FALAH | Serunai Maut ✔

By Leena_syiha

858K 113K 15.6K

Seluruh dunia digemparkan dengan kematian beramai-ramai di sebuah feri mewah yang berlabuh di Pulau Jengka. ... More

Pengumuman
Prolog
| Linda | 1
| Linda | 2
| Linda | 3
Serunai Maut | Henry | 4
Serunai Maut | Henry | 5
Serunai Maut | Henry | 6
Serunai Maut | Henry | 7
Serunai Maut | Henry | 8
Serunai Maut | Falah | 9
Serunai Maut | Iman | 10
Serunai Maut | Falah | 11
Serunai Maut | Falah | 12
Serunai Maut | Falah | 13
Serunai Maut | Henry | 14
Serunai Maut | Henry | 15
Serunai Maut | Falah | 16
Serunai Maut | Falah | 17
Serunai Maut | Falah | 18
Serunai Maut | Falah | 19
Serunai Maut | Falah | 20
| Henry | 21
| Falah | 22
| Falah | 23
| Falah | 24
| Iman | 25
| Falah | 27
| Falah | 28
| Tok penghulu | 29
| Razak | 30
| Falah | 31
| Mona | 32
| Jibt | 33
| Nyai | 34
| Mona | 35
| Falah | 36
| Falah | 37
| Falah | 38
| Linda | 39
| Falah | 40
| Gimbaran | 41
| Andika | 42
| Kevin | 43
| Tok penghulu | 44
| Bunga | 45
| Nuna | 46
| Linda | 47
| Falah | 48
| Anjana | 49
| Bunga | 50
| Falah | 51
| Falah | 52
| Nuna | 53
| Embun | 54
| Linda | 55
| Henry | 56
| Falah | 57
Epilog
Sambungan Serunai Maut

| Nuna | 26

13.2K 1.8K 400
By Leena_syiha

MEREKA berjalan bersama-sama di pantai, Nuna berjalan di hadapan manakala Falah lebih gemar berjalan di belakang. Sekadar berjaga dengan tindak tanduk Nuna yang kadang-kadang melangkaui batasan mindanya sendiri.

Nuna kelihatannya sesekali melompat. Sesekali menyepak pasir pantai. Sesekali mencelupkan kakinya ke dalam ombak kecil. Tawanya kedengaran bila hatinya girang. Dan bila kanak-kanak itu ketawa girang sehingga tertutup matanya, maka Falah di belakang turut tersenyum. Hatinya seronok melihat tingkah Nuna.

"Pacik!" Nuna memanggil ketika kakinya sedang ditenggelamkan dalam air yang datang hasil tolakan ombak.

"Ya." Falah menyahut.

"Kenapa air pantai kadang-kadang panas kadang-kadang sejuk?" Nuna membina soalan. Sel-sel otakanya sedang berhubung nampaknya.

"Sebab Allah yang jadikan begitu Nuna." Jawab Falah spontan.

Nuna berhenti berjalan, menoleh.

"Allah? Siapa tu?"

Serta merta langkah Falah mati. Kakinya yang togel itu kaku dalam pepasir pantai. Ah sudah.. Itu jawapan yang memang dia akan beri pada kanak-kanak. Spontan. Tidak perlu fikir panjang. Malah kalau orang dewasa bertanya pun, memang itulah jawapannya.

Namun dia lupa, di hadapannya kini ialah Nuna. Anak yang tiada agama.

"Siapa Allah pacik?" Nuna mengulangi soalannya.

Falah menelan liur. Bila Nuna bertanya, maka itu bermakna dia perlu menjawabnya.

"Allah itu Tuhan kita." Falah jawab ringkas.

"Tuhan? Tuhan tu apa?"

"Pencipta." Dan Falah jawab ringkas.

Nuna mencekak pinggang. Mukanya mencebik. "Tak pahamlah! Apa pacik cakap ni?"

Falah mengambil nafas dalam-dalam. Cuba mengatur ayat sebaiknya.

"Siapa yang jahit baju Nuna?" Soalnya seraya menatap baju Nuna yang berwarna kuning itu.

Nuna turut memandang bajunya. Kemudian memandang Falah. "Meshtilah ibu! Ibu pandai jahit baju! Baju yang ibu jahit semua chantik!" Muka Nuna berubah teruja bila menceritakan tentang ibunya.

Falah tersenyum nipis. Dia kemudiannya duduk mencangkung di hadapan Nuna, hendak menyamai paras Nuna bila menyedari apa yang hendak dia tuturkan nanti akan menjadi lebih berat untuk Nuna.

Hujung jari Falah menyentuh baju Nuna. Kemudian dia menatap wajah Nuna yang terkebil-kebil memandang gelagatnya.

"Kalau pacik kata, baju yang Nuna pakai ini tiada siapa pun jahit. Ia terjadi sendiri. Tak ada siapa pun yang menenunnya, mengguntingnya dan menjahitnya. Bukan ibu Nuna atau siapa-siapa."

Nuna sudah berkerut mendengar kenyataan itu.

"Nuna percaya cakap pakcik?" Falah menatap dalam-dalam mata Nuna.

Nuna diam sejenak.

"Mana boleh macam tu.. Baju mana boleh jadi sendiri. Meshti ada orang jahit."

Falah tersenyum lebar bila mendapati Nuna ialah kanak-kanak yang sangat bijak.

"Nuna tak percaya cakap pakcik? Pakcik kata, baju ini memang jadi sendiri Nuna. Tak ada siapa pun yang menjahitnya."

"Tak boleh pacik! Dekat kilang mama dengan ayah, ada banyak tukang jahit! Nuna tenyok sindiri!"

Falah tersenyum dengan jawapan itu. Tangannya perlahan naik memegang bahu Nuna.

"Begitu jugak dengan lautan Nuna. Lautan yang sangat cantik dan luas ini mesti ada yang membuatnya. Takkan dia terjadi sendiri."

Nuna memandang lautan. Berkerut.

"Siapa yang buat pacik?" Nuna bertanya.

"Allah, Nuna." Hati Falah sebak.

"Dia yang ciptakan lautan, langit, pokok, bukit.."

"Allah mesti hebat kan?" Nuna menyoal perlahan.

Falah tersentap.

Wajah Nuna yang masih menghadap lautan itu dipandang. Entah kenapa, kalimah Allah di bibir Nuna kedengaran sangat polos.

"Ya, Allah sangat hebat." Falah jawab dengan rasa kagum yang tidak henti-henti.

Nuna kembali memandang Falah. Mengerdipkan mata beberapa kali pada Falah.

Falah tersenyum. "Allah juga ciptakan kita Nuna," dakwahnya ringkas.

"Jantung ini.." Falah meletakkan jari telunjuknya di hadapan kawasan jantung Nuna. Tidak menyentuh.

"Nuna rasa degupan jantung?"

Nuna pandang bahagaian yang ditunjuk. Hendak merasai degupan jantungnya.

"Rasa.." jawabnya perlahan. Seperti takjub bila dapat merasai degupan jantung itu.

"Nuna yang kawal degupan tu?"

Nuna menggeleng. "Tak."

"Jadi siapa yang kawal?"

Ombak menghempas pantai. Suasana terasa sangat damai. Rambut Nuna dan Falah bergerak-gerak disapu angin. Menciptan kesepian yang menenangkan.

"Allah.." Nuna menjawab. Dan terasa seperti seluruh dunia di tepi lautan ini bersunyi dengan kalimah yang keluar dari celah bibir Nuna. Mendatangkan satu rasa kehebatan yang tidak pernah dirasai.

Seolah semua makhluk di situ menunduk, akur apabila mendengar jawapan Nuna.

Allah. Dia yang menciptakan segalanya.

Falah tersenyum. Senyuman yang sangat lebar. Sehinga menampakkan barisan giginya yang bersih. Hampir sahaja dia tertawa kecil.

Hatinya melonjak gembira dengan jawapan Nuna. Seolah dakwahnya selama ini berbalas dengan jawapan Nuna yang mengkagumkan itu.

Nuna turut tersenyum apabila melihat senyuman Falah. Dia suka tengok pacik kesayangannya itu tersenyum. Tenang pada pandangannya.




PETANG itu, kediaman ini sunyi. Masing-masing membuat kerja sendiri. Henry sibuk dengan kertas siasatannya, Iman lena dalam bilik dan Falah hilang entah ke mana. Tadi dia ada kata pada Henry untuk ke rumah Tok penghulu sekejap. Tidak tahu jadi atau tak perginya.

Henry menghempas nafas. Bersandar pada dinding belakangnya. Melepaskan lelah yang terasa sangat membebankan otak.

Dia sudah pun memberitahu Falah tentang kes tiga puluh tahun lalu itu, dan Falah tampak berfikir panjang tentang perkara itu.

Kes tersebut tiada siasatan yang mendalam. Semua pihak seakan mengelat. Tiada siapa yang menyiasatnya bersungguh-sungguh. Jika diberikan pada mana-mana jabatan pun, mereka akan menolak. Seolahnya ada sesuatu yang ditakuti orang dalam kes tersebut.

Hakikatnya waktu itu dongeng Pulau Jengka sudah pun teramat masyhur.

Sini sana cerita bahawa pulau itu mempunyai larangan yang sangat aneh. Dilarang membuka lampu.

Padahal waktu itu kegunaan lampu sudah pun meluas dan hampir semua daerah mahupun pedalaman sudah dimasuki eletrik. Namun anehnya, untuk Pulau Jengka biarpun wujud lampu pada sesetengah rumah dan eletrik pun sudah dimiliki semua orang, tetap pada waktu malam kampung tersebut bergelap.

Henry mengeluh berat. Rambutnya diraup kusut. Dada terasa sesak.

Seramai 607 penduduk dan 97 buah keluarga yang ada waktu itu, termasuk keluarga doktor itu sekali. Mengikut siasatan Aiman, pasangan itu punya seorang anak bernama Omar. Dan bayi yang masih suci itu juga dikatakan juga terkorban.

Tiada yang tinggal. Lenyap terus dari muka bumi.

Saksi pertama yang datang ke pulau itu ialah nelayan-nelayan muda yang terdiri daripada enam orang lelaki yang berasal dari Melaka. Memang setiap bulan mereka akan datang ke Pulau Jengka untuk membeli barangan murah di situ.

Namun siapa sangka, saat kaki mereka menjejak jeti pulau tersebut. Apa yang mereka dapati ialah jeti dan pekan yang selama ini riuh dan sesak tiba-tiba bertukar menjadi hening dan lengang.

Malah tiada satu makhluk pun yang kelihatan di mata, hatta burung pun tiada ternampak terbang di mana-mana. Gerai kekosongan. Semua kedai ditutup. Debu jalanan berterbangan ditiup angin laut.

Pulau ini tidak ubah seperti baru dilanda sesuatu yang sangat dahsyat. Seolah ada satu makhluk yang menelan semua penduduk kampung sehingga kekosongan begini.

Dan kerana ketakutan, mereka hanya mampu memasuki kampung itu sekerat jalan kemudian patah balik untuk menghubungi pihak berkuasa. Tiada siapa berani untuk memasuki dengan lebih dalam kerana takut dibaham makhluk yang entah wujud atau tidak itu. Yang pasti keenam-enam pemuda itu hampir sahaja terkencing kerana terlalu ketakutan. Larangan pulau itu bagai menghantui mereka. Mulalah mereka teringatkan tentang larangan yang sering dihebahkan di pulau ini.

Kerana itulah ketika disoal siasat, hanya itu yang mereka jawab. Serunai maut dan serunai maut. Sehingga jabatan penyiasatan jadi muak dengan jawapan mereka itu. Langsung tidak membantu.

Selepas penemuan tersebut, barulah pihak berkuasa datang ke Pulau Jengka. Menyiasat kes kehilangan besaran-besaran itu. Ramai pihak yang terlibat. Sama seperti yang berlaku pada kes Feri Miranda Gold baru-baru ini.

Namun begitulah yang terjadi, tiada apa yang dapat menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku. Walau seinci perkara, tiada yang dapat membantu.

Siasatan dibuat berbulan lamanya, namun penghujungnya tetap bertemu jalan mati. Malah mitos Serunai Maut yang berkali-kali disebut oleh saksi semua dianggap bohong dan mengarut. Tiada yang percaya.

Kehilangan ini dianggap misteri.

Keluarga Dr Razak dan isterinya sudah memprotes, tidak berpuas hati dengan kehilangan itu. Pihak berkuasa terdesak. Jabatan penyiasatan buntu. Semua penyiasat-penyiasat walaupun berpangkat tuan sekali pun - tertekan.

Dan akhirnya kata putus diberi, membuat kenyataan bahawa penduduk kampung itu mati. Bukan hilang.

Mati atas satu sebab misteri. Yang masih tidak ditemui sehingga hari ini.

Yang pasti, bukti kematian yang dibuat pihak berkuasa hanyalah palsu. Mereka tetap hilang di mata penyiasat. Namun dikatakan mati di mata dunia.

Dan hari ini, di zaman kemodenan - cerita Pulau Jengka hanya tinggal mitos. Tiada siapa percaya. Apabila disebut tentang larangan di Pulau Jengka, semua hanya ketawa meremehkan. Mengatakan orang yang percaya tentang hal itu ialah gila. Siapa yang pernah ke Pulau Jengka, pasti membawa pulang cerita itu dengan gaya jenaka. Merasakan hal itu sangat bodoh.

Sehinggalah berlaku kes kali ini, kematian beramai-ramai di Feri Miranda Gold yang mana berlabuh di perairan Pulau Jengka - semua yang pernah mendengar kisah kehilangan itu bagai tersedar sesuatu. Mula mengaitkan kes kali ini dengan kes tiga dekad lalu.

Namun tetap begitu, tiada siapa mempercayai mitos Serunai Maut.

"Haih.. Apalah susah sangat kes ni?" Henry merungut-rungut.

"30 tahun lepas macam ni jugak.. Tahun ini pun nak jadi kes buntu jugak ke?" Pen yang dari tadi dipegang diletakkan dalam bekas pensil.

Tubuhnya dipeluk. Membawa pandangan ke luar pintu utama. Petang makin gelap. Menandakan tidak lama lagi pasti loceng peringatan akan berbunyi agar semua menutup lampu. Henry spontan memandang jam di tangannya. 0615 petang. Lagi lima belas minit sebelum waktu tersebut, namun kelibat Falah masih tidak kelihatan sehingga sekarang. Lama pula adik iparnya itu ke rumah Tok penghulu. Apalah yang dibincang Falah..

Baru sahaja fikirannya teringatkan Falah, terus ketika itu Henry terdengar suara Falah memberi salam. Muncul Falah di muka pintu.

"Haa.. Panjang umur." Henry spontan bersuara.

Falah tersenyum kecil. Kelihatan di tangannya sebungkus plastik.

"Lama betul pergi rumah Tok penghulu, sembang apa?" Henry mengemas barangannya. Sudah penat untuk berfikir berkenaan kes ini.

"Mintak syor beberapa perkara tentang penduduk kampung." Falah melabuhkan duduk di sisi Henry.

Henry terangguk-angguk. Bibirnya tercemik. "Lepas tu sembang dengan Nuna kan? Sebab itu jadi lama.." Henry kerling Falah. Mahu melihat wajah adik iparnya itu.

Tepat seperti jangkaannya, Falah tersenyum bila nama itu disebut.

Sudah.. Pantang sebut nama budak kecil itu mesti Falah tersenyum.

Henry geleng kepala sahaja.

"Borak apa dengan budak kecik tu?" Henry makin bersemangat pula untuk menyoal. Sedikit tertanya apakah yang diborak oleh Falah bersama Nuna yang masih kanak-kanak itu. Di pantai pagi tadi pun, Nuna tampak seronok benar berbual dengan Falah. Haih, susah betul nak faham apa yang dibualkan oleh seorang lelaki berumur 30 tahun bersama budak perempuan berumur empat tahun.

Falah senyum lagi. Seolah teringatkan sesuatu yang sangat menggembirakan hatinya.

"Hei.. Senyum sorang-sorang ni takkan angau kut!" Henry menolak bahu Falah bila melihat adik iparnya itu hanya tersenyum-senyum.

Falah tersentak sedikit. Kemudian dia tertawa bila tersedar.

Henry jongket kening bila melihat Falah ketawa. Sedikit terkejut. Sudah lama dia tak dengar tawa Falah.

"Nuna tanya dekat Falah tentang Allah.." Falah menyisakan tawanya. Digantikan dengan senyuman nipis.

Henry jeda.

"Dia nak kenal Allah." Sambung Falah bahagia.

Henry spontan mengucap tasbih bila mendengar berita itu. Itu satu berita yang sangat mengkagumkan.

Apabila seorang kanak-kanak ingin mengenali Allah.

"Dan.." Falah tarik nafas. "Tadi Tok penghulu pun bagitahu nak kembali dalam islam."

"Allahuakbar." Henry terkejut dengan berita itu.

Sebab itulah Falah jadi lama di rumah Tok penghulu.

"Alhamdulillah.. Akhirnya ada juga yang mendengar dakwah Falah." Henry menepuk bahu adik iparnya itu. Bangga.

"Falah hanya menyampaikan. Yang memberi petunjuk ialah Allah." Balas Falah penuh rendah diri.

"Tapi Falah juga sebagai asbab kan?"

Falah terdiam untuk soalan itu.

"Maksudnya tak lama lagi, boleh jadi sahaja semua penduduk akan masuk islam balik, kan?" Henry teruja. Tidak sabar dengan pengakhiran yang ditunggu-tunggu itu.

"Insyaallah.." Falah balas perlahan. Hanya tunduk menatap lantai rumah ini.

Henry kerling sekilas wajah Falah, sedar ada sesuatu yang menganggu fikiran adik iparnya itu.




PAGI itu, cuaca nyaman sekali. Udara dari laut meniup lembut sejak awal pagi tadi. Mencipta suasana dingin yang sangat mendamaikan. Henry awal pagi lagi sudah berada di luar, sengaja bersantai di bangku yang dibina Falah beberapa hari lepas sambil menikmati cuaca pagi yang sungguh memikat hatinya.

Secangkir kopi o turut dibancuh bagi menemaninya, sesekali matanya menatap lautan dari jauh diselangi tegukan kopi yang hangat.

"Wahh! Segarnya!" Suara Iman muncul merosakkan suasana.

Henry menjeling tajam.

Kelihatan Iman dengan rambut tidak terurusnya sedang menggeliat ganas di hadapan pintu rumah, mulutnya terbuka luas menguap. Pastinya perempuan itu baru bangun tidur, maklumlah perempuan datang bulan. Suka hati nak bangun lewat.

Henry memandang hadapan kembali, spontan tangannya naik menutup hidung.

"Merosakkan udara segar betul." Henry merungut kuat-kuat.

Lipat maut Iman menoleh pada Henry, matanya mencerlung tajam wajah Henry. Tahu yang Henry sedang menyindirnya kerana baru bangun tidur.

"Eh, sorry to say. I dah gosok gigi pagi tadi okay. Mulut I wangi lagi." Iman memeluk tubuh. Tidak berpuas hati.

"I tak kata dekat you pun. Kalau you rasa sentap, terserah." Henry balas selamba. Sempat menyisip kopi.

"Ohh ye ke? Dah tu you cakap dekat siapa? Hantu?" Iman tersenyum sinis.

"Yes.. Hantu yang rambut berserabai, mata panda, baju pun macam tak pakai baju.." Henry sarkastik.

Serta merta Iman memandang pakaiannya bila dikatakan begitu oleh Henry, baru dia sedar yang dia masih memakai baju tidurnya. Apa lagi kalau bukan baju yang mendedahkan bahunya, hanya tali halus yang tersangkut di kedua bahunya, bersambung dengan lengan bajunya yang jatuh ke tengah siku.

Spontan dia ternganga. Ah sudah..

"Ternoda mata awal-awal pagi macam ni.. Astaghfirullah." Henry sudah menutup matanya dengan sebelah tangan, gaya insaf habis.

Iman mengetap bibir. Dek kerana terlalu malu dengan pemakaiannya terus dia berpusing ke belakang dan memasuki rumah.

Ketika itulah dia bertembung dengan Falah yang baru ingin keluar.

"Eh, akak?"

Iman tidak pedulikan adiknya, terus masuk ke dalam biliknya.

Falah kehairanan. Dilihatnya di luar Henry sedang bersantai dengan secawan kopi di tangan, bibir abang iparnya itu tersenyum.

Tahulah Falah yang Henry baru selepas mengusik Iman.

Falah menggeleng kepala.

"Abang.. Sarapan macamana?" Falah bertanya, itu tujuannya datang ke sini. Henry menoleh, memandang Falah dengan wajah ceria.

"Falah masakkan lah." Henry beri syor.

"Falah masak?"

"Yalah.. Sedap Falah masak. Menjilat jari." Henry habiskan kopinya. Teringat masakan Falah beberapa hari lepas, sungguh sedap walaupun hanyalah nasi goreng kampung.

Falah menggaru dahi. "Insyaallah Falah masak nanti." akur sahaja dengan cadangan Henry.

Henry tersengih, ibu jari diangkat. Tiba-tiba perut rasa berkeroncong bila teringatkan makanan. Falah kemudian meminta diri untuk ke dapur, hendak menyiapkan bahan masakan. Henry angguk sahaja. Sudah terpasang niat dalam hati untuk membantu adik iparnya itu nanti.

Sebaik sahaja kelibat Falah hilang, ketika Henry hendak bangun dari kerusi kayu itu untuk masuk ke dalam rumah - telinganya menangkap bunyi derapan kaki yang memijak semak.

Langkah Henry terbantut. Sebagai seorang polis, dia begitu pantas berwaspada. Matanya meliar ke sekeliling halaman.

Bunyi itu makin kuat. Makin dekat.

Henry diserang curiga. Mata hitamnya bergerak ke sana sini. Sambil itu kakinya bergerak ke arah bunyi itu dengan cermat.

Dan sebaik sahaja kakinya berhenti di hadapan semak yang berada di kiri halaman ini, matanya terlihat sesusuk tubuh yang sangat familiar sedang duduk mencangkung dalam keadaan ketakutan di dalam semak tersebut.

"Takir?!" Henry berkerut. Melonjak suaranya dek terlalu hairan.

Takir serta merta melompat dari cangkungnya apabila namanya disebut begitu oleh Henry, wajahnya pucat, bibirnya hampir biru, dahinya berkeringat.

"Jangan.. Jangan sebut nama saya kuat-kuat." nafas Takir keresahan. Dia nampak ketakutan. Suaranya pun hanya berbisik. Matanya memerhati ke sana sini seolah takut ditangkap.

"Kau buat apa dekat sini?" Henry serius.

Tiba-tiba dia teringat pakaian Iman tadi, hatinya serta merta terbakar memikirkan yang Takir turut dapat melihat keadaan Iman yang cukup menggugat itu.

"Dah lama ke duduk sini? Mengendap orang?!" Henry mendadak naik angin.

"Sa..saya baru sahaja duduk sini. Saya nak jumpa dengan Abang Falah sahaja. Sumpah saya tak ada niat nak mengintip orang pun. Saya cuma datang ke sini dalam keadaan senyap-senyap begitu kerana saya takut orang kampung akan marahkan saya." Takir terketar-ketar.

"Kenapa nak jumpa Falah?" Henry reda sedikit. Tangannya mencekak pinggang.

"Abang Falah dekat mana abang?"

"Kenapa nak jumpa dia?" Henry tegas.

"Saya.. Nak beritahu dia sesuatu. Saya perlu cepat.." Takir pandang kanan kiri, masih berjaga-jaga.

Henry hela nafas, menurunkan kedua tangannya.

"Dia ada dekat dapur. Bagitahu saya pun dah okay. Nanti saya sampaikan pada dia."

Takir diam sejenak. Hidungnya berkeringat tanda debaran di dada makin menggila.

"Tolong bagitahu abang Falah.. Jangan pergi pekan hari ini." Nafas Takir termengah-mengah. Sesak.

Dahi Henry berkerut. "Kenapa?"

"Cuma bagitahu sahaja jangan ke pekan.. Tolong, saya merayu." Takir tampak menyembunyikan sesuatu. Matanya berbinar. Ada air di tubir mata itu.

"Tak.. Masalahnya kenapa? Beritahu dahulu. Kau ingat Falah akan ikut kau kalau kau tak bagitahu sebabnya?"

"Jangan pergi pekan.. Tolong."

"Bagitahulah sebab apa...!" Henry tertekan.

Ketika itu Iman muncul di muka pintu, riuh rendah di halaman menggamitnya untuk ke sini. Berkerut dahinya apabila melihat Henry sedang berkerut merenung Takir.

Eh, Takir?

"Kenapa tak boleh ke pekan? Jangan kata kau tak suka bila tengok Falah buat baik? Macam tu?"

"Tak.. Bukan." Takir ternampak Iman di muka pintu.

"Dah tu bagitau lah kenapa.."

Iman sudah pun berjalan menghampiri Henry dan Takir. Sudah terlihat ketegangan di wajah Henry ketika menatap wajah Takir.

Takir gelisah. Menggaru kepala yang tidak gatal.

"Kenapa Henry?" Iman masuk campur. Mengerling sekilas pada Takir yang tampak keresahan.

"Entah budak ni, tiba-tiba tak bagi Falah pergi pekan. Bila tanya kenapa, dia tak nak jawab." Henry menjawab. Sedikit tidak puas hati apabila Takir tetap tidak mahu menjawab soalannya.

Iman pandang Takir. Takir masih begitu. Keliru samada hendak menjelaskan atau tidak hal itu.

"Kalau kau tak nak bagitahu sebabnya, kami pergi pekan sekarang jugak dan cari tahu sendiri--" Iman tidak sempat habiskan ayat,

"JANGAN!! Jangan!!" Takir cemas. Berpeluh-peluh dahinya. Hampir sahaja dia menangis.

Henry dan Iman berpandangan.

"So jelaskan kenapa kau tiba-tiba muncul dekat sini and tak bagi Falah pergi pekan.. Kau tak tahu ke sekarang ini penduduk kampung semua sudah mula terima Falah?"

Takir mengusap peluh. Cuba bertenang.

"BAGITAHU JELAH.." Henry hampir sahaja menyerang Takir kerana berang, namun nasib baik Iman sempat menghalang. Iman menggeleng menyuruh Henry bertenang.

"Sebenarnya.." Takir tergagap.

Henry dan Iman serta merta memandang Takir.

"Penduduk kampung semua sedang berpakat untuk menghalau abang Falah dari kampung ini hari ini juga." Takir menunduk kepala.

"Hah? Kenapa pulak?" Henry berkerut. Rasanya baru semalam dia dengar berita gembira dari Falah berkenaan dakwahnya.

Dan hari ini tiba-tiba sahaja penduduk kampung hendak mengusir Falah?

"Tok penghulu pun sudah tidak izinkan kalian semua tinggal di sini." Takir meraup wajah kusut.

"Kenapa? Apa jadi?" Iman mula rasa pelik.

Kenapa semuanya mendadak sangat?

Henry pula sudah kelu. Tidak tahu hendak kata apa. Apabila Tok penghulu pun turut menghalau mereka, maka pasti ada sesuatu yang berlaku.

"Sebab itu saya datang ke sini diam-diam. Mereka sebenarnya marah jika ada sesiapa yang datang berjumpa kalian." Takir meraup wajah lagi.

"Kenapa? Kenapa jadi macam ni?" Henry buntu. Rasa baru semalam dia nampak senyuman dari penduduk kampung padanya.

Takir menunduk. Wajahnya kusam.

"Takir! Kenapa!?" Iman pula naik angin.

"Nuna.." sepatah nama itu disebut Takir. Perlahan. Membuatkan Henry dan Iman terus diam. Hati mulai tidak enak.

"Nuna dijumpai mati dalam bilik tidurnya malam tadi." Takir memberitahu berita itu lesu. Tubuh kurusnya turut longlai.

Henry dan Iman tak terkata. Kelu.

"Badan dia rentung. Tak tinggal walau apa pun." Takir pejam mata.

Henry tergamam. Wajahnya pucat. Dan nafas Iman hilang.

Continue Reading

You'll Also Like

473K 27.7K 57
Sebuah kisah cinta karya Sabrina Marrose. Yara Ameena Syed Attar Mula: 8/9/2023
233K 15.4K 40
[ ON- GOING] Dia... Leftenan Zar Uzair, pemegang amanah yang teragung, pada fikiranya ini jalan yang dipilih, tanggungjawab yang dipikul asbab mengap...
191K 13.2K 72
Mengisahkan tentang seorang gadis yang bernama Adellea Zayra. Dia merupakan anak yatim piatu dan mengusahakan bisnes kecilnya. Dia seorang yang tegas...
1M 42.5K 72
Dhiya tidak pernah menyangka perasaannya terhadap Kasyaf akan sedalam itu. Sedangkan Kasyaf milik sahabatnya sendiri, Medina. "Kalau aku nak kahwin d...