FALAH | Serunai Maut ✔

By Leena_syiha

858K 113K 15.6K

Seluruh dunia digemparkan dengan kematian beramai-ramai di sebuah feri mewah yang berlabuh di Pulau Jengka. ... More

Pengumuman
Prolog
| Linda | 1
| Linda | 2
| Linda | 3
Serunai Maut | Henry | 4
Serunai Maut | Henry | 5
Serunai Maut | Henry | 6
Serunai Maut | Henry | 7
Serunai Maut | Henry | 8
Serunai Maut | Falah | 9
Serunai Maut | Iman | 10
Serunai Maut | Falah | 11
Serunai Maut | Falah | 12
Serunai Maut | Falah | 13
Serunai Maut | Henry | 14
Serunai Maut | Henry | 15
Serunai Maut | Falah | 16
Serunai Maut | Falah | 18
Serunai Maut | Falah | 19
Serunai Maut | Falah | 20
| Henry | 21
| Falah | 22
| Falah | 23
| Falah | 24
| Iman | 25
| Nuna | 26
| Falah | 27
| Falah | 28
| Tok penghulu | 29
| Razak | 30
| Falah | 31
| Mona | 32
| Jibt | 33
| Nyai | 34
| Mona | 35
| Falah | 36
| Falah | 37
| Falah | 38
| Linda | 39
| Falah | 40
| Gimbaran | 41
| Andika | 42
| Kevin | 43
| Tok penghulu | 44
| Bunga | 45
| Nuna | 46
| Linda | 47
| Falah | 48
| Anjana | 49
| Bunga | 50
| Falah | 51
| Falah | 52
| Nuna | 53
| Embun | 54
| Linda | 55
| Henry | 56
| Falah | 57
Epilog
Sambungan Serunai Maut

Serunai Maut | Falah | 17

13.1K 1.8K 91
By Leena_syiha

PANTAI Hamparan. Itu namanya. Berada sedikit jauh dari Jeti Jengka. Mengunjur terus ke bahagian utara dan selatan Pulau Jengka. Kawasan di situ sepi dan lengang. Hanya desiran ombak yang kedengaran. Malah tidak ramai yang suka bermain di kawasan sunyi seperti ini.

Melihatkan keindahan alam sebegini buat fikiran jadi lapang. Mengetahui bahawa di sebalik semua keindahan ini ada Satu Zat Yang Maha Perkasa yang berkali ganda lebih Indah Yang menciptakan segalanya.

Falah mengucap tasbih. Kepada Allah sahajalah dia mengembalikan segala pujian. Keindahan yang memukau ialah milikNya.

Angin pantai menyapa tubuhnya yang berbalut pakaian kasual itu. Merenung jauh pada lautan yang menghasilkan bauan garam yang semerbak. Diiringi ombak yang sesekali menghempas pesisiran. Semua itu menyembulkan senyum di bibir.

Hakikatnya tiada siapa dapat menafikan, berada di sini membuatkan rasa cinta ketuhanan itu makin membuak-buak.

Kerana itulah setiap orang yang beriman digalakkan untuk sentiasa merenung keindahan alam sambil memikirkan kebesaran Allah Yang Maha Agung. Menggunakan akal dan segala pancaindera untuk memikirkan segala keajaiban ini.

Dengan itu, cinta ilahi semakin mengharum dalam hati.

Tidak semena, di tengah ketenangan Falah yang berdiri di depan pantai dalam keadaan tidak berkasut itu - satu angin panas menghembus. Menampar tubuh Falah.

Senyuman Falah pudar.

Suasana tiba-tiba bertukar sunyi. Kicauan burung-burung hilang.

Bunyi ombak juga bagai lenyap dari pendengaran.

Telinga berdesing dengan kesunyian.

'Kau mengundang murka aku, Falah.'

Falah terdiam. Wajah bertukar serius.

Suara ini, dia kenal suara ini.

Ketika dia berada di bilik Linda, suara ini jugalah yang mengganggunya dengan tawa, tangis dan teriakan.

'Aku murka. Aku murka sama kamu!'

Falah menggerakkan bibir membaca Asmaul Husna. Melafazkan nama-nama suci Allah dengan sepenuh keyakinan.

Mengatakan hanya Dia Yang Berhak Murka. Dan selainnya hanyalah makhluk hina.

Murka dan Redho adalah milikNya.

'Berhenti Falah. Sebelum aku membuat sesuatu yang tidak kau jangka!' Suara itu berbisik lagi.

'Aku kata berhenti! Atau akan aku bunuh kamu dan seluruh keluarga kamu!' Suara halus itu kedengaran terdesak. Menyuruh Falah berhentil.

Falah selesai membaca asmaul Husna. Terdiam sejenak.

Terdengar nafas termengah-mengah di telinganya.

'Aku mampu melakukan..apa-apa pun apabila aku murka, Falah' Suara itu tersekat-sekat. 'Termasuk membunuh kau dan orang-orang yang kau sayang. Jadi jangan sesekali kau bangkitkan amarahku!'

Falah diam. Merenung lautan. Ugutan itu seakan angin lalu di telinganya.

"Inna solati," Falah kemudian mengucap lafaz itu. Tenang.

Suara itu menderam dalam mengigil. Marah.

"..wa nusuki," Falah memandang langit. Luas. "..wa mahyaya," Nafas dihela.

"..wa mamati.." Dia memejam mata. Angin panas beransur-ansur hilang. Suara itu menderam dan menderam seperti harimau yang marah.

"..lillahi rabbil alamin."

Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku ialah milik Allah Tuhan Sekalian Alam.

Dan kau tidak mampu berbuat apa tanpa izinNya, wahai hamba.

Jeda.

Suara ombak menghempas pantai menguasai pendengaran. Suasana sepi bertukar normal dengan keriuhan alam. Falah membuka mata. Menadah langit yang membiru. Membaca hamdalah.

"Pacik shayang!!!"

Dan suara pertama yang dia dengar ialah suara kecil itu. Sedang berlari ke arahnya.

Dia menoleh ke kanan.

"Pacik! Toyong Nuna! Ada rashaksha kejar Nuna!!" Nuna terus menerpanya dengan tawa.

Nuna hendak bersembunyi di sebalik tubuh Falah namun kerana tubuh Nuna yang kecil, dia hanya mampu bersembunyi di sebalik kaki Falah sahaja.

"Nuna!! Sebut sekali lagi apa Nuna kata tadi! Cepat!!" Iman yang sudah sampai di sisi Falah termengah-mengah. Mencekak pinggang dengan muka merah.

Memang dari tadi dua orang ini berkejaran di tepi pantai.

"Macik tak cantik!" Nuna mengulang tanpa rasa bersalah. Kemudian dengan segera menyembunyikan kepala di sebalik kepala lutut Falah.

"Apa?! Nuna! Nuna kata apa?" Iman mengetap gigi. Geram dengan sikap Nuna yang dari tadi mengejeknya.

"Macik tak cantik! Macik macam rashaksha!"

"Nuna!!" Iman mengamuk.

"Kyaaaa..!!!" Nuna tanpa berlengah terus berlari dari belakang kaki Falah apabila melihat Falah langsung tidak membantunya. Dua tangannya diangkat ke atas ketika berlari.

Iman menghembus nafas panjang-panjang.

"Dia ingat dia boleh terlepas ke?" Iman bercakap sendiri seraya mengepal-ngepal dua tangan.Kepalanya digerakkan ke kanan dan ke kiri. Menghasilkan bunyi letup-letup. Dengan posisi kekuda dia bersedia untuk berlari mengejar Nuna yang sudah jauh ke hadapan.

"Nuna!!" Iman pun terus memecut lariannya seakan jaguh antarabangsa dalam lumba lari. Mengejar Nuna yang masih berlari dalam keadaan mengangkat tangan ke atas di sana.

"Pacik shayang!! Tolong Nuna!!" Nuna menjerit dari jauh apabila Iman hampir sahaja hendak menangkapnya.

Falah tersenyum. Tidak tahu senyum kerana apa, yang pasti panggilan Nuna padanya itu pun menggelikan hatinya.

Pacik shayang?

"Macam tak ada panggilan lain. Pacik shayang juga yang dia pilih." Henry menyampuk dari belakang.

Falah memandang Henry. Masih tersenyum lebar. Tok penghulu di sisi menggeleng kepala sahaja.

"Nuna tu memang manja budaknya. Dari kecil tok jaga macam tulah perangainya. Asyik nak menempel dengan orang sahaja kerjanya." Tok penghulu bercerita.

Mereka bertiga memandang sahaja pada Iman dan Nuna yang masih berkejaran sambil ketawa itu. Sesekali Nuna menyuruh Iman berhenti mengejarnya kerana dia semput, kemudian apabila Iman berhenti dia pun dengan segera berlari. Dan sepastinya Iman jadi geram dan menangkap budak kecil itu dan menggomolnya.

Persisiran Pantai Hamparan ini riuh dengan suara tawa mereka.

"Mak ayahnya mana?" Henry tidak bertapis untuk bertanya. Hairan apabila mendengar gaya tok penghulu bercerita seolah-olah Nuna dijaga olehnya dari kecil.

Tok penghulu mengeluh pendek.

"Ada je, tapi sibuk dengan kerja. Ayahnya peniaga pakaian di sini, ibunya pula pembantu ayahnya." Tok penghulu menggeleng kepala sahaja.

Henry mencemikkan wajah. Oh, baru dia tahu. Dari tadi dia berbual tok penghulu di tepi pantai ini. Ketika mereka baru sampai di sini dan Falah memilih untuk menyendiri manakala Iman dan Nuna dengan seronoknya berkejaran - dia pula lebih teruja untuk berbual dengan tok penghulu tentang Pulau Jengka.

Baru dia tahu rupanya Pulau Jengka mempunyai empat pantai, Pantai Hamparan ialah yang paling utama kerana di situlah tempat berlabuhnya kapal-kapal. Di bahagian utara pula ialah Pantai Berlian - dikatakan ada orang berjumpa dengan berlian yang sangat besar di persisiran pantai itu buat namanya jadi begitu. Di bahagian belakang pulau ini, iaitu arah timur pulau disebut sebagai Teluk Nyai. Sememangnya kawasan timur itu dipanggil teluk kerana bentuk pantainya melekuk seakan sabit besar. Namun bila ditanya kenapa bernama Nyai, tok penghulu diam sahaja. Dan akhir sekali ialah bahagian selatan, pantai itu dinamakan Pantai Jantan Senja. Dahulu di situ ada perkampungan yang masyhur bersambung terus dengan Pantai Hamparan namun kini sudah tiada. Henry tidak bertanya pula ke mana kampung itu pergi.

"Anak tok lelaki ke perempuan?" Henry bertanya lagi.

"Lelaki, Osman namanya, menantu tok namanya Nurin." Tok penghulu tampak seronok bercerita.

Henry terangguk-angguk lagi.

"Ahhhhh! Pacik shayang!" Perbualan mereka diganggu oleh jeritan Nuna yang sudah pun berlari ke arah mereka, seketika dirinya tenggelam di balik dua peha Falah. Falah terundur setapak dengan terpaan mengejut itu.

"Macik rashaksha kejar Nuna lagiiii.." Nuna mengadu pada Falah. Iman yang sudah sampai di sisi Nuna, dia tampak sangat kepenatan sampai terbongkok menongkat pada lutut.

"Nuna main tak aci! Bila macik.." Iman semput. Tangan naik mengurut dada."..berhenti, Nuna lari. Tak aci tak aci." Iman sudah tegakkan tubuhnya, nafas semputnya makin reda. Dia sudah biasa bersenam, apalah sangat setakat kejar budak kecil.

Falah tersenyum kecil, terus mendukung Nuna. Nuna mencebik. Tahu dirinya sedang dimarahi Iman.

"Jomlah kita balik. Matahari sudah makin panas." Falah memandang semua orang.

"Jom jom.. Akak pun dah dahaga sangat ni." Iman mengesat peluh yang mengalir di dahi. Kepenatan. Sudah tidak sedar yang dia bahasakan dirinya akak pada Falah.

Falah yang sudah pun awal-awal berlalu bersama Nuna juga tidak menyedari panggilan itu.

Hanya Henry yang sedar, dan dia tersengih sendiri sebelum turut membuka langkah.


PEMBAIKIAN masjid terpaksa dihentikan gara-gara barang keperluan semuanya sudah rosak. Nasib baik sahaja mereka sudah sempat siapkan banyak bahagian penting semalam bersama pasukan lain. Seperti kebocoran atap dan kerosakan dinding hadapan, semuanya sudah siap diperbaharui. Malah paip air dan wayar elektrik semuanya sudah dibaiki. Tinggal lagi beberapa perkara sahaja yang mana hanya untuk melengkapkan masjid tersebut.

Namun syukur sekali kerana tok penghulu sudi membantu, segala barangan keperluan untuk membaiki rumah itu diambilnya dan diangkut ke dalam lori. Esok dia berjanji dia akan bawa yang elok, tidak pasti pula apa yang tok penghulu ingin lakukan. Yang pasti esok semua yang sudah rosak itu akan dibawa ke sini dalam bentuk yang sudah elok.

Sebaik sahaja tok penghulu pulang memandu lori bersama Nuna yang penuh semangat melambai tangan di bahagian penumpang - mereka bertiga termangu di hadapan masjid itu.

Soalan Henry buat semua berfikir panjang.

"Apa nama masjid ini, Falah?"

Falah diam lama.

Iman di sebelah mengusap dagu.

"Darul Falah tak boleh? Masjid Darul Falah.. Huh." Iman memberi syor.

Falah senyum. "Mana boleh kak, nama Falah tu."

"Olo, apa salahnya? Kan Falah yang buat masjid ini." Iman tampak teruja dengan nama itu.

"Kita ambil nama lainlah. Pelik pula kalau nama masjid guna nama orang." Henry menyampuk.

Iman mencebik. Tidak berpuas hati.

Falah diam lagi. Berfikir.

"Kalau.."

Henry dan Iman serentak pandang Falah di tengah.

"..Masjid Miftahul Iman, boleh?"

Masjid Kunci Keimanan.

Untuk Pulau Jengka insyaallah.

SEPANJANG hari ini, mereka bertiga hanya membuat kerja masing-masing. Sekali sekala berbual dan itu pun hanya perkara penting. Seolah rasa gembira bermain di pantai tadi lesap begitu sahaja. Semua seakan mengelak dari sesuatu.

Hakikatnya Henry dan Iman tidak tahu hendak buat apa apabila melihat Falah melaungkan azan di tengah musolla, kemudian mengalunkan iqamat, dan tanpa bersuara pada sesiapa Falah terus mendirikan solat. Daripada zohor, kepada asar hinggalah malam mula melabuhkan tirainya, Falah tetap sahaja begitu. Azan, iqamat kemudian mendirikan solat sendirian. Tidak mengajak sesiapa. Tidak berkata apa-apa pun pada Henry mahupun Iman.

Malah di pertengahan di antara waktu-waktu solat itu Falah lebih gemar bersendirian menghadap kiblat bertafakur dan menghabiskan zikirnya. Kekadang membaca AlQuran dan kekadang mengira biji tasbih mengalunkan pujian pada Allah.

Jadinya Henry dan Iman jadi kekok dan bingung hendak buat apa.

Hendak bersolat bersama, terasa bersalah. Hendak dibiarkan Falah sendirian, terasa bersalah juga. Akhirnya apabila mendengar sahaja Falah melaungkan azan, Henry terus pergi ke pantai menyendiri di sana manakala Iman pula menyumbat telinganya dengan earphone dan tenggelam dalam dunianya.

Masing-masing tidak mempedulikan masing-masing.

Dan malam itu, apabila jam sudah menunjukkan pukul sepuluh. Dalam keadaan gelap dengan cahaya suram dari pelita yang berada di musolla sahaja, barulah Falah datang kepada Henry bertanyakan abang iparnya itu berkenaan tempat tidur.

Henry agak tersentak mendengar sapaan Falah. Terus memandang Falah. Falah melemparkan senyuman.

"Kak Nadrah tidur di mana malam ini?" Soalnya.

Henry jeda. Terkebil-kebil di hujung tangga itu. Dia sendiri tidak berbincang lagi dengan Iman tentang hal itu.

Tidak semena, belum sempat Henry berkata apa - kedengaran bunyi pintu dibuka dari belakang. Falah menoleh. Kelihatan Iman di situ sedang memeluk bantal tidurnya. Wajahnya samar-samar dengan cahaya dari lilin yang meliuk-liuk ditiup angin pantai.

"I tidur dekat bilik sebelah." Iman serius sahaja. Kemudian tanpa basa basi terus membuka pintu bilik sebelah dan masuk ke bilik tersebut.

Jeda.

Henry mendengus.

"Abang rasa itu jawapannya." Ujarnya.

Falah pandang Henry yang sudah bangun. Henry kemudiannya melangkah ke bilik utama dan lesap dari balik dinding.

Falah diam sahaja memandang.

MALAM itu, jam tiga pagi. Sewaktu semua penduduk kampung sudah pun lena, dan mungkin juga Henry dan Iman sudah tidur. Falah lebih memilih untuk duduk di sini, bersebelahan dengan pelita yang masih utuh memberi cahaya.

Menghadap kiblat. Tahajud.

Dia tidak dapat tidur. Lenanya diganggu dengan bisikan demi bisikan dari seorang wanita entah dari mana. Namun Falah sudah cukup kenal suara itu. Kerana itu dia lebih gemar berada di tempat solatnya ini daripada berbaring di tempat tidur dalam keadaan tidak lena-lena.

Solat tasbihnya baru selesai. Tangan diangkat berdoa pada Yang Esa. Dinihari begini, segala masalah diadukan. Diceritakan padaNya. Tidak tinggal walau sedikit.

Dirinya lemah. Masih lemah untuk mengajak manusia ke arah Tuhan. Malah tanpa taufiq dariNya, mungkin dia masih lagi Falah yang dahulu. Yang hanya tahu berfoya-foya. Yang hanya tahu bergelak ketawa.

Hakikatnya hidayah itu milikNya. Dan usaha ialah pada hamba. Dakwah salah satu caranya. Kerana itulah, tahajud itu sangat penting dalam melakukan dakwah. Allah sendiri berfirman dalam surah Muzammil bahawa dengan tahajud ini seorang pendakwah mampu menjadi kuat. Malah Allah memerintahkan rasulNya untuk bangun dari tidur dan bertahajud kerana pada siang hari rasulNya diperintahkan untuk berdakwah.

Tugas dakwah sangat berat, dan kekuatannya hendaklah dipohon dari Allah.

Falah menghela nafas. Air mata tahajudnya dikesat.

Sayu.

Tidak semena di tengah kesunyian ini, terdengar deraman yang memecah sepi.

Falah serta merta memandang ke sisi. Dalam kegelapan, terlihat kelibat seorang wanita tua berada di satu sudut musolla. Kelibat itu samar-samar. Hanya wajahnya sahaja kelihatan. Itu pun hanya separuh. Apa Falah tahu, wanita tua itu sedang merenungnya tajam. Renungan amaran.

'Bukan sudah aku katakan..' Wanita itu menghembus-hembus nafasnya. Marah. Angin hangat terasa. Lilin meliuk ganas.

'..jangan bangkitkan amarahku, Falah!!' Jeritan itu kedengaran tenggelam dalam halkum.

Falah tidak mempedulikan wanita itu, memandang hadapan dan terus mengalunkan ayat manzil.

Tidak gentar.

Kelibat wanita tua itu semakin kuat menderam. Lagak harimau yang ingin menerkam mangsanya.

Falah terus sahaja membaca manzil. Ayatul kursi diteguhkan. Tiga ayat terakhir surah albaqarah diperkukuh. Mata terpejam meraih khusyuk.

'Hentikan Falah!! Hentikan!!' Wanita tua itu menjerit. Mula terasa panas.

Falah teruskan sahaja. Malah kali ini dia sengaja kuatkan.

"Afahasibtum annama kholaqnakum abathan wa annakum ilaina la turja'un.." Ayat ke-115 surah al-mukminun itu dibaca penuh khusyuk. "Fata'ala Allahul malikul haq, lailaha illa hua rabbul arsyil karim."

Sesungguhnya Allah Zat Yang Maha Tinggi.

Allah Pemilik Yang Haq.

Allah tiada tuhan melainkan Dia.

Allah Tuhan arasy yang mulia.

'Argghhhh!!!'

Dengan itu, sedetak nafas sahaja wanita itu melompat hendak menerkam Falah. Namun kurang sedepa jarak, kelibat berselubung hitam dengan bauan hamis itu lesap. Bagai dibakar sesuatu dan berubah menjadi abu. Jeritannya serta merta lenyap.

Lilin serta merta padam. Dihembus angin hamis. Suasana gelap gelita.

Falah menghela nafas berat. Menghabiskan bacaan manzilnya.

Apabila selesai, dia segera mengambil pemetik api yang sedia ada di situ dan menghidupkan kembali lilin tersebut.

Sepi.

Hanya cengkerik kedengaran.

Sesekali desiran ombak dari pantai sana mencelah pendengaran.

'Mungkin aku tidak mampu mengganggu kamu..' Tidak semena bisikan halus kedengaran di teling Falah.

Falah terdiam.

'..namun aku bisa menganggu yang lain.'

Suara itu diiringi tawa pahit. Tawa orang dalam kesakitan.

Falah mengeluh berat. Penat.

Tidak sempat dia berfikir dengan lebih lama, dan tidak sempat dia bertindak apa-apa - tidak semena-mena dia dikejutkan dengan jeritan nyaring dari seseorang di bilik.

Jeritan histeria dari seorang wanita. Falah spontan memandang ke kiri. Ke arah bilik Iman.

Matanya terpejam bersama helaan nafas.

Kenapa syaitan tidak pernah berputus asa?

Continue Reading

You'll Also Like

1.5M 64.6K 75
(KARYA KETIGA KHAISHIF) Asli daripada : KhaiShif Beautiful cover by : KhaiShif [Probook Award:Winner King Of Thriller] [Siri L&D] B3 NO COPY! ⚠️ T...
14.1K 1.9K 43
Hanya dengan mengingat Allah hati akan menjadi tenang.
470K 27.6K 57
Sebuah kisah cinta karya Sabrina Marrose. Yara Ameena Syed Attar Mula: 8/9/2023
88.8K 4.9K 57
'I was enchanted to meet you' Pertemuan yang tidak diduga, walaupun hanya sementara namun memberi kesan kepada Qaira Alana, seorang perempuan yang be...