MAWAR

By dearnovels

3.7K 62 1

Tajuk: MAWAR Penulis: ANIS AKHIR Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-47-9 POS PERCUMA ๐Ÿ€Untuk melanggan htt... More

BLURB
PROLOG
BAB 2
BAB 3
BAB 4
BAB 5
BAB 6
BAB 7
BAB 8
BAB 9

BAB 1

478 7 0
By dearnovels

LAMPU neon dimatikan suisnya yang terletak bersebelahan dengan pintu bilik. Dalam kelam Mawar perlahan-lahan berjalan menuju ke arah katilnya di hujung almari pakaian yang sudah tidak berpintu.

Buk!

Mawar menghempaskan dirinya di atas katil beralaskan tilam nipis bercadarkan kain yang sudah luntur warnanya. Matanya terkebil-kebil di dalam gelap. Buat seketika dia memejamkan matanya. Terasa panas air mata menurun perlahan ke pipi. Sunyi. Dia berasa sunyi. Rumah ini sudah menjadi sunyi.

Tiada lagi bunyi batuk yang keluar dari kerongkong ibunya. Tiada lagi bunyi ibunya yang sedang mengerang kesakitan akibat kekejangan otot di bahagian kaki tuanya. Tiada lagi bunyi keriuk papan yang menjadi alas rumahnya akibat larian kecil Mawar sewaktu dia cuba mendapatkan ibunya yang termuntah di bilik sebelah.

Mawar memasukkan selimut ke dalam mulutnya lalu menjerit kuat.

"Arghhh!"

Mawar betul-betul tertekan saat ini. Dia kini sudah tidak mempunyai sesiapa. Hidupnya kosong.

"Ibu, kenapa ibu? Mawar takut ibu," rintih Mawar dengan air matanya yang semakin lasak membasahi sebahagian kecil selimut dan bantal tidurnya. Dia menangis semahunya sehingga terlelap bersama sisa tangisan yang semakin mengecil.


TIKA ini dia dapat merasakan seolah-olah waktu itu berjalan dengan perlahan. Melihat air sungai yang bergenang ditiup angin bersama keluh yang menyeksa dirinya. Menanti perahu yang bakal membawa diri ke sebuah tempat yang begitu asing baginya. Tiada pilihan yang perlu dia buat. Tiada pengiraan yang perlu dia selesaikan.

Di sana sahajalah yang dia akan berunding tentang masa hadapannya. Dia tidak pernah ke sana sebelum ini. Kali ini dia nekad membawa diri tanpa ibu di sisi membuatkan Mawar berasa sebak dan sepi. Air matanya sudah lama kering sejak semalam lagi.

"Aku harap semuanya baik-baik saja," doa Mawar tanpa sedar.

Perahu yang ditunggu-tunggu sudah tiba bersama dua orang penumpang dari seberang sana. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Barangkali mereka ialah sepasang suami isteri ataupun abang dan adik. Mawar tidak begitu pasti dan tidak perlu sebenarnya untuk dia berfikir akan hal itu. Selesai sahaja bertukar tempat, tanpa disuruh perahu itu berlayar perlahan meninggalkan jeti kayu yang sudah uzur itu. Menyusuri sungai yang memisahkan dua buah kampung yang dahulunya bersatu tetapi kini berpisah dek ditimpa badai.

Wajah sunggul yang dipamerkan oleh Mawar membuatkan pak cik perahu kehairanan.

"Kamu mahu ke mana seorang diri? Tak elok anak gadis macam kamu merayau-rayau lewat petang macam ni. Bahaya," tanya pak cik perahu itu.

Pertanyaan itu tidak disambut mesra oleh Mawar. Pandangannya menjadi sayu. Dia terasa hati dengan telahan pak cik itu. Layakkah dia dilabel sebagai 'gadis rayau' sedangkan dirinya sedang ditimpa seribu satu rasa kesedihan. Atau mungkinkah soalan pak cik itu hanya ingin menunjukkan rasa prihatin terhadap dirinya yang naif. Mawar tidak mampu merungkai segalanya. Jiwanya kacau ketika ini.

"Saya mahu ke rumah saudara saya di Kampung Ulu Jawa. Sebenarnya saya baru sahaja kehilangan ibu. Jadi saya mahu ke kampung sana untuk tumpang bermalam." Mawar berterus terang setelah sekian lama dia berdiam diri.

"Maafkan pak cik ya, nak. Kuat betul hati kamu. Kamu memang seorang diri dari tadi? Ayah kamu ke mana?" Sengaja dia melanjutkan perbualan agar suasana tidak menjadi begitu sunyi.

"Ya, saya datang sini seorang diri. Saya anak tunggal pak cik. Ayah saya sudah lama meninggal dunia. Sekarang ni saya hanya ada Kak Surti saja di kampung sana."

"Kak Surti? Surti Junida?" Pak cik perahu menunjukkan riak terkejut.

" Ya. Kenapa pak cik?"

"Tak ada apa. Macam mana kamu boleh kenal dengan dia?"

"Dia kawan baik ibu saya. Pak cik kenal dengan Kak Surti?" Mawar juga inginkan kepastian.

"Siapa saja yang tidak kenal dengan bomoh Surti Junida tu. Dulu dia antara bomoh yang terhandal di situ. Dia boleh sembuhkan pelbagai penyakit luar biasa. Kamu sebut sahaja apa penyakit kamu pasti dia dapat sembuhkan," kata pak cik perahu tanpa memandang wajah Mawar.

"Dia pakai orang dalam. Kamu fahamkan maksud pak cik? Dia juga pernah bomohkan diri sendiri sampai dia jadi cantik begitu," sambungnya lagi tetapi dengan suara separuh berbisik.

"Tidak tahu pula saya yang Kak Surti tu bomoh. Ibu saya pun tak pernah bagi tahu saya apa-apa sebelum ini." Hairan Mawar kerana dia tidak tahu akan perkara itu. Nampaknya dia baru sahaja menerima satu berita baru.

"Umur kamu berapa?"

"21 tahun."

"Muda lagi, Surti tu kamu layak panggil dia Mak Surti. Mungkin dia sebaya dengan ibu kamu. Umur dia dah mencecah 50 tahun."

"Biar betul pak cik. Saya tengok dia macam lebih muda daripada ibu saya." Mawar tidak percaya dengan telahan pak cik itu.

Mana mungkin wanita jelita itu sudah berusia sebegitu tua. Mungkin pak cik itu sudah tersilap orang. Sebab, takkan hanya seorang saja yang bernama Surti di kampung itu.

"Macam pak cik cakapkan tadi. Dia bomohkan diri sendiri. Tapi tu apa yang pak cik dengarlah daripada orang kampung. Apa yang boleh pak cik nak pesan dekat kamu, hati-hatilah dengan dia atau sesiapa pun. Lagi satu dia tu boleh buat apa sahaja yang dia mahu. Ramai orang kampung yang tak senang dengan dia. Tapi, ramai juga yang pergi minta tolong dengan dia bila tengah susah."

"Pak cik jangan risaulah. Saya kenal dia. Dia selalu datang ke rumah melawat ibu saya semasa ibu tengah sakit. Saya tengok dia baik orangnya."

"Menilai seseorang bukan sekadar melihat daripada pandangan mata sahaja. Dia mungkin baik dengan ibu kamu tapi tak semestinya dia baik dengan kamu. Pak cik bukan nak burukkan sesiapa. Pak cik hanya mahu beri nasihat sahaja."

Mawar termangu mendengar kata-kata pak cik itu. Susah dia mahu terima berita yang baru didengarinya kerana dia sendiri pernah bertemu dengan Surti sewaktu ibunya sakit dahulu. Tidak pula Surti menunjukkan sisi gelapnya sepanjang tempoh itu. Bercakap dengan ibunya juga sopan sahaja.

"Kita dah sampai ni. Kamu tak payah bayarlah. Simpan duit tu guna pada waktu terdesak nanti."

"Terima kasih pak cik."

"Sama-sama. Hati-hati berjalan ke sana nanti. Dekat kampung waktu-waktu macam ni banyak penyangak yang tak bertamadun."

"Baiklah pak cik. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam."


MAWAR berjalan kaki seorang diri sepanjang jalan yang hanya dikelilingi hutan. Tidaklah begitu tebal tetapi masih mampu memberikan udara sejuk dan nyaman. Terubat sedikit kegusaran di hati Mawar yang sedang berduka lara. Hampir setengah jam sebelum dia tiba di sebuah rumah kayu berwarna ungu. Walaupun dia tidak pernah ke rumah Surti sebelum ini, tetapi dia tahu bahawa hanya rumah Surti sahaja yang dicat warna itu seperti yang pernah dikhabarkan oleh arwah ibunya.

"Assalamualaikum..."

Tidak lama selepas itu, salamnya disambut lembut.

"Waalaikumusalam. Mawar? Kenapa kamu boleh sampai ke sini waktu-waktu macam ni? Mana ibu kamu?" tanya Surti kehairanan sambil menyambut salam yang dihulur oleh Mawar. Kemudian, pipi bertemu pipi tiga kali. Cukup syarat.

"Ibu sudah meninggal malam semalam Kak Surti," jawab Mawar perlahan.

"Innalillah... Mari masuk ke dalam Mawar," pelawa Surti.

"Kasihan kamu Mawar. Kenapalah nasib kamu boleh jadi begini? Kak Surti nak tanya ni, apa yang membuatkan kamu ke sini? Kamu ada apa-apa masalah?" Surti bersimpati dengan nasib yang ditimpa oleh Mawar.

"Boleh tak kalau saya nak tumpang bermalam di rumah Kak Surti sehari dua?" Mawar menyuarakan hasratnya.

"Boleh saja tapi kenapa dengan rumah kamu?"

"Tuan rumah dah ambil semula rumah tu."

"Tuan rumah? Bukannya rumah tu peninggalan arwah ayah kamu? Kenapa boleh muncul pula tuan rumah ni? Siapa pula yang mengaku tuan rumah sekarang ni?" Surti tidak senang akan berita itu.

"Ibu ada banyak hutang dengan Haji Taib tu. Saya tak ada duit nak bayar semua hutang-hutang. Jadi, saya beri rumah tu sebagai ganti."

"Kenapa kamu buat keputusan terburu-buru? Kenapa tak bincang dulu dengan Kak Surti atau sesiapa yang lebih tua?"

"Maafkan saya Kak Surti. Saya buntu. Saya tak tahu nak buat apa. Saya dah tak ada pilihan." Air mata Mawar mula bergenang dan akhirnya menitis membasahi pipi gebu milik Mawar.

"Kak Surti tak marahkan kamu. Tapi, rumah tu hak kamu. Kamu seharusnya pertahankan bukannya senang-senang serahkan kepada sesiapa. Kak Surti tak ada masalah kalau kamu mahu tumpang di sini. Tetapi ada syaratnya."

"Syarat? Apa syaratnya Kak Surti? Bagi tahu saya, saya sanggup lakukan apa sahaja."

"Kamu ingat Kak Surti mahu mendera kamu? Bukan itu maksud Kak Surti. Macam ni, setiap malam selepas sahaja kamu makan malam, kamu mesti masuk ke dalam bilik. Jangan keluar sampai subuh esoknya. Lagi satu, kamu nampak bilik tu? Jangan cuba-cuba nak masuk ke dalam tu. Tempat lain kamu boleh pergi melainkan bilik itu sahaja. Faham?"

"Faham Kak Surti." Mawar mengangguk dan tersenyum senang kerana bukanlah berat mana syarat yang perlu dia patuhi.

"Bukannya apa, akak ni kerja bukan macam orang lain. Ada pantang larang yang perlu Kak Surti jaga. Kamu jangan rasa macam Kak Surti ni buat benda pelik-pelik pula." Surti cuba menerangkan keadaan sebenar.

"Mari akak tunjukkan bilik Mawar." Mereka berdua berjalan beriringan menuju ke bilik yang bersebelahan dengan ruang tamu.

"Tidak besar seperti bilik kamu yang dulu. Tapi, akak rasa sesuai kalau kamu nak rehat-rehatkan badan, nak tidur. Lagipun, bilik ni aje yang kosong. Bilik lain penuh dengan barang-barang," kata Surti sambil mengeluarkan cadar baru dari dalam almari.

"Nanti kemas-kemas sikit apa-apa yang patut. Biasalah bilik ni dah lama tak guna, jadi berhabuklah sikit. Macam mana? Okey tak?" Senyum Surti.

"Semua ni dah cukup kak. Terima kasih sangat-sangat. Saya macam tak tahu nak cakap apa lagi. Saya rasa bersyukur sangat-sangat. Terima kasih kak, terima kasih." Mawar benar-benar gembira.

"Kamu ni macam-macamlah. Maaflah ya sekali lagi, ini saja yang akak mampu bagi dekat kamu. Kamu rehatlah. Kak Surti keluar dulu ya."

Mawar langsung tidak kisah akan keadaan bilik itu kerana baginya cukuplah dia dapat berlindung seketika ini. Perlahan-lahan dia menghampiri tingkap yang sudah lama terbuka. Malam itu bulan penuh. Mawar merenung bulan itu seperti menzahirkan rasa sedih yang masih bersisa.

Ibu... hatinya berbisik.

Mulai hari ini dia akan memulakan kehidupan yang baru bersama Surti, tetapi dia tidak tahu sehingga bila dia harus menagih simpati daripada orang lain. Dia nekad, dia perlu melakukan sesuatu demi masa hadapannya kelak.

Continue Reading

You'll Also Like

7K 338 10
All that terrified 23-year-old Ayra were pink notes. Whenever she found one, she ran like hell. This time, her frantic escape led her to the bustling...
3.8K 281 7
Aahan singh rathore~ A boy who has kept his entire identity hidden from everyone because his family doesn't want anyone to know who he belongs to bu...
609K 7.9K 32
Lost, Lose (Loose Trilogy #1) She's a girl of hope, Lisianthus Yvonne Vezina. A teen-year-old girl who focused on her goal... to strive. But everyth...