan juga Nyai." jawabnya dengan keras.

Wajah Iman berubah.

"Mona tahu siapa?" Soalnya dengan berdebar.

Mona mengangguk pantas. Dengan mata yang berbirat tajam dia merenung kawasan hadapan.

"Saya tahu. Dia punya serunai yang membunuh."

Mata Iman membesar.

"Saya berjanji Kakak, apabila sahaja saya berjumpa dengan dia.. Saya tak teragak-agak untuk membunuhnya. Dia telah meragut nyawa semua kesayangan saya. Maka saya akan membunuh dia dengan cara yang lebih kejam."

Iman tak terkata. Perutnya rasa sakit secara tiba-tiba.

"Perempuan itu berada di Teluk Nyai. Saya dah tahu semuanya. Dia akan bunuh sesiapa sahaja yang menimbulkan amarahnya dengan meniup serunainya." Mona menarik hingus. Masih bersemangat.

"Tapi saya akan bunuh dia dengan tangan saya sendiri. Saya akan jadi lebih kuat dari dia." Mona menghembus nafas berkali-kali. Lagak singa yang sedang menderam marah.

"Mona.." Iman memanggil perlahan.

Mona memandangnya dengan raut serius.

"Mona tahu apa nama perempuan itu?" Iman bertanya dengan berhati-hati.

Mona berkerut mendengar soalan tersebut.

Perlahan dia menggeleng. "Nyai tidak memberitahunya."

Iman rasa tak sedap hati. Nafasnya tersekat-sekat.

"Betul Mona tidak tahu?"

"Kenapa kakak tanya? Kakak kenal dia kah?" Mona bertanya kembali.

Iman mengetap bibir.

"Kakak kenal dia tapi belum pernah jumpa dia."

"Samalah dengan saya."

"Kamu tahu kenapa kakak dan yang lain ada di hutan ini?"

"Kenapa?"

"Kerana kami ingin mencari perempuan itu juga."

Mata Mona membesar. "Bermaksud kita mencari perempuan yang sama?!" Ada nada girang dalam suara itu.

"Ya benar. Tapi kenapa Nyai tidak memberitahu Mona tentang namanya?" Iman rasa curiga.

"Mungkin Nyai tidak tahu." Mona membalas.

"Mustahil wanita setua Nyai tidak tahu." Iman jatuhkan pandangan pada mayat rentung itu.

"Kakak tahu namanya?"

Iman pandang Mona apabila terdengar soalan itu.

Wajahnya serius.

"Tahu." Perlahan dia menjawab.

"Apa namanya?" Mona ingin tahu.

Iman terdiam. Nafasnya bergerak perlahan.

"Mona."

Satu suara lain menyampuk.

Serentak Iman dan Mona memandang ke muka pintu. Terlihat Falah sedang berdiri di situ, Henry tidak kedapatan di mana-mana.

"Nama perempuan itu Mona."

Dan Mona tergamam.

Continue Reading

You'll Also Like

Suamiku Mr.Bad Boy By qiss

Mystery / Thriller

717K 30.7K 54
Hanania gadis yang naif dan ceria terperangkap dengan seorang lelaki yang bad boy secara tidak sengaja di dalam lif. Pertemuannya membuat dia jatuh c...
473K 27.7K 57
Sebuah kisah cinta karya Sabrina Marrose. Yara Ameena Syed Attar Mula: 8/9/2023
1M 38.6K 57
𝐔𝐧𝐝𝐞𝐫 𝐓𝐞𝐧𝐠𝐤𝐮 𝐒𝐞𝐫𝐢𝐞𝐬 𝐕𝐨𝐥 𝟐 𝐊𝐧𝐨𝐰𝐧 𝐀𝐬 𝐇𝐢𝐬 𝐏𝐫𝐞𝐜𝐢𝐨𝐮𝐬 𝐖𝐢𝐟𝐞 𝐓𝐞𝐧𝐠𝐤𝐮 𝐇𝐚𝐟𝐟𝐚𝐳 𝐃𝐚𝐢𝐲𝐚𝐧 | 𝐃𝐚𝐫𝐢𝐬𝐚...
1M 42.5K 72
Dhiya tidak pernah menyangka perasaannya terhadap Kasyaf akan sedalam itu. Sedangkan Kasyaf milik sahabatnya sendiri, Medina. "Kalau aku nak kahwin d...