FALAH | Serunai Maut ✔

By Leena_syiha

859K 113K 15.6K

Seluruh dunia digemparkan dengan kematian beramai-ramai di sebuah feri mewah yang berlabuh di Pulau Jengka. ... More

Pengumuman
Prolog
| Linda | 1
| Linda | 2
| Linda | 3
Serunai Maut | Henry | 4
Serunai Maut | Henry | 5
Serunai Maut | Henry | 6
Serunai Maut | Henry | 7
Serunai Maut | Henry | 8
Serunai Maut | Falah | 9
Serunai Maut | Iman | 10
Serunai Maut | Falah | 11
Serunai Maut | Falah | 12
Serunai Maut | Falah | 13
Serunai Maut | Henry | 14
Serunai Maut | Henry | 15
Serunai Maut | Falah | 16
Serunai Maut | Falah | 17
Serunai Maut | Falah | 18
Serunai Maut | Falah | 19
Serunai Maut | Falah | 20
| Henry | 21
| Falah | 22
| Falah | 23
| Falah | 24
| Iman | 25
| Nuna | 26
| Falah | 27
| Falah | 28
| Tok penghulu | 29
| Razak | 30
| Falah | 31
| Jibt | 33
| Nyai | 34
| Mona | 35
| Falah | 36
| Falah | 37
| Falah | 38
| Linda | 39
| Falah | 40
| Gimbaran | 41
| Andika | 42
| Kevin | 43
| Tok penghulu | 44
| Bunga | 45
| Nuna | 46
| Linda | 47
| Falah | 48
| Anjana | 49
| Bunga | 50
| Falah | 51
| Falah | 52
| Nuna | 53
| Embun | 54
| Linda | 55
| Henry | 56
| Falah | 57
Epilog
Sambungan Serunai Maut

| Mona | 32

13K 1.8K 223
By Leena_syiha

DALAM setiap langkah, Falah iringkan dengan zikir. Hatinya sarat dengan kalimah tuhan. Fikirannya penuh dengan setiap rencana perjalanan.

Kini, dalam perjalanan penuh rintangan ini - dialah ketua. Dialah kepala. Keputusan di tangannya.

Kerana itu sedari tadi dia lebih memilih untuk diam. Selepas berjumpa dengan Tok penghulu di belakang Jalan Pohon Kuning, dia hanya diam dan terus diam. Berjalan dan terus berjalan.

Sehinggalah mereka berhenti solat zohor di sebuah kawasan lapang yang kecil, dia masih memilih untuk diam. Bercakap hanya sepatah dua kata. Mengajak Henry dan Iman bersolat dan mengimami mereka dengan tenang. Itu sahaja kemudian mereka kembali menyambung perjalanan dengan masih sahaja diam.

Sukar. Segalanya terasa sukar.

Apa yang dikatakan Tok penghulu tengahari tadi begitu sukar diterima, bukan cerita itu yang sukar namun tanggungjawab itu yang sukar.

Terasa bagai seluruh dunia di pundakkan ke bahunya apabila terdengar ucapan dari bibir Tok penghulu,

"Saya hanya mampu berharap dengan kamu Falah."

Falah menghela nafas berat. Sesekali dia melirikkan mata ke arah belakang, sekadar berjaga dengan Henry dan Iman yang berada di belakang.

Kelihatan mereka juga seakan turut dilema, termenung panjang dalam langkah mereka. Lebih memilih diam daripada bercakap.

Falah tidak dapat menahan rasa untuk turut rasa sempit atas tanggungjawab ini. Namun apakah pilihan yang dia ada?

Bukankah dia juga yang memilih untuk membanteras syirik dan khurafat di kepulauan ini?

"SAYA tak mahu membuang masa kalian lagi,"

Selepas mereka bertegur sapa dengan sederhana di bawah pohon rendang ini, akhirnya Tok penghulu bersuara dengan helaan nafas yang panjang.

Iman sudah pun terdongak-dongak ke atas melihat pokok besar ini, dia berada kagum dengan bentuk pokok ini. Seperti gergasi, melihatkannya dia jadi terfikir berapakah usia pokok ini agaknya?

Tadi mereka hanya berjalan dan berjalan tanpa mengetahui arah tuju, Falah yang memandu mereka sampai ke sini. Falah hanya mengikut gerak hati. Siapa sangka akhirnya langkah mereka yang dipandu gerak hati Falah itu membawa mereka ke sebuah pokok gergasi dengan Tok penghulu sudah sedia menunggu mereka di situ dengan wajah ceria.

Sedar, lelaki tua itu sangat gembira dengan kedatangan Falah bersama Henry dan Iman.

"Jadi apa yang tok hendak kongsikan bersama kami?" Henry memeluk tubuh. Soalannya bernada datar, tidak marah - hanya serius.

"Pertama sekali yang ingin tok tanya pada kalian," Tok penghulu memandang semua di situ. Wajah tua itu juga serius.

"Ada atau tidak sesuatu yang menganggu kalian sebelum datang ke sini?"

Henry dan Iman tersentak. Saling berpandangan.

"Ada." Falah menjawab ringkas.

"Kami hampir dihasut agar tidak mempercayai tok." Sambungnya.

Tok penghulu mengeluh. "Sudah aku agak perkara itu akan berlaku. Mona walau dalam pingkulnya dia sekarang, tetap serakah untuk menahan kamu dari jalan ini."

Mereka semua diam sahaja mendengar.

"Baiklah dengar sini baik-baik." Tok penghulu memandang satu persatu wajah.

"Mona punya ilmu sakti yang sangat kuat. Kesaktiannya takkan kamu dapat bayangkan. Dia suka memberi kejutan. Kamu akan sangka perkaranya sebegini rupanya perkara itu berbeza, teramat berbeza." Tok penghulu serius.

"Jadi berhati-hati. Apa-apa yang kamu rasa ianya dekat, sebenarnya ia sangat jauh. Apa yang kamu rasa ianya dekat hakikatnya sangat jauh."

Iman tidak semena merasakan bulu romanya meremang. Mengerling sekilas pada Henry yang menatap serius pada Tok penghulu.

"Pertama sekali ingin saya kongsikan pada kalian ialah, Mona suka menjadikan salah seorang mangsanya menjadi hamba. Seperti yang berlaku pada saya. Sudah saya ceritakan pada Falah sebelum ini, Mona mahu mereka rasa apa dia rasa yaitu kehilangan keluarga. Satu perkara tentang Mona yang saya masih tidak dapat tahu sehingga sekarang ialah kenapa dia mahu orang lain turut rasa kehilangan itu. Maafkan saya, itu saya tak dapat siasat. Tapi sekarang yang saya ingin ketengahkan ialah,"

Tok penghulu menarik nafas dalam-dalam. Sesekali matanya melirik pada sekeliling. Seakan berjaga.

Semua diam tekun menanti.

"Saya mahu tanya kalian, ada atau tidak seorang mangsa dari Feri Miranda Gold yang mana mayatnya hilang?"

Mendengarkan sahaja soalan yang dilantun secara bisik itu serta merta membuatkan ketiga-tiga penyiasat itu teringatkan satu nama.

Mereka berkerut. Saling berpandangan.

"Linda." Iman menyebut nama itu.

"Ada?" Tok penghulu berkerut. Hendak kepastian.

Iman memandang Henry, Henry juga memandang Iman. Melontar bahasa isyarat. Falah pula tampak berfikir panjang. Serius mukanya.

"Ya, ada. Linda namanya." Henry beri kepastian.

Tok penghulu serta merta mengeluh keras. "Saya sudah agak. Saya sudah agak." Dia tampak resah.

"Kenapa tok?" Henry menekan suara.

Tok penghulu menatap Henry lama-lama.

"Semestinya Mona telah mengambil Linda untuk menjadi hambanya selepas saya!"

Henry mahupun Iman tersentak. Bola matanya membesar.

"Jadi tok nak kata.." liur ditelan. Muka Iman pucat."..yang Linda masih hidup?"

"Masakan tidak? Saya yang hilang selama tiga puluh tahun masih lagi hidup.." Tok penghulu meraup wajah. Sungguh ini kali pertama melihat Tok penghulu seresah begini.

"Saya tidak tahu, apakah lagi rancangan jahatnya dengan hambanya itu.. Saya tidak tahu. Tapi saya dapat rasa rancangan itu akan jadi sangat buruk." Tok penghulu menghela nafas panjang-panjang.

Henry dan Iman diam seribu bahasa. Jujur mereka sangat kelu ketika ini.

Apabila memandang pada Falah, Falah tetap begitu - memilih untuk diam daripada memberi apa-apa respon.

"Mona sangat susah dijangka." Tok penghulu melepas nafas.

"Tipu dayanya sangat kuat. Saya bimbang dengan perjalanan yang kamu pilih ini.. Tapi saya tiada pilihan lain."

Tok penghulu memandang Falah.

"Saya hanya mampu berharap dengan kamu Falah. Jujur saya cakap, ketenangan dan keteguhan kamu itu hakikatnya sangat digeruni Mona. Saya tidak pernah melihat seorang yang beragama islam yang dapat menetap di sini dengan aman seperti kamu. Selalunya orang yang beragama islam akan segera keluar dari kepulauan ini selepas menetap beberapa hari kerana kata mereka ada gangguan. Tapi kamu, kamu tetap teguh menetap di sini."

Falah hanya diam mendengar. Menatap serius wajah Tok penghulu.

"Jadi saya mahu meminta bantuan dari kalian, terutamanya Falah.."

Wajah mereka ditatap satu persatu dengan pandangan yang penuh pengharapan.

"Tolong.. Tolong lepaskan kami daripada belenggu ini. Lepaskan kami daripada ikatan serunai yang menyakitkan ini. Tolonglah. Jujurnya saya penat. Sangat penat. Ketenangan yang selama ini semua nampak hanyalah topeng semata-mata. Jiwa saya sangat penat. Saya mahu menjadi seorang muslim. Saya mahu mempercayai tuhan.." suara Tok penghulu bertukar.

"Saya rindu.. Saya rindu agama islam. Saya rindu solat. Saya rindu Allah.."

Semua di situ tergamam apabila mendapati mata Tok penghulu berkaca.

"Tapi saya tersekat. Saya diikat. Pergerakan saya bagai terbatas. Setiap kali saya mencari tuhan setiap kali itu kampung kamu ditimpa musibah. Kematian, kehilangan, kebakaran besar-besaran.."

Tok penghulu meluahkan segalanya. Tidak lagi menyorokkan rasanya yang selama dia pendamkan di sebalik sebuah wajah yang tenang dan dihormati.

Semuanya dihamburkan. Penuh kerendahan meminta pertolongan. Penuh simpati meminta bantuan. Agar melepaskan hidup mereka dari sebuah cengkaman.

Iman memandang ke arah lain, matanya panas.

Henry pula berasa simpati dengan keadaan itu.

Falah menunduk kepala.

"Saya merayu Falah. Tolong lepaskan kami. Tolong lepaskan kami dari cengkaman ini.."

Tok penghulu tidak segan silu menangis. Melepaskan tekanan yang selama ini dia pendam.

Sukarnya menanggung semua ini. Saat dirinya hendak percaya, ketika itu dirinya dilantun sebuah ujian.

Bukan ujian yang sekecil anak, namun kehilangan, kematian dan berbagai perkara yang sangat menyesakkan jiwa.

Sehingga dia jadi tertanya,

'Tuhan? Wujudkan tuhan? Kalau Dia wujud kenapa tidak dibunuh sahaja Mona? Kenapa perlu menguji kami begini?'

Dan soalan itu semakin menyakitkan dirinya.

"Tok," suara Falah kedengaran sangat rapat.

Terasa bagai bahunya dipegang.

Tok penghulu mengangkat muka.

Sebaik wajah merahnya diangkat, terus matanya menatap wajah jernih Falah.

"Perkara pertama untuk tok terlepas dari cengkaman ini ialah dari diri tok, bukan dari saya." Falah bersuara.

Tok penghulu terdiam.

"Bina keyakinan yang utuh dahulu dalam diri tok pada Allah, maka segalanya akan menjadi sangat mudah."

Nasihat pendek itu disampaikan dengan tenang.

"Beriman dengan Allah, maka tok akan jadi lebih kuat dalam lindunganNya. Percaya cakap saya." Bahu Tok penghulu ditepuk.

Tok penghulu jeda. Matanya panas.

"Tapi.. Saya takut Falah. Saya tak berani. Bagaimana jika--"

"Nah.. Maka di situlah kelemahan yang Mona telah ambil dari tok. Rasa tidak yakin pada Allah. Bagaimana saya ingin bantu tok sedangkan tok sendiri tidak berusaha membina keyakinan pada Allah? Adakah tok fikir, dengan saya membunuh Mona maka kampung ini akan aman dengan rasa tidak yakin masih ada dalam diri semua penduduk kampung?"

Tok penghulu terkedu.

"Katakan sahajalah tok, jika saya dapat membunuh Mona. Maka apakah yang akan berlaku kemudiannya? Adakah penduduk kampung akan percaya pada kuasa Allah atau pada kuasa saya?"

Falah memberi soalan yang benar-benar membuatkan Tok penghulu tergamam.

"Maka tok, di sinilah tok perlu memberi peranan pada diri sendiri dan juga penduduk kampung. Baik, dengan izin Allah saya akan pergi mencari Mona. Tapi daripada diri tok sendiri, berimanlah dan bertawakkal lah pada Allah. Dia sebaik-baik pelindung untuk sekalian alam. Letakkan sepenuh kepercayaan padaNya sepertimana tok meletakkan sepenuh kepercayaan tok pada saya untuk mencari Mona. Malah lebih lagi. Saya merayu pada tok. Berimanlah."

Tok penghulu tak terkata. Setiap patah kata Falah mencarik hatinya.

Percaya pada Allah..

Ianya bukan sesuatu yang mudah.

Apabila kau selalu diuji dalam hal itu, ianya bukan sesuatu yang mudah.

"Bagaimana kalau apa-apa jadi, Falah?" Tok penghulu menatap Falah dengan pandangan bening. Seluruh jiwanya rapuh.

Falah menggeleng. "Allah atur untuk hambaNya apa yang terbaik. Apa sahaja yang terjadi pasti ada hikmahnya. Sehinggakan jika seluruh alam ditelan masuk ke lohong hitam sekalipun, ia tetap sebuah kebaikan atas kehendak Allah."

Jiwa Tok penghulu bagai diresap sesuatu.

Hatta Henry dan Iman juga turut terserap sesuatu dalam hati mereka sebaik sahaja mendengar kata-kata hikmah dari Falah.

Benar, aturan Tuhan ialah yang terbaik.

Hanya manusia yang buta.

"Kalau.." Tok penghulu tergetar bibir. "Kalau begitu, kalian bersaksilah bahawa hari ini saya telah pun beriman dengan Allah." dan kalimah syahadah lancar disebut Tok penghulu tanpa terbelit walau satu huruf.

Dan sebaik sahaja kalimah itu selesai dibaca, serta merta air mata tuanya menitis. Satu perasaan yang sudah lama dia tidak alami, hari ini dia telah merasainya.

Rasa tenang, rasa selamat dan terpelihara. Bagai ada satu kuasa yang maha hebat sedang berjanji akan menjaganya daripada apa-apa marabahaya sekalipun.

Hati yang rapuh berubah menjadi kental. Fikiran yang sempit menjadi luas. Tubuh yang memberat terasa ringan sekali.

Tok penghulu tidak dapat menahan dirinya daripada menangis apabila mengalami situasi sebegini.

Seakan baru menyedari betapa zulmatnya kehidupan dia di bawah cengkaman sang Mona terkutuk.

Falah tanpa berlengah menarik saudara baru itu ke dalam pelukannya. Menepuk-nepuk belakang Tok penghulu dengan nada memujuk.

"Tok ialah seorang yang kuat. Saya percaya." Falah membisikkan kata-kata semangat.

"Allah.. Terima kasih Falah. Terima kasih kerana menyedarkan saya daripada semua ini."

"Selamat kembali tok. Selamat kembali Dr Razak." Falah tersenyum menyebut nama itu.

Henry dan Iman yang menonton sama-sama mengucap Alhamdulillah.

Lama Tok penghulu menangis dalam pelukan Falah sehinggalah dia sendiri meleraikan pelukan itu dengan kata maaf yang tersekat-sekat.

"Buruk benar bila orang tua menangis." selorohnya kerana berasa segan.

"Menangis kerana Allah ialah satu kebanggaan tok." Falah membalas seloroh itu.

Tok penghulu tersenyum mendengarkannya. Hatinya lapang.

"Falah,"

"Ya saya."

Tok penghulu menatap wajah Falah lama-lama. Nafasnya dihela. Wajahnya sudah kering dari air mata malah sudah tidak berbekas lagi. Benarlah kata-kata bahawa air mata kerana Allah diangkat ke langit sehingga tidak berbekas walau sedikit di wajah.

"Pergilah ke timur pulau ini. Di sana ada teluk bernama Teluk Nyai. Di situlah terdapat lubuk Mona. Tempat menetapnya, kediamannya, tempat dia bertapa. Dia seolah sudah membina kerajaan di sana." Tok penghulu berkongsi atas pengalamannya.

"Berapa lama perjalanan ke sana tok?" Falah ingin tahu.

"Saya tidak pasti. Kerana perjalanan yang kamu lalui pasti sangat sukar. Mungkin memakan masa berbulan jika tidak kuat. Hanya yang perlu kamu tahu, pulau ini lebih besar daripada yang kamu jangka."

Tok penghulu serius.

"Ikut aliran air sungai, Teluk Nyai terletak di hulunya. Hanya ikut dan kalian akan jumpa."

LANGKAH Falah mati. Serentak dengan itu lamunannya berkecai. Telinganya menangkap sesuatu bunyi asing dari arah kiri.

Dari arah semak samun dengan pokok-pokok besar yang tumbuh besar di sini, dari situ bunyi itu kedengaran.

Manakala di sebelah kanannya ialah sebuah curam yang pendek. Jika tergelincir langkah mungkin akan tergolek beberapa kali sehingga menyebabkan kecederaan ringan.

Pendengarannya kembali menangkap bunyi asing itu, sekejap bunyi itu seperti bunyi larian kuda kemudian bertukar pada bunyi seseorang bernafas.

Falah tidak dapat mengagak bunyi tersebut. Dahinya berkerut sedikit.

"Falah, kena--"

Belum pun dia dapat mendengar dengan jelas suara Henry yang bertanya dari arah belakang - yang semestinya hairan dengan tingkahnya yang tidak semena berhenti ini - sedetak nafas seluruh tubuhnya bagai dirempuh sesuatu yang sangat besar sehingga dia tiada kemampuan untuk menahan daripada dihumban ke dalam curam di kanan.

Enam kali berguling akhirnya dia terlanggar sebatang pokok di bawah curam itu, dalam keadaan ditindih satu susuk yang terasa sangat berat.

Tidak mampu menahan sakit, dia tererang sedikit.

"Ya Allah Falah!!"

Dan suara Henry dari atas kedengaran sangat terkejut. Diiringi dengan bunyi orang berlari menuruni curam kecil ini.

"Kenapa boleh jadi macam ni?! Angkat orang ni!"

Falah tidak mampu berbuat apa. Satu badannya terasa lenguh sehingga ke tulang hitam. Akhirnya dia hanya mampu membiarkan Henry dan Iman mengalihkan susuk tersebut dari atas tubuhnya. Perlahan dia bangun. Nafasnya dihela berat. Beberapa bahagian tubuhnya mula rasa sakit.

"Falah okay?" Henry tolong membersihkan pakaiannya. Risau.

Falah angguk sahaja. Belum pasti dia okay atau tidak. Hanya tidak mahu abang iparnya itu terlebih risau sahaja.

"Dari mana orang ini muncul?" Henry menjatuhkan pandangan pada susuk tersebut.

Manakala Iman sudah menyelak sedikit rambut susuk itu apabila separuhnya telah menutup wajah.

Muka Iman tiba-tiba sahaja pucat. Wanita itu bagai ingin melompat sahaja ketika itu. Henry dan Falah serta merta memandangnya.

"Kenapa?" Henry mula rasa tidak sedap hati.

Iman mengangkat wajah. Tangannya menggeletar.

"Linda." suaranya perlahan.

Muka Henry berubah.

"Perempuan ini Linda."

Falah tergamam.

MEREKA bertiga duduk sedikit jauh dari susuk perempuan yang dikenali sebagai Linda itu. Susuk yang tidak sedarkan diri itu dibaringkan di atas daun pisang yang Henry ambil tadi, diletak di tengah-tengah tanah lapang yang kecil ini. Manakala mereka bertiga berada di hujung sedikit.

Satu kejutan yang teramat sangat apabila tiba-tiba sahaja mereka boleh berjumpa Linda. Dan lebih mengejutkan, mereka berjumpa Linda pada hari pertama pengembaraan mereka?

Sangat sukar ditelaah.

Apatah lagi dengan spekulasi Tok penghulu yang mengatakan Linda pasti sudah dijadikan sebagai hamba Mona. Dan spekulasi itu hakikatnya hampir menjadi benar. Bukti sudah jelas.

Linda yang disangka mati rupanya masih hidup?

Entah satu keajaiban atau satu kecelakaan.

"Apa kita nak buat?" Henry menjadi orang pertama yang membuka soalan itu. Sedari tadi matanya tajam sahaja merenung wajah tidur Linda itu.

Sejujurnya ada sedikit keanehan pada susuk Linda ini. Pakaiannya sedikit pelik. Pakaian orang yang tinggal dalam hutan. Baju yang dijahit sendiri, seluar yang dijahit sendiri. Bukan pakaian bandar seperti yang mereka dapati di dalam kamera cctv waktu kes itu tempoh hari. Untuk hal itu, sejujurnya mereka sedikit hairan namun malas hendak membesarkannya.

"Kita bunuh dia nak?" Iman bagi idea mengarut.

"Hish! Gila ke? Dia bukan Mona!" Henry menjegilkan mata.

Iman tersengih sedang matanya tetap menatap wajah Linda yang sedang tidak sedarkan diri itu.

"Falah, apa kita nak buat?" Henry mengulang soalan pada Falah pula. Khusus untuk adik iparnya itu.

Falah serta merta memandang Henry, sedari tadi dia hanya termenung memandang Linda. Sekadar memandang untuk menilik baik buruknya.

"Kita tunggu sehingga dia sedar." Itu kata putus Falah.

Henry dan Iman saling berpandangan. Spontan Iman mencebik bibir. Sedikit tidak berpuas hati dengan keputusan itu. Bukankan mereka sudah tahu yang Linda ialah berpihak dengan orang jahat, kenapa hendak menunggunya sedar?

Manakala Henry hela nafas sahaja. Dia hanya mengikut keputusan Falah. Apa yang Falah putuskan insyaallah ialah yang terbaik.

"Kita bersiap untuk solat maghrib dahulu."

Akhirnya sesi merenung Linda itu tamat dengan ajakan tersebut.

MEREKA bersolat maghrib berjemaah di tanah lapang ini, dengan Linda yang masih tidak sedarkan diri di atas daun pisang itu. Tampak sangat lena dengan nafasnya yang sangat berat merengkungi dada.

Selesai berjemaah, Henry dan Iman kembali ke tepi pelita sana menyambung sesi merenung Linda tadi. Ada sesuatu yang buat mereka rasa sangat perlu menilik Linda. Namun mereka hanya berani menilik dari jauh, untuk berada di sebelah masih tiada siapa berani mengambil risiko itu.

Manakala Falah menambah solatnya dengan solat sunat pula. Malam baru sahaja melabuhkan tirainya, apa salahnya dia hendak 'bermanja' seketika dengan Allah.

Sedang dalam keadaan itulah, dengan Henry dan Iman berbual serius tentang siasatan dan spekulasi mereka tentang kes-kes ini dan Falah yang sedang berzikir di tempat solatnya - tidak semena mata Linda terbuka.

Perbualan Henry dan Iman terhenti mendadak.

Falah yang berada paling dekat dengan tempat Linda tersedar akan keadaan itu, terus menoleh dengan kedudukannya yang masih bersimpuh itu.

Tasbihnya kekal dibaca.

Linda tampak terpinga-pinga. Perlahan membangunkan dirinya yang terbaring itu. Matanya meligas ke sana ke mari. Dahinya berkerut apabila terpandang Henry dan Iman, kemudian pada Falah yang berseorangan.

Henry dan Iman jeda. Kejung sedikit tubuh mereka. Berbagai sangkaan muncul dalam kepala masing-masing, yang pasti semuanya buruk-buruk.

"Err.. Kalian siapa?" Bahasa yang dilontar Linda sangat baku. Namun terselit kesopanan yang sangat tinggi.

Falah kagum. Gadis ini langsung tidak menggelabah apabila mendapati dirinya dikelilingi orang asing.

"Kenapa saya boleh berada dengan kalian?" Linda bertanya lagi. Kali ini dia sudah pun membetulkan duduknya daripada melunjur pada menegakkan dua lutut.

"Tadi.." Iman hendak menjawab tapi sedikit gugup. "Tadi awak tiba-tiba muncul depan kami, lepas tu awak langgar lelaki itu sehingga awak dan dia tergolek dalam curam." Iman menjelaskan. Jarinya menunjuk pada Falah.

Linda terlongo. Sedikit terkejut. "Ohh? Begitu? Maafkan saya! Saya tak sedar apa-apa tadi!" Linda segera menundukkan tubuh pada Falah. Tanda meminta maaf.

"Kamu tak sedar kamu berlari dan melanggar orang tadi?" Henry menyoal pelik.

Linda tertawa. "Maafkan saya, saya benar-benar tidak ingat apa yang berlaku tadi." Kepalanya digaru.

Iman dan Henry saling berpandangan.

"Ah.. Alamak. Sudah malam. Saya perlu balik sekarang juga sebelum Nyai marahkan saya." Tiba-tiba Linda jadi kelam kabut berdiri. Membersihkan pakaiannya dari habuk.

Henry segera memandang Falah. Mengharapkan agar Falah berbuat sesuatu.

"Terima kasih kerana bantu saya.. Saya minta maaf sekali lagi. Lagi-lagi pada kamu. Minta maaf sangat-sangat." Linda menundukkan tubuh sekali lagi pada Falah.

Baru selangkah Linda hendak pergi, Henry memanggil.

"Eh sekejap Linda.. Sekejap." Henry mengangkat tangan.

Langkah Linda terhenti, dia menoleh pada Henry.

"Kamu panggil saya?" Linda menunjuk pada dirinya.

"Ya.. Awaklah. Linda." Henry melepas nafas.

Linda berkerut pelik. "Linda? Siapa itu?" Dia tertawa hairan.

Wajah Henry dan Iman pucat. Falah berkerut.

"Nama saya bukan Linda." Linda tersenyum. "Nama saya Mona."

Dan sebaik nama itu disebut, terus Henry dan Iman terbangun dari tempat duduk bagai baru ternampak ular di celah kaki mereka.

Sangat terkejut!

Continue Reading

You'll Also Like

Suamiku Mr.Bad Boy By qiss

Mystery / Thriller

718K 30.7K 54
Hanania gadis yang naif dan ceria terperangkap dengan seorang lelaki yang bad boy secara tidak sengaja di dalam lif. Pertemuannya membuat dia jatuh c...
81.6K 10K 28
Cerita ini ditulis atas highway sebab tak ada line huhu. Tapi ni cerita Angkatan Tentera DiRaja. Raven ni sniper wanita berjaya yang angkuh dan liar...
1.7M 13.6K 11
<2nd Novel> Highest Ranking- #1inAction(23/2/2021) [Completed] Known as Healing Love. "Di saat awak tahu siapa diri saya yang sebenarnya, yo...
476K 27.8K 57
Sebuah kisah cinta karya Sabrina Marrose. Yara Ameena Syed Attar Mula: 8/9/2023