NAFSU

By dearnovels

57.1K 722 56

NOVEL SERAM THRILLER TERBITAN DISEMBER ๐Ÿ€Untuk melanggan http://www.wasap.my/+60132588069 http://www.wasap.my... More

PROLOG 1
PROLOG 2
PROLOG 3
BAB 1
BAB 2
BAB 4
BAB 5
BAB 6
BAB 7
BAB 8
BAB 9
BAB 10

BAB 3

3.4K 44 0
By dearnovels

BANYAK betul kerja yang perlu disiapkan hari ni. Sebaik saja sampai di rumah, seluruh tubuh terasa seperti hilang tenaga. Masuk rumah, kunci gril dan pintu, hidupkan TV, dan masuk ke dapur untuk mengambil seteguk minuman.

Botol dikeluarkan dari peti sejuk. Penutup dibuka. Baru saja air diteguk, telinga menangkap berita yang sedang tersiar pada skrin TV.

"Sarirah Faisal, gadis remaja yang hilang sepuluh tahun yang lalu akhirnya pulang ke pangkuan keluarga..."

Botol di tangan terlepas jatuh ke lantai. Umai berdiri di depan pintu dapurnya, mata tidak lagi mampu berkelip.

MELILAU sepasang matanya mencari kelibat gadis yang ingin ditemui. Perkenalan dari Tinder yang akhirnya membawa ke alam realiti. Pertemuan kali pertama yang membuatkan dia rasa teruja dan tidak sabar-sabar.

Seorang gadis melambai dari dalam kafe. Nas pastikan yang wajah gadis itu memang sama dengan gambar yang terpampang pada skrin telefonnya, sebelum akhirnya berjalan mendapatkannya.

"Naseem?" tegur gadis itu dengan senyuman manisnya.

"Intan?" balas Nas, juga tersenyum.

Intan mengangguk lalu memberi isyarat supaya Nas duduk.

"Sorry lambat. Keluar ofis tadi ingatkan jalan dah clear, rupanya sesak lagi sikit," jelas Nas.

"Tak apa. I faham," kata Intan.

"So... you dah oder?"

"Belum. I tunggu you."

"Okey..." Mata Nas bergerak mencari pelayan, namun tersinggah pada skrin TV.

"Sarirah Faisal, gadis remaja yang hilang sepuluh tahun yang lalu akhirnya pulang ke pangkuan keluarga..."

Gambar Sarirah sepuluh tahun yang lalu terpampang pada skrin, di sebelah pembaca yang terus menyampaikan beritanya. Serta-merta, Nas rasakan wajahnya bertukar pucat.

"Nas? Are you okay?" Intan hairan tengok perubahan drastik pada muka lelaki itu. Macam nampak hantu.

"Nas?"

Telefon Nas berdering. Satu nama yang dia harap tak akan muncul pada skrinnya kini jelas tertera di situ. Dengan jantung yang laju berdegup, dia menjawab juga.

"Umai," sapa Nas dengan suara yang bergetar.

"YOU nervous ke?" Waji tersenyum mengusik ke arah teman lelakinya. Pertama kali datang ke rumah untuk berjumpa orang tuanya dan makan malam bersama, Aizat nampak pucat bukan main. Nak tergelak pun ada juga.

"Dah tentulah nervous. Nak jumpa bakal mentua kut," jawab Aizat. Nafas berat dilepaskan. Seharian ni tak dapat duduk diam memikirkan apa yang bakal berlaku malam ini.

Waji tergelak sambil melebarkan kuakan pintu rumah. "Masuklah. Ibu dengan ayah dah tak sabar tu."

Dengan lafaz bismillah, Aizat melangkah masuk. Ibu dan ayah Waji yang sedang duduk di ruang tamu terus mengukir senyuman untuknya.

"Dah sampai pun," kata Mariyah sambil bingkas menyambut tetamu istimewanya.

"Apa khabar, aunty?" tanya Aizat berbasa-basi. Waji di belakangnya tersenyum-senyum.

"Sihat," jawab Mariyah. "Uncle pun sihat."

Aizat tunduk menghulur tangan untuk bersalam.

"Kamu sampai tepat pada masanya. Uncle pun dah lapar ni. Jom kita makan," ujar Wahab tidak bertangguh.

"Ha, jom," pelawa Mariyah pula sebelum masing-masing mula bergerak ke meja makan.

Waji angkat ibu jari ke arah Aizat. Aizat tarik nafas lega. Sambil tahan gelak, Waji mencapai alat kawalan jauh untuk mematikan TV. Belum sempat butang merah ditekan, berita yang sedang tersiar singgah di telinga.

"Sarirah Faisal, gadis remaja yang hilang sepuluh tahun yang lalu akhirnya pulang ke pangkuan keluarga..."

"Sari? Ya Allah..." Wahab berhenti berjalan. Terpaku memandang skrin TV. Mariyah ikut sama berhenti. Masing-masing terkejut dengan berita yang sedang tersiar.

Aizat terpinga-pinga di tengah-tengah.

Waji mula pucat wajah. "Err... Waji naik atas kejap..." Dia terus bergegas ke arah tangga.

"Waji?" Mariyah hairan dengan tingkah anaknya.

Waji tidak hiraukan apa-apa lagi. Dia berlari masuk ke biliknya. Telefon yang terbiar di atas katil menjerit-jerit kuat. Nama Nas tertulis pada skrin. Dengan tangan yang terketar-ketar, panggilan itu dijawab.

PINTU diketuk berkali-kali. Umai akhirnya buka dari dalam. Tanpa berkata apa-apa, Waji masuk ke dalam rumah. Umai tutup semula pintu dan menarik kunci. Nas sedang mundar-mandir di ruang tamu, wajahnya terpalit resah.

"Sari masih hidup," kata Waji dengan nada panik. "She's alive! I mean, how is she alive?"

Nas meraup wajah. "Itulah yang aku tengah fikirkan sekarang. Aku ingat malam tu dia dah..." Keluhan beratnya terlepas. Buntu dengan situasi yang sedang berlaku.

"Jadi dia tak mati malam tu?" Umai pula bersuara.

"Kalau pun dia tak mati malam tu, macam mana dia boleh survive sepuluh tahun dalam hutan tu? Sepuluh tahun! Tak masuk akal!" bentak Nas.

Panik, Waji pantas menyampuk. "Okey, macam mana dia survive, itu bukan isu penting sekarang. Yang perlu kita risaukan, macam mana kalau dia bagi tahu semua orang apa yang sebenarnya jadi malam tu? Apa yang kita buat pada dia?"

"Betul tu." Umai setuju. "Kalau dia buka mulut, we're dead. Karier kita, hidup kita, semuanya akan hancur! Orang kat luar sana akan tahu yang..." Dia ketap bibir, terasa perit untuk luahkan semuanya.

Waji terduduk di sofa. Sepasang matanya seakan-akan dapat membayangkan hidup yang dibina selama ini hancur berkecai satu per satu.

"Parents aku dengan Nas nak ke vila esok. Tapi kita orang belum pasti nak ikut ke tak. Kau?" tanya Umai.

Waji mendongak memandang kedua-duanya. "Ibu dan ayah aku pergi sana malam ni jugak, tapi aku bagi alasan ada hal penting aku nak kena settle. Hal kerja. Tapi aku tak rasa yang aku boleh guna alasan sama lagi esok-esok. Lambat-laun, kita tetap kena balik sana jugak."

"Kau rasa dia masih ingat apa yang jadi malam tu?" soal Umai sambil merenung Waji dan Nas silih berganti.

Umai dan Nas berbalas pandangan.

"Mungkin tak. Mungkin ada sesuatu yang berlaku kat dia dalam hutan tu dan dia hilang ingatan?" teka Waji penuh berharap.

"Mungkin sebab tu jugak dia ambik masa sepuluh tahun untuk balik ke rumah," tambah Nas.

"Atau mungkin ada sesuatu yang halang dia untuk balik ke rumah. Something holding her."

"Something or someone?"

"Come on, Nas. Cerita hantu tu karutlah!" getus Waji.

"Tapi kau sendiri nampak something malam tu, kan?" Nas tak nak kalah. "Kau ingat lagi kan apa yang jadi malam tu? Mustahil kau tak ingat. Aku sampai sekarang pun masih dapat nightmares tau?"

"Aku... Aku tak tahu apa yang aku nampak, okey?" bentak Waji. "Semuanya berlaku terlalu pantas. Aku pun tak pasti sama ada tu betul atau cuma halusinasi aku."

"Tak kiralah apa pun yang kita nampak, itu tak mengubah satu fakta," sampuk Umai. "Kita bertiga penyebab Sari hilang malam tu."

Sunyi seketika. Degupan jantung masing-masing seperti sudah di luar kawalan.

"Mungkin ada baiknya kita pergi sana jugak esok," kata Nas selepas sepuluh minit mereka bertiga buntu dan diam tanpa jalan penyelesaian.

"Kenapa pulak?" Umai hairan.

"Cuba fikir. Kalau kita pergi sana, kita boleh pastikan yang Sari tak buka mulut. Rahsia kita selamat, kita selamat."

Umai dan Waji saling berpandangan. Takut untuk buat keputusan.

"Lagipun, dah cukup lagi lima tahun. Our next family meeting is supposed to happen soon."

Sepuluh tahun lalu, mereka berjanji untuk tidak bercakap tentang malam itu. Mereka bersumpah untuk melupakan apa yang berlaku dan menganggap tragedi itu bukanlah nyata. Tapi kini, semuanya sudah berubah. Sama ada mereka mahu atau tidak, mereka tetap perlu berdepan dengan kesilapan lalu dan cuba untuk membaikinya sebelum harga yang perlu dibayar menjadi lebih parah.

Lalu Umai dan Waji mengangguk setuju.

GELAP. Satu perkataan yang melintas dalam fikiran saat dia membuka mata. Tiada apa-apa di sekelilingnya melainkan pepohon yang tinggi dengan dedaun yang lebat. Hujan rintik-rintik yang turun buat seluruh tubuhnya sejuk. Menggigil. Perlahan-lahan dia bangun. Kaki kecilnya melangkah setapak demi setapak, meredah belukar yang tebal, hingga telinganya menangkap satu bunyi yang buat bulu romanya menegak.

"Ibu..." Dia teresak-esak kecil. Ketakutan mengisi seluruh ruang dalam tubuhnya.

"Ayah..." Langkahnya diteruskan. Di sebalik semak di depan matanya, dia nampak tubuh ayah yang terbaring kaku. Isi perutnya terburai. Darah membanjiri sekelilingnya.

Dia menekup mulut. Dia takut kalau dia menjerit, 'makhluk' itu akan dapat dengar dan tangkap dia. Tangan kecilnya menyelak lalang yang tajam. Anak matanya teralih dari tubuh ayah kepada tubuh ibu.

Sama seperti ayah, ibu juga terbaring kaku. Bezanya, 'makhluk' itu kini sedang berlutut di tepi, melapah daging pada tubuh ibu dengan penuh selera.

Jeritan kuat akhirnya terlepas juga dari sepasang bibir pucatnya.

Shita terjaga daripada tidur.

Continue Reading

You'll Also Like

OBSESSED By BVRBIEN

Mystery / Thriller

114K 4.8K 28
obsessed
95.7K 3.5K 57
After his first year at the Advanced Nurturing High School, Fukazawa Yato is about to start his second year as a student. With a better understanding...
32.5K 314 27
๐™ž ๐™˜๐™ค๐™ช๐™ก๐™™ ๐™ฃ๐™š๐™ซ๐™š๐™ง ๐™—๐™ก๐™–๐™ข๐™š ๐™ฎ๐™ค๐™ช. i quickly walked down to the lockers, seeing mattheo and a bunch of other boys putting heir stuff away. ...