NAFSU

By dearnovels

58.3K 722 56

NOVEL SERAM THRILLER TERBITAN DISEMBER ๐Ÿ€Untuk melanggan http://www.wasap.my/+60132588069 http://www.wasap.my... More

PROLOG 1
PROLOG 2
PROLOG 3
BAB 1
BAB 2
BAB 3
BAB 4
BAB 5
BAB 6
BAB 8
BAB 9
BAB 10

BAB 7

2.5K 40 2
By dearnovels

JEMARI terasa dingin saat buku lima dikepal untuk mengetuk pintu. Tiada jawapan yang dia dengar dari dalam. Lantas tangan memegang tombol dan menolak daun pintu. Kepala dijengulkan. Dia nampak Sari sedang berdiri di tepi tingkap, merenung ke luar tanpa sekali pun berkelip.

Waji menelan liur sambil melangkah masuk. Pintu ditutup semula. Dia berdeham sekali untuk meraih perhatian Sari, tapi gagal. Atau mungkin Sari sengaja buat-buat tak dengar.

"Sa... Sari?" tegur Waji.

Masih tiada reaksi.

"Ni aku, Waji. Kau ingat aku, kan?" Waji sengaja menceriakan suara.

Perlahan-lahan, Sari berpaling. Melihat dua garis parut pada wajah gadis itu, sekali lagi Waji tertelan liur. Ketakutannya bertambah dua kali ganda.

"Aku... Aku terkejut masa aku dengar berita pasal kau. Betul, aku memang tak sangka yang kau akan balik semula," ujar Waji sambil mencuba sedaya upaya untuk terus tenang.

Sari merenung wajah Waji. Sesekali matanya berkelip.

"Berita?"

"Oh, ada berita pasal kau kat TV." Waji tersenyum lagi. "Itu yang aku dengan ibu dan ayah aku terus balik sini. Oh ya, Umai dengan Nas pun ada."

Waji mencari reaksi pada wajah Sari namun tiada apa yang dia dapat. Mustahil untuk dia baca apa yang sedang bermain di fikiran gadis itu.

"Umai... Nas..." Dua baris nama itu disebut Sari perlahan.

Waji mengangguk-angguk. "Kau ingat Umai dengan Nas?"

Tiada jawapan.

Waji melangkah ke depan dengan berani. "Dia orang berdua ada dekat bawah. Dia orang ingat nak naik jenguk kau, tapi takut kau tak selesa pula ramai-ramai."

Tiada reaksi.

"Apa kata kalau kau cerita dengan aku apa yang jadi? Aku nak tahu semuanya."

Kedua-dua tangan Sari dipegang. Bagaikan terkena renjatan, Sari pantas menarik tangannya semula. Dia bergerak ke belakang setapak demi setapak sehingga belakang badannya terlanggar dinding bilik. Dan barulah Waji nampak reaksi pada wajah Sari. Bukannya marah atau dendam seperti yang dibayangkan, sebaliknya ketakutan yang tidak terperi. Seakan-akan takut dirinya bakal diapa-apakan.

"Err... Okey, okey... Aku minta maaf. Aku tak bermaksud nak..." Waji menarik nafas panjang. Menggelabah.

"Sorry. Aku cuma... Aku cuma nak tahu apa yang jadi kat kau..."

"Dar..."

"Dar?" Waji terpinga-pinga.

"Dar... Dar lapar... Dar nak makan..." Sari meracau-racau. "Dar nak makan..."

Waji berdebar-debar. Dar? Siapa Dar? Atau, apa itu Dar?

"Dar tentu lapar... Dar nak makan..."

"Err... Sari, kau okey?" Cemas.

"Dar lapar... kena makan..."

"Sari?"

Sari merenung cermin tingkap semula. Renungan matanya tembus, terus ke arah sebatang pokok berakar besar di pinggir hutan. Lama dia diam sebelum berpaling semula memandang Waji yang sudah pucat wajah.

"Waji?"

Waji terkebil-kebil ketakutan. "Ya?"

"Aku ingat kau..." kata Sari perlahan. Nadanya lembut. Malah ada satu senyuman nipis terukir di bibir yang hampir tidak kelihatan di mata kasar.

Waji tertelan liur yang terasa pahit. Nampaknya harapan dia, Umai dan Nas yang mungkin Sari dah kehilangan sebahagian memorinya hanya tinggal abu.

"Kau ingat aku?"

Sari mengangguk. Dia merenung pokok berakar itu semula.

Waji mengerling pintu. Sungguh, dia takut. Kalau Sari cuba buat apa-apa, dia tak akan teragak-agak untuk pecut keluar dari situ.

"Kau... Umai... Nas..."

Satu per satu nama-nama itu disebut. Perlahan-lahan.

"Err... Sari..." Jantung Waji yang tadi tenang sekejap mula berdegup laju sekali lagi. "Kau ingat apa yang jadi malam tu?"

Sari diam.

"Aku... Aku cuma nak kau tahu yang aku betul-betul minta maaf. Kita orang bertiga betul-betul minta maaf atas apa yang berlaku..." Waji berjeda apabila Sari berpaling ke arahnya. Senyuman nipis tadi kini makin melebar. Jantung Waji mengecut.

"Apa yang berlaku?" soal Sari.

Waji terdiam. Tak pasti apa sebenarnya situasi ketika itu. Perlu ke dia lari keluar dari bilik itu sekarang?

"Aku tak ingat," kata Sari. Dia kembali merenung pokok berakar besar itu.

Ada satu jalur kelegaan melintas di hati Waji.

"Kau tak ingat?"

"Tak ingat."

"Tapi..." Waji terperanjat apabila Sari tiba-tiba menepuk cermin tingkap. Terhinggut bahunya. Ada satu jeritan kecil terlepas tanpa sempat ditahan.

"Sari?" Waji merenung Sari dengan lutut yang menggigil. Dia nampak Sari menjatuhkan tangan dari cermin, dan seekor cicak terletak elok atas tapak tangannya. Waji menahan muntah yang hampir terkeluar dari mulut.

Sari ketawa kecil. "Dar suka..."

Waji melangkah setapak ke belakang. Dia tak boleh terus ada di situ.

"Err... Sari, aku keluar dulu. Nanti kita borak lagi..." Cepat-cepat dia berjalan ke pintu.

"Umai dan Nas..."

Waji berhenti di depan pintu. Nak berpaling semula pun dia tak berani.

"Ajak Umai dan Nas..." kata Sari bersama satu senyuman di bibir. Sekilas pun Waji tidak dipandang. Hanya ralit dengan cicak di tangannya.

Waji buru-buru keluar dari bilik. Barulah dia dapat bernafas dengan baik. Namun belum selangkah dia bergerak menjauh dari bilik Sari, tubuhnya hampir terlanggar Ghazi yang tiba-tiba muncul entah dari mana.

"Sorry," ucap Waji pantas sebelum lelaki itu cakap apa-apa. Bukannya dia pernah dengar suara Ghazi pun, cuma dia tak mahu kecohkan keadaan kalau-kalau lelaki itu tiba-tiba marah.

Sebaliknya Ghazi hanya memandangnya sekilas sebelum menyambung langkahnya seperti tiada apa-apa yang baru saja berlaku.

SEBAIK saja pintu bilik dibuka, Waji meluru masuk. Nas menutup semula pintu biliknya. Umai yang sedang bermain dengan telefon pintarnya di birai tingkap bingkas bangun. Sejak tadi mereka berdua menunggu laporan Waji. Dada masing-masing sakit menahan debaran.

Waji mundar-mandir dalam bilik. Tapak tangan digosok-gosok sesama sendiri. Pucat wajahnya masih belum hilang sepenuhnya. Agaknya kalau mukanya boleh diperah, tentu peluh penuh satu baldi.

"Waji? Apa dah jadi? Kau okey tak?" Umai risau. Sesekali berbalas pandangan dengan Nas.

Waji berhenti berjalan. Nafas berat dilepaskan.

"Dia kata dia tak ingat," ujarnya.

Ada riak lega terpeta pada muka Umai dan Nas.

"Tapi aku tak percaya," tambah Waji, sekali gus memadam riak lega itu.

"Kenapa?" soal Nas.

"Something's wrong with her..."

"Wrong how?"

"Very wrong!"

"Boleh spefisik sikit tak?" Nas hilang sabar.

"Kalau kau nak spesifik, kau pergi jumpa dia sendiri!" Waji 'meletup'.

Nas terbius.

"Okey, okey." Umai berdiri di tengah-tengah antara Waji dan Nas. "Sorry, Waji. Kita orang cuma nakkan kepastian. Untuk kebaikan kita bertiga jugak."

Waji meraup wajah yang terasa kusut. "Dia cakap dia tak ingat apa yang jadi malam tu. Tapi aku tak percaya sebab... Sebab dia nampak pelik. She gave me the creeps!"

Umai dan Nas berpandangan. Masing-masing risau.

"Ada kemungkinan tak yang dia memang tak ingat apa yang jadi malam tu dan itu cuma perasaan kau aje?" duga Nas. Bukan niat nak buat Waji marah lagi. Dia cuma perlukan sesuatu untuk meredakan ketegangan yang mereka bertiga sedang rasakan – satu kepastian yang tiada apa lagi yang perlu mereka risaukan.

Waji mengeluh berat. Matanya dipejamkan sesaat dua.

"Entahlah. Mungkin."

Sunyi seketika.

Waji mengerling kedua-duanya. "Sebelum aku keluar tadi aku cakap kat dia, nanti kita borak lagi lain kali. Guess what?"

Umai dan Nas semakin tertekan.

"Dia ajak kau orang berdua borak sekali," tambah Waji.

Umai meraup muka. Nas tergeleng-geleng.

Waji duduk di birai katil. "Cuma aku terfikir something..."

Perhatian Umai dan Nas kini tertancap ke arah Waji semula.

"Dia cakap dengan aku macam biasa aje. I mean, memanglah ada nampak macam dia 'ada' kat tempat lain, tapi at some point cara dia bercakap macam orang yang tak ada masalah langsung. It's like, she knew exactly what she was saying."

"Apa maksud kau ni?"

"Get to the point, Waji."

"Maksud aku, kalau betul dia ingat apa yang jadi malam tu, tentu dia dah cerita kat mak ngah dan pak ngah awal-awal lagi, kan?"

"Jadi kau rasa yang dia memang tak ingat?" teka Umai.

Waji jongket bahu. Dia sendiri tiada kepastian. Cuma teori yang mungkin tidak akan terbukti kebenarannya sampai bila-bila.

"Mungkin dia ingat, tapi dia buat-buat tak ingat."

"Kenapa pulak dia buat-buat tak ingat?"

Sekali lagi Waji jongket bahu. Umai dan Nas dah tak mampu bertenang lagi.

"Habis, apa kita nak buat sekarang?" Nas rasakan otaknya buntu.

"Kita stay sini dalam dua, tiga hari. Lagipun mak ngah dan pak ngah pun memang plan nak duduk sini untuk sementara waktu, kan?" cadang Umai.

"Kau rasa tu satu keputusan yang bijak ke?" soal Waji.

"Pernah dengar kata-kata, 'keep your friends close and your enemies closer'?"

Giliran Waji dan Nas bertukar pandangan.

SEEKOR lagi cicak dimasukkan ke dalam bekas yang disorokkan di bawah katil. Masuk yang itu, sudah sembilan ekor semua sekali. Bibirnya tersenyum puas memerhatikan mereka semua, sebelum bekas disimpan semula di bawah katil. Cadar dijatuhkan supaya tiada yang nampak bekas itu.

Sari bergerak ke arah cermin tingkap semula, terus merenung pokok berakar besar itu. Dia nampak satu kelibat muncul dari sebalik semak berdekatan. Sari mengangkat tangannya dan melambai dengan perlahan. Sekali lagi, senyumannya muncul di bibir.

Continue Reading

You'll Also Like

26.5K 3.6K 36
แ€˜แ€ฌแ€žแ€ฌแ€•แ€ผแ€”แ€บแ€žแ€ฐ - แ€…แ€ฝแ€ฒแ€Šแ€ญแ€ฏแ€ทแ€กแ€žแ€„แ€บแ€ธ
11.2K 1.1K 30
ยซแžฏแž„แž‡แžถแžขแžผแž˜แŸแž แŸ’แž€แžถ แžŠแžผแž…แŸ’แž“แŸแŸ‡แžฏแž„แžแŸ’แžšแžผแžœแž’แŸ’แžœแžพแž‡แžถแž‘แžถแžŸแž€แžšแžšแž”แžŸแŸ‹แž™แžพแž„แž–แŸแž‰แž˜แžฝแž™แž‡แžธแžœแžทแžยป แž˜แžธแž“ แž™แŸ‰แžปแž“แž แŸ’แž‚แžธ ยซแž”แžถแž‘!ยป ยซแž–แžธแž–แŸแž›แž“แŸแŸ‡แž‘แŸ…แžฏแž„แžแŸ’แžšแžผแžœแž แŸ…แž™แžพแž„แžแžถ "แž›แŸ„แž€แž˜แŸ’แž…แžถแžŸแŸ‹" แž–แŸ’แžšแŸ„แŸ‡แž™แžพแž„แž‡แžถแžขแŸ’แž“แž€แžŸแž„แŸ’แž‚แŸ’แžšแŸ„แŸ‡แž‡แžธแžœแžทแžแžŠแŸแžแŸ„แž€...
246K 16.9K 29
๐“๐‡๐„๐˜\'๐‘๐„ ๐€ ๐Œ๐€๐…๐ˆ๐€.๐Ÿง ๐Ÿ’ธ๐Ÿ›ข๏ธ. ุนุงู„ู… ู…ูุบุทู‰ูฐ ุจุงู„ุฐู‡ุจ ุงู„ุฃุณูˆุฏ ูˆูŽ ุงู„ุณูˆูŽุขุฏ . ุญูŠุงุฉ ุงุนูŠุดูู‡ุง ุญุงู„ูƒุฉู ุงู„ุธูู„ู…ู ูˆูŽ ุงู„ุธู„ุงู… . ุฃุฑูˆุงุญูŒ ู…ู€ู€ุฃุณู€ูˆุฑุฉูŒ ููŠ ุณู€ุฑุขูŠุง ุง...
210K 10.1K 44
After going through a number of disasters I realized that actually I am reborn as the villainess character, more of a brat, Chloe Bourgeois, in a chi...