SAPTA ADHYASTA

By mynameismas

14.7K 2.1K 1.2K

Tatkala kemurnian jiwa manusia hilang dek dendam dan serakah maka perjanjian dengan Sang Terkutuk pasti akan... More

-1-
-2-
-3-
-5-
-6-
-7-
-8-
-9-
-10-
-11-
-12-
-13-
-14-
-15-
-16-
-17-
-18-
-19-
-20-
-21-
-22-
-23-
-24-
-25-
-26-
-27-
-28-
- 29-
-30-
-31-
-32-
-33-
-34-
- 35-
-36-
- 37-
-38-
-39-
-40-
- 41-
- 42-
-43-
-44-
-45-
-46-
-47-
-48-
-EPILOG-
-SEKAPUR SIRIH SEULAS PINANG-
-WALANG KESUMA-

-4-

397 62 29
By mynameismas

DESA KUNING GADING

Tun Indera melangkah tergesa-gesa di bawah sinar matahari pagi yang belum terlalu terik dan embun dinihari malam tadi masih kelihatan bergayut pada hujung rumput.

Sementara itu sahabatnya,Aduka pula hanya senyap tidak mengatakan apa-apa kepadanya dan seperti Indera-pemuda itu juga berusaha menyaingi langkah kaki sang sahabat yang dikuak lebar agar segera sampai ke tempat dituju.

Jalan tanah merah yang diapit oleh rimbunan subur bunga Bakung putih dan diselang-seli dengan Mawar hijau keputihan yang menebar haruman khusus itu ke segenap pelusuk kampung itu dilalui tergesa-gesa dan akhirnya sebuah rumah kayu bertiang tinggi menyambut penglihatan mereka.

Di beranda rumah,dari jauh sudah kelihatan beberapa orang penduduk kampung dan suara mereka saling berbual sesama sendiri juga kedengaran.Halaman rumah yang luas tidak ditumbuhi rumput tetapi pada sudut halamannya berderet pohon-pohon muda berdaun rendang manakala bunga-bunga Melur berdaun hijau berkilat dan menguntumkan putik berwarna putih itu kelihatan memagari halaman.

Sementara itu,tingkap berdaun dua itu di buka luas sehingga langsir tipis berwarna putih berkibar dipuput angin yang bertiup dari baruh membawa bersama suara kokokan ayam dan riang-ria kicauan unggas menyapa sinar matahari.

Dengan tergesa-gesa,Tun Indera menanggalkan capal yang menyarung mata kakinya dan pantas pula meraih gayung cokelat kehitaman bertangkai panjang yang diperbuat daripada tempurung kelapa yang sudah dirapikan itu.

Dia kemudian mencedok air dalam tempayan lalu menjirus mata kakinya sambil menggeselkan kedua-dua kakinya untuk menanggalkan tanah dan debu yang melekat.Selepas menjirus buat kali kedua,gayung tersebut diserahkan pula kepada Aduka yang berdiri di sebelahnya.

" Assalamualaikum.."

Tun Indera memberi salam dan demi mendengar suaranya di hujung tangga,serentak lelaki-lelaki yang duduk bersila di beranda itu menjawab dan ada pula antara mereka yang menoleh.Pemuda itu membongkokkan sedikit tubuhnya seraya menghulurkan jabat tangannya dengan takzim dan hormat.

" Maafkan kami kerana datang tidak berjemput,penghulu.."

Salah seorang daripada lelaki yang bersila rapat di anjung rumah bertiang tinggi itu memulakan katanya sebaik sahaja Tun Indera melabuhkan punggungnya lalu mengemaskan sila di sebelah seorang lelaki yang kelihatan sedikit berusia daripada semua tetamu yang hadir pagi itu.

Tidak seperti tetamu yang datang mengunjungi rumah tersebut lewat pagi itu,lelaki di sebelah Tun Indera itu menyarung persalinan berupa sehelai jubah berwarna putih yang licin sementara serban yang meliliti kepalanya juga berwarna sama manakala sehelai kain Rida berwarna hijau pucuk pisang diselempangkan ke bahu kanannya.

Wajah lelaki itu tenang sahaja dan menatap lelaki yang berbicara dengan senyuman terukir pada bibirnya.Janggutnya yang rapi menambah redup wajah lelaki tersebut.

" Tidak mengapa.Kalau boleh kita tahu apakah gerangan niat tuan-tuan datang berkunjung ke teratak kami tatkala matahari baru naik sepenggalah begini?"

" Begini ,Penghulu.Apa benar berita yang kami dengar tentang pemuda yang ditemui merayau-rayau di perbatasan desa kita sudah melarikan diri?"

Penghulu Paduka Haji berdehem seketika lalu mengerling anaknya yang duduk bersila di sebelahnya itu.Tun Indera yang menyedari maksud tatapan mata ayahnya membuka mulut bagi memulakan bicara dengan berhati-hati.

" Kalau boleh kita tahu,dari mana ayahnda sekalian mendengar berita ini?"

" Bukan rahsia.Dari Desa Bukit Tinggi di utara sehingga ke Desa Tanjung Bidara di Selatan.."

" Seperti yang ayahnda sekalian saksikan hari tersebut.Kita sudah menghantar pemuda itu sehingga ke perbatasan desa."

Sahut Aduka di ambang pintu dan hampir serta-merta wajahnya menjadi tujahan belasan pasang mata yang ada di anjung tersebut.

" Tetapi kita dan Tun Indera yang memerhatikan gerak-geri mereka juga mendengar sendiri bahawa pemuda tersebut masih dikatakan hilang .Maknanya dia hilang dalam perjalanan ke sana.."

" Benar kata Aduka wahai ayahnda sekalian.Kita sendiri mendengar hal tersebut."

" Bukan niat kami untuk lancang,wahai anaknda Tun Indera dan anaknda Aduka.Kami hanya gusar jika kehilangan pemuda tersebut akan menjadi sebab untuk mereka menceroboh permukiman kita.Sudah tentu anaknda Tun Indera dan anaknda Aduka lebih mengetahui hal ini lebih daripada sekelian penduduk Desa Kuning Gading ini.."

" Kita faham kegusaran tuan sekelian."

Penghulu Paduka Haji pula mencelah setelah lama mendiamkan
diri."

"Begini sahajalah.Kita akan memikirkan tindakan selanjutnya untuk mengatasi permasalahan tersebut sementara itu tuan-tuan bolehlah beransur dahulu.Kita akan memanggil tuan-tuan sekali lagi jika sudah menemui caranya kelak.."

Sepeninggalan lelaki-lelaki tersebut ,Aduka segera berpaling lalu menatap wajah Penghulu Paduka Haji sementara Tun Indera yang hilang sebentar di sebalik pintu muncul semula dan menyertai kembali ayahnya duduk bersila di hujung anjung.

" Bagaimana pendapat ayahnda?"

" Rahsiakan hal ini sehingga kita benar-benar pasti.Anaknda Aduka sudah berjaya mencari tahu siapa pembuat anak panah tersebut?"

" Kita sudah bertanyakan sehingga ke Pangkalan Sungai Manik ayahnda Penghulu, tetapi tidak ada seorang pun yang mengenali anak panah tersebut."

" Tidak mengapa,anaknda.Kalau benarlah seperti yang dikatakan,nampaknya kita tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa menemui Tuan Al-Attas."

Sahut Penghulu Paduka Haji tenang sahaja walaupun dia semakin dapat merasakan apa yang ditakuti mereka itu sedang berlaku .Sekali lagi !

"Anaknda Tun Indera,apa benar Tuan Sallehuddin ada di sana sekarang?"

"Benar,ayahnda..Dan kita juga sudah bertemu dengannya sebentar tadi.."

" Naufal Hatta.Bagaimana menurut pandangan anaknda?"

" Sukar tapi tidak ada yang mustahil dengan izin Allah Azzawajalla"

Mendengar kata-kata anaknya itu,Penghulu Paduka Haji hanya mampu menghembuskan nafasnya dengan berat.Dia tahu lambat-laun mereka akan menghadapi juga kejadian tersebut hanya sahaja dia memang tidak menduga bahawa hal tersebut boleh berlaku sepantas itu.

Malahan keresahan yang disuarakan penduduk permukiman Desa Kuning Gading itu tidak ada salahnya sama sekali hanya sahaja apa yang diketahui penduduk sangat berbeza dengan apa yang disembunyikannya selama ini.

" Seperkara lagi,ayahnda. " Tun Indera kembali bersuara dan Aduka di hadapannya hanya mampu mentapnya dengan wajah pasrah." Waris ketujuh Almarhum Haji Latiff."

" Katakan"

" Seorang gadis,ayahnda.."

+ + +

KAMPUNG TEBING BERJUNTAI

Sallehuddin menghampiri ayahnya yang kelihatan sedang menikmati angin malam setelah memastikan anaknya sudah hilang di sebalik tautan daun pintu bilik tidur.

Walaupun dia mendengar derap tapak kaki anaknya menghampiri,lelaki dalam usia pertengahan enam puluh tahun itu tetap sahaja melayangkan pandangannya ke arah bulan pucat yang tergantung di langit Timur itu.

Angin semilir yang sayup-sayup membawa aroma bercampur-aduk entah dari mana tidak diendahkan.Manakala pasu-pasu Orkid yang bergantung memenuhi alang atas beranda itu ada kalanya berlaga sesama sendiri akibat ditiup angin yang sebentar-sebentar kencang dan ada ketikanya perlahan pula.Suara serangga malam kedengaran di mana-mana.

"Ayah.." Sapa Sallehuddin " Kenapa ayah tak tidur lagi?"

" Sekejap lagilah." Begitu Haji Attas menyahut ." Naufal dah tidur?"

" Sudah." ujar Sallehuddin " Ada hal yang saya nak beritahu .."

" Hal apa?" Segera perhatian Haji Attas tertumpu ke wajah anaknya yang jelas digayuti bimbang itu.

" Naufal,ayah..Tadi di gelanggang saya nampak dia sedang bercakap dengan seseorang.."

" Apa yang anehnya?"

" Tak ada sesiapa pun di situ,ayah.." Sallehuddin meneguk air liurnya yang terasa kelat tiba-tiba." Dan ketika balik ,dia menyampaikan salam dari seseorang.Tun Indera"

Haji Attas terbatuk seketika sambil menatap wajah gusar anaknya itu dengan kening yang bertaut.Serta-merta satu raut wajah membayang di kelopak matanya.

" Ayah fikir hijab Naufal sudah terbuka?"

" Ayah tak yakin Naufal mampu menggalasnya,Salleh.Kamu pun tahu beban tu bukan ringan..Dan kalau benar apa yang dikatakan Naufal,ayah bimbang hal itu berulang sekali lagi !"

+ + +

Continue Reading

You'll Also Like

68.9K 10.2K 104
Aerith Jane nak sangat buktikan pasukan hoki ais perempuan pun boleh setanding dengan pasukan hoki ais lelaki akademi mereka. Dua pasukan berbeza, ka...
1.1K 88 14
Highest - #1 protect - #1 lovehaterelationship [Sinopsis] Kehidupan Khaleeda Aufi yang sebatang kara membuatkan dirinya tidak berg...
150K 8.5K 63
Buat aku dan kau yang masih merangkak mencari keredhaan Allah tapi kadang-kadang terjerumus dalam lembah kejahilan meski sengaja ataupun tidak sengaj...
1.9K 160 52
Hati terluka kerana keluarga yang tak peduli keadaan si nenek. Norsyahirah Aina binti Shahid mengambil keputusan tinggal bersama nenek dan datuknya...